Showing posts with label Diari Tarbiah Bumi Kanggaru. Show all posts
Showing posts with label Diari Tarbiah Bumi Kanggaru. Show all posts

SEPETANG BERSAMA KRISTIAN EVANGELISTA

Anak-anak adalah amanah, antara perkara yang paling asas yang perlu diajar kepada anak-anak adalah konsep asas tauhid.
“Good afternoon, how are you doing?” Sapa seorang wanita muda tinggi lampai sejurus saya membuka pintu rumah. Petang-petang Sabtu begini saya rasa saya dapat mengagak siapa yang datang bertandang.

“Good, very good,” balas saya. Di sebelah wanita muda itu ada seorang lagi wanita yang telah lanjut usianya. Khadijah datang dan berdiri di sebelah, dan kemudian berlalu pergi untuk kembali semula menonton rancangan Mr Maker yang sedang ke udara di rangkaian ABC 2.

Setelah bertegur sapa, wanita muda itu mula menjelaskan tujuan kehadirannya seperti yang telah saya jangka.
“Do you know about the truth? Are you interested to know about the truth?” Tanyanya kepada saya tanpa berkias-kias.

Saya hanya tersenyum, biasanya malas nak melayan misionari Kristian yang sering datang bertandang, tapi hari ini kebetulan tidak berapa sibuk kerana tidak lagi mengajar di IICSA, jadi apa salahnya sekali sekala.

“Yes, what truth?” Balas saya ringkas, buat-buat tidak tahu.

“The truth about what will happen after we die, and the truth about Jesus.” Terangnya sambil menghulurkan sekeping risalah dengan gambar Jesus tertera di muka hadapan. Saya mengambil risalah itu dan membelek-beleknya. Wanita muda itu melihat dan menanti respon.

“What do you think? Are you interested to know more?” Kata wanita itu.

Why Allah Created the Bad Guys?

Walaupun keluar dari rahim yang sama, tapi kedua mereka punya karakter yang jauh berbeza.
“Ayah, is Allah the god?” Tanya Khadijah satu hari dengan slang Aussie yang tak berapa nak jadi.

“Yes, Allah is the god.” Jawab saya ringkas dan terus menumpukan perhatian pada pemanduan.

“Is he powerful?” Tanya Khadijah lagi.

“Of course he is.” Saya membalas dan setiap kali jawapan diberi, soalannya terus berlanjutan.

“Did he created all things?”

“Yes Khadijah, he created everything, every single living things, trees, animals, us, everything.” Sebenarnya, telah banyak kali saya menjelaskan kepadanya tentang hakikat ketuhanan dan hakikat penciptaan, tapi Khadijah masih suka bertanya tentang Allah, ada-ada sahaja soalannya.

“Did he created the bad guys?”

“Ya, Khadijah, macam yang ayah cakap, ‘he created everyone of us, good guys and bad guys included’, semuanya dia yang ciptakan.”

“Can Allah fight the bad guys? Did he win?”

MUHASABAH DARI AKBAR


“I think we’re finished here for today, but before that, can I ask you to practice this surah with your Mom?” Pinta saya kepada Akbar, (bukan nama sebenar tentunya) setelah sesi pengajaran untuk hari itu tamat. Hari ini saya mengajarnya untuk membaca dan menghafaz surah Al Asr. Kerana kesuntukan masa, saya tidak sempat untuk menghabiskan ayat terakhir dalam sesi hari ini.

Akbar memandang saya dengan wajah selamba, tidak ada reaksi. Saya cuba mengagak apa yang sedang bermain difikirannya. Anak kecil dari Bangladesh yang baru berusia enam tahun ini seolah cuba menyembunyikan sesuatu.

“That’s not a problem isnt’it? It’s just a simple and easy surah, if you practice it frequently, you will memorise this surah in no time.” Saya memujuk.

“I can’t do that, sorry.” Jawab Akbar, ringkas, membuat saya tertanya-tanya.

“But why?” Tanya saya kembali.

Anzac Day, Ratapan Kekalahan Umat Islam




They shall grow not old, as we that are left grow old;
Age shall not weary them nor the years condemn.
At the going down of the sun and in the morning
We will remember them.


“Ayah, tahu tak hari Rabu ni cuti?” Tanya Humaira’ ketika saya baru mengambilnya dari sekolah.

“Cuti? Bukan baru mula sekolah ke?” Saya bertanya kembali, hairan juga kerana penggal baru persekolahan baru bermula hari ini.

“Cuti Anzac Day la ayah. Ayah tahu tak Anzac Day tu adalah hari orang Australia pergi berperang dan ramai yang mati.”

“Miss Nari kata, dulu ‘great grandfather’ dia mati dalam perang tersebut.” Jelas Humaira’ tanpa dipinta.

Baru saya teringat, Rabu ini adalah cuti sempena Anzac Day. Satu hari di mana Australia dan New Zealand meratapi kekalahan mereka dalam perang Gallipoli 98 tahun yang lalu (1914).

Anzac Day yang disambut pada 24 April setiap tahun adalah sempena mengingati hampir 9000 tentera-tentera Australia dan New Zealand yang terkorban dalam perang tersebut. Perang tersebut yang berlangsung antara tentera bersekutu yang disertai oleh Britain, 

Perancis dan beberapa Negara Komanwel yang lain termasuklah Australia dan New Zealand adalah untuk menyerang dan melemahkan Kerajaan Turki Uthmaniah yang bersekutu dengan Jerman dalam perang dunia pertama.

Walaupun Turki menang dalam perang Gallipoli yang berlangsung hampir lapan bulan, namun rentetan daripada perang tersebut adalah amat buruk, iaitu runtuhnya sistem Khilafah yang menaungi dan menjadi lambang kekuatan ummah sejak sekian lama.

Ironinya, Mustafa Kamal Attaturk yang menjadi Jeneral dalam perang tersebut dilantik untuk mengetuai Negara Turki Sekular yang ditubuhkan bagi menggantikan kerajaan Turki Uthmaniah yang dikuburkan pada tahun 1924. Apa yang berlaku selepasnya adalah sejarah dan sejak itu umat makin ganas diratah oleh musuh hingga hari ini.

