Showing posts with label Manual Cinta Buat Para Da'i. Show all posts
Showing posts with label Manual Cinta Buat Para Da'i. Show all posts

APA SALAHNYA KAMI BERKAWAN?


“En. Hisham, apa salahnya kami berkawan dan keluar bersama sekali sekala. Bukan buat salah apa pun, lagi pun kami hanya cuba kenal mengenali hati budi masing-masing, dan saya memang ada perancangan untuk melamar andai saya dapati dia serasi dengan saya.” Kata seorang pelajar kepada saya pada suatu masa selepas selesai sesi penyeliaan berkenaan pelajaran di bilik.

Tergamam saya mendengar soalan dan penjelasan ‘tanpa diminta’ tersebut, apatah lagi bila ia diungkapkan dengan wajah penuh selamba.

Saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Mungkin kerana ada kata-kata nasihat tentang hubungan antara lelaki dan perempuan yang sering saya sebutkan sebelum memulakan pengajaran menyentuh dirinya. Wallahua’lam, saya ingin membebaskan diri dari sangka-sangkaan. Biarlah saya dalam keadaan tidak tahu.

Mendengar luahan itu, saya teringat kepada soalan yang hampir sama yang pernah ditanyakan oleh seorang sahabat kepada baginda Nabi yang mulia. Dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa satu hari, seorang anak muda datang berjumpa dengan Rasulullah dan bertanya;

"Wahai Rasulullah saw, izinkan aku untuk melakukan zina",

Rumahtangga Dakwah Kita (2) - Taman Syurga Dunia


“Syifa akan teruskan juga ke dengan tadika ni walaupun kita dah kahwin?” Tanya saya pada isteri dalam taaruf kami setelah beberapa hari kami berkahwin.

Wajah isteri saya sedikit berubah.

“Kenapa abang tanya begitu?” respon isteri saya, penuh curiga.

“Iyelah, lepas kahwin, Syifa tak nak tumpukan pada rumahtangga ke?” Saya menjelaskan maksud.

“Maksud abang?” Isteri saya meminta penjelasan.

“Maksudnya, Syifa boleh ke nak tunaikan tanggungjawab pada suami, mendidik anak-anak yang bakal lahir nanti dengan adanya tadika ni? Abang bimbang, kalau Syifa sibuk, akhirnya rumahtangga akan jadi kurang berkualiti.” Luah saya. Mencurahkan perasaan hati.

KAHWIN SEMASA, ATAU SELEPAS BELAJAR?


“Apa pendapat Abang Sham tentang kahwin masa belajar?” Tanya seorang anak muda kepada saya baru-baru ini.

“Pendapat? Pendapat macamana?” Seperti biasa, saya akan bertanya semula untuk mencari kepastian bagi memberi jawapan yang terbaik.

“Yelah, ada yang kata kahwin masa belajar ni baik, boleh menundukkan pandangan, mengurangkan budaya ‘couple’ dan lebih memberi ketenangan pada hati. Nak lah dengar pendapat Abang Sham pula.” Jelasnya.

“Hmmmmm …” saya berfikir panjang sebelum memberikan jawapan, cuba mengolah sedikit pengalaman menjadi sebuah jawapan.

“Sebenarnya, dalam membincangkan persoalan kahwin sebelum atau selepas belajar, ia tidaklah semudah yang disangka, kerana perkahwinan itu sendiri bukanlah satu benda yang mudah. Tidak ada jawapan mudah dan mutlak yang boleh diberikan. Tidak ada satu solusi yang pasti akan berkesan oleh setiap orang. ‘There’s no one size fits all’, kata orang.” Saya memulakan bicara.

BILA ANAK TIDAK 'MENJADI'

“Anak awak puasa dah berapa hari?” Tanya Fatin kepada temannya Ainul yang mempunyai anak yang sebaya dengan anaknya.

“Alhamdulillah, setakat ini tak pernah tinggal lagi,” jawab Ainul dengan wajah yang berseri-seri. Bangga dengan pencapaian anaknya yang tidak pernah meninggalkan puasa sejak usianya 5 tahun.

Fatin terdiam, tidak menjawab. Teringat anaknya yang telah berusia 7 tahun, namun masih amat liat untuk berpuasa. Paling membuat dia sedih, pernah anaknya curi-curi makan kerana tidak tahan dengan dugaan berpuasa. Akhirnya, selepas hari itu, Fatin tidak lagi memaksa anaknya berpuasa kerana tidak ingin anaknya berbohong.

Gambar Khadijah ketika kecil di Jitra, hiasan semata-mata, hehe

Namun, perbualannya dengan Ainul petang itu, membuat dia kembali geram dan kesal. Di mana silapnya? Mengapa anaknya tidak boleh berpuasa seperti anak-anak rakannya yang lain?

Kenapa kena kahwin dengan akhawat?


