Showing posts with label Anak2. Show all posts
Showing posts with label Anak2. Show all posts

Ibu Bapa, Anak-Anak dan ‘Smart Phone’

“Ayah, tengok lah lukisan Humaira’ ni sekejap, cantik tak?” Sapa Humaira’ pada saya tika saya baru pulang dari pejabat. Lukisan yang dilukisnya di sekolah diangkat dengan tinggi.

“Haa, cantik-cantik” Jawab saya, acuh tak acuh. Saya melihat sebentar lukisannya dan kemudian mengalihkan pandangan pada ‘iPhone’, melihat email dan ‘newsfeed Facebook’ yang masuk dengan pantas.


“Ayah tak tengok pun. Ayah ni, jangan lah asyik tengok telefon je. Tengoklah sini sekejap!” Marah Humaira’. Saya tersentak. Tersentap. Tergamam. Tergumam.

“Ok, ok, ‘sorry’, meh sini ayah tengok, ” saya meletakkan telefon, dan kemudian memberi sepenuh perhatian padanya.

Di dalam hati penuh dengan rasa bersalah.

“Ya Allah, teladan apa yang telah aku tunjukkan ini.” Bicara saya di dalam hati.

Mendidik Anak Menutup Aurat


“Macamana kelas renang tadi, Humaira’ dah boleh berenang ke?” saya bertanya di hadapan muka pintu tika Humaira’ pulang dari kelas renang di sekolah hari ini. Minggu ini adalah minggu pelajaran kelas renang di sekolahnya.

“Aaaa, dah boleh lah ayah, cuma masih ‘slow’ lagi.” Jawabnya dengan sedikit slanga Australia yang telah mula terlekat di lidahnya. Kadang-kadang lucu juga saya mendengarnya.

“Oh! Bagusnya, Humaira’ berenang pakai apa tadi?” Tanya saya lagi.

“Pakai baju T-Shirt la, kalau yang ada ‘swimming suit’, boleh pakai ‘swimming suit’. Tapi kalau tak ada, boleh pakai baju,” dia menjawab sambil membuka kasut.

“Humaira’ berenang tadi pakai tudung ke?” Saya menambah soalan.

“Mestilah pakai Ayah, cuma selepas berenang Humaira’ terpaksa pakai tudung basah sebab ibu terlupa letak tudung dalam beg Humaira’. Sejuk kepala Humaira’.” Jelasnya dengan sedikit nada kesal.

“Oh ye ke, kasihannya, tapi tak mengapa, pengorbanan yang Humaira’ buat hari ini, Insyaallah akan diberi pahala. Setiap kesusahan yang kita lalui kerana Allah, pasti akan ada pahala yang banyak.” Saya menyelitkan sedikit tazkirah sebagai motivasi.

“Ok, terus masuk ke bilik solat Zuhur, tukar baju dan terus ke meja makan.” Saya memberi arahan rutin.

Dalam hati, saya amat bersyukur kerana usaha kami mendidiknya untuk memakai pakaian yang menutup aurat sejak kecil, mula menampakkan sedikit hasil.

Sejak usianya 4 tahun, pelbagai pendekatan yang kami gunakan untuk membiasakan dirinya dengan pakaian muslimah yang sempurna. Keras, lembut, bercerita, hadiah dan pesanan sebelum tidur, telah kami laksanakan dan Alhamdulillah, pada usia 6 tahun, baju berlengan panjang dan tudung telah mula sebati dengan jiwanya dan harapnya ia akan terus sebati hingga ke akhir usianya walau di mana dia berada.

Namun begitu, walaupun telah dilatih sejak kecil dan telah diingatkan berulang kali tentang kepentingan bertudung bagi muslimah, namun ada juga ketikanya Humaira’ terlupa atau ‘sengaja lupa’ untuk menyarung tudung di kepala (ketika keluar rumah), dan setiap kali itulah, saya dan isteri akan segera mengingatkannya untuk memakainya kembali.

Bukan tidak pernah dia meminta untuk membuka tudung ketika cuaca panas, walaupun kasihan, namun kami terpaksa berteguh hati demi masa depannya.

Dalam mendidik anak perempuan, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa adalah pemakaiannya. Naluri untuk berpakaian cantik sudah semestinya ada, namun ia harus dipastikan agar sentiasa patuh syariat.

Mendidik anak-anak perempuan untuk memakai pakaian yang menutup aurat, harus dimulakan sejak mereka kecil, untuk membiasakan mereka dengan tudung dan baju labuh walaupun dalam keadaan yang tidak menyelesakan. Jika tidak diasuh sejak kecil, khuatir nanti bila tiba saat dia wajib mengenakan pakaian yang menutup aurat, rasa tidak selesa dan tidak biasa akan menghalang dirinya dari melaksanakan perintah Allah.

Harus diingat, bahawa anak-anak perempuan (yang telah baligh) yang keluar tanpa menutup aurat akan mendatangkan dosa buat ayahnya. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bersabda:

Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)- di petik dari zaharuddin.net

Semoga anak-anak perempuan kita tidak akan menjadikan kita seorang ayah yang dayus. Ayuh kita didik anak-anak dan isteri kita untuk menutup aurat walau di mana jua mereka berada.

Wahai muslimah, jika sayangkan ayahmu, tutuplah aurat dengan sempurna. Apakah kita redha ayah kita menjadi bahan bakar api neraka kerana keengganan kita untuk menutup aurat dengan sempurna.

Semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang dayus dan mendayuskan.

Belajar Dari Ratatouille


“Hah, apa pengajaran yang Humaira’ dapat dari cerita Ratatouille yang kita tonton tadi?”  Tanya saya selepas filem Ratatouille tamat.

Untuk yang tidak mengetahui, Ratatouille adalah kisah berkenaan seekor tikus kecil yang pandai memasak. Cukup menarik kisahnya. Sarat dengan pengajaran berguna buat mereka yang punya cita-cita.

“Hmmm...tikus tu pandai masak?” Jawab Humaira dengan nada penuh tanda tanya. Keningnya diangkat sedikit.

“Aiseh...memang la tikus tu pandai masak...tapi apa yang kita boleh belajar dari cerita tikus yang pandai masak tu?” Saya menjelaskan lagi soalan agar masa yang saya habiskan bersamanya selama 2 jam untuk menonton filem itu tidak sia-sia.

“Aaa...tikus tu masak sedap!” Jawab Humaira’ dengan penuh keyakinan.

“Alamak! Saya menepuk dahi sambil tertawa.

“Memanglah tikus tu masak sedap. Baiklah, biar ayah terangkan.”

“Sebenarnya, tidak kira saiz kita kecil atau besar, lemah atau kuat, rendah atau tinggi, kita boleh menjadi hebat jika kita benar-benar berusaha untuk mencapai apa yang kita inginkan.” 
Jelas saya. Itulah pengajaran paling besar dalam filem tersebut, iaitu walaupun kecil dan kelihatan mustahil, namun tidak ada cita yang tidak boleh kita capai jika kita punya azam yang teguh dan keinginan yang tinggi dalam mengorak langkah untuk mencapai cita-cita.

“Faham ke Humaira?” Tanya saya kembali.

“Faham-faham.” Jawabnya pendek dan saya mengangguk-angguk.

“Ayah, besar nanti, Humaira’ nak jadi pandai masak macam tikus tu lah.” Sambung Humaira’.

“Aaaa, kenapa nak jadi macam tikus tu, Humaira’ mesti jadi lebih hebat dari tikus tu. Kalau nak jadi hebat apa yang perlu Humaira’ buat?”

“Kena usaha!” Jawabnya penuh keyakinan.