Anzac Day menjadi bukti bahawa dendam musuh terhadap agama ini tidak akan pernah padam. Umat terus dihenyak dan dirosakkan tidak hanya dengan serangan fizikal, tetapi juga dengan serangan pemikiran, hiburan keterlaluan dan ideologi yang menyesatkan.



Anzac Day, bukan sekadar biskut dan perarakan, tapi ia adalah ratapan kepada episod malang kekalahan dalam diari panjang sejarah Islam.


Ummah yang dahulunya gagah seperti singa, kini ibarat kijang pengecut yang hanya menanti hari untuk dibaham oleh musuh yang mengelilingi.

Sejarah telah berbicara dan binaan ummah telah runtuh binasa, tidak ada jalan pintas untuk mengembalikan kegemilangan silam melainkan dengan mendidik semula peribadi-peribadi muslim agar menjadi muslim yang bukan sahaja muslim pada nama, tapi muslim juga pada pemikiran, muslim juga pada segenap tindakan dan muslim juga pada seluruh agenda kehidupan.

Ummah ini tidak akan kembali bangkit melainkan binaannya dibina oleh muslim yang percaya bahawa Islam adalah rahmat pada seluruh alam dan kejayaan hanya akan hadir dengan iman, hijrah dan perjuangan.

Perjalanan ini adalah perjalanan dakwah dan tarbiah yang amat panjang dan kejayaan sebenar bukanlah pada kemenangan di dunia yang gilang gemilang, tapi pada ganjaran syurga yang mengalir di bawahnya sungai yang menyegarkan.

Walaupun Anzac Day adalah hari cuti namun syaitan dan musuh Islam tidak pernah bercuti dari merancang dan melemahkan umat Islam. Agenda mereka jelas iaitu untuk mengeluarkan manusia dari ubudiah kepada Allah kepada ubudiah sesama manusia yang merosakkan.

Bila umat tidak punya agenda sendiri, maka kita akan diagendakan oleh musuh. Mari sama-sama kita bangunkan generasi harapan yang akan menjadi tunjang kepada umat yang beragenda.


Allah akan Menggantikannya.

“Ayah, teringin nak makan pizza la.” Humaira’ tiba-tiba menukar topik perbualan ketika kami lalu di tepi kedai makan Martina yang dimiliki oleh muslim dan mempunyai status halal di dindingnya.

Padahal kedai itu bukan kedai pizza, tetapi kedai ayam golek dan ‘fish and chips’.

Sangka saya, mungkin Humaira’ teringat nostalgia beberapa bulan lepas ketika kedai Lazat Pizza masih beroperasi.

Sebelum kedai makan Martina itu ada di situ (Days Road), asalnya kedai itu adalah lokasi kepada kedai Lazat Pizza kepunyaan sahabat saya Umar Faruq yang kini telah ditutup.

Ketika Lazat Pizza masih dibuka, saya adalah antara pelanggan utamanya. Saya dan Humaira’ cukup menggemari Pizza di kedai Lazat Pizza kerana rasanya cukup unik dan istimewa.

Lebih sedap dari Pizza Hut di Malaysia.
“Tak ada hujan, tak ada ribut, tiba-tiba sebut nak makan pizza, kenapa pula?” Saya bertanya, cuba mengorek rahsia di sebalik pertanyaannya.

“Semalam di sekolah semua budak dapat makan pizza ‘free’, tapi Humaira’, Mariam dan Najlah tak dapat makan pizza tu.” Jelasnya, mematikan sangkaan saya sebelumnya.

“Eh, kenapa pula tak dapat?” Saya bertanya kembali, naïf.

Humaira’ nak jadi PIRATE!


“Ayah, bila besar nanti Humaira’ nak jadi Doktor lah.” Kata Humaira’ ketika kami berdua berjalan keluar dari Women’s and Children Hospital menuju ke tempat parkir kereta.

Malam ini isteri saya ditahan di wad kerana mengalami muntah-muntah yang amat teruk hingga setiap apa yang dimakan dan diminumnya pasti akan keluar semula.

Khuatir dengan keadaan diri dan kandungannya, saya membawanya ke hospital untuk dimasukkan air melalui tiub dan diberi ubat tahan muntah yang lebih kuat.

Sementara menunggu segala urusan selesai, saya menghantar Humaira’ ke rumah akhawat yang berdekatan kerana waktu sudah lewat dan tidak dapat dipastikan jam berapa dia akan dibenarkan keluar.

“Baguslah, tapi kenapa Humaira’ nak jadi Doktor?” Tanya saya kembali.

“Nanti, kalau ibu mengandung lagi, Humaira nak cucuk ubat dan ambik darah ibu juga.” Jelas Humaira’. Mungkin selepas melihat ibunya dicucuk beberapa kali termasuk malam ini membuatkan dia rasa bertanggungjawab untuk ‘menyelamatkan’ ibunya.

“Oh! Sebab itu itu ke?”  saya bertanya sambil menahan tawa.

“Ye lah!” Humaira’ menjawab tegas.

“Hmmm...bagus nak jadi Doktor, tapi kalau Humaira jadi Doktor, bukan kena rawat ibu sahaja, tapi kena rawat....”

“...semua orang. Itu Humaira’ tahu la ayah” Jelas saya dan kemudian disambung oleh Humaira’ sebelum sempat saya menghabiskan ayat.

“Jadi Doktor juga kena rawat orang sakit yang bermacam-macam jenis, kena berani bila tengok darah dan kerja juga dari pagi hingga malam.” Tambah saya lagi. Bukan ingin menakutkan, tapi menceritakan realiti. Bukan ingin memusnahkan semangat, tapi supaya dia tahu, apa yang tersedia di hadapannya.

“Yeke ayah? Kalau macam tu, Humaira’ nak jadi nurse lah.” Tiba-tiba, cita-citanya bertukar pula.

“Pulak dah. Jadi nurse pun sama juga sayang. Kena juga rawat orang yang luka, kerja tak tentu masa dan kena juga berani.” Sekali lagi saya menceritakan realiti. Sengaja ingin mengusik dan menguji.

“Alaaa...” keluhnya seketika.

“Kalau begitu, Humaira’ nak jadi Pirate lah!” Cita-citanya yang seterusnya sedikit mengejutkan.

