Showing posts with label Kisah Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Kisah Kehidupan. Show all posts

SIBUK

Rindu nak menulis di blog, masih adakah yang singgah dan sudi membaca?

Dulu, saya selalu mencatatkan kisah hidup saya di sini.

Kini sejak dibebani dengan penulisan tesis PhD yang semakin tiba di penghujung, dan kesibukan dengan komitmen empat orang anak yang banyak memakan masa, kesempatan untuk menulis dan berkongsi di sini semakin kurang.

Ada masanya, bila punya masa lapang, idea dan momentum untuk menulis pula hilang entah ke mana, kadang-kadang, bila idea ada, niat terpaksa dibatalkan kerana perlu melaksanakan tugasan yang lebih utama.

Banyak perkembangan yang berlaku sejak Ogos yang lalu. Kelahiran Khalid Furqan tentunya. Humaira’ dan Khadijah yang semakin membesar. Ragam Insyirah yang penuh pahit dan manis.

Kemudian ada warna-warni perpindahan balik kami sekeluarga ke Malaysia. Dengan proses pindah yang amat menyakitkan, dengan barang-barang, proses pembersihan rumah Klemzig yang cukup perit, dengan ragam kontena yang cukup menyesakkan dan macam-macam lagi.

Seterusnya ada kisah adaptasi hidup di bumi Malaysia yang cukup menyeronokkan. Betapa kami menghargai setiap detik nafas di tanah air bertuah setelah 4 tahun berhujan batu di negara orang. Setelah beberapa ketika, saya datang pula ke sini berseorangan, kemudian pulang, dan kemudian datang semula dan akan balik minggu depan.

6 bulan terakhir proses penulisan tesis ini amat memakan keringat dan daya fikir. Proses mendapatkan sebuah ijazah bernama PhD adalah satu proses penuh jerih payah yang hanya akan difahami oleh mereka yang melaluinya.


Sampai di sini dahulu kerana saya perlu kembali menulis tesis dan membaca beberapa lagi jurnal. Insya-Allah, blog ini akan saya update juga dari semasa ke semasa. Moga Allah permudahkan urusan kita semua.


SELAMAT DATANG KE DUNIA, KHALID FURQAN

Banyak yang ingin dicoret, tapi hambatan masa dan keutamaan membataskan waktu untuk saya banyak menulis di sini. Hanya selepas hampir 3 minggu, barulah dapat 'update' sesuatu di sini berkenaan kelahiran anak kami yang ke empat di Adelaide.

Alhamdulillah, tepat jam 930 am, 4 Jun 2014, sekali lagi di Women's and Children Hospital, Adelaide, South Australia, anak lelaki pertama kami dan yang keempat dalam keluarga selamat dilahirkan melalui pembedahan.

Kali ini, proses agak rilek, tiada 'contraction' berat yang berlaku dan kami melangkah ke dewan pembedahan dengan tenang, sempat bergambar lagi di hadapan pintu sebelum masuk ke Women's Assesment Service. Saya juga dibenarkan untuk masuk ke dewan pembedahan untuk menyaksikan sendiri bagaimana pembedahan itu dilakukan.


Saya diminta duduk di satu sudut sementara proses pembedahan dijalankan oleh 2 orang doktor dengan bantuan pakar bius dan beberapa 'midwives'. Sementara menanti, saya hanya berzikir dengan zikir Nabi Yunus, Laa ila ha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin.

Waktu terasa bergerak perlahan, saya menunggu dengan sabar hinggalah bunyi rahim 'dipecahkan' dan air ketuban mengalir keluar deras. Saya menjenguk dan tidak lama selepas itu, terdengar suara bayi kecil yang pertama kali bernafas di dunia.



Walaupun telah 4 kali melalui pengalaman ini, namun magisnya tetap tidak hilang, keseronokan dan keterujaan yang hadir tetap seperti anak yang pertama.

Seperti biasa, saya mengalunkan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri sebagai satu sunnah, tahnik juga dilakukan dan kemudiannya rambutnya dicukur pada hari ketujuh. Nama Khalid Furqan dipilih sempena nama sahabat Nabi yang berani iaitu Khalid Al Walid, Furqan pula adalah salah satu nama Al Quran yang juga nama satu surah di dalam Al Quran sendiri. Furqan bermaksud pemisah antara haq dan batil.