“...dan rajin belajar...jangan malas-malas...kena sabar....” sambung saya lagi.

“Ok, jom kita tidur, dah lewat ni.” Saya mengajaknya untuk tidur. Moga pengajaran dari Ratatouille akan tersemat dalam mindanya, menjadikan dia seorang yang berjiwa besar dan sentiasa berusaha untuk mencapai cita-citanya.




Bersediakah kita untuk menjawabnya?

Mendidik anak memang payah, ia adalah mujahadah.

Ada yang berjaya, tapi lebih banyak yang tewas dalam perjuangan mendidik anak-anak dalam era dunia sama rata kini. Tewas kepada suasana, tewas kepada televisyen, tewas kepada Internet, tewas pada teman anak-anak mereka. Akhirnya, ibu bapa kecewa, anak-anak menjadi mangsa dan struktur masyarakat menjadi huru-hara.
Teringat saya pada satu pengisian tentang pendidikan anak-anak yang diberi oleh Cikgu Rusdi Baharom satu ketika dahulu, katanya.





“Mendidik anak-anak ini ibarat terjun dari kapalterbang dengan payung terjun, kita hanya ada satu peluang untuk membukanya, jika gagal, maka jatuhan itu pasti tidak akan sempurna dan kita akan mengalami impak yang cukup menyakitkan jika tidak kematian yang mendatangi.”

Ketika itu saya baru berkahwin, dan masih tidak dapat memahami sepenuhnya kata-kata tersebut. Kini, anak sulung semakin membesar, sementara yang kecil dengan telatahnya yang tersendiri dan pada masa yang sama saya melihat anak-anak yang membesar dalam pelbagai suasana dan saya semakin nampak akan maksud di sebalik dan betapa benarnya kata-kata tersebut.

Pendidikan anak-anak adalah proses, setiap fasa ada tuntutannya yang tersendiri. Sebelum berkahwin, ketika jimak, trimester pertama, kedua dan ketiga, saat menyambutnya, input yang diterima ketika 0-6 bulan, 6 bulan hingga 1 tahun, 1 – 3 tahun, 4- 6 tahun, 6 – 10 tahun, 10 – 15 tahun dan 15 – 21 tahun.

Setiap satunya memerlukan perincian khusus dan ada kaedah-kaedah tertentu dan peranan-peranan tertentu oleh ayah dan ibu yang digariskan oleh Islam jika kita mahu melahirkan insan cemerlang.

Jika tersalah input atau kita gagal menunaikan hak pada salah satu dari fasa tersebut dengan sempurna, maka jatuhannya pasti akan cacat. Fizikalnya mungkin sempurna, tapi rohani dan emosinya berkemungkinan retak dan lebam di sana sini.

Jika mendidik anak-anak didefinisikan dengan memberi makanan, minuman, perlindungan maka apa bezanya kita dengan lembu, kambing dan buaya. Bahkan buaya jauh lebih cemerlang dari kita dalam menjaga dan memastikan keselamatan anak-anak mereka.

Tapi mendidik anak-anak manusia menjadi khalifah adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan faham, cermat dan bersungguh-sungguh.

Tanggungjawab ini bukan tanggungjawab Ustaz di sekolah agama, bukan juga tanggungjawab Perdana Menteri atau para Mufti, tapi hak mutlak pendidikan anak-anak adalah pada ayah dan ibunya seperti mana disabdakan oleh baginda dalam sebuah hadis yang masyhur bahawa corak dan warna agama yang dibawa oleh anak adalah hasil cantingan ibu bapanya.

Justeru sebagai ibu bapa, tidak terlepas tanggungjawab agama anak-anak kita jika sekadar kita menghantarnya ke sekolah agama atau memanggil Ustaz untuk mengajar Al Quran di rumah.

Ilmu pendidikan anak-anak harus dipelajari, ia tidak akan datang sendiri. Anak-anak yang soleh yang kita impikan sebagai bekal pahala berterusan buat kita setelah kita tiada harus dirancang dan dibentuk sepertimana jurutera merekabentuk bangunan, seperti mana juruanalisa sistem merekabentuk sebuah sistem maklumat atau pengkalan data dengan menggunakan teknik dan kaedah termaju.

Anak-anak bukan sekadar anugerah, tapi ia adalah amanah yang harus dipikul dengan penuh dedikasi tanpa rasa jemu dan lelah. Setiap kita, terutamanya bapa akan ditanya tentang amanah anak-anak yang telah dipikulnya tika di dunia.

Bersediakah kita untuk menjawabnya?

Nanti Tayar Kena Api!

Titian Sirat pasti lebih halus dari tali kabel ini....mampukah kita melepasinya dengan sejahtera?


“Kenapa kita kena lalu atas jambatan ayah?”


Terkeluar soalan dari bibir Humaira’ memecah kesunyian di dalam kereta saat kami sedang berada di atas jambatan Pulau Pinang. Hari yang indah itu, saya membawa isteri dan anak-anak menelusuri perjalanan sekitar Pulau Pinang bermula dengan perjalanan menaiki Feri di Terminal Butterworth kemudian ke Batu Maung dan pulang semula ke tanah seberang dengan menaiki Jambatan Pulau Pinang yang penuh kenangan itu.

“Humaira’ rasa kenapa?” Saya melontarkan kembali soalan itu kepadanya untuk menguji maksud sebenar soalannya tadi.


“Tak tahu lah, kenapa ayah?” jujur dia menjawab, dan biasanya jika dia menjawab dengan nada yang wajah sebegitu maka soalannya adalah ikhlas dan kebarangkalian tiada maksud yang tersembunyi untuk menarik perhatian kami adalah tinggi.


“Hmmm...begini, boleh tak Humaira’ berjalan atas air dekat kolam renang?” Saya tidak mahu terus menjawab soalan itu dengan kaedah suapan, tapi cuba menjawabnya dengan kaedah analitikal agar otaknya juga ligat berfikir.

“Tak boleh...” ringkas sahaja dia menjawab.

“Apa akan jadi kalau Humaira jalan juga?” Saya bertanya lagi.

“Tenggelamlah nanti!” kali ini dengan nada lebih tegas.

“Ok, kalau tiada jambatan, kereta semuanya akan lalu atas air, boleh ke?” saya menyambung soalan dan kali ini membawanya lebih hampir kepada jawapan.

“Emm....tak bolehlah” kepalanya digelengkan perlahan.

“Kenapa tak boleh pula?” saya cuba memprovokasi.

“Nanti tenggelam lah semuanya!” Hah! Nampaknya dia telah memahami mengapa jambatan harus ada jika dibawahnya ada lautan atau sungai.

“Haa, sebab itulah kena ada jambatan, kalau tidak macamana kereta nak lalu, nanti tenggelam”  

Walaupun saya boleh memberi jawapan dengan mudah, tapi saya tidak mahu membiasakannya dengan cara sebegitu, agar dia dapat belajar proses qias, pemerhatian dan pemikiran untuk mencari jawapan kepada persoalan.

Cuma saya merasakan kisah tentang jambatan pasti lebih bermakna jika ditambah perisa hari kebangkitan di dalamnya dan kisah Jambatan Sirat menjadi pilihan saya hari ini. Lagi pula saya tidak pernah menceritakan tentang Titian Sirat kepadanya sebelum ini.

“Humaira’ nak dengar cerita tentang satu jambatan yang ada di akhirat?” saya mempelawa cerita. Dalam suasana sebegini, saya juga akan hilang mengantuk. Isteri saya mendengar dan memerhati penuh minat sambil memegang erat Khadijah yang sedang menyusu.

“Nak-nak!”

“Dekat akhirat kan, ada satu jambatan, nama dia Titian Sirat” saya memulakan kisah.

“Jambatan ni kan, dia keciiiiikkk sangat!”

“Kecik macam ni ke ayah?” ketika ini, Humaira’ cuba membuat gaya jambatan kecil dengan kedua tangannya.

“Bukan, kecik lagi...”

“Macam ni ke?” gambarannya makin lama makin mengecil hingga akhirnya dia menggayakannya dengan jari kelingking.

“Bukan, lagiiii kecik...sebenarnya dia lebih kecik dari rambut kita”

“Aaaaaaa, macam mana nak jalan atas tu?” Humaira’ bertanya penuh hairan.

“Jambatan tu, dia akan hubungkan antara Padang Mahsyar dengan syurga” saya tidak menjawab persoalannya, sebaliknya terus menyambung kisah kerana soalannya akan terjawab seketika nanti.

“Kat bawah jambatan tu, bukan ada laut, tapi ada api neraka yang panaaaaasss sangat! Ada juga ular, lipan dan serangga yang akan suka gigit orang.”

“Tapi ayah, macamana nak jalan atas dia?” dia mengulangi soalan, mungkin bertentangan dengan logik akal jambatan yang ada dalam fikirannya.

“Oh, nak lalu atas dia, bukan macam jambatan atas dunia ni Humaira’”

“Orang yang paling baik, akan lalu jambatan tu dengan sangat laju, siap boleh terbang lagi”

“Kemudian orang yang sederhana baik, akan lalu jambatan tu berlari-lari”

“Kalau orang yang baik biasa pula, dia akan jalan je, dan kalau orang yang baik dia sikit-sikit, dia kena merangkak atas jambatan tu”

“Tapi, orang yang jahat, dia akan lalu dan kemudian dia akan jatuh ke dalam api neraka tu, kemudian ular akan gigit dia.”

“Haa, sekarang Humaira’ pilih samada nak terbang, nak lari, nak jalan atau nak merangkak atas jambatan tu?”

“Hmmm, kalau Humaira’ nak naik basikal boleh tak?” Alamak, ke situ pula jawapannya.

“Errr...boleh kot” saya teragak-agak menjawab.

“Eh! Jap-jap, tak jadilah naik basikal”

“Laa, kenapa pula?” saya dan isteri tertanya-tanya.

“Nanti tayar dia kena api, habis nanti Humaira’ jatuh” selamba sahaja dia memberi jawapan.

“Adeh!” tidak tertahan letusan ketawa kami berdua.

Ya Allah, jadikanlah anak-anak kami penyejuk mata dalam kehidupan kami.


Siapa Lahirkan Allah?

Gambar pertama Humaira tika dia lahir ke dunia. Nostalgianya...

“Ayah, siapa lahirkan ayah?”

Tiba-tiba terkeluar soalan dari mulutnya memecah kesunyian dalam kereta. Petang itu, saya dan Humaira’ berdua sahaja berkereta dari Jitra ke Bukit Kayu Hitam untuk urusan pengambilan passport. Khadijah dan ibunya ditinggalkan dirumah sahaja kerana khuatir lintuk liuk dan hiruk pikuk si kecil itu akan menganggu kedamaian pejabat Imigresen Bukit Kayu Hitam nanti.

“Aaaa, nenek la yang lahirkan ayah” saya menjawab ringkas.

“Ibu, siapa pula yang lahirkan?” soalannya bersambung lagi.

“Ibu....tok di Pahang la yang lahirkan” (Tok adalah panggilan bagi nenek di kawasan sebelah Pahang). Agak saya persoalan ini akan berterusan lagi dan lagi dan lagi, seperti kebiasaan. Bagus juga ada peneman bicara kerana bosan juga asyik mendengar dendangan Sami Yusuf dan Maher Zain sahaja dalam kereta.

“Atuk?” (dia merujuk kepada ayah saya yang berada di Kuala Lumpur)

“Atuk...ibu pada atuk la lahirkan, ibu pada atuk ialah nenek pada ayah” saya cuba menjelaskan semudah mungkin.

“Aki?”(Aki adalah panggilan bagi Datuk di Pahang)

“Sama jugalah macam atuk, ibu pada aki yang lahirkan aki, dan ibu pada aki ialah nenek kepada ibu”

“Ooooo...ayah, Makcik Inah siapa yang lahirkan?” soalannya bersambung lagi dan kali ini saya memulangkan kembali soalan itu kepadanya agar dia juga turut sama berfikir.

“Humaira’ rasa?”

“Mmmmm....nenek” telah saya agak bahawa dia telah tahu jawapannya, mungkin pertanyaannya hanyalah untuk menguji atau menghilangkan kebosanannya dalam kereta dengan mengajak saya berbual-bual. Dia kemudian terus bertanya setiap orang yang dikenalinya dari kawan-kawan kepada Pakcik Makcik sebelah saya dan isteri diikuti dengan Tok Cik Tok Cik. Saya terus sahaja menjawab dengan sabar sebelum dia mengeluarkan satu soalan yang agak mengejutkan saya sedikit.

“Ayah, Allah siapa yang lahirkan?” Telah saya agak, pada suatu masa dan ketika pasti akan sampai waktu soalan ini akan ditanyakannya, dan sebenarnya telah lama saya bersedia dengan jawapannya.

“Humaira’, Allah tidak ada siapa-siapa pun yang lahirkan dia, sebab Allah adalah pencipta kepada semua manusia, binatang, malaikat, bumi, bulan dan bintang”

“Oh!, ayah kalau begitu malaikat siapa yang lahirkan?”

“Malaikat, Allah ciptakan dari cahaya, ayah pun tak pasti samada malaikat dilahirkan atau memang dicipta terus oleh Allah. Jawapan dia cuma Allah je yang tahu. Apa-apa hal pun nanti ayah tanya ustaz atau ayah baca buku ye nanti. Kemudian bila dah tahu ayah ceritakan pada Humaira’ ye”

Berkenaan malaikat, saya sendiri tidak pasti bagaimana proses penciptaannya, hendak menjawab Allahua’lam kepada anak sekecil itu bimbang jika membunuh semangat pertanyaannya. Biasanya jika ada persoalan yang saya tidak ketahui akan jawapannya, jujur saya akan mengatakan tidak tahu dan akan mencarinya di dalam buku atau bertanya pada orang yang lebih berilmu agar dia juga tahu bahawa ayahnya tidaklah serba tahu. Juga untuk mengajarnya bahawa untuk mendapat ilmu, kita harus rajin berguru dan membaca buku.

“Ooooo...ok, jangan lupa tau ayah” melihat wajah cerianya membuatkan perasaan mengantuk saya hilang. Menarik perbincangan kami petang itu, dari soal jawab yang asalnya berlegar di sekitar keluarga, akhirnya dapat bersambung kepada pokok tauhid yang paling utama, iaitulah bahawa Allah yang menciptakan dan berkuasa ke atas segala-galanya.

Rindu Padamu

“Malam ini Humaira’ nak dengar cerita apa?” saya bertanya saat menemaninya ketika dia hendak tidur. Saat-saat begini adalah waktu terbaik untuk menanamkan benih-benih keimanan dalam jiwa anak-anak, kerana kisah yang baik-baik yang diceritakan kepada mereka sebelum mereka tidur akan kekal dalam minda bawah sedar mereka.

