Terima Kasih Humaira’


Enam tahun yang lalu, saya telah dikurniakan Allah satu anugerah yang cukup berharga.  Pengalaman mendidiknya adalah satu pengalaman yang amat indah dan manis. Walaupun pastinya ia disulami dengan mata yang bengkak kerana tidur yang kurang diwaktu malam, kesabaran yang teruji, cabaran yang tidak tersangkakan, namun segalanya saya nikmatinya dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.

Melihatnya membesar adalah satu keajaiban, bermula dari meniarap, kemudian dari meniarap dia menjulur dan seterusnya merangkak hingga hari ini boleh melompat, bergayut monkey climb dan berlari pantas, segalanya adalah keajaiban. Teringat lagi tika bibirnya yang mungil menyebut kalimah demi kalimah yang membuatkan hati kami menggeletek dan adakalanya kagum dengan perkembangan mindanya yang amat pantas. Soalan demi soalan ditanyakannya, bermula dari nama segala objek yang dilihatnya sepanjang perjalanan, dirumah ataupun ditadika.

Kemudian tika mindanya semakin berkembang, soalan apa bertukar pula kepada bagaimana dan kenapa. Soalan ini tidak pernah berhenti hinggalah saat ini. Pelbagai soalan ditanyakannya dari soalan tentang ketauhidan seperti 
“Di mana Allah?”, “Mengapa tak boleh nampak Allah?” dan “Nak jumpa Allah boleh tak?”, hinggalah soalan tentang ibadah seperti “Mengapa perlu solat?” dan “Mengapa perlu puasa?” membawa kepada soalan tentang sains dan kejadian-kejadian alam seperti hujan, ombak dan mengapa air laut boleh menjadi masin.

Sebahagian dari coretan pengalaman ini, saya dan isteri abadikannya di dalam blog agar segala pengalaman dan dialog kami ini dapat kami kongsi dengan seramai mungkin manusia. Kemudian tercetuslah idea untuk membukukannya agar perkongsian kami lebih luas lagi.

Kami kemudian menghubungi Pn. Suraiya dari Galeri Ilmu pada suatu pagi dan tidak tersangka beliau menerima tulisan asal kami walaupun dengan banyak pembetulan. 4 bulan kami mengambil masa untuk menulis kembali, membetulkannya dan mengingat banyak lagi pengalaman-pengalaman indah kami bersama Humaira’ dan tidak dilupakan adik kecil Khadijah yang mewarnai suasana dengan gelagatnya yang tersendiri. (buku tentang adik nanti ayah tulis juga ye sayang)

Hari ini, kami mendapat khabar gembira dari Pn. Suraiya Galeri Ilmu bahawa buku ini berjaya disiapkan dan akan diterbitkan dalam tempoh waktu yang amat dekat. Sungguh kami amat gembira dan bersyukur.

Terima kasih Humaira’, kerana mencetuskan ilham untuk ayah dan ibu menulis buku ini, menjadi teman sejati kami dan penyejuk mata ayah ibu sepanjang 6 tahun ini. Semoga anakanda akan terus membesar menjadi anak yang cerdik dan solehah seperti mana Saidatina Aisyah dan moga syurga menjadi destinasi kita sekeluarga yang abadi.

Jika ada kebaikan dan pengajaran yang dapat diperolehi dari buku ini, maka segala puji hanyalah untuk Allah, tuhan sekalian alam.

Potensi Gajah yang Terkunci.

“Ayah, kenapa gajah tu kena ikat” Humaira’ bertanya ketika kami melintasi kandang gajah di Zoo Taiping. Kelihatan seekor gajah sayu menundukkan wajahnya, hanya menggerak-gerakkan belalainya bagaikan memohon simpati agar rantai besi yang mengikat kaki dan kebebasannya agar dilepaskan.

“Yelah kalau dia terlepas, nanti dia mengamuk, kalau dia mengamuk, habislah kita semua dikejarnya nanti” saya menjelaskan, teringat pula kisah-kisah gajah yang mengamuk di kampung-kampung, buruk padahnya jika ada gajah yang naik minyak.

“Tapi bukan gajah tu kuat ke ayah? Rantai tu kecil sahaja, dia tak boleh pecahkan ke rantai tu” Humaira’ membalas penjelasan saya dengan satu logika pemikiran yang sungguh mudah.

“Taklah, rantai tu nampak aje kecil, tapi sebenarnya ia memang kuat” saya cuba mempertahankan, namun rasional saya juga mula tercabar dengan soalannya tadi.

“Betul juga katanya itu” saya bermonolog sendiri di dalam hati.