Semoga Khalid Furqan akan sentiasa menjadi hamba Allah yang bertaqwa, berani, pintar dan sentiasa dalam mujahadah seperti Khalid Al Walid dan menjadikan Al Furqan sebagai panduan tindakannya dalam menjadi pembela kepada kebenaran.



Salam Pra Ramadhan 2014

Mohd Hisham Mohd Sharif
Hasifah Zainuddin
Humaira' Mohd Hisham
Khadijah Hanan Mohd Hisham
Fatimah Insyirah Mohd Hisham
Khalid Furqan Mohd Hisham

SELAMAT DATANG JANUARI 2013, EH 2014

Cepat sungguh masa berlalu, rasanya seperti baru sahaja menulis entri pertama dalam blog pada awal tahun 2013, hari ini, Januari 2014 telahpun masuk ke fasa pertengahan. Bilangan tulisan di blog pada tahun 2013 juga semakin merosot jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, mungkin kerana saya banyak berkongsi rasa di facebook agaknya. Azam 2014 adalah untuk menghidupkan kembali blog ini dengan lebih banyak artikel dan analisis yang lebih dewasa.

Banyak perkara yang berlalu pada tahun 2013. Perjalanan PhD juga telah hampir sampai ke penghujung, data telah siap dikutip dan dianalisa, tinggal untuk diulas dalam tesis. Beberapa bab telah disiapkan dan telah dihantar, tapi masih menunggu komentar dari penyelia yang nampaknya agak kurang aktif sejak cuti Krismas baru-baru ini.

Entahlah, tapi semakin saya mendalami bidang ini, semakin saya tahu bahawa saya tidak akan kekal lama dalam bidang ini. Dunia kajian dan penerbitan akademik dalam bidang sistem maklumat bukan bidang yang pastinya saya akan terus mendalami selepas ini walaupun jika saya berjaya menamatkan penulisan tesis ini dengan jayanya. Bidang lain, mungkin, dan mungkin juga satu hari nanti saya akan bertukar karier menjadi usahawan sepenuh masa. Hidup dengan usaha dalam perkara yang lebih saya sukai.

2013 juga saya banyak berkelana, ke Dubai, Brazil dan pulang ke Malaysia beberapa kali, antaranya kerana PRU dan untuk menjemput ibu bapa saya datang ke sini. Banyak pengalaman baru dalam perjalanan, banyak juga kenalan-kenalan baru yang saya temui, paling ‘mengejutkan’, bila mendapat khabar cahaya mata keempat akan tiba tidak lama lagi dalam tahun 2014.

Selain dari orang baru yang akan disambut pada tahun 2014, tahun ini juga tahun terakhir saya akan berada di Australia, paling lambat saya akan pulang adalah pada bulan Ogos 2014, paling cepat mungkin bulan Mac saya akan pulang. Perasaan pastinya bercampur baur, tapi apa yang pasti, kehidupan akan diteruskan dan setiap saat yang berlalu, di mana sahaja saya berada, ada malaikat yang mencatat segala amalan untuk dipersembahkan di hadapan Allah satu hari nanti di akhirat.

Begitulah kehidupan, saat demi saat, kita semakin tua, anak-anak semakin membesar dan kematian semakin menghampiri, selagi usia masih bersisa, gunakanlah sebaiknya untuk beramal sebanyak-banyaknya buat bekal di akhirat nanti.


INSYIRAH BAKAL DAPAT ADIK?

Alhamdulillah, tsumma Alhamdulillah.

Tidak ada kata yang mampu diucapkan selain Alhamdulillah, segala puji untuk dia yang telah mengurniakan kepada kami anugerah anak-anak yang cukup menyejukkan mata.

Teringat ketika baru berkahwin dulu, kami menanti lebih 6 bulan sebelum berita gembira itu hadir, dan penantian selama 6 bulan itu dirasakan terlalu lama hingga kami ke klinik kesuburan berjumpa Dr Murizah untuk membuat pemeriksaan.

Tika menanti berita gembira yang kedua, hampir 4 tahun kami menunggu, resah gelisah dibuatnya. Humaira' sering bertanya bilakah masanya dia akan punya teman bermain dan bergembira bersama. Kami sering tidak ada jawapan kepada soalan cepu emasnya.

Pertemuan demi pertemuan, usaha, demi usaha, pelbagai kaedah dan ubat yang diambil dan doa demi doa kami lafazkan hingga beberapa hari sebelum kami menjalani prosedur IVF, berita gembira itu hadir. Memang terasa satu keajaiban dan keberkatan doa Ramadhan yang sebelumnya.

Berita gembira yang ketiga hadir ketika kami di Australia, tidaklah terlalu lama menunggu masa, dan ia hadir tepat pada masanya, walaupun serasa saya, inilah proses kehamilan yang paling mencabar, tapi kemanisannya tetap luar biasa.

Berita gembira yang keempat hadir tanpa disangka-sangka, Insyirah juga baru mencecah setahun 6 bulan dan masih menyusu. Ubat kawalan telah diambil dan kami juga tidak merancang untuk mendapatkan khabar dalam tempoh terdekat. Memang mengejutkan, tapi ia tetap satu kegembiraan kerana Humaira', Khadijah dan Insyirah bakal beroleh seorang lagi saudara yang akan keluar 8 bulan lagi.

Syukur padamu Ya Allah, moga dipermudahkan proses kelahiran kali ini dan harap-harapnya, kali ini anak lelaki pula yang akan keluar. Inshaallah.

TRANSISI

Alhamdulillah, proses transisi biro tarbiah kepada lapisan kepimpinan baru hampir selesai, begitu juga dengan pewarisan amal ISMA South Australia kepada nafas baru yang lebih muda dan segar.

Ini bermakna, masa saya di sini hampir tamat, kini tiba masa untuk saya memberi fokus yang lebih kepada pengajian dan aktiviti dakwah umum yang banyak saya tinggalkan kerana lebih banyak terlibat dalam amal organisasi yang memerlukan banyak kehadiran ke mesyuarat dan kerja-kerja teknikaliti yang agak memakan masa.

Hampir tiga tahun di sini, terlalu banyak yang dipelajari, dimensi pemikiran saya berubah sama sekali, bukan sahaja dari cara menguruskan amal, tapi dari segi pandangan terhadap hidup dan bagaimana kita berinteraksi dengan masyarakat.

Terima kasih kepada murabbi-murabbi saya secara langsung atau tidak langsung di sini, terutamanya Dr Zaki, Br Hani, dan rakan-rakan dari ISMA Australia yang tidak pernah jemu berjuang untuk mendidik anak-anak muda bagi memahami dan mengamalkan ISLAM dalam kerangka yang lebih syumul.

Wah, menulis macam minggu depan dah nak balik, padahal ada berbulan-bulan lagi kat sini, insha Allah masa yang berbaki ini akan digunakan untuk menimba pengalaman-pengalaman baru baru membina dan mempersiapkan diri untuk mencurah bakti yang lebih besar nanti di tanah air.

Mungkin ini masanya untuk menulis beberapa projek penulisan yang tertangguh, ‘Yeay, Saya Muslim!’, ‘Diari PhD Sang Musafir’, ‘Membina Komunikasi Berkesan Suami Isteri’, dan ‘Berinteraksi Dengan Anak-Anak’.


Tapi pastinya, ada naskah tebal yang saya kena siapkan dahulu, ‘Exploring Social Media Adoption in Australian Local Government.’

KALI PERTAMA BERHARI RAYA TANPA KELUARGA

Alhamdulillah,

Demam semakin kebah, walaupun masih ada perasaan hendak muntah-muntah, sakit tekak yang amat perit dan denyutan kepala yang begitu menganggu.

Tapi, alhamdulillah, segalanya bertambah baik, Khadijah juga tidak lagi muntah-muntah, kesihatan Aboh di Malaysia juga makin bertambah baik, mungkin hasil keberkatan Zulhijjah dan ziarah dari cucunya yang telah lama tidak ditemui.

Tahun ini nampaknya saya akan beraya hanya bersama Khadijah di Adelaide. Mungkin ini kali pertama saya menyambutnya tanpa kehadiran ibu bapa atau bersama isteri dan dua lagi anak. Sedih juga perasaannya.

