Showing posts with label Kampus. Show all posts
Showing posts with label Kampus. Show all posts

Asyik balik kampung je!

Ketika ini rata-rata pelajar-pelajar IPT seluruh Malaysia pastinya sedang menumpukan perhatian terhadap peperiksaan yang bakal menjelang tidak lama lagi. Kebanyakan kuliah telah tamat minggu lepas, Cuma mungkin ada beberapa tugasan dan projek yang perlu dihantar dalam minggu persediaan ini, itupun tidak banyak.

Tidak terkecuali di UUM, suasana di kawasan akademik yang dahulunya meriah, kini agak sunyi, hanya kelihatan kelibat beberapa orang sahaja yang sedang mengulangkaji ataupun bersama laptopnya mendengar lagu-lagu sambil melayan aplikasi facebook.

Ramai juga pelajar yang memilih untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, walaupun selepas peperiksaan akhir akan ada lagi cuti panjang. Ini adalah suatu budaya yang tidak sihat. Kesempatan minggu persediaan tidak harus dibazirkan dengan pulang ke rumah masing-masing. Lebih malang lagi, seminggu sebelum kuliah tamat, ada yang telah tidak hadir kerana awal-awal lagi telah pulang ke kampung.

Sebaiknya masa tersebut harus digunakan untuk melakukan diskusi sesama rakan sekuliah, merujuk buku-buku dan menggunakan kemudahan di perpustakaan UUM yang canggih itu, berbincang dengan pensyarah tentang topik-topik yang masih belum dikuasai dengan baik, cuba sukan-sukan baru seperti berenang, memanah, wall climbing, go-kart jika ada masa terluang selepas penat mengulangkaji malahan pelbagai lagi alternatif aktiviti yang boleh dilakukan jika pelajar tidak pulang ke kampung.

Bukanlah dikatakan pulang ke kampung itu tidak baik, memang bagus menziarahi dan menggembirakan hati kedua orang tua, tetapi optimakanlah masa yang singkat di kampus untuk menambah ilmu dan menggunakan segala kemudahan universiti untuk meningkatkan kualiti diri dan menambah pengalaman. Lagipula selepas peperiksaan akan balik ke kampung semula, tidakkah hanya membazir wang tiket bas sahaja.

Pulang ke kampung pastinya akan melibatkan masa perjalanan, paling kurang 10 jam telah dibazirkan di atas bas ketika perjalanan pergi dan balik. Begitu juga jika suasana rumah yang terdapat pelbagai godaan-godaan seperti Astro atau televisyen, katil yang enak, suasana yang terlalu santai hingga lebih banyak rehat atau sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain berbanding ulangkaji.

Berada di rumah juga, pastinya akan menghadapi masalah jika ada topik yang tidak difahami, akhirnya perbincangan tidak dapat dilakukan. Jika di kampus mungkin boleh buat temujanji dengan pensyarah atau bertanya kepada rakan-rakan yang lebih arif.

Mungkin ada yang merasakan bahawa dia lebih tenang dan selesa belajar dirumah, tapi hakikatnya suasana kampus walaupun tidak seselesa seperti di rumah, ada kelebihannya yang tersendiri seperti yang saya nyatakan tadi.

Apakah terlalu banyak cuti bagi pelajar-pelajar IPT di Malaysia? cuti mid sem, cuti raya, cuti kelepasan am, cuti minggu persediaan dan cuti isytihar sendiri. Setiap kali cuti walaupun singkat, pastinya berbondong-bondonglah pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing, walaupun tidak semua, tapi boleh dikatakan sebahagian besar akan “hilang” dari kampus.

Mari kita sama-sama fikirkan...

Kearah Mana Hala Hidupmu



“En. Kat UUM ada kerja kosong tak sebagai pensyarah?”

Pagi itu aku mendapat panggilan dari seorang bekas pelajarku yang telah bergraduat 2 tahun lepas. Lama tidak mendengar khabar berita, tiba-tiba hari ini muncul kembali

“emmm, saya tak pasti, tapi kamu boleh cuba apply” aku teragak-agak untuk memberikan jawapan, kerana urusan perjawatan bukan antara perkara yang menarik minatku di UUM.

“Rasa-rasanya kalau saya apply dapat tak?, saya ni dah 2 tahun kerja GSTT (guru sandaran)” Pelajar tersebut separuh mengeluh dan dari suaranya kedengaran dia agak terdesak juga.

“Eh, manalah saya tahu, saya bukannya terlibat dalam proses interview dan sebagainya...”aku menjawab sejujurnya.

“Hmmm, En, tahu tak kat mana ada kerja-kerja kosong lagi yang boleh saya apply, saya dah terdesak dah ni, asalkan kerja je, tak kesahlah kerja apa pun” kali ini nada suaranya kedengaran agak perlahan, mungkin sedih, mungkin tertekan.

“Saya pun tak pasti, cuba kamu tengok iklan di laman web universiti atau di suratkhabar” aku menjawab dengan jujur

“Oh, en tak tau ye, takpelah En, terima kasih, nanti jumpa lagi ye, assalamualaikum” lalu perbualan ditamatkan, dan aku menghela nafas panjang.

Soalan-soalan tentang pekerjaan bukanlah suatu isu baru yang aku hadapi, bahkan ia adalah dendangan lama yang berulang kepada graduan-graduan yang menghadapi dilema dalam memilih pekerjaan.

Masalah ini bagiku bukanlah masalah mencari pekerjaan, tetapi lebih kepada masalah sikap dan halatuju kehidupan.

Kebanyakan pelajar hari ini, memasuki universiti tanpa hala tuju yang jelas, diterimanya sahaja kursus yang tidak diminatinya, masuk ke universiti hanya kerana desakan orang tua atau kerana rakan-rakan yang lain masuk U.

Kemudian setelah bergelar graduan, kebanyakan mereka tidak tahu kemana hala tuju
kehidupan, kehidupan dibiarkan berjalan secara autopilot, dibiarkan sahaja kehidupan membawanya belayar tanpa tujuan dan tanpa destinasi yang hendak dituju.
Ada yang menjadi guru, ada yang menjadi pembantu tadbir, bukan kerana minat tapi asalkan dapat kerja.

Sikap begini harus diubah, kehidupan harus dirancang bermula dari bangku sekolah atau ketika di universiti lagi.

Jika anda menetapkan bahawa anda ingin menjadi seorang akauntan atau juruaudit yang berjaya dan mempunyai firma audit yang tersendiri, mula dari sekarang, belajar bersungguh-sungguh dalam kursus perakaunan, ambil kelayakan professional seperti ACCA atau CPA, letakkan sasaran dan bila anda akan mencapai setiap sasaran tersebut.
Jika ingin menjadi guru, ketahuilah, profesyen guru bukanlah profesyen yang mudah, bukan tempat lambakan graduan yang gagal mencari kerja, kerana tugas sebagai guru amanahnya amat berat, berdepan pula dengan pelajar-pelajar generasi hari ini yang lebih cerdik dan panjang akalnya.

Jika ingin menjadi pensyarah, anda harus meminati bidang akademik, penulisan dan melakukan kajian. Juga harus bersedia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi.

Walau apa sahaja yang anda ingin lakukan, letakkan sasaran dalam kehidupan, dan rancanglah kehidupan berdasarkan kepada sasaran tersebut, jangan biarkan layar kehidupan tanpa hala tuju dan destinasi.

Hidup ini terlalu singkat untuk kita bazirkan

Usaha Tangga Kejayaan



“Saya nak u all guna PHP dan MySQL untuk projek ni, jadi u kena download PHPMyAdmin dan explore it all by yourself” aku memberi arahan kepada kumpulan (P) yang datang bertanya tentang tools apa yang sesuai untuk digunakan bagi membangunkan aplikasi pengkalan data berasaskan web bagi subjek BKAS3093 (Projek Sistem Maklumat Perakaunan).

“Alaa En. , susahla, nak kena belajar pulak, kalau kami guna VB 6 je tak boleh ke?” Min selaku ketua kumpulan membuat permintaan dengan wajah yang sedikit kelat.

“Tak boleh, u kena guna PHP juga” aku bertegas untuk kebaikan mereka juga.

“Alaa en., Takde masa la, nak download lagi, nak explore lagi, lagipula subjek lain pun banyak tugasan juga” sekali lagi Min memberi pelbagai justifikasi, sambil wajah ahli kumpulan yang lain juga kelihatan resah dan berharap agar mereka tidak perlu bersusah payah belajar dan membangunkan aplikasi menggunakan PHP.

Aku berfikir sejenak, macamana nak nasihat budak-budak ni...

“Ok, beginilah, dulu masa u all kanak-kanak dulu, u reti makan nasi tak” aku memulakan sesi motivasi.

“Mestilah reti En.” Min menjawab ringkas.

“Mana ada, u belajar untuk makan nasi kan, dari tidak tahu kepada tahu, dulu u all ni berjalan pun tak reti, tapi u all belajar untuk berjalan hingga akhirnya pandai berlari dan pandai melompat pula” aku membuat perbandingan kepada mereka tentang perlunya untuk mereka belajar perkara-perkara yang baru dalam hidup.

“Dalam kehidupan, kita akan sentiasa berdepan dengan perkara yang kita tidak tahu untuk melakukannya dan kita semua sentiasa kena belajar untuk menjadi tahu dan mampu” aku terus memberi semangat kepada mereka.

“Memanglah susah, tapi tidak ada benda yang mudah dalam dunia ni, selepas berusaha dan belajar baru sesuatu perkara akan jadi mudah” aku menambah lagi.

“VB 6, u all dah tahu, sekarang anggaplah ini peluang untuk u all belajar sesuatu yang baru, memang pada mulanya akan rasa susah dan mungkin banyak kesilapan yang akan dibuat, tapi inilah namanya pembelajaran...”

“dan saya juga faham kekangan u all, dan saya tidaklah mengharapkan kesempurnaan, tapi saya nak lihat usaha dan kerjasama awak semua...OK?” aku menghabiskan sesi motivasi tengahari itu.

“Baiklah En...” perlahan sahaja mereka menjawab, mungkin masih tidak berpuas hati kerana terpaksa belajar PHP secara sendiri pula.

Ilmu adalah sesuatu yang perlu dipelajari, tidak ada jalan singkat atau jalan mudah untuk menuntut ilmu, kejayaan hanya akan datang selepas kesusahan.

Terus berusaha pelajar-pelajarku...kerana usaha tangga kejayaan.