“Ye ke, mengapa dia panggil Humaira’ ‘liar’?” Tanya saya penuh minat, juga penuh tanda tanya.
Lama dia terdiam, seakan-akan teragak-agak untuk menceritakan dengan lebih lanjut.
“Eh, kenapanya Humaira’? ‘That’s okay, I won’t get angry’, you can tell me anything.” saya cuba memujuk. Sesekali cuba berbahasa Inggeris dengan loghat Australia dengannya.
Humaira, Maryam dan Puteri, tiga rakan baiknya di East Torrens |
“Errr...emmm” lama dia teragak-agak namun akhirnya diceritakan juga.
“Tadi Humaira’ nampak Ebbe (lelaki) nak ‘kiss’ Laith (perempuan), tapi Laith lari. Ebbe kejar. Masa dalam kelas Humaira’ beritahu Miss Chandrasina, tapi Ebbe tak mengaku, dia kata Humaira’ ‘liar’,” ceritanya.
Saya mendengar penuh minat.
“Oh, betul ke Humaira’ nampak?” saya meminta pengesahan.
“Iye, Maryam pun nampak.” Jawabnya sambil menyatakan saksi rakan sekelas yang turut melihatnya. Saya tidak ingin bertanya dengan lebih lanjut tentang apa yang berlaku selepasnya dan apa reaksi guru kerana tidak ingin menambah keserabutan perasaannya.
“Ok, kalau betul Humaira’ nampak, apa yang Humaira’ buat tadi adalah satu tindakan yang betul. Kalau Humaira’ nampak lagi perkara sebegitu berlaku, terus beritahu mana-mana cikgu ye.”
“Dalam Islam, lelaki tak boleh ‘kiss’ atau ‘touch’ mana-mana perempuan yang bukan muhrim dia. Bukan muhrim ni maknanya, kecuali ayah, adik beradik, pakcik-pakcik dan atuk, lelaki lain semuanya tak boleh sentuh, apatah lagi ‘kiss’” Saya menerangkan. Mengukuhkan lagi apa yang telah diketahuinya sebelum ini.
“Nanti di sekolah, Humaira’ main dengan budak perempuan aje tau, tak payah main dengan budak lelaki. Kalau ada budak lelaki yang nak kacau atau pegang Humaira’, lari sekuat hati dan beritahu cikgu, boleh?” Melihat suasana pergaulan yang tidak terjaga di sekolahnya, perkara sebegini perlu diingatkan berulang kali.
Bimbang juga jika tidak diingatkan, sifat ‘tak apa, orang lain pun boleh buat’ akan menguasai dirinya dan menghancurkan jati dirinya sebagai muslimah.
Dalam usia begini, walaupun mungkin ramai yang mengatakan masih terlalu awal, tapi bagi saya lebih baik diingatkan awal, sebelum ada yang terjebak dalam kancah yang tidak diingini.
Pengalaman isteri saya di tadika dan cerita rakan-rakan saya yang mengajar di sekolah rendah di Malaysia, membuatkan kami merasa amat gerun dengan betapa rapuhnya suasana masyarakat yang ada sekarang dalam pembentukan jati diri anak-anak sebagai muslim sejati.
Sukar dipercayai, tapi ada anak-anak semuda 7 dan 8 tahun yang cuba untuk melakukan hubungan asmara di atas meja sekolah ketika waktu rehat. Na’uzubillah.
Apatah lagi setelah saya melihat sendiri beberapa perubahan pada diri Humaira’. Bukan perubahan fizikal, tapi perubahan cara fikir dan interaksinya dengan kami. Bukan sahaja soalan-soalannya jauh lebih kompleks jika dibandingkan dengan apa yang pernah ditanyakannya ketika usianya 4 dan 5 tahun, tapi perasaannya juga semakin sukar dijangka.
Permainan-permainannya juga telah berevolusi dan minatnya kini adalah untuk bermain dan bersosial bersama rakan-rakan seusia. Seakan ada satu kepuasan pada wajahnya jika dapat berjumpa dengan teman-teman seperti Nurin, Afiqah, Shahdina, Aisyah, Nusaibah, Najlah, Maryam dan rakan-rakannya yang lain-lain.
Dalam usia begini, satu perkara yang saya lihat amat penting yang perlu ditekankan oleh ibu bapa adalah cuba untuk merapati mereka sebagai kawan agar mereka selesa untuk meluahkan segala permasalahan kepada kita.
Biar anak-anak biasa untuk curhat (meluahkan perasaan hati) dengan ibu bapa dari curhat pada rakan-rakan, apatah lagi jika diluahkannya pada rakan berlainan jantina.
Ketika pengaruh rakan amat tinggi pada peringkat usia ini, satu perkara yang tidak kurang penting adalah memastikan bahawa anak-anak kita sentiasa berada dalam lingkungan rakan-rakan yang baik.
Kenali siapa rakan anak-anak kita, jika boleh, cuba juga untuk mengenali ibu-bapa mereka dan sentiasalah berbual dengan anak-anak tentang rakan-rakan mereka.
Didik juga anak-anak tentang adab-adab ketika berkawan dan adab-adab pergaulan antara lelaki dan wanita seawal usia mereka 7 atau 8 tahun.
Amat baik jika pada usia ini anak-anak mula dilatih untuk menutup aurat dengan sempurna ketika berhadapan dengan bukan muhrim dan tidak lagi bersalaman sesama mereka walaupun sepupu sepapat.
Khusus buat bapa yang mempunyai anak perempuan, jadilah pelindung kepada mereka dengan menyayangi dan melayani mereka sepenuh hati. Hakikatnya kita melindungi mereka dari mengalirkan fitrah cinta mereka sebelum masanya pada lelaki yang tidak sepatutnya dengan menunaikan hak kasih sayang dan mencintai mereka sepenuh hati.
Dalam dunia langit terbuka yang segala-galanya pantas, perisai pada anak-anak harus dipasang dengan kemas sejak awal usia lagi, sebelum nasi menjadi bubur membuatkan tangisan tidak berguna lagi.
Mendidik anak perempuan memang satu tugas yang sukar, apatah lagi jika punya 3 dara pingitan.
Masakan tidak, syurga adalah ganjaran buat mereka yang berjaya.
"Siapa yang mempunyai 3 orang anak perempuan dan dia menjaga mereka dengan baik, memenuhi semua keperluan mereka dan menyayangi mereka, nescaya syurgalah balasan baginya." (HR Ahmad)
No comments:
Post a Comment