Tambahan pula dengan kesibukan pengajian yang semakin mendebarkan, ditambah hujung bulan ini saya akan menghadapi Annual review yang akan menentukan kesinambungan pengajian saya di sini. Mood hari raya langsung tidak ada makna apa-apa.

Tiada juadah istimewa di rumah, mungkin sekadar bertamu di rumah kawan-kawan. Itupun mungkin tidak berkesempatan kerana padatnya jadual yang bakal dihadapi.

Walauapapun, apa yang lebih penting adalah untuk berpuasa esok ketika hari Arafah, banyakkan berdoa dan bertilawah, moga Allah akan mengampunkan segala dosa-dosa kita dan mencatatkan kita dalam daftar mereka yang bebas dari api neraka. Inshaallah.


Kosong

Kosong.

Pagi ini saya merasa amat kosong. Saya cuba membaca buku Multivariate Data Analysis, tapi hilang fokus hanya selepas sepuluh minit. Seterusnya saya cuba pula untuk menyusun dan membersihkan data kajian dalam SPSS, juga tidak dapat bertahan lama. Membuka AMOS, melihat ikon-ikonnya yang asing juga membuatkan saya merasa lemah.

Teringat e-mail Indrit dan beberapa tugasan yang diminta oleh dia dan Robyn untuk disiapkan, juga saya tidak ada semangat.

Entah apa yang terjadi pada saya hari ini. Mental ‘block’? Mungkin juga.

Mungkin juga kerana kesalahan besar dalam kaedah kajian yang hanya saya dapat kesan minggu lepas, mungkin juga kerana kepulangan Dr Zaki ke Malaysia yang memberi kesan besar buat diri saya, mungkin juga kerana situasi PRU di Malaysia di mana sahabat-sahabat ISMA/BERJASA sedang berjuang hebat di medan PRU 13. Mungkin juga kerana ceramah Imam Mahmud Kurcu semalam yang membuat saya rasa ingin terbang pulang segera bertemu kedua ibu bapa.

Apa yang pasti pagi ini saya berada dalam resah, dilema dan rasa kosong yang menghimpit.

Fatimah Insyirah, Setahun Berlalu


Beberapa detik selepas lahir
Sedar tak sedar, telah setahun Fatimah Insyirah dilahirkan. Terasa seperti baru semalam saya memasak ikan bilis hangit ketika isteri saya dilanda alahan yang menyebabkannya langsung tidak boleh ke dapur.


Saat saya menanti di dewan pembedahan Women’s and Children Hospital dengan penuh sabar, mendengar tangisannya buat kali pertama dan melihatnya berlumuran darah diangkat keluar dari rahim ibunya juga terasa seperti amat baru berlalu.

Hari ini, genap usianya setahun, Insyirah telah berjalan dengan pantas ke sana dan ke mari. Wajahnya sentiasa riang bila ada yang mengagah dan mengajak bermain. Mulutnya juga boleh tahan. Seolah tidak sabar mahu berbual. Tidak ubah seperti kakaknya yang sulung.

Masa memang berjalan dengan amat pantas. Segala-galanya terasa baru berlalu. Sedar-sedar nanti, terjaga di alam barzakh dan kemudiannya berpindah pula ke alam akhirat yang kekal abadi.

Melihat perkembangan anak-anak, saya tidak pernah gagal untuk merasa takjub. Melihat bagaimana dia mula meniarap, kemudian menjulur, merangkak, berpaut perlahan dan seterusnya berjalan, terasa betapa besar kuasa Allah yang menjaganya selama ini.

Insyirah di Brisbane ketika salah satu dari misi dakwah di sana

Insyirah bersama Atuk ketika pulang ke Malaysia Julai 2012

Insyirah dan Pillow Pet yang paling digemarinya

Meniarap di atas rumput di ladang ceri

Bersama Kakak Khadijah yang setia menemani setiap hari
Insyirah di Melbourne Museum menyaksikan pameran serangga
Moga membesar menjadi anak yang solehah
Semoga Insyirah akan terus membesar di bawah naungan rahmat dan perlindungan Allah. Perjalanan kehidupannya selepas ini adalah lebih mencabar. Kami perlu mendidiknya dengan tauhid, keimanan dan perjuangan, agar dia membesar sebagai seorang muslimah solehah yang bermanfaat untuk ummah.