“Abang Sham, betul ke ikhwah dan akhawat yang ikut usrah ni dia kahwin sesama ahli jema’ah sahaja, bukankah itu perkara bida’ah dan asobiyyah namanya?” Aiman melontar soalan kepada saya secara tiba-tiba memecah sunyi membuatkan saya terkesima seketika.

Lama saya berfikir, cuba mencari jawapan terbaik untuk dimuntahkan, tapi sebelum itu saya bertanya kembali kepadanya, cuba untuk menyelidiki apa sebenarnya yang tersirat di kepalanya.

“Mengapa anta kata begitu Aiman?”

“Sebab ana tengok, ikhwah dan akhawat ni kalau berkahwin, mesti pilih yang sama jema’ah, mengapa begitu?” Jelas Aiman.

“Okay, di mana salahnya hal tersebut, maksud abang Sham kahwin sesama ahli jema’ah?” Tanya saya lagi, terus menyelidiki.

“Yelah, seolah-olah ada unsur paksaan pula, bukankah kita sepatutnya bebas memilih?” Jelas Aiman, dituruti dengan soalan lagi.

KESEDIAAN ITU PERLU DICARI, BUKAN DINANTI


“Abang Sham, macamana kita nak tahu yang kita ni dah bersedia untuk kahwin?” Tanya seorang anak muda kepada saya baru-baru ini.

Saya berfikir sejenak sebelum menjawab, mengingat kembali bagaimana saya membuat keputusan untuk berkahwin dahulu. Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti apakah saya bersedia atau tidak, cuma apa yang saya pasti, hati saya telah nekad dan bulat.

Ayah, Humaira' dan Khadijah suatu masa dahulu. Sejujurnya, saya tidak pernah bersedia dan tidak pernah tergambar untuk mempunyai anak, apatah lagi mempunyai 3 anak perempuan, tapi bila masanya datang, kesediaan itu perlahan-lahan dibina, cabaran dan pengalaman akan menjadikan kita manusia yang lebih matang.
Kita tidak akan pernah tahu dan setiap dari kita punya tahap kesediaan yang berbeza. Kesediaan itu perlu dicari, bukan dinanti.” Saya menjawab dengan jujur.

“Cumanya, sebagai satu panduan umum, jika fizikal kita sihat, punya tenaga yang kuat dan fikiran yang sihat untuk mencari rezqi dan sedikit sebanyak ilmu asas tentang rumahtangga dan yang paling penting, ada kesungguhan dan keseriusan untuk berfikir tentangnya, Insyaallah bersedialah tu.”

“Jika kita nak menunggu hingga sempurna semuanya, dari segi ilmu dan kewangan, nak tunggu ada kereta dan rumah yang selesa, barang-barang rumah yang canggih manggih, dan nak menunggu calon yang sempurna ibarat bidadari syurga, alamatnya hingga ke tua lah tak akan berkahwin. Jadi antertu (anak teruna tua) nanti.”

Akhawat Syadid Bom Bom!



“Ana tak minatlah dengan akhawat yang dicadangkan tu.” Luah Aiman dengan wajah sugul.

“Kenapa tak minat?” Saya bertanya, ringkas.

“Akhawat tu nampak ‘syadid’ (baca: ganas, keras, tegas) sangat, tak minatlah akhawat yang begitu. Saya lebih suka orang yang ceria.” Jelas Aiman, selamba.

“Macamana anta tahu akhawat tu ‘syadid’?” Tanya saya lagi, kehairanan.

“Yelah, kalau terserempak di Uni, masam aje mukanya. Dalam mesyuarat pun tak ada nak berlawak jenaka, keras dan kering je nampaknya.” Balas Aiman, juga dengan wajah selamba membuatkan ketawa saya pecah berderai.

“Hahaha!”

“Kenapa Abang Sham gelak?” Aiman bertanya dengan wajah penuh tandatanya. Mungkin tidak faham apa yang menggelikan hati saya.

“Laa, akhawat memanglah begitu depan ikhwah, tapi sama-sama ‘depa’, tak ada ‘bom-bom’ (istilah digunapakai sesetengah ikhwah untuk akhawat yang kelihatan syadid) dan ceria je, lepas kahwin nanti, insyaallah lebih ceria.”

“Abang Sham tak ada masalah pun Aiman nak tolak atau terima, sebab ia adalah antara keputusan hidup Aiman yang paling penting, dan implikasinya membawa hingga akhirat.”

 “Cuma Abang Sham kena jelaskan agar Aiman faham. Depa begitu depan ikhwah sebab nak jaga pandangan, nak jaga kelunakan suara agar tak menggamit bisikan syaitan pada hati lelaki yang mendengar suaranya.”

“Takkanlah akhawat yang ditarbiah anta nak ‘expect’ macam orang lain kot, depa ada sifat malu dan kehormatan yang perlu dijaga dengan bersungguh-sungguh sebelum akad nikah.”