“Pirate??? Kenapa Humaira’ nak jadi pirate???” Saya bertanya.

“Sebab Humaira’ nak bawa kapalterbang lah.” Jelasnya, menceritakan kedudukan sebenar. Oh! 
Kecewanya ayah ini kalau anak perempuannya membesar menjadi lanun.

“Oh, itu bukan pirate, itu pilot lah sayang.” Jelas saya, membetulkan sebutan kata.

“Pirate itu lanun, yang mencuri harta dan duit orang lain di lautan.” Tambah saya lagi. Waduh! Terbayang pula lanun-lanun di perairan Somalia yang sering merampas kapal-kapal yang sedang berdagang.

“Ok, jadi kenapa Humaira’ nak jadi pilot?” Tanya saya.

“Sebab bawa kapalterbang ‘best’ dan senang.” Jawabnya. Oh! Rupanya pilihan kerjanya adalah kerana senang. Satu konsep salah dalam pemilihan pekerjaan dan antara factor yang menyebabkan ramai graduan hari ini menganggur.

Walaupun Humaira’ masih kanak-kanak, tapi tidak salah jika dirinya dibiasakan dengan mempunyai cita-cita. Berlalunya masa, cita-citanya akan bertukar, tapi mereka yang biasa hidup dengan cita-cita, tidak akan membiarkan waktunya berlalu sia-sia.

“Oh! Tak juga, jadi pilot pun ada susahnya juga.” Saya menjelaskan. Memulakan langkah untuk menjelaskan tentang cita-cita dengan pemahaman yang sepatutnya.

“Kena kawal kapalterbang yang besar, kalau kena bawa kapalterbang malam tak boleh tidur nanti dan kena selalu pergi jauh dari keluarga.” Saya menerangkan bahagian-bahagian yang saya rasakan sukar dalam kerjaya seorang ‘pilot’.

“Alaaa, tak jadilah kalau macam tu.” Wah! Bertukar lagi cita-citanya.

“Cuba Humaira’ fikir baik-baik, apa yang Humaira’ nak jadi sebenarnya?” Kali ini saya meminta dia berfikir sebaiknya.

“Humaira’ nak jadi cikgu lah ayah.” Jawabnya spontan.

“Ok, bagus tu, tapi kenapa Humaira’ nak jadi cikgu?”

“Sebab Humaira’ suka mengajar dan mengajar tu senang.” Jawapannya kali ini masih lagi dalam kepompong ‘senang’. Cuba lagi sayang!

“Mengajar orang bukan satu tugas yang senang sayang. Jauh lagi susah dari bawa kapalterbang.” Sekali lagi saya menerangkan.

“Iye, tapi Humaira’ sabarlah dan Humaira’ bagi nasihat lah dekat budak-budak nakal dan yang tak faham tu. Humaira’ takkan marah.” Kali ini jawapannya lebih kemas. Ada peningkatan.

“Betulke Humaira’ boleh sabar mengajar walaupun susah dan senang?” saya meminta pengesahan.

“Betul, betul!” tegas kali ini jawapannya.

“Ayah, bila besar nanti ayah nak jadi apa?” Kali ini dia pula yang bertanya. Wah! Nampaknya saya masih lagi belum ‘besar’ pada pandangannya.

“Haa, ayah dah besar dah pun, sekarang kan ayah dah jadi pensyarah, ayah mengajar juga.” Jawab saya, kemudian saya menyambung dengan nasihat sepatah dua. Untuk dirinya, untuk saya dan untuk pembaca semua.

 “Humaira’, apa sahaja yang kita nak jadi bila besar nanti, mestilah bukan kerana senang atau susah ye. Tapi kerana kita suka dengan apa yang kita buat, walaupun susah.”

“Apa sahaja yang kita lakukan, mestilah kita buat dengan bersungguh-sungguh, dengan tertib, teliti dan dengan penuh usaha. Barulah Allah suka”

Dalam dunia hari ini, ramai yang cenderung memilih kerjaya hanya sekadar tangkap muat dan kerana untuk mendapatkan upah semata-mata. Tidak salah, tetapi bukankah lebih baik jika kerjaya yang dipilih adalah kerjaya yang sememangnya disukai.

Cinta pada kerjaya itu akan menghilangkan sebahagian besar dari lelah dan malas tika menjalankan tugas.

“Tidak ada kerja yang susah jika kita niatkan semuanya kerana Allah. Sebab semua kesusahan dan usaha kita Allah akan bayar dengan syurga di akhirat nanti.”

“Apa jua kerja yang kita lakukan, mesti ada sumbangan untuk Islam. Maksudnya, apa sahaja yang kita buat atas dunia ini mesti sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada Islam. Faham tak?”

Saya menyudahkan nasihat ketika kami hampir sampai ke kereta. Kali ini saya mengaitkan pula kerjaya dengan kehidupan akhirat. Malanglah kita jika setiap saat dan hela nafas kita di pejabat tidak dihitung sebagai pemberat timbangan amal.

Sebagai muslim, kita harus punya cita-cita untuk menjadi yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi kerana Islam mengajar kita begitu, dan lebih cantik jika kita mampu untuk menyumbang kepada umat dalam apa jua tugas yang kita lakukan. Ayuh kita sama-sama jadi duta yang baik kepada agama ini!

Fastabiqulkhairat!


Dimana Rasulullah?

Di bawah kubah hijau inilah bersemadi jasad yang paling mulia.


“Ayah, Rasulullah duduk di mana?” tanya Humaira’ pada suatu malam setelah kami selesai solat Maghrib.

“Rasulullah? Err...Rasulullah sekarang duduk di Madinah,” saya memberikan jawapan spontan.

“Ooo, tempat yang ayah pergi haritu dengan ibu kan?” tanya Humaira’, mengimbas kembali kenangan 2 tahun lalu ketika kami mengerjakan umrah.

“Ye sayang, tempatnya di Masjid Nabawi. Maksud ayah, Rasulullah dah tiada, maksudnya Rasulullah dah wafat. Wafat itu maknanya dah mati. Cuma bila kita menyebut Rasulullah, kita tak sebut Rasulullah dah mati, tidak beradab, kita sebut dah wafat.” Saya menjelaskan perkara sebenar dan juga tentang istilah wafat sebelum dia bertanya lanjut.