Sesuai dengan namanya, moga Insyirah nanti akan menjadi muslimah yang sentiasa lapang dadanya dengan cahaya Al Quran dan Sunnah, lapang kehidupannya di bawah perlindungan Allah, dan menjadi penyejuk mata buat ayah dan ibunya seumpama Fatimah Binti Rasulullah.

Teruslah membesar anakku Fatimah Insyirah, moga Al Quran akan menjadi panduan kehidupanmu.

Brother Muhammad, Khadijah dan Gula-Gula


Ingat lagi tak kisah ‘Brother’ Muhammad dan gula-gula yang pernah saya ceritakan dulu? Hari ini saya berjumpa lagi dengan beliau, seperti biasa, wajahnya tenang, bercahaya dan tidak lekang dari senyuman. 

Memang benar-benar wajah orang yang soleh.

Dr Zaki pernah menceritakan kepada saya bahawa Brother Muhammad ini khatam Al Quran setiap tiga hari dan kalau tidak silap saya, beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid kecuali ketika sakit teruk.

Kali ini saya berjumpa dengannya di City Mosque selepas selesai Solat Maghrib, ketika itu, Khadijah ada bersama. Melihat Khadijah yang sedang muncung (selepas terjatuh di tempat wudhu’), terus dia menghampiri dan meghulurkan gula-gula. Ketika poketnya diseluk, bunyi bungkusan gula-gula yang amat banyak dalam koceknya. 

Dia menghulurkan gula-gula, mengucup tangan Khadijah dan tersenyum manis. Khadijah juga kelihatan amat senang dengannya. Seorang anak kecil yang ada di sebelah saya juga menerima gula-gula darinya.

Keluar dari pintu masjid, dia memanggil dan meminta untuk saya dan Khadijah untuk menurutinya. Tanpa banyak soal, saya menuruti hingga ke skuter miliknya. Dia membuka but skuter yang agak dhaif dan kemudian mencapai sebuah kereta mainan dan kemudian kereta mainan itu dihulurkan kepada Khadijah.

Khadijah mengambilnya dengan gembira. Muncung akibat jatuh di tempat wudhu’ hilang bersama sebiji gula-gula dan sebuah kereta mainan. Brother Muhammad kemudian berkata,

“When I meet you again, I will give you more….”

Dia kemudian mengucapkan salam dan berlalu pergi. Saya terpana di dalam hati. Rupanya masih wujud manusia begini. Hati terasa amat sejuk melihat wajah dan akhlaqnya. Mungkin sekuntum senyum yang tidak pernah lekang dari wajah, setiap bungkusan gula-gula dan mainan-mainan yang diberikan kepada setiap anak yang ditemuinya akan menjadi hujah buatnya di hadapan Allah nanti.

Pulang dari masjid, tidak berhenti Khadijah bercerita kepada kakaknya tentang mainan dan gula-gula yang didapatinya. Gembira sungguh nampaknya dia. 

Saya kagum dengan akhlaq yang dimiliki Brother Muhammad. Beliau tidak banyak bicaranya, tapi amalnya istiqamah, membuat orang muda seperti saya terasa malu. Nilainya mungkin kelihatan kecil di sisi manusia yang menyumbang wang berjuta-juta, tapi nilaian langit pada gula-gula yang diberi mungkin jauh lebih besar dari segala amal yang pernah kita lakukan.

Brother ‘Muhammad’, terima kasih atas tazkirah akhlaq yang diberikan. Saya berdoa, agar Allah mengampunkan segala dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.

Insya Allah.

PhD oh PhD

Perjalanan ini memang meletihkan. Moga Allah memberi saya sedikit lagi kekuatan untuk meneruskan perjalanan yang berbaki.



Allahurabbi. Bantulah hambamu ini.

Azam 2013

Masa berlalu dengan amat pantas. Sedar tak sedar, kini kita telah berada di tahun 2013. Seakan baru semalam kita berada di bulan Januari 2012. Masa meninggalkan kita dengan amat pantas.