Mungkin juga gajah itu telah diikat sejak dia kecil. Ketika kecil mungkin rantai itu agak kuat baginya dan dia hanya bergantung kepada penjaga yang akan membuka kuncinya setiap kali ingin dilepaskan. Tapi setelah dikunci kembali, puas gajah itu mencuba, namun tetap tidak juga berjaya melepaskan diri dari rantai itu.

Masa berlalu dan setelah gajah itu membesar dan mempunyai kekuatan yang luarbiasa, ia itu tetap bergantung kepada penjaganya setiap kali hendak bebas dari rantai itu walaupun dari segi kekuatannya rantai itu mungkin boleh putus dengan sekali rentap sahaja. Ini kerana mungkin telah tertanam dimindanya bahawa adalah mustahil untuk melepaskan diri dari rantai itu tanpa bantuan dari penjaganya.

Saya berfikir lagi,

Begitu juga rasanya dengan kita sebagai manusia. Setiap dari kita sebenarnya punyai potensi yang luarbiasa seperti gajah dewasa tadi, cuma mungkin masih terikat dengan paradigm lama atau terikat dengan rutin harian yang menyebabkan kita percaya bahawa kita tidak akan dapat membebaskan diri dari ikatan kehidupan walaupun kita mampu untuk membebaskan diri dengan mudah. Mungkin juga kerana sejak kecil kita telah diasuh dengan fahaman bahawa rantai itu mustahil untuk dilepasi sendiri.

Justeru itu, sebagai ibu bapa, kita harus mengajar rasa yakin diri kepada anak-anak sejak dari awal usia lagi, usah biasakan mereka dengan “Jangan Itu” dan “Jangan Ini”, kelak akan membunuh potensi dan keyakinan mereka. Biarkan mereka bereksplorasi dengan dunia mereka dengan imaginasi dan kreativiti. Lepaskan mereka (sudah tentu dengan kawalan dan panduan ibu bapa) untuk cuba memanjat, melompat, berlari dan bereksplorasi di dapur, ruang tamu, padang permainan atau kolam renang.

Tersalah atau tersilap, tertumpah atau terjatuh, itu perkara biasa, kita manusia yang dewasa juga sering melakukannya.

Biarkan anak-anak bermain dengan imaginasi dan kreativiti. Kurangkan “Jangan” dalam ensiklopedia kehidupan mereka, sebaliknya doronglah mereka dengan penuh galakan yang positif agar terbina dalam diri mereka rasa yakin pada diri bahawa mereka boleh melakukannya.!

“Jom kita nyanyi lagu gajah Humaira’” saya tersedar dari lamunan lantas mengajaknya menyanyi bersama bagi memahami hakikat potensi sebenar gajah yang terkunci.

Gajah hidung panjang
Badan hitam besar
Telinga macam kipas
Jalan bongkok-bongkok
Kaki macam tiang
Kuat tolak pokok

Kasihilah, Kita Akan Dikasihi

Kenangan Ayah dan Humaira' di belakang replika Masjid Aqsa dan Kubah Sakhra di Taman Tamadun Islam


“Humaira’, mari sini sebentar” saya memanggilnya tika dia sedang leka menonton kartun di TV9, Jimmy Neutron agaknya pada waktu-waktu berhampiran asar begini.

“Alaaa, kejap la ayah, nak tengok kartun sekejap” dia menjawab sambil berbaring melunjur dihadapan TV.

“Sekejap sahaja, ayah nak cakap sikit je” saya mengulangi panggilan, cuba mengalihkan perhatiannya sebentar.

“Apa dia ayah, alaa cakap dekat sini tak boleh ke” dia pula yang mengajak saya ke hadapan TV.

“Alaaa, sekejap sahaja, sementara ayah menunggu azan asar ni” saya tidak mahu kalah dengannya, sedang azan asar hampir berkumandang.

“Alaaaaaaaaa” dengan langkah longlai dia menuju ke arah saya yang sedang duduk di atas sofa berhampiran pintu.

Tiba dia berhampiran saya, saya terus memeluknya dan kemudian berkata di sisi telinganya.

“Humaira’, ayah nak Humaira’ tahu yang ayah sayang sangat pada Humaira’ dan Humaira’ sangat istimewa dihati ayah.”

“Ayah sayang sangat pada anak ayah yang comel, cerdik dan solehah ni” saya terus menyambung bicara, sementara dia terdiam seribu bahasa.

Saya melepaskan pelukan dan merenung tepat pada wajahnya, saya cium dahi dan kedua pipinya. Humaira’ masih tiada reaksi, hanya memandang wajah saya dengan wajah yang cerah dan ceria.

“Terima kasih ayah” ringkas sahaja dia menjawab. Saat azan Asar berkumandang, saya terus memohon izin untuk ke surau bagi menunaikan fardhu asar.