“Ooo, tapi ayah, kalau Rasulullah dah mati...”

“Wafat la,” saya memintas, terus membetulkan.

“Ok ok, kalau Rasulullah dah wafat, macamana ayah jumpa Rasulullah?” tanya Humaira’ lagi. Membetulkan soalannya tadi.

Logik juga soalannya. Mungkin sebelum ini dia membayangkan yang Rasulullah masih lagi hidup kerana sering saya ceritakan tentang kebaikan dan kehebatan Rasulullah kepadanya.

“Ayah dan ibu pergi ziarah ke kuburnya di Masjid Nabawi, dan beri salam kepadanya. Bila kita beri salam kepadanya, Insyaallah Rasulullah dengar dan jawab salam kita.”

“Tapi ayah, macamana ayah belajar dengan Rasulullah kalau Rasulullah dah mati?” Tanya Humaira’ penuh hairan. Langsung mengabaikan penjelasan saya tentang memberi salam kepada Rasulullah.

“Belajar?” Saya menggaru kepala yang tidak gatal memikirkan maksud di sebalik soalannya.

“Yela ayah, macamana ayah tahu Rasulullah suruh kita minum duduk, makan dengan tangan kanan, baca doa sebelum tidur...” balas Humaira’, mengingatkan saya kepada sunnah-sunnah yang pernah saya ajar kepadanya.

Menarik. Tidak pula saya pernah terfikir hingga ke situ akalnya berlari.

“Oh, sebenarnya begini, Rasulullah hidup dah lama dulu, seribu empat ratus tiga puluh tahun yang lalu.”

“Semasa Rasulullah hidup, Rasulullah ada kawan-kawan yang dipanggil sahabat-sahabat Rasulullah. Sahabat Rasulullah ni ada ramai, ada 10000 orang semuanya.”

“Rasulullah mengajarkan Islam kepada sahabat-sahabatnya yang ramai ini. Bila Rasulullah wafat, sahabat-sahabat Rasulullah ini pula mengajarkan Islam kepada kawan-kawan mereka pula.”

“Kawan-kawan mereka yang belajar tentang Islam dari sahabat-sahabat Rasulullah, mengajarkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah kepada orang lain pula dan begitulah seterusnya hingga hari ini, hingga akhirnya apa yang Rasulullah ajar sampai pada kita hari ini melalui Ustaz dan guru yang mengajar ayah dahulu.”

Salah satu komponen penting dalam ajaran Islam adalah menyampaikan atau dengan kata mudahnya, dakwah. Islam tidak akan berkembang tanpa sifat ini dan umat hari ini, lesu kerana kurangnya sifat ini.

Islam mampu sampai ke seluruh pelusuk dunia kerana umat terdahulu cukup memahami akan tanggungjawab setiap umat sebagai penyambung risalah para nabi. Menyampaikan Islam bukan hanya tugas Ulama, Ustaz dan Ustazah, tetapi ia adalah beban yang harus setiap muslim laksanakan semampunya.

“Hari ini, Humaira’ belajar tentang Islam dari ayah, ibu dan guru-guru yang mengajar Humaira’ tentang Islam. Bila Humaira’ dah tahu tentang Islam, Humaira’ kenalah ajar orang lain pula.”

“Paling mudah, Humaira’ ajarkan pada adik Khadijah dan kawan-kawan Humaira’ juga.” Saya menjelaskan dengan bahasa yang mudah. Tetapi penuh makna.

Pada peringkat usia ini, saya ingin memberitahu kepadanya bahawa Islam bukanlah agama menjadi milik dan amalan sendiri sahaja. Tetapi ia adalah agama yang perlu diceritakan dan disebarkan keindahannya kepada orang lain melalui apa jua medium.

Semoga Humaira’ akan menjadi pendakwah dan duta kepada Islam dalam apa jua bidang yang diceburinya suatu hari nanti. Insyaallah.




Mengapa Ibu Muntah?


“Kenapa hitam ikan bilis ni ayah?” isteri saya bertanya dengan suara yang lemah ketika saya sedang menceduk nasi dan lauk untuk dihidangkan ke dalam pinggan untuk berbuka puasa.

“Hmm, ada dua peraturan dalam dapur ayah ni, yang pertama jangan banyak tanya dan makan sahaja apa yang tersedia, kemudian peraturan kedua, jangan lupa peraturan pertama!” saya menjawab selamba. Mengenangkan kekalutan di dapur tadi saya jadi malas untuk menjawab. 

Hari yang serba tidak menjadi.

Biasanya tugas-tugas di dapur dibereskan oleh isteri saya, namun sejak dia berbadan dua, alahan yang dialami menyebabkan dia hanya terbaring keletihan ditambah dengan alahan kepada bau masakan yang datang dari dapur.

Isteri saya tersenyum mengejek. Lemah.

Saya menuangkan kicap ke pinggan sebagai kuah. Sudah lama tidak makan kicap, telur rebus dan ikan bilis goreng hangit begini. Kali terakhir rasanya ketika bergelar pelajar berbelas tahun dahulu.

Tiba-tiba isteri saya bingkas bangun dari kerusi sambil menekup mulut dan berlari ke bilik air sejurus azan berkumandang dari telefon bimbit menandakan masuk waktu berbuka puasa.

Dan kemudian, kedengaran bunyi muntah dari bilik air. Saya, Humaira dan Khadijah saling pandang memandang, membiarkan segalanya selesai dahulu.

“Humaira’ tengok adik sebentar, ayah nak tengok ibu sekejap.” Saya memberi arahan.

Saya menyudahkan beberapa suapan dan kemudian bergegas ke bilik air. Muntahnya telah berhenti, namun isteri saya masih berdiri di hadapan sinki. Saya mengurut-urut belakang badannya.

Humaira’ dan Khadijah yang menurut langkah saya ke bilik air juga turut sama melihat dengan wajah simpati.

“Ayah, kenapa ibu muntah?” Tanya Humaira’ ketika saya sedang membersihkan sinki. Isteri saya kembali baring di bilik dengan wajah yang pucat.

“Hmmm, sebab ibu mengandung la.” Jawab saya ringkas.