“Bahkan, akhawat yang menjaga kehormatan, menundukkan pandangan, menjaga suara dan pergaulan adalah jauh lebih baik dari mana-mana wanita yang tidak menjaga perkara-perkara asas yang Abang Sham sebutkan tadi.”

“Sebabnya, jika sebelum kahwin mereka boleh menjaga diri dari tidak bergaul bebas dan ceria dengan mana-mana lelaki dan menjaga apa yang sepatutnya dijaga, Insyaallah lepas kahwin depa akan lebih menjaganya.”

“Kalau kat rumah Abang Sham tu, masa berprogram sesama mereka, ceria seperti biasa sahaja mereka ni, depa cuma ‘sombong’ dengan lelaki je. Insyaallah, ‘sombong’ mereka dengan lelaki bukan mahram adalah sombong yang baik dan diberkati, sebab ia ‘sombong’ yang dianjurkan oleh agama.”

“Sebab itu, untuk mencari calon yang baik, bukan dengan mengenali dirinya secara terus, berhubung dan berkomunikasi dengannya tanpa batas. Keluar bersama dengan alasan untuk mengenali hati budi sebelum menjadikannya teman sejati. Cara itu amat tidak bermaruah.”

“Tidak bermaruah kerana kita tidak menghormati kehormatannya sebagai seorang wanita dan mendatangkan dosa dayus pada ayah yang menjaganya sejak kecil.”

Saya menjelaskan situasi sebenar dengan tegas. Walaupun mudah, tapi ramai ikhwah yang tersalah tafsir perkara mudah ini.

Aiman masih kelihatan selamba. Wajahnya memang begitu. Tapi saya yakin dia memahami.

“Ok, faham-faham. Nak tanya satu soalan lagi boleh tak?”

“Apa dia? Tanyalah.”

“Tak apa ke kalau kita memilih akhawat yang wajahnya elok dipandang mata sebagai bakal teman hidup? Apakah itu dianggap sebagai mengutamakan nafsu berbanding agama? Soal Aiman.

Saya tersenyum mendengarnya. Banyak kali saya ditanya dan banyak kali juga saya menjelaskan tentang perkara ini. Kali ini harus mengulangnya sekali lagi.

“Oh! Fitrah manusia memang suka kepada sesuatu yang cantik, tak ada masalah pun jika kita memilih, cuma jangan jadikan ia kriteria utama.”

“Banyak kali Abang Sham sebut, kecantikan seorang wanita bukanlah letaknya pada wajah yang menawan walaupun menjaga penampilan dalam dan luar itu amat penting, kerana selepas berkahwin, kita akan rasa biasa sahaja dengan wajahnya yang putih melepak lepak.”

“Pengalaman Abang Sham sendiri, bahagianya sebuah rumahtangga dan keistimewaan seorang isteri bukan terletak pada wajahnya yang cantik, tapi pada akhlaqnya yang mulia, dan ilmunya yang berharga walaupun rupa dia sederhana. Percayalah, selepas setahun berkahwin, kita akan lebih menghargai akhlaq dan kesungguhannya menjaga rumahtangga berbanding wajahnya yang mungkin nampak ‘masam mencuka’ semasa kita melihatnya dijalanan sebelum berkahwin.”

“Jangan terkejut kalau Abang Sham katakan ada ikhwah yang mengalami masalah cemburu buta bila berkahwin dengan wanita yang cantik ‘super’.”

“Bukan tak boleh cari yang cantik. Cumanya kena cari ‘balance’ antara hawa (nafsu) dan taqwa, jangan nafsu yang memandu, tapi biar taqwa yang menjadi juara.”

“Memilih perempuan ada orang kata seperti memilih kereta. Ada yang cantik bergaya, tapi tidak praktikal kerana mahal ‘maintenance’nya, ada yang praktikal, tapi tidak lah bergaya mana, ada yang seimbang, cantik dan praktikal. Paling baik jika kita dapat yang seimbang dan sesuai dengan keperluan dan kemampuan kita.”

“Abang Sham cuma beri panduan sahaja, kerana wanita adalah makhluk asing penuh misteri yang akan kita kenali hanya selepas kita berkahwin dan duduk bersamanya. ‘Basically, what you see is not what you will get’.”

“Terpulanglah pada Aiman. Pilihlah dengan ilmu, bukan nafsu.” Saya mengakhirkan penjelasan.

Aiman mengangguk-angguk perlahan. Wajahnya masih selamba. Moga ada sesuatu yang dapat dipelajarinya hari ini.

Memilih pasangan tidak dapat dinafikan adalah urusan yang amat penting, tapi bila terlalu ‘gedik’ dalam memilih dan terlalu mendamba sempurna dalam segalanya akan mendatangkan banyak masalah. Apatah lagi jika nafsu yang menjadi asas, bukan ilmu.

Berkahwinlah kerana ingin membina ummah, bukan kerana ingin berbangga-bangga dan memuaskan hawa nafsu semata-mata.