“Emm, nak dengar cerita tentang Nabi Musa.” Dia menyatakan hasrat.
“Ala, asyik kisah Nabi Musa sahaja, cerita lainlah.” Saya menyatakan ketidak setujuan kerana sebelum ini kisah itu telah banyak kali saya ceritakan padanya.
“Emm, nak dengar cerita Nabi Sulaiman dengan burung Hud Hud lah.” Kali ini kisah Nabi Sulaiman dan burung Hud Hud yang berdakwah kepada Ratu Balqis pula menjadi pilihannya. Kisah menarik tentang burung Hud Hud yang menampilkan fikrah pendakwah dan kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman yang menguasai bukan sahaja dari kalangan manusia, tetapi juga alam binatang, jin dan syaitan.
“Cerita tu pun dah banyak kali ayah cerita, cerita lain lah ye.” sekali lagi saya tidak bersetuju dengan pilihannya, bukan sahaja kerana kisah telah banyak kali saya ceritakan dan bukan juga bukan kerana kisah itu tidak menarik jalan ceritanya, tapi kerana kisah itu agak panjang dan memakan masa yang agak lama untuk diceritakan. Malam-malam begini, ketika kepala saya sendiri pun telah mula terasa berat, dikhuatiri akhirnya tukang cerita pun akan tidur sebelum habis ceritanya.
“Humaira’ nak dengar tak kisah tentang Rasulullah?” saya mencadangkan, memandangkan dalam sirah Rasulullah, banyak segmen-segmen kisah yang menarik dan sebelum ini amat jarang saya ceritakan kepadanya kisah-kisah dalam perjalanan hidup Rasulullah. Malam ini saya bercadang untuk menceritakan kepadanya kisah Rasulullah dan jirannya iaitu seorang wanita berbangsa Yahudi.
“Nak!” Dalam kegelapan malam dan suram-suram cahaya lampu tidur dia mengangguk kepalanya.
 “Dahulu, Rasulullah ada seorang jiran wanita yang jahat. Setiap hari wanita ini akan campakkan sampah di hadapan rumah Rasulullah.” Saya memulakan cerita.
“Walaupun begitu, Rasulullah tetap sabar dan senyum sahaja setiap hari, tapi wanita itu tetap tak mahu senyum pada Rasulullah, masam sahaja mukanya dan ada ketikanya dia marah-marah pada Rasulullah dengan kata-kata yang kurang baik.” Saya mencemikkan muka, menunjukkan wajah yang masam. Cuba mengajuk masamnya muka wanita Yahudi yang diceritakan dalam sebuah hadis dan menjadi salah sebuah teladan indah yang dilakonkan semula oleh Maher Zain dalam klip videonya “The Chosen One”.
“Setiap hari wanita tu campakkan sampah dan marah Rasulullah, tapi Rasulullah tak pernah jemu untuk senyum dan tegur wanita itu dengan baik.”
“Satu hari, Rasulullah keluar rumah dan Rasulullah lihat wanita itu tidak keluar dari rumahnya. Rasulullah rasa hairan sebab biasanya wanita itu samada dia akan mencampakkan sampah atau dia akan marah-marah pada Rasulullah, tapi hari ini tiada pula dia.”
“Kalau ayah, mungkin ayah akan rasa lega sebab perempuan jahat tu dah tiada, ataupun mungkin ayah akan buang sampah balik di depan rumah dia pula. Tapi Rasulullah bukan begitu.”
“Rasulullah rasa bimbang dan kemudian pergi ziarah pula wanita yang jahat tadi untuk tanya khabarnya.”
“Wanita tadi terkejut bila tengok Rasulullah datang dan tak marah-marah pun walau selama ini dia selalu buat jahat pada Rasulullah. Kemudian wanita tadi minta maaf pada Rasulullah dan akhirnya dia masuk Islam. Habis selalu cerita.”
“Haa, begitulah cerita Rasulullah, hebat dan baik tak Rasulullah?” saya mengakhiri kisah. Soalan yang saya tanyakan tidak terjawab. Hanya kepalanya diangguk-anggukkan. Bola matanya juga telah semakin kecil. Melihat keadaannya yang telah sangat mengantuk, saya menyambung dengan pengajaran dari cerita, moga akan kekal dalam mindanya.
“Sebab itulah kita kena sayang pada Rasulullah, sebab Rasulullah baik sangat dan Rasulullah sayang pada kita semua. Humaira’ tahu tak, Rasulullah selalu doakan kita.”
“Bila kita sayang Rasulullah, kita kena jadi orang Islam yang baik dan rajin selawat macam yang ayah ajarkan Humaira’. Jom kita selawat sebelum tidur.”
“Allahummasalli ‘ala Muhammad”
“Bismikallahummaahya wa amut....”
Mutiara Untuk Ibu Bapa
Anak-anak harus diajar untuk megenal dan mencintai Rasulullah sejak dari awal lagi. Sentiasalah ceritakan kepada mereka akan akhlak-akhlak Rasulullah yang mulia agar terbit dalam hati mereka rasa cinta dan rindu pada nabi. Biasakan lidah mereka dengan selawat kepada nabi. Untuk itu, kita sebagai ibu bapa harus berusaha untuk sering membaca dan memahami banyak untaian-untaian kisah yang indah dari keharuman sirah baginda yang mulia.


Assalamualaika Ya Ahlil Qubur…

“Humaira’ ikut ayah baca ye, kita baca sama-sama”

“Assalamualaika” saya memulakan,

“Assalamualaika” dan dia mengikuti

“Ya Ahlil Qubur”

“Ya Ahlil Qubur”

Kami membaca doa itu bersama-sama ketika melintasi tanah perkuburan berhampiran tempat parkir pasar Jitra. Pagi itu, saya mengajaknya bersama-sama ke pasar untuk mencari lauk basah dan sarapan pagi. Ketibaan kami yang agak lewat ke kawasan pasar menyebabkan kami terpaksa mencari tempat parkir kereta yang agak jauh dan kebetulan tempat saya meletakkan kereta berhampiran dengan sebidang tanah perkuburan kecil.

“Wa inna insya allah lahiqun” saya mengakhiri doa tersebut diikuti dengan bacaannya yang telah agak lancar. Setiap kali melintasi kawasan perkuburan pasti saya tidak akan lupa untuk mengajaknya sama-sama mengucapkan salam terhadap ahli kubur dan mendoakan kesejahteraan mereka. Masih saya teringat ketika kali pertama Humaira’ bertanya tentang kematian dan persoalan-persoalannya, berpeluh juga hendak menjawabnya. Ketika itu kami baru melepasi sebuah kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah motorsikal dan sebuah kereta, kelihatan mayat seorang penunggang motorsikal terlantar dijalanan dibalut dengan kain hitam, sementara menunggu ketibaan ambulans, pihak polis kelihatan mengambil gambar dan mengawal keadaan lalu lintas.

Humaira’ dapat melihat senario itu dengan jelas melalui tingkap kereta kerana semua kenderaan bergerak dengan amat perlahan.

“Kenapa dengan orang tu ayah, kenapa ditutup dengan plastik hitam?” dia bertanya, sedang kepalanya masih berada di tepi tingkap, menjenguk-jenguk suasana.

“Errr...Emmm...dia kemalangan, dan dia dah mati” saya teragak-agak menjawab.

“Kenapa dia mati ayah?” dia bertanya lagi.

“Sebab dia kemalangan, dan badan dia luka teruk sangat agaknya” saya menjelaskan logik mudah, walaupun pada hakikatnya ramai juga manusia yang mati walaupun tanpa seinci luka.

“Ayah, lepas ni orang tu kena masuk kubur ke ayah?” Jujur dia bertanya. Kereta kami ketika ini telah melepasi kawasan kemalangan.

Terkejut juga saya dengan pertanyaannya, sebelum ini tidak pernah pula saya menceritakan tentang kematian dan perkuburan kepadanya, mungkin hasil dari pemerhatiannya sendiri agaknya.

“Iye sayang.” Ringkas saya menjawab, fikiran saya sebenarnya masih terganggu melihat kemalangan tadi.