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah mencium cucu-cucu baginda iaitu Saidina Hassan dan Saidina Hussin, sahabat yang bernama Aqra’ Bin Habith berkata “saya mempunyai 10 orang anak, tetapi tidak pernah saya mencium seorang pun dari mereka” Rasulullah s.a.w kemudian bersabda, “Tidak akan dikasihi mereka yang tidak mengasihi” (Riwayat Bukhari)

Memuji, memeluk dan mencium anak dengan penuh kasih sayang dan kemesraan adalah hak kasih sayang seorang anak yang harus dipenuhi oleh kedua ibu bapanya, lebih-lebih lagi hak kasih sayang seorang ayah terhadap anak perempuannya.

Tidak mustahil anak-anak perempuan yang kurang mendapat perhatian dan curahan kasih sayang yang sempurna dari bapanya akan mencari kasih sayang dari lelaki-lelaki lain ketika dia telah dewasa nanti. Lebih malang jika kasih sayang yang dicari adalah dari lelaki yang tidak ada tanggungjawab yang akan merosakkan diri dan masa depannya.

Sebagai seorang ayah kepada dua anak perempuan (setakat ini lah) saya cukup merasa bimbang akan masa depan mereka. Mendidik anak perempuan memerlukan kesabaran dan fokus yang tinggi kerana sedikit sahaja kesilapan, kemungkinan masa depan mereka akan binasa. Dalam sebuah hadis juga, Rasulullah memberi galakan bahawa jika anak-anak perempuan ini dapat di didik dengan sempurna hingga dewasa, maka ganjaran bagi kedua ibu bapanya adalah syurga.

Justeru itu, rendahkanlah ego, sentiasalah dakapi mereka dengan penuh kasih sayang, ucapkanlah kata-kata penghargaan dan kasih sayang ibarat kata-kata cinta seorang lelaki kepada kekasihnya dan sentiasalah membiasakan diri untuk mencium dahi mereka diiringi dengan kata-kata cinta agar nanti mereka tidak lagi akan mencari kasih sayang songsang dari lelaki buaya yang manis kata-katanya. (sudah tentu dengan adab dan tatacaranya yang betul, usah keterlaluan pula, terutamanya jika anak telah meningkat remaja)

Kasihilah, dan kita pasti akan dikasihi.

Hendak Jadi Lebih Kaya Dari Bill Gates?



“Dunia bukan tempat untuk orang yang beramal soleh menerima ganjaran dan dunia juga bukan tempat ahli maksiat dan para penjahat menerima balasan.”

Saya membaca kata-kata hikmah ini dalam kitab Hikmah Luqman Hakim dalam mendidik anak karangan Syarif Hade Madshah. Seusai membacanya, saya termenung seketika dan saya dapati betapa benarnya kata-kata ini dan betapa salahnya anggapan kebanyakan dari manusia.

Dalam banyak hadis kita akan temui Rasululllah s.a.w mengatakan amal itu dan amal ini “lebih baik dari dunia dan seisinya”, tapi apa maksudnya?

Begini, bayangkan jika setiap kali kita selesai mengerjakan solat sunat qabliah subuh, ada orang yang akan menghulurkan RM 1000 kepada kita, dan kemudian menghadiahkan sebuah kereta Ferarri F60 (Ferarri paling mahal) jika kita melengkapkan solat berjemaah lima waktu di masjid pada sepanjang hari tersebut, rasa-rasanya apakah kita akan meninggalkannya?


Mahu kereta seperti ini?


Jika ada mesyuarat atau pekerjaan yang amat penting pun, kita pasti akan sanggup untuk menangguhkannya malah jika kita ada temujanji dengan Boss atau Menteri Besar sekalipun, kita pasti akan dapat mencari jalan untuk hadir ke masjid menunaikan solat berjemaah 5 waktu pada hari tersebut.

Itu baru dunia. Bayangkan dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda

“Solat sunat qabliah Subuh itu lebih baik dari DUNIA DAN SEISINYA”

Ye, DUNIA DAN SEISINYA!

Maksudnya, ganjaran bagi mereka yang solat sunat qabliah subuh adalah lebih baik dari memperoleh kereta Ferarri F60 atau Bugati Veyron. Jauh lebih baik dari memperoleh pakej percutian paling mewah ke mana-mana destinasi di dunia ini, malahan kita akan menjadi orang yang lebih kaya dari Bill Gates atau Carlos Slim Helu. Bayangkan.

Tapi,

Dunia ini bukan tempat untuk orang yang beriman dan beramal soleh menerima ganjaran. Tempatnya nun di akhirat sana. Ia ada pada syurga yang tidak pernah akan dapat dibayangkan oleh akal manusia akan keindahan dan kemewahannya yang infiniti kali lebih hebat dari apa yang paling hebat di dunia sementara ini, walaupun untuk orang yang paling rendah darjatnya.