Pada pilihan yang kita buat, ada tanggungjawab besar yang harus dipikul.

“Great powers come with great responsibility”

Nescaya Syurgalah Balasan Baginya

 “Ayah, tadi kan Ebbe panggil Humaira’ ‘liar’,” luah Humaira’ ketika kami berada di meja makan.

“Ye ke, mengapa dia panggil Humaira’ ‘liar’?” Tanya saya penuh minat, juga penuh tanda tanya.

Lama dia terdiam, seakan-akan teragak-agak untuk menceritakan dengan lebih lanjut.

“Eh, kenapanya Humaira’? ‘That’s okay, I won’t get angry’, you can tell me anything.” saya cuba memujuk. Sesekali cuba berbahasa Inggeris dengan loghat Australia dengannya.

Humaira, Maryam dan Puteri, tiga rakan baiknya di East Torrens

“Errr...emmm” lama dia teragak-agak namun akhirnya diceritakan juga.

“Tadi Humaira’ nampak Ebbe (lelaki) nak ‘kiss’ Laith (perempuan), tapi Laith lari. Ebbe kejar. Masa dalam kelas Humaira’ beritahu Miss Chandrasina, tapi Ebbe tak mengaku, dia kata Humaira’ ‘liar’,” ceritanya.

Sembilan bulan penuh warna

Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri". (46:15)

9 bulan hampir tamat. Kini tiba saat-saat akhir sebelum anak ketiga kami dilahirkan. Isnin ini isteri saya dijadualkan untuk menjalani pembedahan ceaserean ketiga di Women’s and Children Hospital, Adelaide.

Pembedahan, dijadualkan akan bermula seawal jam 730 pagi dan akan dilakukan oleh seorang doktor wanita berbangsa India yang berasal dari Singapura.

Melihat kembali 9 bulan yang telah berlalu, banyak pahit manis dan perkara-perkara baru yang telah kami sama-sama lalui dan pelajari.

Ketika isteri saya dilanda alahan yang amat teruk pada tempoh 3 bulan pertama kehamilan, saya terpaksa akui bahawa ketika itu saya sedikit tertekan.



Kita Mendidik, Bukan Menternak Manusia



“Menarik perkongsian oleh Prof Sidek Baba tadi kan,” isteri saya membuka bicara ketika kami berkereta untuk pulang setelah mendengar sesi perkongsian dakwah oleh Prof. Sidek Baba sebentar tadi.

Anak-anak kami telah lama lena di belakang. Suasana cukup sunyi dan aman. Tidak banyak kereta yang lalu di lebuh raya Melbourne malam-malam begini.

“Betul, ‘best’ sangat. Abang cukup tertarik dengan perkongsian tentang keluarga tadi, tentang bagaimana pengorbanan isterinya yang berhenti kerja untuk mendidik anak ketika dia belajar di Amerika.” Saya membalas mesra, kebetulan malam ini ‘mood’ bersembang tiba-tiba hadir.

Biasanya, dalam keadaan kepenatan begini, mulut saya bagai punya emas di dalamnya. Amat berat untuk berbincang atau bersembang.

“Bukan itu sahaja, bahkan isterinya turut memberi ruang yang amat luas bagi Prof. Untuk keluar berdakwah, bukan mudah untuk berkorban begitu dengan bilangan anak yang ramai.” Saya menambah lagi.

“Emm, betul tu bang, memang nampak tanggungjawab ibu dan isteri ni amat besar sebenarnya. Abang rasa untuk melahirkan anak-anak yang hebat dan untuk memberi ruang kepada suami keluar untuk menunaikan tanggungjawab dakwah dengan lebih luas, apakah seseorang isteri itu patut mengorbankan kerjayanya? Balas isteri saya disusuli dengan soalan.


Sayangkan Anak, Doa-Doakan

“Abang, Khadijah semakin hari semakin menjadi-jadilah sekarang ni, geram Syifa dibuatnya, kadang-kadang rasa nak cubit pun ada.” Adu isteri saya melalui sms ketika saya berada di pejabat.

Saya membaca sms itu dengan hati yang celaru dan kemudian menjawab ringkas,

“Be calm”

Walaupun nyata saya sendiri tidak tahu apa perlu dilakukan.

Tidak tahu apa puncanya dan sejak bila ia bermula, kelaku Khadijah semakin hari semakin menduga kesabaran. Bila dia inginkan sesuatu dan gagal mendapatkannya, amukan adalah senjatanya. Entah berapa kali dia menangis sambil berguling di merata tempat, tidak kira di rumah, di pasar atau di mana sahaja.

Terbaru dia berguling di pasar Gepps Cross kerana inginkan belon Mickey Mouse yang berharga AUD 3. Amukannya amat lama hingga saya terpaksa menggunakan pelbagai strategi untuk memujuk dan mendukungnya ke kereta.

Jiwanya juga seolah makin sensitif, selalu menangis dan mudah marah, entah apa puncanya. Mungkin menyedari bahawa kedudukannya selaku adik bongsu akan tergugat tidak berapa lama lagi agaknya.