“Ayah, kenapa orang mati kena masuk dalam kubur?” terkesima seketika saya mendengar soalannya. Harus saya fikirkan jawapan terbaik untuk menjawab bagi mengelak dari memberi kefahaman yang salah ataupun menimbulkan ketakutan padanya tatkala berbicara tentang kematian. Kematian adalah satu destinasi pasti yang seharusnya menjadi motivasi, bukan ilusi yang akan hanya membuat wajah menjadi pucat lesi.

“Humaira, sampai satu hari nanti, semua manusia akan mati, tak kira siapa dan tak kira masa” saya memulakan penerangan.

“Ayah, Humaira’ tak nak mati, Humaira takut ayah.” Mungkin melihat kengerian kematian tadi membuatkan dia trauma tentang mati. Tidak mustahil kerana saya juga masih mempunyai trauma tersebut kerana ketika kecil tidak didedahkan dengan hakikat sebenar kematian.

“Begini Humaira’, suka atau tidak suka, takut atau berani kita akan mati juga. Selepas kita mati, kita akan masuk dalam kubur, dan dalam kubur malaikat akan datang dan tanya tentang apa yang kita buat semasa kita hidup.”

“Malaikat itu, namanya Munkar dan Nakir, kedua-dua malaikat ini akan senyum dan layan kita baik-baik jika semasa di dunia kita ini adalah orang yang baik, rajin solat, dengar cakap ayah dan ibu, rajin baca Quran, rajin belajar, kongsi barang dengan adik, suka tolong ayah dan ibu juga tolong cikgu dan kawan-kawan. Kubur kita juga kalau kita baik, Allah akan besarkan dan pasangkan lampu, kemudian Allah akan letakkan TV besar untuk kita tengok rancangan syurga. Best tak?” Saya memberikan khabar gembira buatnya dan motivasi agar balasan baik selepas kematian itu akan menjadi penghambat untuk dia menjadi insan yang lebih berbakti.

“Best-Best!” wajahnya kelihatan ceria.

“Tapi, kalau di dunia ini kita selalu buat jahat, bangun lambat dan tak solat subuh, degil dan tak dengar kata, kemudian malas baca buku dan selalu lawan cikgu, buang sampah merata-rata, buat jahat dengan adik dan kawan-kawan, Allah akan sempitkan kubur kita. Kemudian malaikat Munkar dan Nakir akan datang dan rotan kita dengan kayu besar. Kubur kita pun gelap dan Allah akan biarkan kita panas dalam kubur. Takut tak?” Balasan bagi mereka yang ingkar kemudiannya saya ceritakan, tapi dalam versi kanak-kanak yang lebih mudah dihadam fikiran.

“Takutnya!, Ayah, Humaira’ tak nak jadi jahat, esok ayah kejut Humaira’ solat subuh ye.” Wajahnya yang ceria tadi, bertukar mendung.

“Insyaallah. Emm, Humaira’, kita kena selalu berdoa pada Allah, agar Allah jadikan kita orang yang baik dan soleh, kemudian minta juga pada Allah agar Allah jauhkan kita dari rotan malaikat Munkar dan Nakir dalam kubur.”

“Baik, ayah, nanti ayah ajar ye doa tu.” Wajahnya kelihatan penuh pengharapan.

“Insyaallah, Ok, jom kita baca sama-sama, Humaira ikut ayah ye.”

“Allahummainni” saya membaca salah satu doa mohon perlindungan dari azab kubur yang mudah dan ma’thur, terdapat dalam himpunan al Ma’thurat dan kemudian diikuti oleh Humaira’.

“A’udzubika min azabil qabri” saya menyudahkan doa dalam bahasa arab dan kemudian saya membacakan maknanya pula.

“Ya Allah, jauhkanlah kami dari azab kubur”

“Amin” kami sama-sama mengaminkan doa. Dalam hati saya bersyukur kerana hari ini saya diberi peringatan tentang kematian. Moga tazkirah ini akan menjadikan saya lebih bermotivasi untuk menyemai taqwa dalam diri dan untuk memelihara ahli keluarga saya dari menjadi bahan bakar api neraka.

Mutiara Untuk Ibu Bapa

Hakikat kematian adalah antara perkara yang sering ditanya oleh anak-anak dan sebagai ibu bapa kita tidak harus mengelak atau merasa takut untuk menjelaskan tentang kematian kepada anak-anak yang masih kecil, kerana kematian akan hadir tidak kira masa dan usia. Menjelaskan tentang kematian, tidak harus menjadikan mereka manusia yang pengecut dan takut kepadanya. Jelaskanlah kepada mereka akan balasan baik selepas kematian kepada mereka yang rajin berbakti agar anak-anak akan termotivasi untuk menjadi manusia yang baik dan jangan lupakan juga penjelasan tentang balasan buruk buat mereka yang ingkar perintah tuhan. Penting juga untuk menjelaskan kepada anak-anak bahawa kematian seseorang bukanlah balasan kerana dia adalah seorang yang jahat, tetapi ceritakan kepada mereka bahawa tidak kira baik atau jahat, semua makhluk termasuk kucing, lembu, kura-kura, itik dan ayam semuanya akan mati, dan selepas matilah baru seseorang itu akan dihisab atas segala amal perbuatannya ketika di dunia.

Eksperimen Bersama Ombak

Merendamkan tubuh di pinggir Laut Cina Selatan yang luas terbentang di daerah Marang pada waktu pagi yang tenang selepas menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Rusila sambil menyaksikan sang mentari melunaskan janji adalah kepuasan yang tidak mampu untuk ditulis dengan kata-kata.

Sesekali aku mengerling Humaira yang leka bermain pasir sambil tangan kecilnya mengorek-ngorek mencari anak-anak ketam yang berselindung di balik cengkerang siput dan kerang yang bertaburan diatas butiran-butiran pasir halus yang tersusun indah.

Setelah puas bermain pasir agaknya, dia berlari ke arahku untuk membasahkan tubuhnya dengan air laut yang jernih. Dia merenung lantunan ombak dan mengamati desirannya yang memikat lalu bertanya

“Ayah, kenapa dekat laut ada ombak?”

Soalan yang telah aku agak akan ditanyakannya ketika kami merendamkan diri membiarkan tubuh diusap oleh ombak sepoi-sepoi bahasa bertemankan anak-anak ikan kecil halus yang berenang bebas mencari rezeki yang dijanjikan.

Aku terdiam sejenak, mencari-cari jawapan yang terbaik, setahu aku, ombak boleh terbentuk akibat dari 3 keadaan, yang pertama adalah akibat tarikan graviti bulan yang menyebabkan air tertarik ke lautan dan kemudian terlepas kembali kerana tarikan graviti bulan yang tidak cukup kuat. Untuk menerangkan cara ini, aku merasakan agak tidak sesuai kerana nanti akan ditanyakan pula apa itu graviti dan kenapa bulan boleh ada graviti pula. Ah! Jangan cari penyakit Hisham...

Aku terfikirkan cara yang lebih ekstrem iaitu akibat sesaran kerak bumi yang mengakibatkan tsunami, tetapi rasanya ombak bentuk itu bukanlah seperti ombak yang kami saksikan bersama pagi ini.

Cara yang paling mudah rasanya adalah dengan menerangkan konsep tiupan angin yang menyebabkan air laut beralun-alun dan akhirnya terhasillah ombak. Lebih mudah dan praktikal.

“Ehem, Ehem....Humaira, begini” aku memulakan bicara lagak seorang saintis pakar yang ingin menerangkan tentang teori besar kejadian ombak dalam seminar antarabangsa yang dihadiri oleh cendekiawan-cendekiawan ulung dari seluruh dunia.

