Perigi Cari Timba?


“Encik Hisham, saya telah jatuh hati pada seorang lelaki. Lelaki ini tinggal di sebelah rumah saya dan selalu ke masjid bersama teman-teman serumahnya. Wajahnya tidaklah kacak, tetapi saya tertarik dengan peribadinya yang sentiasa suka membantu jiran-jiran yang lain dalam banyak urusan dan sentiasa ke masjid pada waktu Subuh dan Isya.”

“Apa yang perlu saya buat ye? Adakah wajar saya sebagai seorang perempuan meluahkan isi hati saya kepadanya? Ataukah Encik Hisham rasa perasaan saya ini hanyalah bisikan syaitan dan perlu saya abaikan sahaja?”

“Mohon nasihat.”

Begitu lebih kurang bunyi satu soalan yang masuk ke dalam ‘inbox’ fb saya dari salah seorang bekas pelajar saya yang kini bekerja di Kuala Lumpur. Luahan perasaannya jauh lebih panjang dari apa yang saya tulis di atas, tetapi saya ringkaskan agar tidak meleret-leret.

Saya percaya, ramai dari wanita yang belum berkahwin mempunyai dilema yang sedemikian rupa. Minat pada seseorang tapi tidak berani untuk meluahkan rasa. Akhirnya diri sendiri yang menderita menjeruk rasa.


Sebenarnya, tidak ada salahnya pihak wanita yang memulakan langkah terlebih dahulu asalkan ia dilakukan dengan penuh beradab.

Jika telah jatuh hati pada seseorang, ia adalah satu perasaan yang indah, ia adalah fitrah. Namun untuk mengalirkan fitrah itu hendaklah melalui jalan syariat yang tidak menimbulkan fitnah.

Mulakan dengan melakukan sedikit risikan terlebih dahulu. Jika yang diminati itu adalah teman sepengajian atau rakan sekerja, mungkin boleh tanya pada pihak ketiga yang dipercayai. Jika yang diminati itu adalah jiran sebelah, mungkin boleh bertanya pada jiran-jiran lain yang boleh dipercayai.

Bila hendak bertanya, tanyakan tentang agamanya terlebih dahulu, adakah dia menjaga solat atau tidak? Apakah dia rajin solat berjemaah atau tidak? Kerana biasanya lelaki yang menjaga solat berjemaah pada waktu Isya’ dan Subuh adalah lelaki beriman yang akan menjaga urusan-urusan agama yang lainnya.

Apa yang paling penting, tanyakan dulu apakah lelaki itu sudah berpunya atau belum, jika sudah berpunya, lupakanlah hasrat, masih banyak lagi lelaki-lelaki lain yang lebih baik di luar sana. Kumbang bukan seekor. Tidak perlulah terlalu kecewa.

Jika masih belum, minta agar ditanyakan tentang kesediaannya untuk berkahwin. Jika memang dia telah bersedia namun belum punya calon, mulakanlah langkah seterusnya iaitu solat istikharah.

Jika hati telah tenang dengan keputusan mulakanlah berfikir tentang bagaimana untuk menyatakan isi hati.

Perlu diingat, tidak ada buruknya perigi yang mencari timba. Bukankah Saidatina Khadijah juga melakukan perkara yang sedemikian rupa terhadap lelaki yang paling mulia, sedangkan beliau adalah antara wanita yang paling mulia di dunia dan di akhirat.

Tidak perlu malu pada menyatakan hasrat dan melakukan kebaikan, seharusnya kita hanya malu bila melakukan maksiat kepada Allah.

Hasrat boleh dinyatakan juga melalui pihak ketiga, sepertimana Saidatina Khadijah menghantar utusan untuk menyatakan hasrat hati kepada Rasulullah, selepas itu serahkanlah natijahnya kepada Allah.

Elakkanlah berurusan secara terus dengan menghantar sms, surat cinta layang mahupun melalui e-mail dan facebook. Khuatir jika berurusan dengannya hanya berdua, nanti syaitan yang akan menjadi orang tengahnya.

Bagaimana suka pun kita kepada si dia, syariat dan maruah diri tetap perlu dijaga. Jangan gadaikan iman dan maruah hanya kerana cinta palsu yang bersandar pada nafsu.

Jika memang ada jodoh, Insyaallah tidak akan ke mana. Jika tidak ada, suka saya nyatakan sekali lagi bahawa bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Janganlah kekecewaan akibat hajat yang tidak kesampaian menyebabkan kita jadi buta sehingga menurut nafsu dan membelakangi syariat dalam reaksi.

Semoga dalam menyatakan cinta dan hasrat hati, iman dan syariat sentiasa menjadi tunjang yang membentengi diri.

Semoga berjaya.

No comments:

Post a Comment