Waktu malam bersamanya juga amat mencabar kini. Tangisannya yang muncul di awal pagi seawal jam 3 yang tidak henti-henti membuatkan kami merenung sesama sendiri.


Saya duduk dan berfikir sebentar di atas kerusi, meninggalkan seketika tugas transkripsi yang menyakitkan dan membosankan.

Saya mencapai buku ‘Tahapan Mendidik Anak’ yang baru saya beli dari Malaysia, membelek-beleknya seketika dan kemudian melihat satu tajuk “Mendoakan Kebaikan Untuk Anak”.

Dalam tajuk ini, ada satu kisah menarik berkenaan seorang bapa yang datang menemui Abdullah Bin Mubarak untuk mengadu berkenaan dengan anaknya yang selalu menyakitinya. 

Abdullah Bin Mubarak bertanya kepada lelaki itu


Mimpi Sesudah Istikharah?

“Masa abang nak pilih Syifa dulu, abang ada buat solat istikharah tak?” isteri saya bertanya pada suatu petang yang dingin ketika saya baru pulang dari pejabat.

Saya duduk di atas meja menatap gelas teh tarik sambil kepala masih teringat masalah pengaturcaraan yang tidak dapat diselesaikan dalam kelas petang tadi.

Saya tenggelam dalam lamunan baris-baris kod yang tersusun, terlupa isteri saya ada di depan mata dan baru sahaja bertanya soalan.

Dilema seorang pengaturcara komputer.

“Abang! Syifa tanya ni, dengar tak?” Isteri saya bertanya, dengan nada yang lebih tinggi.

“Oh! Syifa tanya apa tadi?” Saya buat-buat terkejut untuk ‘cover line’ sambil tersengih seperti kerang.

“Dulu, masa abang pilih Syifa, abang ada buat istikharah ke?” Ulang isteri saya dengan nada merajuk.

“Haaa, istikharah...hmmm....” Saya cuba mengimbas memori untuk menjawab soalan tersebut, neuron neuron di kepala disusun kembali di sebalik celahan kod-kod Visual Basic 6 yang masih bertaburan di sana sini.

“Adalah buat sekali dua, tapi kenapa Syifa tanya?” Saya menjawab, jujur.

“Lepas istikharah tu abang nampak apa dalam mimpi?” Soalan kedua yang hadir lebih ganjil. Saya menggaru kepala mendengarnya.

“Entahlah, tak ada pula nampak apa-apa. Tak ada pula nampak Syifa datang pakai baju pengantin jumpa abang. Orang tua berjambang dan berjubah putih yang datang beritahu kata jodoh Syifa dengan abang pun tak ada. Suara dari langit pun tak ada atau muka Syifa atas awan pun tak ada. ‘Sorry’ lah kalau buat Syifa kecewa ye.” Jelas saya sambil tertawa.

“Abang ni! Habis lepas istikharah tu, apa yang terjadi?” Isteri saya menghadiahkan cubitan dan kemudian menyambung soalan.

“Adeiii! Kot ye pun nak tanya, jangan la paksa, entah apa-apa hang ni” Balas saya sambil tertawa.

“Begini, lepas istikharah tu, abang bincang pula dengan beberapa orang sahabat yang dipercayai diikuti dengan perbincangan dengan ibu bapa, dan akhirnya setelah berfikir masak-masak, ada gerak hati abang yang mengatakan bahawa inilah keputusan yang betul selepas istisyarah (berbincang), istikharah dan berfikir masak-masak”

“Kemudian abang nekad je lah, Bismillah tawakkal a’lallah. Apa-apa yang jadi lepas buat keputusan tu, kira tawakkal.” Saya menerangkan proses pembuatan keputusan dengan ringkas, kali ini dengan nada yang lebih serius.

“Oh, begitu ke...,” respon isteri saya mengangguk-ngangguk. Entah apa yang bermain difikirannya. Saya kembali menghirup teh tarik dengan khusyuk, sambil mengimbau memori-memori lama yang tiba-tiba hadir dengan soalan isteri saya tadi.

Teringat beberapa ketika dulu, ada beberapa pelajar yang bertanya kepada saya tentang istikharah. Mereka keliru kerana tidak mendapat mimpi yang diinginkan selepas solat istikharah.

Nilai Sebuah Lafaz 'Aku Terima Nikahnya'

“Syifa, macamana dah nak buat sup haruan ni, abang lupa lah apa yang Kak Saadiah ajar semalam.” Saya bertanya kepada isteri yang sedang terbaring lemah selepas pembedahan melahirkan Humaira’, 7 tahun yang lalu.

Ikan haruan masih bergerak-gerak di dalam sinki, liat sungguh nyawa ikan ini walaupun telah di potong tiga. Saya terpaksa menahan geli demi sebuah bakti.