“Kenapa orang mengandung kena muntah ayah?” Satu lagi soalan dilemparkan. Allah, sudahlah dalam keadaan begini, datang pula soalan-soalan yang mencabar minda.

Tidak pula saya ketahui secara spesifik tentang punca alahan dan muntah-muntah ketika mengandung, kalau tidak silap saya ia disebabkan oleh peningkatan hormon estrogen secara mendadak dalam tubuh yang menyebabkan deria bau menjadi sangat sensitif.

Ada juga kajian yang agak menarik dari sebuah universiti di Amerika yang saya pernah terbaca yang menyatakan bahawa muntah-muntah itu adalah satu tindakbalas tubuh bagi menyelamatkan bayi dari terdedah kepada bahan-bahan berbahaya yang datangnya dari makanan yang dimakan oleh ibu yang sedang mengandung.

Yang mana satu betul, wallahua’lam. Namun untuk menerangkan secara saintifik kepada Humaira’ dalam keadaan begini, mungkin di lain masa.

“Hmm, masa ibu mengandungkan Humaira’, ibu muntah lagi teruk.” Saya memberi jawapan yang tidak menjawab soalannya. “Ibu banyak kali masuk hospital masa mengandungkan Humaira’, masa mengandungkan Khadijah pun ibu muntah-muntah juga.” Jelas saya lagi.

“Kemudian masa nak melahirkan Humaira’ dan Khadijah, perut ibu kena potong dengan pisau untuk keluarkan kamu berdua. Sakit.” Saya menerangkan, merujuk kepada pembedahan ceaserean yang dilalui oleh isteri saya pada kedua-dua kelahiran.

“Lepas bersalin, ibu kena beri susu pula, masak dan suapkan makanan, berjaga malam bila kamu berdua menangis tak henti-henti, basuh kencing dan tukar lampin setiap hari sampailah Humaira’ dah tak pakai lampin lagi sekarang.”

“Banyak tak kerja bila jadi ibu, dan susah tak rasanya ibu kena lalui semua tu?” saya bertanya.
Humaira’ mengangguk perlahan dan menjawab, “susah”.

“Haa, sebab itulah, Humaira’ kena sentiasa dengar cakap ibu, kena sentiasa doakan yang baik-baik buat ibu, sentiasa buat baik pada dia dan kena jaga ibu bila ibu dah tua nanti. Sebab ibu dah bersusah payah mengandung, melahirkan dan menjaga Humaira’ sampai besar.”

“Tambahan pula, Allah cukup suka pada anak yang sayang dan buat baik pada ibu malahan 
Allah perintahkan supaya anak-anak sentiasa berbuat baik kepada ibunya.” Dalam Al Quran, banyak ayat-ayat yang memerintahkan agar anak-anak berbuat baik kepada kedua orang tuanya terutama kepada ibunya kerana proses membesarkan anak yang sangat berat.
Antaranya adalah ayat dalam surah Luqman ayat 31,

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.”


“Tak guna kita buat amal kebaikan, banyak solat, rajin puasa dan pandai di sekolah kalau kita tak sayang dan jaga ibu kita dengan baik.” Jelas saya lagi.

Teringat saya pada kisah Al Qamah yang menderita ketika sakaratul maut kerana melukakan hati ibunya. Masyaallah. Amal solehnya tidak kurang, bahkan terpilih untuk hidup pula di zaman sahabat, namun kerana segaris luka di hati ibunya, maka hampir tertutup pintu syurga buatnya. 

Mujurlah ketika itu ada Rasulullah yang menyelesaikan urusannya dengan ibunya.

Cukup menakutkan. Moga Allah akan melindungi kita dari menjadi anak derhaka yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Tidak guna amal kebaikan yang bertimbun, harta yang melimpah ruah jika hati ibu tidak kita jaga dengan kemas.

Moga-moga Allah memberikan ilham kepada kami untuk menjadi anak-anak yang baik buat kedua ibu bapa kami dan semoga anak-anak yang kami ada ini juga akan menjadi anak-anak yang baik buat kami berdua. Insyaallah.



Rahsia Tarikh Mati


“Ayah, hari Kiamat bila?” Tanya Humaira’ pada suatu petang selepas kami berdua pulang dari membeli belah barang keperluan rumah dari K-Mart di Firle Plaza.

Entah apa yang bermain difikirannya hingga tiba-tiba dia bertanya soalan sebegitu.

“Ayah tak tahu sayang, bahkan tiada siapa yang tahu, Rasulullah pun tak tahu, tarikh hari Kiamat hanya diketahui oleh Allah sahaja. Tidak ada yang lain yang mengetahuinya kecuali Allah sahaja.” Jelas saya berdasarkan kepada makna dari sebuah hadis.

Dalam sebuah hadis sahih yang saya baca dari kitab hadis 40 susunan Imam Nawawi, diriwayatkan bahawa Jibril pernah datang berjumpa dengan Nabi dan bertanya tentang tarikh hari kiamat. Lalu jawab Rasulullah.

“Tidaklah yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya.”

Bermaksud, keduanya iaitu Rasulullah dan malaikat Jibril penghulu segala malaikat pun tidak mengetahui akan tarikh kedatangan hari agung tersebut.

“Kenapa ayah? Kenapa Rasulullah tak tahu? Kenapa Allah tak beritahu dia?” Tanya Humaira’ lagi membuatkan saya berdehem-dehem beberapa kali mencari idea untuk menjawab.

“Humaira’, ada perkara-perkara yang memang Allah sengaja tidak beritahu untuk menguji kita.” Saya menjelaskan dengan perlahan-lahan.

“Sebagai contoh, semua manusia akan mati, tapi tiada siapa pun yang tahu bila tarikh dia akan mati.” Saya memberi contoh yang lebih dekat dan relevan dengannya berbanding mengisahkan tentang rahsia tarikh hari kiamat, kerana ia satu misteri besar yang hanya diketahui oleh pencipta alam ini.

Dengan kemajuan teknologi, para Doktor boleh menduga bila tarikh seorang bayi itu akan dilahirkan berdasarkan kepada gambaran-gambaran tertentu melalui teknologi ultrasound yang canggih, tapi secanggih mana teknologi manusia, tidak akan ada yang mampu meneka atau menunda tarikh kematian walau seorang manusia sekalipun di atas muka bumi ini.

Betapa lemahnya kita sebagai hamba Allah yang maha perkasa urusannya atas segala sesuatu.

“Kematian ini, Allah rahsiakan dari kita supaya kita boleh buat banyak amal kebaikan sepanjang hidup sampai kita mati, bukan bila kita tahu yang kita hampir mati.” Saya menyambung penjelasan.

“Allah nak supaya kita semua bersedia untuk mati pada bila-bila masa sahaja.”

Menjelaskan perkara ini, berdebar-debar juga hati saya dibuatnya kerana teringat akan tarikh kematian sendiri yang tidak akan dicepatkan atau dilambatkan walau sesaat bila telah tiba masanya.

Tua, muda, miskin atau kaya, terkenal atau tidak terkenal, berjawatan penting atau tidak penting, bila tiba masa ajal menjemput, maka kita semua pasti akan pergi.

“Sebab itu, kita kena buat baik sepanjang masa sayang, supaya bila kita mati, kita akan mati dalam keadaan kita berbuat kebaikan.”

Sesekali berbicara tentang perkara sebegini, membuatkan diri terasa begitu hampir dengan kematian. Rasa gerun kerana sememangnya diri ini belum cukup bersedia untuk menghadapinya. Benarlah sabda Rasulullah bahawa mereka yang paling bijak adalah mereka yang banyak mengingat mati.

Orang yang sentiasa ingat kepada hari kematian akan sentiasa menghisab setiap amalan dirinya dan cuba menjadikan setiap pekerjaannya sebagai yang terbaik kerana baginya hari esok mungkin tiada lagi dan akan ada perhitungan besar yang bakal menanti.

Tapi orang yang jauh dari ingatan kepada kuburan, biasanya mereka ini akan hidup bagai tiada hari esok, menikmati kehidupan bagai binatang yang tiada tanggungjawab. Hidup hanya untuk memenuhkan tembolok sendiri tanpa pernah runsing akan destinasi pasti bernama mati.

“Sebenarnya Humaira’, kita tak perlu tahu tentang bilakah akan tibanya hari kiamat atau bilakah kita akan mati, tapi apa yang kita perlu tahu ialah apa yang kita sediakan untuk menghadapi keduanya.” Saya menjelaskan lagi dengan bahasa yang agak tinggi, juga sebagai peringatan kepada diri ini yang sering lalai dalam menghadapi kehidupan.

Ketika kita runsing dengan pelbagai urusan dunia yang tidak akan pernah selesai dan ketika ramai juga para konspirator yang berkira-kira tentang tarikh kiamat bagi bumi dan bilakah Dajjal akan tiba, pernahkah kita runsing dengan persediaan untuk menghadapi kiamat kecil yang akan datang pada bila-bila masa. 

Telah bebaskah kita dari dosa yang bersarang selama ini?, 

Telah banyakkah sedekah jariah yang kita hulurkan? 

Jika yang mempunyai anak, sudahkah anak itu dididik untuk menjadi benteng kepada kita buat menahan dari siksaan yang tidak terperi sakitnya?

Masyaallah, Masyaallah...benarlah ingatan terhadap kematian itu akan menghapuskan segala kelazatan.

“Ya Allah, akhirkanlah kehidupan kami dengan sebaik-baik pengakhiran dan jauhkanlah kami dari siksa kubur yang menyakitkan.”

Makin Berisi Makin Berbudi Pekerti


“Ayah, sikit lagi Humaira’ akan masuk Iqra’ 6, dan kemudian boleh baca Quran dah!” Humaira’ berkata dengan bangga sambil mengangkat-angkat kening sebelum memulakan sesi pengajian petang itu.

Buku Iqra’ kemudian diselak-selaknya untuk membuktikan apa yang dikatanya.

“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memandaikan Humaira’” Saya membalas, memulangkan puji-pujian itu kepada yang paling layak untuk dipuji.

“Ayah, ayah, Humaira’ dah menang dengan Najlah dah, Najlah baru Iqra’ 4, Humaira’ dah Iqra’ 6, ‘tera’ tak Humaira’” Bicaranya bersambung lagi dengan nada bangga dan kali ini sedikit ralat saya mendengarnya.

Kepandaian membaca Al Quran bukan suatu yang harus dibanggakan sesama manusia, begitu juga dengan kepandaian dalam penguasaan apa jua jenis ilmu,  tidak kira dalam ilmu agama atau ilmu mengurus dunia.

Kerana hakikatnya kita hanyalah hamba yang dipinjamkan tidak sampai setitis pun dari lautan ilmu Allah yang luas tidak terkira.

Menjadi orang berilmu seharusnya kita beriltizam dengan akhlak mulia dan sifat terbaik bagi orang berilmu adalah seperti padi, makin berisi, makin menundukkan diri dan istiqamah dengan budi pekerti yang tinggi.

Orang berilmu tanpa akhlak yang baik dengan Allah dan orang lain, ibarat pohon yang mengeluarkan buah yang busuk dan berulat. Tidak akan ada manfaat pada orang yang menjamahnya.

“Alhamdulillah, pandai anak ayah, bagus!” saya tersenyum membalas bicaranya, seperti biasa ayat ayat tarbiah mula disusun di kepala.

“Sebelum Humaira’ baca hari ini, biar ayah cerita sedikit ye.”

“Cerita apa ayah? Nak dengar!” Humaira’ menutup seketika buku Iqra’nya yang berwarna merah dan menumpukan perhatian untuk mendengar kisah.

“Baik, begini ceritanya.”

“Cerita ini berlaku di Padang Mahsyar, ketika semua manusia dikumpulkan oleh Allah untuk diperiksa amal kebaikannya.” Saya memulakan kisah dengan mengungkap kembali hadis sahih riwayat muslim dalam kitab Riyadhus Solihin yang dipetik dari bab ikhlas.

Hadis ini menceritakan tentang nasib 3 orang lelaki (syuhada’ di medan jihad, orang alim yang membaca al quran, hartawan yang dermawan) yang akhirnya terjerumus ke jurang neraka walaupun kelihatan hebat ketika beramal di dunia. Na’uzubillahiminzalik...

“Lalu seorang demi seorang dipanggil untuk diperiksa buku catatan amalnya, sama dia banyak berbuat kebaikan atau kejahatan.”