Subhanallah, tidak terliurkah kita dengan syurga Allah, dengan kedamaian, keindahan, kemewahan dan kebahagiaan yang kekal selama-lamanya di sana nanti, tempat di mana kita akan kekal muda belia dengan wajah yang tampan dan jelita, dikelilingi oleh bidadari-bidadari(a) yang jelita lagi terpelihara, tempat di mana kita tidak perlu bimbang  akan hutang piutang, dengki dendam, sakit atau cedera dan pastinya kita tidak akan mati buat selama-lamanya.

Itu syurga.

Dunia juga bukan tempat para pendosa dan penjahat menerima balasan. Saat hati kita pedih meyayat hati melihat pembunuh Nurin Jazlin yang masih lepas bebas, saat kita merasa geram akan Radovan Karadzic yang dibicara dengan aman walaupun pada tangannya masih basah darah kaum muslimin Bosnia yang dibunuh dan diratah, saat kita merasa gelap gelita melihat akan rakusnya dan berkuasanya Israel dan proksinya di serata dunia mengepung Gaza dan menjajah Masjid Al Aqsa,

ketahuilah bahawa

Balasan yang akan mereka terima bukanlah dalam bentuk musibah dunia. Goerge Bush (Junior dan Senior) masih aman dan bebas berkelana ke sana dan ke sini, tidak ada pula sakit misteri atau sawan ganjil yang menimpa mereka seperti yang menimpa orang-orang baik yang selalu kita lihat dalam rancangan Bersamamu. Israel tidak pernah pula dilanda gempa bumi atau tsunami, sedangkan Acheh tempat ramainya ulama’ – ulama’ dan orang-orang yang soleh bagaikan di sapu bersih oleh ombak tsunami yang membadai ganas.

Adilkah begitu?

Dalam sesetengah keadaan, ada yang menerima balasannya di dunia lagi, tapi dalam banyak keadaan kita lihat ramai pula pelaku dosa dan penjahat tidak ada pula terkena musibah apa-apa.

Nanti dulu!

Cukuplah bagi mereka neraka yang panas membakar dan seksaan-seksaan yang akan diterima di dalamnya.

Neraka bukan main-main, panas apinya bukan seperti panas api dunia.


melihatnya sahaja pun sudah merasa geli, bayangkan di neraka nanti lipan ini akan merayap di atas muka dan menggigit


Lipan dan ularnya bukan seperti lipan dan ular yang ada di dunia.

Minumannya bukanlah minuman panas yang akan menghilangkan dahaga, tapi nanah dan darah yang akan menembusi leher dan memecahkan isi perut saat meminumnya

Rantai dan rotannya bukan seperti rotan yang ada di mana-mana penjara di dunia.

Tajam duri buah Zaqqum bukanlah seperti tajamnya kulit durian yang akan mengakibatkan luka parah jika dihempas di atas kepala.

Ada pula yang gatal mulut berkata, “Alah tidak mengapa, biarlah aku diseksa sebentar, nanti masuk syurga juga.”

Jangan!

Sanggupkah kita, walau 5 minit kita letakkan tangan di atas api atau kita biarkan lipan mematuk kaki. Jika di dunia pun kita tidak sanggup, di neraka nanti, bukan 5 minit, 0.00005 saat pun kita tidak mampu untuk menghadapinya. Inikan pula menerima siksa beribu-ribu tahun.

Walaupun tidak kekal, tapi satu hari di akhirat bersamaan seribu tahun di dunia, jika kita menerima hukuman 3 hari penjara di neraka, bermakna 3000 tahun kita akan diseksa dalam neraka. Itu 3 hari, kalau 7 hari?, kalau sebulan?, kalau setahun?

Jika pengganas-pengganas dunia ini kelihatannya selamat, biarlah, keselamatan mereka hanya di dunia, di akhirat nanti, mereka akan dibalas dengan siksaan sepedih-pedihnya.


Cinta Dulu Cinta Sekarang


Semalam dengar lagu ini di IKIM, menarik sangat liriknya, bagus jika dapat dihayati oleh anak-anak muda sekarang untuk dijadikan pengajaran.