“Abang ambik bawang putih, bawang merah, halia dan lada hitam, tumbuk-tumbuk dan bubuh je dalam air yang dipanaskan bersama ikan tu, jangan lupa bubuh garam pula.” Isteri saya menjawab lemah sambil menyusukan Humaira’ yang baru 4 hari menjengah alam dunia.

Ada juga kelihatan senyuman menyindir dari kelibat wajahnya. Masih mampu untuk mentertawakan saya dalam keadaan begini.

Saya terkial-kial menyiang bawang, halia dan teragak-agak untuk memasukkannya ke dalam periuk. Mujurlah akhirnya sup itu menjadi, sedap pula tu! (perasan)

Bagi orang lain, mungkin perkara sebegini dianggap mudah, namun bagi saya yang datang dari keluarga yang anak lelaki tidak pernah dididik untuk membantu urusan di dapur dan mengurus rumah, perkara kecil sebegini terasa amat sukar.

Perigi Cari Timba?


“Encik Hisham, saya telah jatuh hati pada seorang lelaki. Lelaki ini tinggal di sebelah rumah saya dan selalu ke masjid bersama teman-teman serumahnya. Wajahnya tidaklah kacak, tetapi saya tertarik dengan peribadinya yang sentiasa suka membantu jiran-jiran yang lain dalam banyak urusan dan sentiasa ke masjid pada waktu Subuh dan Isya.”

“Apa yang perlu saya buat ye? Adakah wajar saya sebagai seorang perempuan meluahkan isi hati saya kepadanya? Ataukah Encik Hisham rasa perasaan saya ini hanyalah bisikan syaitan dan perlu saya abaikan sahaja?”

“Mohon nasihat.”

Begitu lebih kurang bunyi satu soalan yang masuk ke dalam ‘inbox’ fb saya dari salah seorang bekas pelajar saya yang kini bekerja di Kuala Lumpur. Luahan perasaannya jauh lebih panjang dari apa yang saya tulis di atas, tetapi saya ringkaskan agar tidak meleret-leret.

Saya percaya, ramai dari wanita yang belum berkahwin mempunyai dilema yang sedemikian rupa. Minat pada seseorang tapi tidak berani untuk meluahkan rasa. Akhirnya diri sendiri yang menderita menjeruk rasa.

Hantarlah Sebuah Kesungguhan


Melihat rata-rata jumlah hantaran yang ditetapkan hari ini, saya merasa gerun.

RM 10000, mungkin masih munasabah.

Tapi, RM 15000, RM 20000 dan mungkin sahaja lebih lagi, membuatkan bakal pengantin lelaki sesak dada mengumpulkan wang untuk menghadapinya.

Itu belum belanja kenduri kendara di sebelah pihak lelaki, hantaran-hantaran hadiah yang lain dan seribu satu kos yang mungkin menyebabkan pihak lelaki terpaksa mengeluarkan belanja sehingga RM 50000 untuk berkahwin.
Saya bernasib baik kerana ketika saya berkahwin, saya punya sahabat yang sudi meminjamkan wang dengan kaedah Qardhul Hassan, kaedah sebenar pinjaman dalam Islam tanpa sebarang faedah dan dengan dokumen perjanjian yang lengkap ditandatangani dan punya saksi.

Itupun dengan hantaran yang sederhana dan kenduri yang tidak berapa besar. Namun masih juga sedikit menyesakkan dada selepas kenduri kendara.

Bagaimana dengan mereka yang yang baru mula bekerja dan terpaksa membayar wang hantaran berbelas ribu ringgit? Itu belum belanja kenduri, hantaran jenis hadiah, cincin belah rotan, dan bermacam lagi aneka ragam belanja.

Kos hendak memulakan kehidupan juga bukanlah murah. Hendak masuk rumah perlu juga ada sedikit sebanyak perabot dan perkakas dapur.

Keseluruhan belanja mungkin boleh mencecah hingga 50 ribu ringgit. Jika memang mewarisi harta raja atau anak tokey balak terkemuka mungkin tidak mengapa.

Tapi bagaimana jika pihak lelaki datangnya dari keluarga yang sederhana dan baru mula bekerja?

Tidak hairanlah ramai lelaki yang memilih untuk melambatkan perkahwinan hingga usia 30 tahun atau lebih. Amat rugi kerana pada umur ini, kesuburan lelaki dan wanita semakin lama semakin menurun walaupun mungkin duitnya pada ketika itu telah bercambah-cambah.

Tidak kurang juga lelaki dan wanita yang bertunang atau berhubungan dalam tempoh yang lama kerana ingin mengumpul belanja kenduri terlebih dahulu hingga menceburkan pasangan dalam maksiat yang akan menghilangkan keberkatan rumahtangga.

Tidak kurang ramai pasangan yang ‘kaw tim’ di belakang tabir, terpaksa berpakat dengan bakal isteri untuk membiayai belanja perkahwinan.