“Kemudian, sampailah giliran seorang lelaki yang pandai membaca Al Quran dan ditunjukkan kepadanya balasan baik yang akan dia dapat nanti.”

“Kemudian, Allah tanya pada lelaki tersebut apa yang dibuatnya di dunia, lalu lelaki tersebut menjawab bahawa dia rajin membaca Al Quran dan mengajarkan orang ramai kerana mu ya Allah.”

“Tapi, Allah kata balik pada lelaki tersebut, “Engkau pembohong, engkau baca Quran supaya orang lain mengatakan yang engkau pandai membacanya, dan engkau telah mendapatkannya!”

“Lalu kemudian Allah perintahkan supaya orang tersebut dimasukkan dalam neraka.”

“Rupanya Humaira’, lelaki tadi tidak ikhlas membaca dan mengajarkan Al Quran. Dia baca supaya dipuji oleh manusia, bukan supaya Allah suka.”

“Allah tidak suka orang yang buat baik supaya ingin dipuji oleh manusia, Allah mahu kita buat baik hanya kerana dia sahaja.”

“Jadinya, apa jua kebaikan yang kita buat, samada solat, puasa, membaca al quran, menolong ibu bapa dan apa sahaja, mestilah kita buat supaya Allah suka. Bukan kerana manusia suka dan bukan juga untuk dipuji oleh sesiapa.”

“Begitu juga dengan baca Iqra’, Alhamdulillah, ayah sangat bangga dan gembira Humaira’ dapat baca dengan baik, cuma, Humaira’ tanamkan dalam hati setiap kali ingin membaca Iqra’ yang Humaira’ membaca kerana ingin Allah suka (redha), bila Allah suka, insyaallah Allah akan beri banyak hadiah-hadiah yang istimewa untuk kita!”

“Lagi satu, jika ada kawan-kawan yang masih belum pandai, Humaira’ kenalah ajar mereka supaya jadi pandai. Dalam membaca Al Quran, kita kena bantu membantu, cara begitu lebih Allah suka lagi.”

“Tak perlulah rasa bangga bila kita pandai sikit berbanding dengan orang lain.” Humaira’ mendengar penuh khusyuk, harap-harap kisah ini akan berbekas dihatinya walaupun saya yakin saya akan perlu untuk mengingatkannya berkali-kali lagi tentang perkara ini selepas ini. Manusia itu kan sentiasa perlu pada peringatan.

“Baik, habis dah cerita ayah, jom kita baca, mula dengan al fatihah seperti biasa.” Saya menyudahkan tazkirah ringkas dan kemudian mengajaknya untuk memulakan pengajian.

“Al Faaatihah!” kami membaca bersama-sama.

Kenapa Nama Humaira’, Humaira’?


Hujan turun dengan lebat diluar. Bumi Adelaide basah bermandikan rahmat tuhan yang tidak membezakan antara mereka yang beriman dan mereka yang kufur.

Jalan yang basah dan licin akibat hujan yang turun tanpa henti sejak pagi ditambah dengan brek kereta Hyundai Lantra saya yang masih belum diperbaiki menyebabkan saya memandu dengan perlahan dan berhati-hati untuk menuju ke Masjid Khalil di Torrens Road bagi menunaikan Solat Isya’ dan Terawih.

Walaupun sedikit jauh, tapi bacaan Imam Amin dari Mesir yang cukup lunak membuatkan saya tidak kisah untuk memandu ke sana.

Malam ini, hanya saya dan Humaira’ sahaja yang pergi ke masjid. Isteri saya yang dimarahi oleh wanita Arab semalam kerana Khadijah bising di masjid ketika solat Terawih, telah serik untuk ikut bersama.

“Ayah, kenapa ayah bagi nama Humaira’, Humaira?” Humaira’ memulakan perbualan memecah kesunyian di dalam kereta.

Mendengar Humaira’ bertanyakan soalan, saya memperlahankan radio yang sedang mendendangkan lagu-lagu Ramadhan daripada pemain CD.

Banyak perbualan menarik antara kami berdua berlangsung ketika berdua di dalam kereta. Walaupun kadangkala ringkas, tetapi cukup bermanfaat. Alhamdulillah.

“Sebab, Humaira’ itu adalah nama panggilan kepada Aisyah, isteri Rasulullah yang sangat cantik dan cerdik.” Jawab saya, mengingatkan saya kepada perbualan antara saya dan isteri 7 tahun yang lampau ketika hendak memilih nama bagi anak pertama kami. Terasa seperti baru semalam ia berlalu.

“Ayah ingin, agar Humaira’ akan menjadi solehah dan cerdik seperti Aisyah. Lagipun Humaira’ kan cantik, Saidatina Aisyah pun cantik juga.” Sambung saya lagi sambil menyelitkan sedikit pujian. Anak perempuan memang sentiasa perlu kepada pujian, terutama dari ayahnya.

Teringat juga saya kepada perbincangan dengan Ustaz Fisol ketika hendak memilih namanya, selepas selesai urusan tahnik. Ustaz menyatakan bahawa saya hendaklah memilih nama dan memasang niat yang baik untuk anak tersebut.

Pesan Ustaz lagi, nama yang baik bukanlah nama yang hanya sedap disebut atau nama yang semata-mata popular apatah lagi jika gabungan nama antara ibu bapa yang tidak punya sebarang makna, tapi nama yang baik adalah nama yang punya makna yang baik.

Tapi tidak cukup sekadar itu, nama yang lebih baik adalah nama yang boleh kita sandarkan kepada peribadi-peribadi soleh yang dicintai oleh Allah seperti nama-nama Nabi, nama para sahabat baginda junjungan, nama orang-orang soleh seperti Imam Hadis dan mazhab dan juga pejuang-pejuang Islam seperti Hassan Al Banna, Ahmad Yassin dan Zainab Al Ghazali.

Kami sepakat memilih Humaira’ dan menyandarkan nama itu pada kesolehan Saidatina Aisyah, isteri baginda yang cukup disayanginya. Setelah wafatnya baginda, kecerdikan dan keberaniannya terserlah menjadi teladan buat ummah.