Cinta Dulu Cinta Sekarang
Oleh Tan Sri SM Salim

Hai cinta dulu-dulu
Cinta malu-malu
Cinta dulu-dulu
Memang susah nak bertemu

Bila sudah dapat bertemu
Nak cakap apapun tak tahu
Tegak berdiri tersipu-sipu
Seram sejuk kaku membisu

Sejak kecil sudah diasuh
Pantang larang dipegang teguh
Mulia sungguh cinta dulu
Adat resam budaya Melayu

Alah cinta zaman sekarang
Sudah terlupa pantang larang
Cinta zaman sekarang
Di khalayak ramai dia pegang-pegang

Kalau ditegur dia meradang
Macam harimau nak menerkam
Maruah bangsa sudah terancam
Kerana perbuatan segelintir orang

Hidup penuh berpoya-poya
Kalau kahwin pun tak kekal lama
Bila dah dapat yang di idam
Habis manis sepah dibuang

Hai cinta dulu-dulu
Ikut nasihat ayah dan ibu
Cinta dulu-dulu
kalau nak kahwin bertanyalah dulu

Berisik-risk bertanya-tanya
Ayah dan ibu dan anak siapa
Bila sudah berumah tangga
Kekal hingga sampai ke tua

Cinta dulu cinta mulia
Ikut aturan budaya bangsa
Hidup mereka sungguh bahagia
Cangkul dan tanah memisahkannya 


Kebersihan Tandas Sebahagian Daripada Iman Juga.


Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa persepsi  seseorang terhadap sesebuah masjid akan bermula dengan kebersihan tandas masjid tersebut. Tandas yang bersih akan membawa persepi yang positif manakala tandas yang hancing dan berbau akan membawa persepsi yang sedemikian juga terhadap masjid itu.

Pengalaman saya berkelana ke beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia memberikan saya pengalaman yang berbeza. Ini kerana masjid adalah destinasi yang pasti akan saya singgahi dalam musafir saya ke mana-mana negeri sekalipun untuk solat dan berehat-rehat dan di masjid yang saya singgahi itu biasanya ruang pertama yang akan kami sekeluarga akan kunjungi adalah tandasnya.

Tidaklah perlu canggih seperti masjid ini, tapi biar kemas, bersih dan selesa
Setakat ini, saya cukup tabik dengan kebersihan tandas masjid-masjid di Negeri Terengganu. Walaupun mungkin nampak uzur luarannya, tapi setakat ini dari sekian banyak masjid yang saya singgahi di negeri Terengganu, tidak ada tandas yang mengecewakan kami sekeluarga. Dan biasanya, kebersihan tandas itu akan diikuti pula oleh kebersihan ruang solatnya, walaupun karpetnya telah agak lama, namun kebersihannya dari tahi-tahi cicak cukup terjaga.

Negeri-negeri lain yang seperti Johor, Melaka, Pahang, Selangor, Perak dan Perlis, kebersihannya biasa-biasa sahaja, namun yang paling mengecewakan adalah negeri tempat kelahiran saya sendiri dan negeri yang sepatutnya dicontohi oleh negeri-negeri yang lain iaitulah Kelantan Darul Naim.

Ditolak Masjid Muhammadi yang mengkagumkan itu, boleh dikatakan hampir setiap masjid yang saya singgahi di Kelantan, tidak kira di kampung atau di Bandar, kebersihan tandasnya amat-amat-amat-amat mengecewakan. Ada yang hancing dan berbau, banyak juga tandasnya rosak tidak dibaiki, tidak mempunyai getah paip yang sempurna, pintu yang pecah atau tidak dapat dikunci, air bertakung dan ‘objek’ terapung serta sampah-sampah tandas seperti pampers dan tisu bertaburan di sana sini cukup menyesakkan jiwa dan pandangan mata.

Bukan hanya tandas masjid, tetapi juga stesen minyak yang saya kunjungi di Kelantan, keadaan tandasnya amat mengerikan dan kadang-kadang boleh menyebabkan hilang selera untuk menyelesaikan hajat kecuali jika amat terdesak.

Saya sendiri tidak dapat memahami, apakah faktor yang mendorong perkara ini berlaku, lebih malang lagi apabila ia dikaitkan dengan parti politik yang memerintah walaupun saya rasa ianya akan sama sahaja walaupun siapa yang berkuasa.

Hendak dikatakan malas, orang Kelantan terkenal rajin dalam perniagaan dan pekerjaan, hendak dikatakan tidak ada bajet yang mencukupi, rasanya ianya bukanlah alasan yang sepatutnya. Walau apapun alasannya, saya amat berharap setiap orang Kelantan yang membaca tulisan ini akan cuba untuk berbuat sesuatu. Mungkin boleh mencontohi satu masjid di Terengganu yang meletakkan jadual petugas tandas siap dengan no. Telefonnya sekali untuk dihubungi jika keadaan tandas tidak memuaskan hati.

Perubahan tidak akan terjadi apabila kita mengharapkan orang lain yang berubah, tapi kita sendiri yang harus mengambil langkah untuk memastikan masalah ini dapat diatasi.

Ayuh! Kelate Boleh!