Pastinya juga, ramai lelaki yang terpaksa membuat pembiayaan peribadi sehingga 20 ke 30 ribu dengan tempoh bayaran hingga 10 tahun hanya kerana ingin membiayai kos perkahwinan yang luarbiasa.

Perkara sebegini amat bahaya kerana di masa-masa krisis, tidak kurang lelaki yang mengungkit-ngungkit hingga menimbulkan bencana yang lebih besar dalam rumahtangga.

Ada juga pihak lelaki yang kecewa dan terpaksa menarik diri dari perkahwinan kerana sememangnya tidak mampu. Sungguh menyedihkan.

Lebih menyedihkan apabila ada kata-kata sindiran seperti 'jual anak' dan 'mata duitan' yang dikeluarkan dan berlaku pergaduhan antara keluarga hingga ada yang membuat keputusan untuk lari dari rumah dan bernikah di Siam.
 
Kadang-kadang ibu bapa pihak wanita mungkin tidak berniat hendak meletakkan harga, tapi desakan dari saudara mara ketika majlis pertunangan atau risik yang akhirnya menjadikan belanja hantaran dan kenduri-kendara amat tinggi.

Lebih malang, ada yang berlumba-lumba dan berbangga-bangga dengan tingginya hantaran dan belanja perkahwinan.

Ketahuilah, tidak akan jatuh nilai seorang wanita dengan rendahnya mahar dan hantaran yang diberikan, bahkan dalam satu hadis Rasulullah menyatakan bahawa wanita yang terbaik ialah wanita yang rendah maharnya.

Maksudnya, wanita yang baik adalah wanita yang mudah untuk dikahwini.

Bukan bermakna membiarkan sesiapa sahaja termasuk lelaki fasiq masuk meminang,

akan tetapi, bila datang seorang lelaki yang baik dari keluarga yang baik, permudahkanlah urusan perkahwinan mereka berdua. Salah satu caranya adalah dengan meletakkan hantaran yang bersesuaian dengan kemampuan pihak lelaki.

Wanita juga perlu tahu, bahawa mereka juga punya hak dalam menyatakan pendirian dalam isu hantaran perkahwinan. Jika tahu bahawa bakal pasangan sememangnya tidak mampu, nyatakanlah kepada kedua ibu bapa agar tidak meletakkan hantaran yang membebankan. Kata kuncinya adalah pada perbincangan.

Pihak lelaki juga harus ingat, bahawa pada mempermudahkan urusan hantaran, bukan tiket untuk mengambil mudah urusan-urusan perkahwinan yang lain. Jika hantaran yang tinggi telah ditetapkan, jangan miskin usaha dan kesungguhan untuk mencari jalan.

Di mana ada kemahuan, di situ pasti akan ada jalan-jalannya.

Jika berani untuk bercinta, beranikan diri juga untuk berusaha!

Faiza azamta fatawakkal a’laallah....

PEMBERIAN PALING SEMPURNA

“Humaira’, tahun ini Humaira’ dah masuk usia 7 tahun, dah besar dah.” Saya memulakan perbualan tatkala kami keluar bersiar-siar dikawasan sekeliling rumah. Setelah beberapa hari terbaring lesu akibat demam panas dan jet lag sejak pulang dari Malaysia, petang ini saya mengajaknya berjalan-jalan untuk mengambil angin.

“Aaa’aa, tahun ini ayah nak bagi hadiah apa masa hari jadi Humaira’?” Terus dia bertanya membuatkan saya menggaru kepala. Sikap manja dan terlalu ingin dihargai kadang-kadang boleh membawa rasa jengkel juga.

Ini mengingatkan saya bahawa tanggungjawab mendidik anak perempuan adalah satu tanggungjawab yang amat sukar. Jangan kita lalai dengan akhlaq anak-anak yang kelihatan baik ketika usia mereka 5 tahun ke bawah, kerana cabaran selepas usia itu adalah jauh lebih mencabar.

Perjalanan masih lagi panjang dan jauh. Mendidik anak-anak bukan sekadar mengajar mereka solat, menghafaz Al Quran dan berpuasa semata-mata. Ia jauh lebih besar dari itu.

Jiwa mereka perlu sentiasa diisi, begitu juga dengan minda dan emosi mereka yang sentiasa perlu diluruskan dengan cara yang berhikmah sesuai dengan peringkat perkembangan usia mereka.

Sehingga akhirnya anak-anak itu akan membesar menjadi muslim yang sempurna pada aqidahnya, pada ilmunya, pada ibadahnya, pada akhlaqnya dan pada perjuangannya.

“Apa kata tahun ini, kita tukar sedikit konsep?” Saya cuba menukar topik, tapi masih dalam tajuk perbincangan yang disukainya.

“Tukar konsep macamana pula ayah?”

“Ok, biasanya masa harijadi Humaira’, orang lain akan beri hadiah pada Humaira’ kan, apa kata tahun ini, masa harijadi Humaira’, Humaira’ pula beri hadiah pada orang lain.”

