KESEDIAAN ITU PERLU DICARI, BUKAN DINANTI


“Abang Sham, macamana kita nak tahu yang kita ni dah bersedia untuk kahwin?” Tanya seorang anak muda kepada saya baru-baru ini.

Saya berfikir sejenak sebelum menjawab, mengingat kembali bagaimana saya membuat keputusan untuk berkahwin dahulu. Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti apakah saya bersedia atau tidak, cuma apa yang saya pasti, hati saya telah nekad dan bulat.

Ayah, Humaira' dan Khadijah suatu masa dahulu. Sejujurnya, saya tidak pernah bersedia dan tidak pernah tergambar untuk mempunyai anak, apatah lagi mempunyai 3 anak perempuan, tapi bila masanya datang, kesediaan itu perlahan-lahan dibina, cabaran dan pengalaman akan menjadikan kita manusia yang lebih matang.
Kita tidak akan pernah tahu dan setiap dari kita punya tahap kesediaan yang berbeza. Kesediaan itu perlu dicari, bukan dinanti.” Saya menjawab dengan jujur.

“Cumanya, sebagai satu panduan umum, jika fizikal kita sihat, punya tenaga yang kuat dan fikiran yang sihat untuk mencari rezqi dan sedikit sebanyak ilmu asas tentang rumahtangga dan yang paling penting, ada kesungguhan dan keseriusan untuk berfikir tentangnya, Insyaallah bersedialah tu.”

“Jika kita nak menunggu hingga sempurna semuanya, dari segi ilmu dan kewangan, nak tunggu ada kereta dan rumah yang selesa, barang-barang rumah yang canggih manggih, dan nak menunggu calon yang sempurna ibarat bidadari syurga, alamatnya hingga ke tua lah tak akan berkahwin. Jadi antertu (anak teruna tua) nanti.”


“Bukan bermakna kita semberono membuat keputusan untuk berkahwin dan bukan pula tidak boleh memilih dalam urusan calon, tidak, bukan begitu. Keazaman mesti disertai dengan perancangan dan tindakan yang teliti.”

“Jangan terburu-buru dan jangan pula terlalu mendamba kesempurnaan kerana dalam rumahtangga, suami dan isteri akan saling lengkap melengkapi, kelemahan-kelemahan akan ditampung dengan kekuatan-kekuatan yang ada.”

“Bagi Abang Sham, bekal yang paling utama untuk dibawa dalam sebuah rumahtangga adalah keikhlasan dan kesungguhan untuk menjadi manusia yang lebih baik.”

“Berkahwinlah kerana Allah dengan niat untuk menuruti sunnah Nabi, untuk menundukkan pandangan, untuk menjadi suami yang boleh menjaga dan membimbing isteri dan anak-anak dan untuk menjadi anak yang taat kepada ibu bapa dan juga mertua. Bila niat kita baik, dan kita juga telah berusaha bersungguh-sungguh merancang dan bertindak, Insyaallah, Allah akan permudahkan jalan-jalannya.”

“Kerana perkahwinan dan rumahtangga adalah sebuah perjalanan, dan di dalamnya kita akan membina kematangan. Cabaran-cabaran yang dilalui akan menjadikan kita manusia yang lebih baik dari sebelumnya jika kita mengambil pengajaran dari setiap cabaran dengan mata hati yang terbuka.”

“Berfikir dan berbicaralah tentang rumahtangga seperti lelaki sejati, jangan gedik gedik kerana urusan membina masjid mesti ditangani dengan keseriusan dan kesungguhan.”

“Jika kita punya agenda Islam yang jelas untuk rumahtangga, Insyaallah, kita akan tenang dalam menghadapi apa jua cabaran rumahtangga. Banyakkan berdoa, memohon keampunan dan petunjuk dari Allah.”

“Jika telah ada keazaman, sertai dengan tindakan dan bertawakkallah kepada Allah.”

“Lebih cepat kita berkahwin, lebih bagus, kerana berkahwin ini akan menyempurnakan agama dan menjadikan kita orang yang lebih matang untuk mencapai matlamat-matlamat lain yang yang lebih jauh dan lebih besar.”

Panjang saya menjawab soalan. Sejujurnya, saya bimbang melihat ‘trend’ remaja hari ini yang terlalu banyak berkisah tentang ‘cinta halal’ antara lelaki dan wanita sebelum berkahwin, apatah lagi bila ia dibungkus dengan perisa islami agar kelihatan islamik hingga akhirnya membuat remaja banyak berangan-angan dan berbicara tentangnya dengan nada gedik dan tidak realistik hingga melupakan persoalan umat yang lain.

Jika angan-angan disertai dengan keazaman dan tindakan yang padu untuk membina rumahtangga, tidak mengapa, tapi jika ia menjadikan remaja lembik dan hanya mampu berangan-angan, cara fikir ini harus dibaiki. Apatah lagi yang menganggap bahawa perkahwinan akan menyelesaikan segala masalah dirinya.

Benar, perkahwinan itu adalah penyempurnaan kepada kehidupan seorang muslim, tapi hanya jika ia disertai dengan cara fikir yang betul dan taqwa yang memandu.

Bila telah sampai masanya, berkahwinlah wahai anak muda!, Allah akan memberikanmu kelapangan dan kebahagiaan luarbiasa!

Kesediaan itu perlu dicari, bukan dinanti.

Selamat berjaya!



No comments:

Post a Comment