Zaman Selipar 3

Mengimbau memori 20 tahun yang lalu,sememangnya amat menyeronokkan. Walaupun saya dibesarkan dikawasan yang boleh dikatakan pinggir bandar(ketika itu Hulu Kelang tidak sepesat sekarang) tapi saya melalui zaman kanak-kanak yang penuh dengan aktiviti dan adventur.

Ketika itu,kami tidak mengenal Internet apatah lagi aplikasi-aplikasinya seperti facebook,blog,e-mail,chatting dll. Permainan video pun tidaklah begitu menarik seperti yang ada pada hari ini dengan ps2,x-box dan ps3. Hanya street fighter dengan micro genius dan mungkin Need For Speed sahaja yang membuat kami terpegun.

Waktu petang,seusai solat asar adalah waktu yang amat ditunggu-tunggu. Bermacam lokasi yang saya dan kawan-kawan tempuhi,dari longkang besar dibelakang sekolah agama Taman Permata yang menjadi tempat kami bermain askar-askar dan tempat berlawan roket kertas siapa yang lebih hebat,kepada puncak bukit di Wangsa Maju yang menyimpan khazanah air terjun kecil yang indah hingga kepada jeram dan air terjun di belakang Zoo Negara yang menyimpan pelbagai nostalgia dan paling menarik tentunya kembara ke pinggir empangan Hulu Kelang yang menakjubkan dengan menaiki basikal.

Permainan kami juga pelbagai ketika itu,bukan sahaja bolasepak(ketika itu masih tiada futsal) bergol selipar dan berkasutkan tapak kaki di atas padang au5d yang berbatu,tapi semuanya kami mainkan. Namakan apa sahaja, rounders dengan bilah kayu yang kami ambil di hadapan rumah dodol, selipar tiga dengan selipar tat sing yang keras kematu hingga menyebabkan merah pada badan jika terkena libasan, konda kondi ditepi sungai kecil,sepak takraw bam dengan menggunakan bolasepak,lumba lari kaki ayam di hadapan rumah gja dan macam-macam lagi.

Permainan ini tidak hanya kami mainkan pada waktu petang,bahkan ketika waktu rehat di sekolah dan juga hujung minggu. Cuma ketika waktu rehat,bola chap dengan menggunakan bola tenis buruk adalah pilihan kami kerana itulah masanya untuk 'membelasah' kawan-kawan yang membuat kami geram tanpa rasa bersalah.

Paling hebat tentunya adalah permainan legenda,iaitulah galah panjang di atas gelanggang badminton hingga menyebabkan ramai yang rabak seluarnya malah ada yang leka bermain sampai lewat masuk ke kelas.

Permainan dalaman kami dulu juga ada macam-macam variasi. Empayar dengan kertas matematik, jentik tutup botol, batu seremban,dam haji, dam ular dan paling saya sukai tentunya liga bola tekan di rumah Shaharudin(suami Catriona Ross sekarang) dengan menggunakan kadbod dilipat dan kertas timah yang digulung. Cukup menarik.

Walaupun dahulu kami bermain tanpa henti dan tanpa teknologi, tapi kami bermain dengan kreativiti dan imaginasi.Melihat anak-anak generasi Y sekarang bermain, walaupun dengan jalur lebar dan teknologi tanpa sempadan, saya melihat ada sesuatu yang kurang dan menimbulkan rasa risau dihati saya.

Generasi ini banyak berinteraksi dengan teknologi berbanding kawan-kawan,berhadapan dengan skrin berbanding dengan alam. Mereka lebih banyak menyendiri dengan iPad dan PSP. Malah di universiti juga, kompleks sukan yang dahulunya tidak cukup inci kerana dipenuhi oleh puluhan kaki-kaki yang berlari mengejar bola sebiji, kini sepi, yang ada pun kelompok-kelompok Arab dan Afrika yang mungkin takjub dengan hijaunya padang di negara kita.

Generasi baru ini mungkin lebih lengkap dengan maklumat,tapi hadirnya mereka ke dunia dengan kebanyakan dari masalah manusia telah diselesaikan oleh teknologi yang canggih. Mereka tidak pernah kenal dan mungkin tidak akan dapat membayangkan bagaimana dunia tanpa Internet dan Handphone. Jadi apakah kemahiran explorasi dan komunikasi mereka yang lebih banyak berhadapan dengan teknologi boleh menyediakan mereka untuk menggalas tanggungjawab menjadi dewasa, mengurus diri dan keluarga malah mungkin megurus negara yang pastinya akan penuh dengan dugaan dan cabaran? Ye, zaman dan cabaran mereka mungkin berbeza, tapi saya meletakkan satu tanda soal yang besar di situ untuk kita sama-sama fikirkan dan bertindak sebelum segalanya terlambat.