Saya akan berusia 34 tahun pada tahun 2013. Ye 34 tahun! (ummuhumaira’, hang pun sama, jangan perasan muda). Bagi kebanyakan pemain bola sepak, ini adalah usia persaraan, meninggalkan zaman keemasan yang penuh gilang gemilang. Zinedine Zidane bersara pada usia 34 tahun, begitu juga ramai pemain hebat yang lain. Saya tidak lagi muda dan semakin dimamah usia, hakikat ini harus diterima.

6 tahun lagi, jika dipanjangkan usia, saya akan mencecah usia 40 tahun. Usia kenabian dan bermulanya kedewasaan yang sebenar. 6 tahun tidak lama, Humaira’ pun akan masuk ke usia 8 tahun, sedang bila saya melihat gambarnya ketika berusia 1 tahun, terasa bagai baru semalam waktu itu berlalu. Khadijah juga telah semakin membesar, kata-katanya juga semakin jelas, emosinya juga semakin berkembang. Insyirah pula hanya menanti masa untuk berjalan, giginya pula telah tumbuh sebatang, sedang gigi kami berdua hilang satu persatu.

Ibu bapa kami berdua juga sedang merangkak ke usia senja. Kedutan di wajah mereka semakin ketara. Getar suara dan kerinduan terhadap mereka semakin membuak-buak. Ya Allah, izinkanlah aku untuk menamatkan perjalanan ini dengan lebih tangkas, agar kami boleh pulang dan berbual dengan mereka sepuas-puasnya.

Bila mengenang waktu yang telah dibazirkan, kesilapan yang tidak ditebus, matlamat dan azam yang belum dikemaskan perlaksanaannya, hanya sesalan demi sesalan yang datang menghinggap diri. Ini baru sesal dunia, belum sesal di alam barzakh dan di alam akhirat yang tidak dapat digambarkan kedasyatannya. Bagaimana jika ajal datang menjemput sebelum sempat kita bersedia?

Saya menulis warkah ini, pada hari ini, pada saat ini, sebagai ingatan kepada diri bahawa masa saya semakin singkat, setiap detik, saya berjalan menuju kematian dengan lebih hampir. 

Jika saya membiarkan diri berada di takuk lama yang selesa, maka pasti 6 tahun lagi, tidak kira jika saya berada di alam barzakh atau masih bernafas di dunia, hanya penyesalan yang tidak akan lagi dapat ditebus yang akan saya rasakan.

2012 bagi saya penuh dengan warnanya yang tersendiri. Jujur saya katakan, tidak ada apa yang boleh dibanggakan. Biarlah ia tinggal dalam lipatan kenangan yang tidak akan saya ulangi lagi.

2013, saya tidak ingin kesilapan lama berulang. Kehidupan harus ditingkatkan ke satu aras yang lebih tinggi. Saya harus lebih tersusun, berani dan lebih bersungguh. Banyak perkara yang perlu diperbaiki dan insyaallah ia akan bermula dari saat ini!

Selamat tinggal 2012 dan diriku yang lama. AKU AKAN BERUBAH! 

DULU DAN SEKARANG

Malam ni nak mengomel sikit dengan diri sendiri, nak menulis ikut rasa hati. Jangan marah ye pembaca-pembaca blog yang budiman (ayat perasan) :)

Dulu masa zaman belajar di UUM, duit boleh dikatakan ngam ngam sahaja setiap bulan. Jadi, makannya memang ala kadar, setakat mana yang ada. Hujung-hujung semester, biasanya Maggi menjadi pengalas perut. Kadang-kadang, pergi ke Cafe, ambil nasi dengan kuah je.

Namun begitu, riadhah pula boleh dikatakan setiap hari tanpa 'miss'. Kalau tak badminton, bola, kalau tak bola, jogging keliling balapan atau keliling kompleks sukan. Gym tu tidaklah sebab kena bayar, tapi adakalanya, rajin juga berkayak dengan kawan-kawan. Boleh dikatakan, hampir semua jenis sukan pernah dicuba di UUM dulu kecuali Golf. Paling dinanti adalah riadhah bola setiap Jumaat pagi sebab dapat jumpa geng-geng usrah, dapat peluang nak tackle keras kaki naqib dan senior usrah yang kerek dan ada tazkirah lepas main. Paling untung, biasanya dapat makan best-best, kalau tak kat rumah naqib, ada je yang baik hati nak belanja kat cafe.