“Humaira tahu tentang angin?” aku menjawab soalannya dengan soalan, kaedah biasa yang aku gunakan untuk merangsang mindanya agar turut sama bergerak. Juga ia sebagai strategiku untuk mencuri masa tika soalan yang ditanya tidak dijumpai jawapannya dalam ensiklopedia kompleks di kepalaku yang terkandung di dalamnya keupayaan pemikiran yang hampir tidak pernah dioptimakan.

“Tahu, tahu” dia menjawab ringkas.

“Ok, kalau tahu bagus, sekarang ni dekat laut ada angin yang bertiup kan, Maira boleh rasa tak?”

“Ha, rasa, rasa” sambil dia memegang wajahnya merasai tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.

“Bila angin tu bertiup, dia akan tiup air tu sama” kemudian aku mengambil secedok air dengan genggaman tanganku dan kemudiannya aku meniupnya untuk menunjukkan contoh mudah bagaimana ombak terhasil.

“Maira  nampak tak air yang dalam tangan ayah ni, bergerak-gerak dan berombak bila ayah tiup. Macam tu juga dengan air laut, bila angin bertiup dan kemudian akan adalah ombak dekat laut sama macam yang ayah tunjuk dalam tangan ayah tadi”

Dia kemudiannya turut mengambil secedok air dan kemudian turut ditiupnya seperti contoh yang aku lakukan tadi. Air di tangannya juga bergerak-gerak dan berombak sama seperti demonstrasi yang aku lakukan tadi.Wajahnya kelihatan puas sekali dapat memahami bagaimana ombak terhasil melalui eksperimennya sendiri.

“Nah, faham sekarang?” aku bertanya kepadanya untuk mencari kepastian. Dia mengangguk-ngangguk tanda faham.

“Maira, dengar ni. Paling penting adalah, ombak dan lautan ini, semuanya Allah yang ciptakan, hebat tak Allah” aku kembali kepada kesimpulan yang paling penting dalam pelajaran pagi ini dan pada hari-hari yang lain, iaitu meletakkan rasa kehebatan Allah pada setiap ciptaan di alam ini pada jiwa kecilnya yang masih lagi lentur.

Hebat, hebat, hebat” mulutnya menjawab tapi matanya melihat-lihat anak-anak ikan kecil halus yang berenang renang manja sambil tangannya cuba menyauk ikan ikan itu.

Menerangkan tentang konsep ombak,agak mudah, tidak sesusah menerangkan konsep kenapa daun hijau dan bagaimana Allah melihat kita. Menjawab persoalan anak-anak, perlukan kesabaran dan sedikit kreativiti, dan paling penting, jangan lupa untuk menambahkan perisa keimanan dan tauhid ke dalam setiap kisah, kerana tarbiyyah itu ada di mana-mana.

“Maira, ombak ni selain dari kena tiup angin, ada satu cara lain lagi macamana ombak boleh jadi, nak tau tak?”


“Nak, nak, nak”

“Ok, boleh, tapi kena tutup mata dulu” kali ini aku akan demonstrasikan pula padanya teknik ombak akibat sesaran bumi. Aku mencedok air dari tanganku dan meminta dia menunggu dengan mata yang terpejam.

“Sedia, satu, dua, tiga...nah terimalah ombak yang ketiga!” aku mencampakkan air laut ke mukanya ala ala tsunami yang melanda.

“Ayaaaaaaaaahhhhhhhh!”


Cerita Tentang Hujan


Panas yang berpanjangan sepanjang hari itu diakhiri dengan hujan lebat yang begitu menyegarkan. Humaira yang tidur sejak tadi di sofa, bangkit seketika saat mendengar titis-titis hujan yang turun deras membasahi bumi. Pohon-pohon hijau seolah-olah menyanyi dan menari penuh kegembiraan menyambut rahmat dari langit yang turun membasahi setiap makhluk.
“Ayah, hujan lebat la” dia memulakan bicaranya dengan suara serak-serak basah setelah bangkit dari tidur yang agak lama. Matanya digosok-gosok dan kemudian dia melontarkan pandangannya kembali ke arah tingkap.
Aku mendiamkan diri, memikirkan apakah pengisian tarbiah dan keimanan yang akan aku ajarkan padanya kali ini. Melihat hujan turun, akalku ligat berfikir. Elok juga jika kali ini aku terangkan padanya tentang proses kejadian hujan.
“Maira, nak dengar tak cerita tentang hujan, cerita tentang macamana hujan boleh turun?” aku memulakan bicara, sengaja aku bertanya untuk menarik perhatiannya yang mungkin masih lagi mamai.
“Nak, nak, nak” dengan cepat dia menjawab, memang dia akan cukup gembira jika aku bercerita kepadanya, walaupun cerita itu telah diulang dua tiga kali. Jika semasa kecilnya, cerita-ceritanya hanyalah tentang kucing dan kambing yang kelaparan, diikuti dengan kisah-kisah para nabi yang menarik hati seperti kisah Nabi Musa, Sulaiman, Daud ketika usianya 3 dan 4 tahun dan kini cerita pada usia 5 tahun harus lebih canggih dan sesuai dengan kemampuan mindanya yang semakin maju.
“Ok, macam ni Maira, tau tak sungai dan laut?
“Tau, tau”
“Dalam sungai dan laut ada banyak air kan?” aku memulakan penerangan dengan soalan demi soalan agar tergambar bayangan-bayangan dimindanya.
“Aaaa’aaa, ye ada air banyak, tapi kenapa ayah? Kata nak cerita pasal hujan” dia sedikit tidak puas hati kerana seakan-akan aku ingin lari dari topik penceritaan.
“Sabar la dulu, nak dengar ke tak nak ni?” aku memujuknya agar sabar sedikit. Biasalah jiwa anak-anak resminya sentiasa hendak cepat dan tidak sabar.
“Matahari maira tau tak?” kembali aku bertanya padanya.
“Matahari panas ke sejuk?” sebelum sempat dia menjawab, aku kembali bertanya kepadanya soalan-soalan mudah agar dia tidak terasa susah.
“Panas” ringkas dia menjawab.
“Ok, bila matahari panas, air sungai dan air laut akan tersejat, tersejat tu maksudnya air tu akan naik ke atas langit” aku menerangkan kepadanya dengan bahasa yang semudah mungkin.
“Faham tak?” aku bertanya pabila aku melihat wajahnya tiada reaksi, biasanya dia akan menyahut dengan “Oooooo” yang panjang atau anggukan tanda kefahaman.
“Faham, faham, tadi kan ayah suruh sabar, ni maira sabar la ni” dia memulangkan buah kerasnya kepada ku kembali.
“Aduh! Kena sebiji” namun keluhan itu hanya kedengaran di dalam hati, aku hanya mampu tersenyum tawar kemudian menyambung lagi penceritaan.
“Bila air-air tadi naik ke atas, dia akan berkumpul dan berkumpul kemudian jadilah awan yang warna putih”
“awan-awan tadi asalnya warna putih, bila air yang berkumpul dalam tu makin banyak dan makin banyak, akhirnya dia akan jadi warna kelabu, sekarang cuba maira tengok awan tu, apa warnanya?” sambil aku menghalakan jari telunjuk ke arah langit.
“Aaa’aaa lah, warna kelabu, dalam tu dah ada banyak air ke ayah?” dia mengiyakan diikuti dengan soalan.
“Iye, jadi bila awan tu dah berat sangat, itu yang air tu turun mencurah-curah tu, air yang turun tadi kita panggil ia sebagai hujan”
“Oooooo” kali ini barulah dia mengangguk dengan “trademark” ooooonya yang mahal itu.
“Hah, sekarang faham tak?”
“Ok, faham-faham” dia kemudian tersengih menampakkan gigi depannya yang sedikit kuning dan agak jarang.
“Ok bagus!” aku mengangkat ibu jari memberinya motivasi. Moga sifat ingin tahunya akan mengembangkan potensi mindanya menjadi sehebat Saidatina Aisyah suatu hari nanti. Amin.