Sebab Ayah Sayang lah

Ayah marah sebab ayah sayang lah...

“Humairaaa’, mari makan” saya memanggilnya tika lauk telah dihidangkan di atas meja. Hidangan gulai telur dan ikan tenggiri goreng masakan ibu saya sememangnya cukup istimewa. Istimewanya bukan kerana harganya yang mahal atau ada rempah rahsia yang tidak diketahui, tapi masakannya berperisa kasih sayang, itulah rahsia setiap masakan ibu menjadi istimewa.

Sepi.

Humaira’ tidak menyahut panggilan, padahal ketika turun tadi saya melihatnya sedang berbaring di hadapan televisyen.

“Humairaaaaaaa, makan!” Saya memanggilnya lagi, kali ini dengan nada yang lebih keras. Namun masih tiada jawapan.

“Humairaaaaaaaaaa!” saya separuh menjerit, geram juga dibuatnya, semua orang di meja ternanti-nanti kehadirannya.

“Yeee ayah, kejaplah Humaira’ nak tengok TV ni, sebentar lagi ada rancangan Wonderpets” dia menjawab selamba.

“Astaghfirullah!” saya beristighfar perlahan. Kemudian saya meninggalkan meja seketika dan menuju ke ruang tamu tempat dia berbaring di hadapan TV.

“Humaira!, tutup TV sekarang, mari ke meja makan!” saya memberikan arahan.

Dia masih berbaring, tidak bergerak menambahkan geram di hati saya. Wajahnya kelat sahaja.

Melihat keadaan itu, saya terus menutup TV dan menarik tangannya.

“Bangun sekarang! Jom kita makan!” saya memberi arahan. Tegas.

Humaira’ melangkah longlai ke meja makan, dia hanya membisu seribu bahasa. Tiba di meja makan dia membuat onar lagi. Nasi yang telah terhidang hanya dilihatnya, langsung tidak disentuh.

Saya hanya memerhati, geram juga di dalam hati, isteri saya juga memandangnya dengan wajah singa. Sungguh 2 3 hari ini di rumah atuknya, banyak sungguh ragamnya, macam-macam perkara yang dilakukan seolah sengaja menduga kesabaran kami berdua.

Kami hanya membiarkan sahaja. Selesai semua orang makan, nasinya masih tidak bersentuh. Kepalanya ditundukkan ke bawah. Atuk dan neneknya cuba juga untuk memujuk, tapi dia diam membisu seribu bahasa.
Saya bertanya lagi, kali ini lebih tegas.

“Humaira’ nak makan ke tak nak?” saya memberi kata dua.

Dia mengangguk perlahan.

“Kalau nak makan, makan sekarang, kalau tak nak, ayah nak simpan sahaja lauk ni, nak bagi kucing makan petang ni.”

Mendengar ancaman itu, perlahan-lahan dia menyuapkan makanan ke mulutnya, matanya mula berkaca-kaca.
Selesai makan, dia memegang baju saya erat, mohon dimaafkan. Lama juga saya berfikir, apa yang perlu saya katakan padanya untuk mengajarinya cara menerima teguran dan nasihat. Jika dibiarkan begini, buruk padahnya nanti.

Pantang ditegur, masam mukanya dan kemudian mulalah menggunakan air mata sebagai senjata.

Ketika itu, di dapur hanya tinggal kami berdua.

“Humaira’, ayah tegur dan marah pada Humaira’ sebab ayah sayang lah, kalau ayah tak sayang, ayah akan biarkan sahaja Humaira’ buat apa yang Humaira’ suka.” Saya memulakan bicara dengan suara yang lembut tapi masih ada ketegasan di dalamnya.

“Beginilah, katakan Humaira’ nampak adik Khadijah berlari ke tengah jalan yang banyak kereta, apa yang Humaira’ akan buat?” saya memberikan analogi dengan keadaan dirinya sendiri, manusia sebenarnya akan lebih memahami jika ada empati.

Dia diam sahaja, mungkin emosinya masih terganggu.

“Mesti Humaira’ akan halang dia kan, betul tidak?” saya menjawab sendiri soalan itu.

Dia mengangguk perlahan sahaja.

“Kalau adik Khadijah menangis kuat-kuat nak juga pergi ke tengah jalan itu, apakah Humaira’ akan biarkan dia? Tidak kan?

“Sebab apa Humaira akan halang dia walaupun adik menangis kuat-kuat? Sebab Humaira sayang adik kan? Saya bertanya kemudian menjawab sendiri semua soalan yang dikemukakan.

Dia masih mengangguk perlahan.

“Begitulah juga dengan ayah, kalau ayah atau ibu nampak Humaira’ buat salah, ayah akan tegur walaupun Humaira’ tak suka supaya Humaira’ sentiasa selamat dan lebih penting lagi supaya Humaira’ tak berdosa pada Allah.”

