Mimpi Sesudah Istikharah?

“Masa abang nak pilih Syifa dulu, abang ada buat solat istikharah tak?” isteri saya bertanya pada suatu petang yang dingin ketika saya baru pulang dari pejabat.

Saya duduk di atas meja menatap gelas teh tarik sambil kepala masih teringat masalah pengaturcaraan yang tidak dapat diselesaikan dalam kelas petang tadi.

Saya tenggelam dalam lamunan baris-baris kod yang tersusun, terlupa isteri saya ada di depan mata dan baru sahaja bertanya soalan.

Dilema seorang pengaturcara komputer.

“Abang! Syifa tanya ni, dengar tak?” Isteri saya bertanya, dengan nada yang lebih tinggi.

“Oh! Syifa tanya apa tadi?” Saya buat-buat terkejut untuk ‘cover line’ sambil tersengih seperti kerang.

“Dulu, masa abang pilih Syifa, abang ada buat istikharah ke?” Ulang isteri saya dengan nada merajuk.

“Haaa, istikharah...hmmm....” Saya cuba mengimbas memori untuk menjawab soalan tersebut, neuron neuron di kepala disusun kembali di sebalik celahan kod-kod Visual Basic 6 yang masih bertaburan di sana sini.

“Adalah buat sekali dua, tapi kenapa Syifa tanya?” Saya menjawab, jujur.

“Lepas istikharah tu abang nampak apa dalam mimpi?” Soalan kedua yang hadir lebih ganjil. Saya menggaru kepala mendengarnya.

“Entahlah, tak ada pula nampak apa-apa. Tak ada pula nampak Syifa datang pakai baju pengantin jumpa abang. Orang tua berjambang dan berjubah putih yang datang beritahu kata jodoh Syifa dengan abang pun tak ada. Suara dari langit pun tak ada atau muka Syifa atas awan pun tak ada. ‘Sorry’ lah kalau buat Syifa kecewa ye.” Jelas saya sambil tertawa.

“Abang ni! Habis lepas istikharah tu, apa yang terjadi?” Isteri saya menghadiahkan cubitan dan kemudian menyambung soalan.

“Adeiii! Kot ye pun nak tanya, jangan la paksa, entah apa-apa hang ni” Balas saya sambil tertawa.

“Begini, lepas istikharah tu, abang bincang pula dengan beberapa orang sahabat yang dipercayai diikuti dengan perbincangan dengan ibu bapa, dan akhirnya setelah berfikir masak-masak, ada gerak hati abang yang mengatakan bahawa inilah keputusan yang betul selepas istisyarah (berbincang), istikharah dan berfikir masak-masak”

“Kemudian abang nekad je lah, Bismillah tawakkal a’lallah. Apa-apa yang jadi lepas buat keputusan tu, kira tawakkal.” Saya menerangkan proses pembuatan keputusan dengan ringkas, kali ini dengan nada yang lebih serius.

“Oh, begitu ke...,” respon isteri saya mengangguk-ngangguk. Entah apa yang bermain difikirannya. Saya kembali menghirup teh tarik dengan khusyuk, sambil mengimbau memori-memori lama yang tiba-tiba hadir dengan soalan isteri saya tadi.

Teringat beberapa ketika dulu, ada beberapa pelajar yang bertanya kepada saya tentang istikharah. Mereka keliru kerana tidak mendapat mimpi yang diinginkan selepas solat istikharah.

Setakat yang saya tahu, tidak pernah ada dalam mana-mana hadis yang menyatakan bahawa selepas solat istikharah, kita akan mendapat petunjuk dalam bentuk mimpi.

Apatah lagi mimpi dalam bentuk lelaki atau wanita yang ingin dikahwini hadir dengan wajah yang berseri-seri atau kelihatan namanya terukir indah di awan nano yang tinggi.

Entah dari mana agaknya datang pendapat yang sedemikian. Gedik sungguh!

Ingin saya katakan kepada anak muda yang bertanya, berhati-hatilah dengan petunjuk yang datang melalui mimpi selepas istikharah, walaupun yang datang itu mengaku sebagai nabi kerana dikhuatiri syaitan menguliti dan mempermainkan kita dengan mimpi yang ‘kononnya’ hadir selepas solat istikharah.

Orang tua berjubah putih yang datang memberi nasihat, atau wajah lelaki/wanita yang ingin dikahwini mungkin hanya samaran syaitan yang semestinya amat arif dan mampu untuk menipu manusia dari sudut yang kita tidak mampu melihatnya.

Jangan terlalu taksub dan percaya dengan mimpi. Berfikirlah dengan rasional dan bijaksana.

Selepas istikharah atau sebelumnya, banyakkanlah berbincang dan menganalisa, agar keputusan yang kita buat adalah keputusan yang bijaksana, bukan keputusan yang hanya berlandaskan kepada ‘petunjuk’ yang entah dari mana datangnya.

Jangan beralasan dengan istikharah untuk mewajarkan pilihan sumbang yang dibuat.

Apatah bila hanya dibuat sekali dan gembira bila datang mimpi yang bertepatan dengan kehendak diri.

Istikharah bukan tiket untuk kita menghalalkan perkara haram yang disukai oleh nafsu, membuat kehidupan jadi celaru dan masa depan jadi tidak menentu.

Tapi, Istikharah adalah satu ibadah yang kita lakukan untuk mendapat petunjuk Allah dalam pilihan-pilihan kehidupan, dan tentunya bukan dalam soal jodoh sahaja!

Jika ingin istikharah yang lebih berkesan dan diberkati, perbanyakkanlah amal-amal kebaikan dan yang sunat-sunat sebelum melaksanakannya, agar hati kita lebih lembut dan lebih mudah untuk diberi petunjuk.

Berdoalah juga dengan doa yang diajarkan oleh nabi ketika solat istikharah, agar dengan menuruti sunnah, Allah akan melimpahkan rahmat dan kebaikan dalam setiap keputusan yang kita buat.

Bila petunjuk telah masuk ke dalam hati, kita akan lebih yakin dan teguh untuk membuat keputusan, kerana kita yakin, keputusan yang kita buat adalah keputusan yang ada bersamanya panduan dari Allah, bukan panduan dari mimpi dari syaitan yang menipu!

Lihat panduan dari hadis ini,

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

(HR Bukhari)

(Hadis tentang istikharah dipetik dari blog (saifulislam.com)

Beristikharahlah, beristiyarahlah, berfikirlah dengan rasional semasak-masaknya. Semoga diberi petunjuk dan ketetapan hati dalam membuat keputusan.

Insyaallah.
  

1 Telah memberi pendapat:

  1. Kalau bab jodoh-jodoh ni, istikharah adalah perkara yang memang menjadi 'keutamaan' di kalangan org perempuan dan juga lelaki. Hakikatnya istikharah ni meluas 'penggunaannya'. Betulkan jika saya tersilap. Ada macam-macam cara yang ALLAH akan gunakan untuk tunjukkan pada kita sama ada pilihan kita itu adalah yang terbaik atau sebaliknya. Yang penting yakin dengan hati, berusaha dengan Lillahi Taala, insyaAllah ia adalah yang terbaik.

    ReplyDelete