Allah Ciptakan Semuanya

setiap butir pasir ditepian pantai, setiap titis air di lautan, setiap daun yang berguguran adalah dalam ilmu dan pengetahuan Allah yang maha luas duhai anakku sayang.

“Ayah, kereta siapa yang ciptakan?” Kakak Humaira tiba-tiba sahaja berbicara memecah kesepian dalam kereta ketika kami pulang ke kampung. Sudah agak lama kami tidak bersoal jawab begini.

“Aaaaa, kereta manusia yang ciptakan, tapi kereta diciptakan dari besi dan besi diciptakan oleh Allah” aku menjawab persoalannya dan menambah sedikit perencah keimanan agar jawapanku tadi menambah pengetahuannya tentang kehebatan Allah. Sebelum ini pun dia kerap bertanya tentang objek-objek yang dilihatnya. Jika pada usia 4 tahun, soalannya adalah tentang apa, kali ini dia menambah kenapa dan penciptanya.

“Ooooo” dia mengangguk-ngangguk, kemudian melalui cermin pandang belakang aku melihat dia memalingkan wajahnya ke luar tingkap kereta, matanya kelihatan liar melilau ke sana sini mencari persoalan-persoalan baru untuk ditanyakan. Aku menunggu dengan penuh sabar dan pastinya soal jawab ini akan berlanjutan lama dan berulang-ulang.

“Ayah, pokok siapa yang ciptakan?” kali ini dia kembali dengan soalan seterusnya, mungkin ketika melihat pokok-pokok yang banyak di sepanjang jalan.

“Pokok, Allah yang ciptakannya” aku menjawab, kali ini terus kepada tujuan.

“Awan?” dia bertanya lagi?

“Allah” aku menjawab ringkas.

“Batu?”

“Allah.”

“Bukit?”

“Allah”

“Padi?”

“Allah”

“Jalan?”

“Jalan manusia yang ciptakan, tapi jalan dibuat dari batu, dan batu kan Allah yang ciptakan macam ayah cakap tadi”

ketika soalannya adalah tentang apa yang tidak diciptakan secara langsung oleh Allah, tetapi melalui wasilah tangan-tangan manusia, aku akan mengembalikan persoalannya tadi dan mengaitkannya kembali kepada Allah, agar dia mengetahui bahawa Allah yang menciptakan semuanya.

“Ooooo” dia mengangguk lagi. Kemudian soalannya terus bersambung-sambung. Pelbagai objek yang dilihatnya semua ditanyakannya. Dari langit hingga ke laut, papan tanda jalan ke rumput rumput di jalanan, ikan di dalam akuarium kecil kami, cermin tingkap, pen, pensel, kertas, warna, ubat gigi hinggalah kepada baju yang sedang dipakainya. Kadang-kadang ada soalan yang diulang-ulangnya dua atau tiga kali. Tanpa jemu aku menjawabnya agar keimanannya terus mantap dan agar dia benar-benar yakin bahawa Allah yang menciptakan segalanya. Hampir segala objek yang ada dalam kamus pemikirannya dikeluarkan dan kemudian ditanyakan siapa penciptanya.

Hingga akhirnya dia bertanya satu soalan yang membuatkan aku terkejut seketika.

“Ayah, siapa yang ciptakan Allah?”

Aku terdiam seketika, hingga dia mengulang kembali persoalannya dengan lebih kuat dan tegas.

“Ayah!, siapa yang ciptakan Allah?”

“Sayang, Allah tidak ada siapa yang menciptakannya, tapi Allah yang ciptakan semua benda” ringkas aku menjawab setelah berfikir sejenak, tidak tahu apakah dia berpuas hati.

“Tapi macamana ayah?” nada suaranya kelihatannya seperti dia dalam kebingungan.

“Hmmmm, memang macam tu, tidak ada yang ciptakan Allah, sebab semuaaaaaaaaanya Allah yang ciptakan. Memang tidak ada menciptakan Allah, sebab Allah adalah pencipta segala”

Aku menerangkan dengan gaya tangan dan nada yang bersungguh-sungguh.

“Ooooooo” begitulah reaksinya setiap kali aku menjawab. Entah faham atau tidak, kerana pastinya dialog ini akan berulang berpuluh-puluh kali lagi.

“Ayah, macamana Allah ciptakan benda?” soalannya kali ini lebih mencabar minda. Jenuh juga berfikir untuk menjawab dalam ayat yang boleh difahami oleh kanak-kanak 5 tahun yang belum kenal konsep tauhid dengan lengkap.

Walaupun soalan-soalannya mencabar dan berulang, tetap aku dan isteriku usahakan untuk menjawabnya, kerana aku tidak mahu mematikan semangatnya dalam bertanya dan menuntut ilmu.

“Sayang...begini, bila Allah nak ciptakan sesuatu benda, Allah akan sebut “Jadi!” maka benda itu akan terjadi. Contohnya, Allah nak jadikan bintang, Allah akan sebut “Jadi” dan bintang tu pun akan ada.”

Aku menjawab sambil mengingat-ingat firman Allah dalam ayat 117 surah Baqarah.

“Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah". Lalu jadilah ia.” 2:117



Untuk menceritakan tentang proses kejadian bintang, hakikat luh mahfuz dan peranan malaikat aku rasakan belum waktunya lagi, cukuplah setakat ini dia mengetahui bahawa Allah mampu menciptakan semuanya dengan cukup mudah sahaja.



“Oooooo” dia mengangguk-ngangguk lagi dan aku pasti bahawa minda kecilnya yang saling berhubungan akan sentiasa mencari dan terus mencari hakikat ciptaan ilahi.

Jangan Seperti Ketam...


“Humaira, minum kena duduk!” aku menegurnya suatu hari ketika aku melihat dia minum berdiri.

Terus dia duduk, aku bercekak pinggang dan melihatnya menghabiskan air dengan wajah yang serius, sesekali matanya menjeling ke arahku. Setelah menghabiskan airnya, terus dia meletakkan cawan di atas meja dan berlalu tanpa sepatah kata.

***

Suatu hari, ketika aku pulang dari kerja dalam keadaan yang sangat letih dan dahaga, terus aku menuju ke dapur ke arah peti ais dan mencari tupperware air dingin. Tanpa menuangkan ke dalam gelas, aku terus sahaja minum sambil berdiri, terasa kedinginan air mengalir ke setiap inci tubuh menyegarkan kembali saraf-saraf yang telah longlai.

Sedang aku menikmati setiap tegukan, tiba-tiba

“Ayah!” Humaira separuh menjerit menjegilkan matanya kepadaku sambil bercekak pinggang di penjuru dapur. Entah bila dan darimana dia muncul agaknya

Aku buat buat tidak tahu dan tidak dengar sahaja, sambil dalam hati aku berbisik.

“Alamak, habislah aku kali ini kena ceramah perdana dengan Ustazah Humaira”

“Ayah, minum kena duduk la!, tak elok minum berdiri...” Humaira memulakan syarahannya, aku perlahan-lahan duduk di samping peti ais sambil menyambung kembali tegukan demi tegukan.

“Ayah, minum kena perlahan-lahan la, kenapa tak boh dalam gelas?” Ceramahnya disambung diikuti dengan soalan yang aku tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya.