Mungkin sebab itu, dulu, metabolisme tubuh terasa cukup laju. Badan memang amat cergas dan jarang mengantuk di kelas. Kopi dan teh memang amat jarang disentuh, kecuali kalau ada yang sudi membelanja sahaja. Berat pun hanya 65 kilo je.

Bila masuk alam pekerjaan, tidaklah kaya, tapi duit Insyaallah ada. Makan juga dah lengkap sempurna. Ada sahaja menu baru yang hendak dicuba. Bila dah kahwin apatah lagi. Teh dan kopi manis pula dah menjadi rutin harian. Mahani Johari (restoran Siam yang paling famous di Jitra), Jo Cendol Pulut, Lynda Kuala Perlis, bukan lagi hanya boleh dirasa dalam mimpi, tapi bila-bila boleh pergi.

Riadhah, hmmm....mula-mula cuba juga maintain, tapi memang terasa amat sukar. Tak semudah zaman pelajar dulu. Bila dah berkeluarga dan punya anak, lagilah susah nak mencari masa. Pelbagai komitmen baru timbul. Badan pun dah naik macam Incredible Hulk, cuma yang naik tu lemak, bukannya otot. Muda-muda dah dapat gelaran PJK (faham-faham sendiri la).

APA YANG ALLAH TETAPKAN, PASTI AKAN TERJADI


Saya bukanlah orang yang sistematik, tidaklah terlalu berterabur, tapi tidak juga terlalu ‘organised’. Walaupun saya selalu lupa banyak perkara sejak kebelakangan ini kerana banyaknya tugas dan amanah berat, termasuk selalu lupa di mana letaknya kunci dan telefon bimbit, namun ada satu perkara yang saya amat ‘particular’ berkenaan penjagaannya, iaitu laptop dan dokumen-dokumen penting.

Sejak dulu lagi, saya amat menjaga perkara-perkara ini. Saya cukup menjaga laptop dari diceroboh oleh pihak luar secara maya atau secara fizikal. Isteri dan teman-teman rapat saya mengetahuinya. Saya cukup menjaga aktiviti di internet dan fail-fail yang dimasukkan ke dalam laptop. Saya juga tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan anak-anak bermain-main dengan laptop, dan mereka amat maklum dengan ‘pantang’ saya ini.

Setiap kali parkir kereta di mana-mana, jika saya membawa laptop bersama, saya tidak akan meninggalkannya di dalam kereta kerana khuatir ada orang yang akan memecah masuk ke dalam kereta dan mencurinya.

Cukuplah beberapa kes (pecah kereta untuk mencuri barang elektronik) yang saya dengar sebelum ini sebagai peringatan.

Beberapa hari yang lalu, seperti biasa, saya menyandang beg laptop ketika keluar makan di R n R Rawang bersama dengan keluarga, dengan banyak dokumen penting di dalam beg laptop tersebut, saya meningkatkan kadar kewaspadaan 2 kali ganda.

Namun entah bagaimana, kali ini saya cuai kerana meninggalkannya di bawah meja makan. 

JUARA OLIMPIK SEBENAR!


Alhamdulillah, Tsumma Alhamdulillah

Saya sangat gembira hari ini.

Pertamanya setelah selesai mesyuarat dengan penyelia yang begitu panjang pagi tadi, akhirnya mereka berdua ‘memaksa’ saya untuk memperbaiki mutu penulisan, terutamanya dalam aspek tatabahasa.

Kata mereka, terlalu banyak kesalahan asas yang saya lakukan, dan jika ianya berterusan, pasti sukar untuk menulis tesis dengan baik nanti.

Alhamdulillah, ini adalah peluang untuk saya berubah. Dengan tekanan, Insyaallah, saya yakin, walaupun sukar, tapi cahaya di hujung terowong itu tetap akan muncul. Jika penyelia saya cukup yakin saya boleh melakukannya. Mengapa tidak saya memilih untuk yakin dengan diri sendiri?

CHANGE STARTS WHEN YOU DECIDE!