“Raya tahun ini kan kita akan balik Malaysia, jadi, kita cari orang-orang yang susah dan miskin di Malaysia, yang tak mampu nak beli hadiah dan mainan yang banyak macam kita untuk kita beri hadiah pada mereka. Boleh ke?” Saya memberi cadangan.

“Aaa, boleh-boleh, nanti Humaira tengok dalam bilik mainan, kalau ada mainan atau ‘teddy bear’ yang lama-lama dan Humaira’ tak nak dah, kita ambil mainan tu dan bagi pada orang lain.” Jawabnya jujur, membuatkan saya menggaru kepala sekali lagi.

“Emmm, tak boleh lah begitu sayang, kalau kita nak bagi hadiah kat orang, Allah kata, kita kena bagi hadiah yang paling kita sayang, bukan hadiah yang kita tak mahu.” Jawab saya. Teringat kepada makna daripada ayat 92, surah Ali Imran.

Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.


Tapi,

Berapa banyak dari kita hari ini yang apabila diminta untuk menderma kepada orang yang susah, mengambil peluang untuk mengosongkan almari pakaian, memilih pakaian-pakaian yang telah usang untuk ‘disedekahkan’.

Berapa banyak dari kita hari ini yang apabila diminta untuk untuk membantu sahabat-sahabat kita di Palestin dan di bumi-bumi Islam yang lain, hanya berpada dengan not-not 5 ringgit yang diberi entah berapa tahun sekali. Pemberian yang mungkin hanya 0.00000001 daripada gaji.

Berapa banyak dari kita hari ini yang apabila diminta untuk menyumbang dan berkorban sedikit untuk agama, hanya memberi cebisan-cebisan waktu dan tenaga yang tersisa malah ada yang hanya berpada dengan komen-komen atau wall post di dalam fb yang kelihatan islamik, itupun mujur, kerana biasanya ramai yang sepi, hanya memandang dengan wajah hambar.

Bila kita ingin memberi atas nama agama, maka pastikanlah bahawa pemberian itu adalah pemberian yang elok dan ‘gemuk’, seumpama korban Habil yang diterima oleh tuhannya.

Bukan seperti korban Qabil yang ‘kurus’ dan halus, yang langsung tidak akan dipandang oleh Allah.

Jika kita mampu berhabis ratusan ribu untuk rumah yang hanya kita akan duduki sementara cuma di atas dunia, mengapa kita tidak ingin melabur sedikit harta, wang dan tenaga untuk membina rumah agam dengan taman yang memukau di syurga sana?

Jika kita mampu berhabis ratusan ribu untuk kenderaan canggih yang akan membawa kita ke sana dan ke sini di dunia yang sempit dengan pelbagai peraturan ini, mengapa tidak kita laburkan sedikit harta, wang dan tenaga untuk membeli kenderaan yang akan membawa kita melintasi titian sirat sepantas cahaya?

Jika kita mampu berhabis ratusan ribu setahun untuk polisi takaful atau insurans yang akan membiayai perbelanjaan perubatan kita, mengapa tidak kita laburkan sedikit harta, wang dan tenaga untuk membeli jaminan keselamatan dari api neraka?

Kerana syurga itu mahal harganya dan Allah amat cinta kepada hamba-hambanya yang suka berkorban dengan sempurna.

“Emmm, ala, rasa sayang la nanti ayah.” Jawab Humaira’, masih jujur.

“Tak mengapa, nanti Allah akan ganti dengan lebih hebat lagi di syurga, dengan apa sahaja yang Humaira’ inginkan.” Saya memujuk, namun saya pasti bahawa perubahan tidak akan cukup dengan kata-kata dan doa sahaja.

Saya dan isteri harus menunjukkan contoh terlebih dahulu jika ingin anak-anak memberi apa yang disayangi.

Semoga Allah membantu kami.


Antara Isteri dan Ibu Sendiri

“Ustaz nak uji sikit boleh?” tanya Ustaz Wan kepada saya sambil tersenyum.

“Uji apa pula Ustaz?” tanya saya kehairanan.

“Uji tentang ilmu baitul muslim la, Sham kan tak lama lagi nak menamatkan zaman bujang.” Jelas Ustaz Wan. Masih tersenyum.

“Oh, kena uji-uji pula ye Ustaz, haa, tanyalah, saya ada juga baca buku, insyaallah boleh jawab soalan ustaz punya.” Balas saya dengan penuh keyakinan.

“Jangan yakin sangat.” Celah Ustaz Wan, seakan dapat membaca fikiran saya.

“Ok, Ustaz nak tanya, katalah tiba-tiba berlaku dalam rumahtangga, mak si lelaki minta anaknya untuk ceraikan isterinya, apa tindakan yang lelaki tersebut perlu buat?” Soal Ustaz Wan.

Saya terkejut, tidak sangka soalan begini pula yang dikeluarkannya.