Belum sempat aku menjawab, Humaira menambah lagi.

“Lain kali tak mau buat dah tau, tak elok” dia menambah sambil jari jemari halusnya diangkat kepadaku dan digoyang-goyangkan, serupa seperti ketika aku menegurnya atas kesalahan yang dilakukannya.

“Baik anak ayah, ayah minta maaf, lain kali ayah tak buat lagi” hanya itu yang aku mampu ucapkan dengan wajah yang kesal. Isteriku yang baru turun dari tingkat atas hanya memerhati dengan wajah mengejek yang seolah-olah menyatakan padan muka kepadaku.

Begitulah resmi kepimpinan, harus ditunjukkan contoh melalui teladan yang baik, “Lead by example” kalau bahasa inggerihnya.

Jika kita mahu anak kita menjadi anak yang soleh dan sentiasa solat di awal waktu, kitalah yang harus menunjukkan contohnya, jika kita mahu anak kita rajin membaca dan tidak selalu menonton televisyen, kitalah cerminan mereka. Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus...

Begitu juga jika kita mahu anak-anak kita taat kepada kita, mendengar kata dan tidak sering merajuk atau memberontak, itulah yang harus kita aplikasikan dalam muamalah kita bersama rakan-rakan dan lebih-lebih lagi muamalah kita bersama orang yang lebih tua dan ibu bapa kita.

Berpangkat seorang ayah, tidak semestinya kita tidak membuat kesilapan dan tidak semestinya kita tidak boleh ditegur oleh anak kita sendiri. Tidak semestinya setiap kata kita sebagai seorang ayah harus ditaati secara total tanpa disediakan ruang untuk perbincangan dan perbahasan.

Berada dalam sebuah keluarga, nilai-nilai musyawarah harus dipraktikkan, sebarang perbezaan pendapat haruslah ditangani sebaiknya dan tidak seharusnya kita sebagai ayah sentiasa berasa bahawa setiap pendapat kita adalah benar dan terbaik manakala pendapat anak-anak langsung tidak berguna.

Seorang ayah juga harus sentiasa muhasabah hubungannya dengan ahli keluarganya, kadang-kadang anak-anak tidak mahu mendengar kata kita mungkin kerana bosan dengan sikap kita yang terlalu memaksakan pendapat dan lebih penting lagi, muhasabahlah hubungan kita dengan Allah. Bila hubungan kita dengan Allah renggang, maka hubungan dengan anak-anak pun tidak mustahil akan menjadi renggang.

Kerana dialah jua yang membolak balikkan hati manusia.

Bedtime stories:kisah tawakkal seribu dinar



“Ayah, tu ayat apa tu ayah?”

Humaira menarik perhatianku terhadap frame ayat seribu dinar yang telah tergantung di dinding sejak sekian lama, frame tersebut diberi oleh kedua ibu bapaku sebagai hadiah perkahwinan.

“Oh, tu ayat surah At Talaq” aku menjawab ringkas.

“Cuba ayah baca, maira nak dengar” pinta Humaira kepadaku, sambil dia berbaring diatas ribaanku dengan wajah yang mengantuk. Aku membaca ayat tersebut kepadanya dan dia mendengar dengan begitu teliti sekali.

“Maira nak dengar tak cerita surah At Talaq” aku menawarkan kisah kepadanya. Setiap ayat yang aku bacakan atau aku minta dia hafal, akan aku kisahkan kepadanya makna disebalik ayat, supaya dia tidak hanya pandai membaca, tapi faham serba sedikit makna Al-Quran.

Sudah tentu kisahnya adalah yang bersesuaian dengan tahap akalnya, takkanlah nak membicarakan asbabun nuzul atau pengajaran dari kitab tafsir ibnu katsir untuk kanak-kanak yang hanya baru berusia 5 tahun.

Kepalaku ligat berfikir tentang apa kisah yang akan aku ceritakan kepadanya bagi memahamkan konsep tawakkal dalam bentuk yang mudah, kebergantungan hanya kepada Allah yang akan membuahkan jalan keluar yang tidak disangka-sangka.

“Suatu hari, ada 3 orang budak bermain ditepi hutan, nama dia Khadijah, Anis dan Alia” aku memulakan kisah, sengaja aku menamakan watak dengan nama adik dan kawan-kawan rapatnya supaya dia rasa lebih hampir dengan kisah yang aku bakal kisahkan.
“Mereka bermain dan bermain, tiba-tiba, bola yang Khadijah campakkan kepada Anis, tercampak masuk ke hutan...” aku menceritakan dengan penuh gaya dan ekspresi wajah, Humaira mendengar dengan penuh khusyuk.

“Mereka pun masuk ke hutan, nak cari bola tadi, cari punya cari, bola tak jumpa dan diaorang sesat dalam hutan dalam keadaan malam yang gelap”

(“Khadijah...Alia takut”) aku menggayakan dialog agar kisahku lebih hidup dan bermakna

(“Khadijah pun takut Alia, Khadijah takut gelap, Khadijah dah lapar, Khadijah nak baliiiikkk”) “Khadijah dan Alia menangis sebab takut dan tak tahu nak buat apa, kesiankan kat diaorang?” Wajah Humaira kelihatan sedikit cemas, mungkin terkesan dengan lakonanku, hehe...

(“Anis pun takut juga, tapi apa kata kita doa, kita minta Allah tunjukkan pada kita jalan keluar”) “Anis bagitau diaorang suruh diaorang doa, walaupun Anis takut, tapi Anis yakin, masa tu, takde siapapun yang boleh tolong diaorang melainkan Allah” aku mula menerangkan konsep tawakkal dan harapan kepada Allah dalam keadaan yang terdesak.

(“Jom kita doa sama-sama, ikut Anis ye”)

(“Ya Allah, selamatkanlah kami Ya Allah, kami sesat, kami takut, kami tak tahu nak buat apa Ya Allah, hanya engkau yang boleh selamatkan kami”) “Diaorang berdoa bersungguh-sungguh, sebab dalam hutan tu tiada siapa yang boleh tolong diaorang kecuali Allah”

“Habis saja diaorang berdoa, tiba-tiba ada seekor beruang datang” Kali ini wajahnya kelihatan begitu cemas, mungkin risau “kawan-kawannya” dimakan beruang agaknya.

“Semua orang takut, sebab ingatkan beruang tu nak makan depa, tapi tiba-tiba beruang tu tundukkan badan dia , seolah-olah macam nak suruh diaorang naik”

“Lalu diaorang pun naiklah belakang beruang tu, dan akhirnya beruang tu bawa diaorang pulang ke rumah...” aku meringkaskan cerita kerana aku sendiri sudah mengantuk.

“Sekarang, maira Nampak tak, bila kita susah, kita dah usaha dan kita dah tak tahu nak buat apa, kita doa pada Allah, Allah akan tolong kita dengan cara yang tak disangka-sangka” aku menyimpulkan cerita, kali ini wajahnya kembali ceria, kerana “kawan-kawannya” dah diselamatkan.

“Ayaah, cerita surah al mulk pulak” satu lagi permintaan dari si kecil...

“Hah, sudah, ayah dah ngantuk ni, Jom naik atas...nanti lain kali ayah cerita” Aku mengakhiri perbualan malam itu, teringat akan panjangnya surah al mulk dan betapa kompleksnya kisah yang perlu aku ceritakan.

“Tido, tido...Bismikallahumma ahya wa amut...(“Dengan nama Allah aku hidup dan aku mati”)” moga humaira tidur diulit mimpi tawakkal yang akan membuahkan jalan keluar yang tidak disangka-sangka dan moga dia yakin hanya Allah yang mampu menyelamatkan dirinya dalam apa jua keadaan.