Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri". (46:15)
9 bulan hampir tamat. Kini tiba saat-saat akhir sebelum anak ketiga kami dilahirkan. Isnin ini isteri saya dijadualkan untuk menjalani pembedahan ceaserean ketiga di Women’s and Children Hospital, Adelaide.
Pembedahan, dijadualkan akan bermula seawal jam 730 pagi dan akan dilakukan oleh seorang doktor wanita berbangsa India yang berasal dari Singapura.
Melihat kembali 9 bulan yang telah berlalu, banyak pahit manis dan perkara-perkara baru yang telah kami sama-sama lalui dan pelajari.
Ketika isteri saya dilanda alahan yang amat teruk pada tempoh 3 bulan pertama kehamilan, saya terpaksa akui bahawa ketika itu saya sedikit tertekan.
Jadual saya bermula seawal 545 pagi dengan bekerja di Kindergym, pulang dari Kindergym sekitar jam 7, saya bergegas untuk menyiapkan Humaira’ ke sekolah dan seterusnya memasak untuk keluarga dan untuk dijual di Union House.
Saya terpaksa bekerja dan berniaga untuk menampung beberapa perbelanjaan luar jangka yang hadir tiba-tiba. Syukur Allah memberi saya kesihatan yang baik ketika itu.
Sekitar jam 945, saya bergegas ke Union House untuk menghantar nasi dan kemudiannya bergegas ke pejabat untuk berjumpa dengan penyelia dan menyiapkan tugasan-tugasan pengajian.
Jam 1130, saya terpaksa pulang semula ke Kindergym untuk bekerja dan petangnya menyambung kembali pengajian di pejabat. Waktu malam juga saya tidak dapat berehat kerana terpaksa mengemas rumah, mencuci pinggan, membasuh kain dan bermain seketika dengan anak-anak.
Dalam tempoh itu juga beberapa kali kami ke hospital dan terpaksa bermalam di wad kerana isteri saya hampir mengalami dehidrasi akibat muntah-muntah walaupun hanya air masak yang dijamah.
Ketika ini, saya amat bersyukur kerana ramainya akhawat yang datang membantu menghantar makanan, menjaga anak-anak kami dan mengemas rumah.
Mengimbau kembali kenangan itu, walaupun pahit, tapi banyak perkara yang saya pelajari. Saya belajar untuk lebih bersabar, belajar untuk memasak dengan lebih pantas dan jitu, belajar untuk mengurus rumah dengan pantas, belajar untuk mengendalikan karenah anak-anak pada ketika perasaan diri sendiri tidak terkendali dan macam-macam lagi.
Benarlah pada setiap kepayahan yang kita lalui itu akan ada hikmah yang tersembunyi. Bila kita berdoa agar Allah mengurniakan sabar, rupanya Allah menghadirkan ujian untuk menjadikan kita lebih kuat.
3 bulan yang kedua adalah waktu-waktu yang menggembirakan kerana isteri saya telah kembali pulih seperti sediakala dan mampu untuk ‘beraksi’ seperti biasa. Namun ketika ini, tekanan pengajian mula dirasai kerana fasa pengumpulan data telah bermula. Dalam tempoh ini juga saya pulang seketika ke Malaysia untuk menjenguk keluarga, terutamanya bagi menziarahi ayah saya yang menjalani pembedahan.
3 bulan yang ketika, seperti ada bola yang dilekatkan pada perut isteri saya, pergerakannya makin perlahan dan tidak lagi mampu untuk berdiri dan berjalan lama-lama. Namun masih tega berbakti dan menyumbang untuk keluarga dan anak-anak usrah yang dibawanya.
Saya membayangkan jika ada sebiji bola yang diikatkan pada perut saya, pastilah saya tidak akan mampu bersabar walaupun hanya sehari. Sungguh, ibu-ibu yang mengandung punya kesabaran luar biasa. Tambahan pula waktu-waktu akhir begini, kesakitan berulang-ulang datang silih berganti dan perut juga kelihatan seperti hampir meletup!
Melihat kepayahan yang dialami ini, dan kepayahan yang bakal dialami pula selepas pembedahan dan ketika membesarkannya, adalah amat tidak wajar bagi seorang anak mendurhakai ibu bapanya, terutama ibunya.
Walau apa jua yang berlaku, pengorbanan dan titisan air mata ibu tiada permata yang dapat menjadi galang gantinya.
Kini, perjalanan hampir sampai ke kemuncaknya, jerih payah yang dilalui dalam tempoh 9 bulan ini bakal berakhir di dewan pembedahan. Semoga tangisan si kecil dan azan di telinganya akan memadam segala luka, duka dan kesakitan yang dialami selama ini.
Jika si kecil yang bakal lahir membaca catatan ini suatu hari nanti, semoga dia akan menghargai dan memahami pengorbanan ibu yang telah melahirkan dan membesarkannya dengan penuh kesusahan.
Semoga Allah memudahkan segala urusan dan menjadikan anak ini sebagai penyejuk mata dan penawar hati dalam keluarga kami. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment