Nilai Sebuah Lafaz 'Aku Terima Nikahnya'

“Syifa, macamana dah nak buat sup haruan ni, abang lupa lah apa yang Kak Saadiah ajar semalam.” Saya bertanya kepada isteri yang sedang terbaring lemah selepas pembedahan melahirkan Humaira’, 7 tahun yang lalu.

Ikan haruan masih bergerak-gerak di dalam sinki, liat sungguh nyawa ikan ini walaupun telah di potong tiga. Saya terpaksa menahan geli demi sebuah bakti.

“Abang ambik bawang putih, bawang merah, halia dan lada hitam, tumbuk-tumbuk dan bubuh je dalam air yang dipanaskan bersama ikan tu, jangan lupa bubuh garam pula.” Isteri saya menjawab lemah sambil menyusukan Humaira’ yang baru 4 hari menjengah alam dunia.

Ada juga kelihatan senyuman menyindir dari kelibat wajahnya. Masih mampu untuk mentertawakan saya dalam keadaan begini.

Saya terkial-kial menyiang bawang, halia dan teragak-agak untuk memasukkannya ke dalam periuk. Mujurlah akhirnya sup itu menjadi, sedap pula tu! (perasan)

Bagi orang lain, mungkin perkara sebegini dianggap mudah, namun bagi saya yang datang dari keluarga yang anak lelaki tidak pernah dididik untuk membantu urusan di dapur dan mengurus rumah, perkara kecil sebegini terasa amat sukar.

Apatah lagi pada masa yang sama terpaksa menguruskan kain, mengemas rumah dan juga bekerja di pejabat.

Ketika pergi ke pasar, saya ditertawakan oleh Makcik penjual sayur kerana tidak mengenali beza antara bayam, kangkung dan sawi. Cukup memalukan.

Mujur juga ketika program-program mukhayyam (perkhemahan) yang saya ikuti bersama sahabat-sahabat di Universiti semasa masih menuntut, ada juga sedikit sebanyak saya belajar tentang ilmu memasak, itupun hanya sekadar asas dan percubaan yang biasanya tidak menjadi.

Paling hebat yang pernah saya buat adalah menggoreng telur dan memasak kari, itupun biasanya telur akan hancur setelah diterbalikkan dan kari akan menjadi amat pedas dan pekat.

Saya, kuali, periuk dan senduk memang tidak pernah ‘kamcing’.

Ketika bersalin anak pertama, semuanya terpaksa kami lakukan sendiri dengan sedikit bantuan dari rakan-rakan dan jiran kerana kedua ibu bapa kami tidak dapat hadir untuk menemani.

Mujur ketika anak kedua, ada adik ipar dan Makcik pembantu tadika yang amat banyak membantu dalam urusan rumahtangga. Namun masih mencabar kerana ketika ini, saya harus berdepan dengan karenah 2 orang anak dan sedikit sebanyak masih perlu memasak dan mengurus rumah.

Tidak tidur malam itu perkara biasa.

Berpinau biji mata di tengah malam buta sambil terhoyong hayang membuat susu adalah lumrah.

Bersengkang mata dan menahan telinga sepanjang malam akibat tangisan yang tidak diketahui punca adalah ibarat irama yang cukup mengasyikkan.

Namun kini saya menyedari bahawa sedikit kesusahan yang saya alami dahulu adalah tarbiah Allah kepada saya untuk menjadi seorang ayah yang lebih sabar, juga untuk menjadi seorang anak yang lebih menghargai pengorbanan kedua ayah dan ibu saya dan pastinya lebih pandai memasak! (perasan lagi)

Hari ini, 7 tahun selepas pengalaman pertama, saya menanti saat untuk kelahiran anak ke 3 di Adelaide dengan penuh debaran dan keserabutan.

Cabaran mengurus rumahtangga berseorangan di luar negara, menjaga isteri selepas pembedahan, mendidik 2 orang anak yang sedang membesar dan akan diselang seli pula dengan tugas menjaga si kecil yang masih amat ‘fragile’ bukan satu tugas yang mudah, apatah lagi bila ditambah dengan koleksi data kualitatif yang perlu ditranskripsi dan dianalisis dengan kadar segera.

Belum lagi mengingatkan kertas kerja untuk seminar dan jurnal yang pada masa yang sama perlu disiapkan.

Mujur ada akhawat yang sudi untuk menghulur tenaga, mengurangkan sedikit beban.

Letih, memang letih, serabut memang serabut, namun ada ketenangan luar biasa bila mengingatkan bahawa semuanya adalah susunan Allah untuk mendidik diri dan memberi peluang untuk saya berbakti.

Ketika melafazkan kalimah ‘Aku Terima Nikahnya’ 8 tahun yang lalu, tidak pernah saya terfikir dan membayangkan besarnya tanggungjawab yang akan saya tanggung dan cabaran yang akan saya tempuh.

Namun, dengan berlalunya masa, saya semakin meyakini bahawa lafaz ‘Aku Terima Nikahnya’ bukanlah satu lafaz biasa. Bukan sekadar satu lafaz yang menghalalkan kita menyentuh kulitnya dan boleh bermesra, bermanja dan bersenggama dengannya semata-mata.

Tetapi, ia umpama bai’ah kita dihadapan wali (penjaga) bahawa kita mengambil tanggungjawab dari walinya dan bersedia untuk menanggung segala dosa-dosanya.

Ia adalah bai’ah bahawa kita akan menjaganya sedaya upaya ketika sihat dan sakit, sabar atas segala kelemahan dirinya, menerima dan membina hubungan yang baik dengan keluarganya, membimbing dirinya untuk sentiasa kekal lurus atas jalan agama serta mewarnakan anak-anak yang lahir dari rahimnya dengan warna-warna fitrah.

Ia bukan sekadar cinta di dunia, tetapi cinta yang mencegah kita dan seluruh ahli keluarga dari menjadi bahan bakar api neraka.

Beruntunglah mereka yang sabar dan berusaha dalam rumahtangga.



“Orang yang paling sempurna imannya di antara kamu, adalah orang yang paling baik akhlaqnya. Dan orang yang terbaik di antara kamu, adalah mereka yang berbuat baik terhadap isteri mereka”. 
(HR Tirmidzi)

2 comments:

  1. Assalamualaikum Hisham,

    dah dapat baby baru? alhamdulillah..tahniah :-)

    Izatul, CASE batch 9

    ReplyDelete
  2. W'salam Iza,

    Belum lagi, expected 2 april ni Insyaallah! Awak anak berapa dah? Kerja mana sekarang ni? Mesti dah jadi boss besar :D

    ReplyDelete