Tapi memang benar, Humaira’ memang mempunyai sedikit karakter-karakter Saidatina Aisyah seperti kuat cemburunya, tajam pemikiran dan pemerhatiannya, manja dan penyayang juga kuat ingatan dalam hafalan.

“Tapi, nama dia Aisyah, bukan Humaira’, kenapa ayah tak bagi nama Humaira’, Aisyah?” Saya tersenyum sendiri mendengar soalan itu. Telah saya jangka bahawa soalan ini akan ditanya, dan jawapannya telah lama tersedia.

“Begini, kan nama ayah Hisham, nama ibu Hasifah, kedua-duanya bermula dengan huruf H, jadi ayah nak nama yang bermula dengan huruf H juga. Sebab itu ayah bagi nama Humaira’, Humaira’. Jelas saya, jujur.

“Tapi Khadijah, nama dia tak mula dengan huruf H pun?” Balas Humaira’, juga dengan jujur tapi tidak puas hati.

“Khadijah kan nama dia Khadijah Hanan, ada H pada Hanan tu.” Saya ketawa kecil ketika memberikan jawapan.

Sejujurnya, padanan H bukan lagi motivasi utama ketika memberi nama anak kedua kami.

Ketika memilih namanya, saya amat inginkan semangat, kebijaksanaan, pengorbanan dan kesetiaan Khadijah Isteri Rasulullah pada suami dan juga dakwah tumpah pada anak kedua kami ini.

Seperti Humaira’, karakter Khadijah terserlah dengan jelas sejak kecil. Kehendaknya cukup kuat dan semangat explorasinya cukup terserlah. Mungkin sesuai dengan peribadi Saidatina Khadijah sebagai usahawan berjaya.

“Tapi namanya bermula dengan huruf K, bukan H.” Humaira’ mempersoalkan lagi. Tidak puas hati dengan jawapan yang diberi.

“Tak mengapalah Humaira’, K atau H, semuanya anak ayah dan semuanya ayah sayang. Ayah ingin supaya semua anak ayah jadi solehah seperti solehnya isteri Rasulullah. Sebab itu ayah bagi nama yang sama seperti nama mereka semua.”

Saya tidak lagi menjawab tentang H atau K, tetapi kali ini saya lebih fokus kepada maksud di sebalik nama tersebut agar dia juga faham bahawa namanya bukan sebarang nama, tapi nama yang mempunyai makna yang besar disebaliknya.

Semoga nama yang kami beri kepadanya akan mendorong dirinya untuk beramal dan berbakti seperti berbaktinya Saidatina Aisyah kepada ummah seluruhnya. Insyaallah.


Nanti Allah Nampak


Masuk hari ke 5 Ramadhan.

Humaira’ sedang melalui saat-saat mencabar untuk cuba berpuasa penuh buat pertama kalinya Ramadhan tahun ini.

“Bila nak berbuka ayah? Lambat lagi ke?” Humaira’ bertanya buat kali yang entah ke berapa. 

Soalan yang sama yang ditanyanya sejak jam 10 pagi.

“Ada 2 jam lagi.” Saya menjawab ringkas. hilang punca untuk memujuk dan kata-kata yang positif.

Jam menunjukkan pukul 3 petang, di Australia, waktu berbuka pada musim sejuk begini adalah sekitar jam 5.30 petang. Cukup melegakan berbanding rakan-rakan di hemisfera utara seperti di Scotland dan Ireland yang berpuasa pada musim panas dan khabarnya mereka berpuasa sekitar 18 ke 20 jam sehari.

Saya berfikir seketika, memikirkan kaedah lain untuk memujuknya agar bersabar.

“Ayah, ibu letihlah, ibu nak masuk bilik sebentar untuk berehat ye.” Laung isteri saya dari dapur. Memang sejak pagi dia tidak berhenti mengemas dan membersihkan rumah. Dengan keadaannya yang berbadan dua, mungkin keletihannya berganda-ganda.

Saya melihat Humaira’ yang sedang merengek-rengek sejak tadi. Laungan isteri saya tadi mencetuskan sedikit idea.

“Ibu dah masuk bilik untuk berehat Humaira’. Apa kata kita berbuka sekarang.” Saya mencadangkan kepada Humaira’ yang sedang merengek.

Rengekannya berhenti seketika. Mungkin tergamam dengan cadangan saya yang agak luarbiasa.

“Tak mengapa, ayah tak akan beritahu ibu yang Humaira’ minum dan makan sedikit. Kita buat senyap-senyap sahajalah.” Saya memprovokasi lagi. Lebih ekstrem.

Humaira’ merenung wajah saya kehairanan dan kemudian berkata sambil mencekak pinggang.

“Tak boleh, kan Humaira’ puasa.”

Alhamdulillah, taktik hampir menjadi.

“Alaa, tak mengapa, tiada siapa pun yang akan nampak dan tahu. Ayah tak akan beritahu ibu pun.” Saya memprovokasi lagi, kali ini dengan justifikasi. ingin menguji sejauh mana sifat ihsan yang ada pada dirinya.

Tapi nanti Allah nampak macamana?” Humaira’ menjawab tegas. Jawapannya mengingatkan saya kepada dialog yang berlaku antara seorang ibu dan anaknya pada zaman Saidina Umar.

Ketegasan dan sifat amanah wanita tersebut dalam berniaga telah menarik minat Saidina Umar untuk menjadikannya menantu dan akhirnya dari zuriat wanita solehah itu, lahir mujaddid Islam yang terkenal sepanjang zaman. Itulah Umar Bin Abdul Aziz.

Alhamdulillah. Moga sifat amanah dengan ibadah akan terus kekal dalam dirinya hingga ke penghujung hayatnya.

Tips Pendidikan Anak-Anak:

Mendidik anak-anak dengan sifat ihsan, cukup penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa amanah dengan ibadah iaitu merasai bahawa diri mereka sentiasa dibawah pemerhatian Allah ketika beribadah.

Bulan Ramadhan dan latihan berpuasa adalah medan terbaik untuk melahirkan sifat ihsan ini kerana puasa adalah ibadah yang hanya diketahui oleh Allah akan perlaksanaannya oleh setiap individu. Jangan lepaskan peluang dalam bulan Ramadhan untuk mendidik anak-anak dengan sifat ihsan dan taqwa kepada Allah.