Kedua,

Saya seronok membaca perkembangan Olimpik London yang sedang hangat berlangsung. Tidak, tidak, bukan saya seronok membaca perkembangan atlit Malaysia atau atlit Australia yang sedang hebat bersaing, tapi saya amat seronok dan cemburu melihat kegigihan pendakwah-pendakwah berbaju kuning yang menyampaikan ISLAM kepada atlit, pengunjung dan bahkan para pengawal yang bertugas! Ini sungguh luar biasa!

Seorang pendakwah bersama mad'unya yang baru melafazkan syahadah. IMPRESSIVE WORK BROTHER!


Ketika ramai orang sibuk dengan simbol Illuminati, Dajjal dan Yahudi pada Olimpik kali ini, sekumpulan manusia bangkit dengan gagah dan berani (badan mereka memang sasa pun) tanpa menghiraukan cercaan dan celaan manusia bagi melaksanakan tanggungjawab yang tidak ramai Muslim mampu melakukannya.

Iaitulah DAKWAH!

Satu tindakan dan amal soleh yang pastinya akan dinilai oleh Allah dengan nilaian yang amat tinggi.

Dari berpeluk tubuh dan sibuk memberi komentar dan menghukum itu dan ini, mereka telah memilih untuk BANGKIT bekerja dan melaksanakan TANGGUNGJAWAB dengan penuh IZZAH!

Bagi saya, mereka adalah juara Olimpik yang sebenar.

KITA bagaimana?

CHANGE STARTS WHEN YOU DECIDE!

Bersyukurlah!


Semalam, setelah selesai solat terawih, saya berbual dengan seorang teman PhD dari Saudi yang telah lama tidak ditemui.

Lama kami berbual, bertanya khabar dan berbincang isu-isu pengajian.

Bila saya bertanya tentang anak-anak, wajahnya berubah.

Kata dia, anaknya yang berusia 5 tahun baru disahkan menghidap ‘brain tumor’ minggu lepas.

Saya tersentap, terus teringatkan anak-anak di rumah. Terus saya memendekkan perbualan kerana tidak ingin membuat teman saya itu bertambah sedih. Saya sekadar mengatakan kepadanya bahawa dengan izin Allah, sama-sama kita doa agar dengan keberkatan bulan Ramadhan ini, segalanya akan dipermudahkan oleh Allah.

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, teringat-ingat, betapa besarnya nikmat kesihatan anak-anak yang telah Allah kurniakan pada kami sekeluarga selama ini rupanya. Mungkin kami terlepas pandang perkara ini, ye, mungkin kami terlepas pandang perkara ini.

Sewajarnya, kami perlu lebih bersyukur lagi kepada Allah.

Sungguh, kita tidak akan tahu nilai setiap anugerah yang kita ada, sehinggalah kita melihat orang lain yang jauh lebih hebat diuji dengan kesusahan dan kepayahan.

Bila terasa marah dan kecewa pada anak-anak yang tidak berhenti diam, menangis tanpa henti, melompat sana sini dan menjerit sesuka hati, ingatlah bahawa ada ibu bapa yang menangis kerana anaknya disahkan mengidap sakit kronik yang tidak ada ubatnya lagi.

Ingatlah juga bahawa, betapa banyaknya juga pasangan yang lansung tidak dikurniakan zuriat hingga ke tua.

Buka mata dan sentiasalah lihat mereka yang berada di bawah kita dan kita akan tahu betapa besarnya nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Semoga Ramadhan kali ini, kita memilih untuk menjadi hambanya yang lebih bersyukur.


ALHAMDULILLAH.

Brother Muhammad dan Coklat

“Anta kenal Brother Muhammad?” Tanya Dr. Zaki sambil meletakkan begnya di atas meja.

“Siapa ye?” spontan saya bertanya.

“Perasan tak seorang lelaki Arab dalam linkungan usia pertengahan 40, selalu tersenyum dan selalu beri coklat kepada budak-budak yang datang ke masjid.” Terang Dr. Zaki.

“Haa, kalau yang tu memang lah kenal. Tapi kenapa dengan dia?” Saya bertanya kembali, nada Dr. Zaki seakan tergantung, membuatkan saya bertanya lagi sebelum sempat dia menjelaskan dengan lebih lanjut.

“Tadi dia kena ‘Heart attack’” Jelas Dr. Zaki dengan wajah yang agak suram.