“Lepas ni kalau ayah tegur atau marah, itu maknanya ayah sayang pada Humaira’ tau, dan kalau Humaira’ nampak ayah buat salah, Humaira’ pun boleh tegur ayah.”

“Lepas ni, kalau ayah atau ibu panggil, terus kena sahut tau, tak boleh buat macam tadi,berdosa!”

Saya memeluknya erat, airmatanya tumpah.

“Sudah-sudah, hah pergilah tengok Wonderpets tu, ada 15 minit lagi”

Saya melepaskan pelukan dan memimpin tangannya ke ruang tamu.

Semakin puteri kami ini membesar, semakin berat terasa cabaran yang dipikul dalam mendidik mereka. Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk mendidik anak-anak perempuan kami ini, jadikanlah mereka penyejuk mata dan penawar hati ibu dan ayah di dunia dan akhirat sana.





Hitam Putih Kelabu ESQ


Apa yang baik untuk kita belum tentu baik untuk orang lain, dan apa yang baik untuk orang lain belum tentu baik untuk kita. Justeru itu, selagi mana sesuatu perkara itu tidak melanggar batas-batas hukum Allah, maka berlapang dadalah sesama kita, kerana perbezaan pendapat itu adalah suatu rahmat jika ia berlaku dalam suasana penuh adab dan kasih sayang tanpa campuran hasad, ujub dan dendam.

Itulah kesimpulan yang dapat saya buat setelah beberapa hari berbalas hujah bersama teman-teman yang mengikuti kursus ESQ 165 yang diwajibkan kepada hampir separuh dari staf UUM Jumaat dan Sabtu lepas. Saya adalah antara yang terpilih dari 1647 orang peserta dalam kursus ESQ Perdana ini.

Sebelum ke kursus ini, banyak respon yang saya dengar, ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mengeji. Apatah lagi perlaksanaannya di Malaysia di selubungi kontroversi pengharaman oleh 2 buah negeri (Wilayah Persekutuan dan Perlis). Namun ulasan UZAR dan sokongan sahibus samahah bekas mufti Kedah iaitu Sheikh Hasbullah, Mufti Pulau Pinang dan Mufti Perak sedikit sebanyak meredakan gundah dihati saya.

Memasuki dewan pada pagi Jumaat, saya memasukinya dengan perasaan yang bercampur baur, namun tetap juga saya gagahkan diri untuk mendengar. Namun sejurus dewan digelapkan, saya mula merasa kurang senang, apatah lagi seawal sesi pertama lagi moderator dari Indonesia itu telah bermain dengan emosi peserta dengan iringan muzik yang mengegarkan jantung dan suara tempikan keras diikuti oleh tangisan yang saya sendiri tidak pasti apakah asli atau sekadar lakonan.

Saya cuba bersangka baik, mungkin ini hanya untuk sesi yang pertama dan cuba juga saya menghayati kebesaran Allah yang dibawakan melalui penceritaan Teori Big Bang yang dikaitkan dengan ayat Al Quran yang menyatakan bahawa langit dan bumi dahulunya adalah sesuatu yang padu. Namun iringan muzik kuat dan jeritan keras terus membuatkan saya berasa amat tidak selesa.

Masuk ke sesi kedua seusai solat Jumaat, perkara yang sama diulang lagi, dilontarkan satu ayat al-quran diikuti oleh iringan muzik dan jeritan keras oleh moderator yang cuba mengalunkan emosi peserta dengan tangisan. Apatah lagi apabila moderator membuat tarian burung yang saya cukup musykil apakah motifnya. Salah seorang  saudara baru yang berada mengatakan bahawa tarian burung itu cukup sinonim dengan apa yang berlaku dalam gereja ketika dia masih kristian. Allahua’lam, saya tidak berani mengomentari.

Lebih sedih apabila salah seorang orang bukan Islam yang turut ‘dipaksa’ untuk berada dalam kursus tersebut berkata.

“What the hell is this!”

Khuatir juga jika dia mendapat gambaran yang salah tentang Islam melalui program ini. Mungkin terlintas di benaknya, 

"Apakah  begini kaedah untuk bertaubat dalam Islam?"

Sampai satu tahap, saya tidak tertahan lagi dan terus saya keluar dewan kerana fitrah diri saya tidak dapat menerima manhaj kesedaran dan perubahan diri dengan cara yang sebegitu. Boleh dikatakan manhaj yang sama digunakan oleh moderator dalam setiap sesi dan pada setiap sesi itu jugalah saya terpaksa keluar dewan awal dek kerana keserabutan perasaan dan perasaan ini dirasai oleh ramai lagi yang menggeleng-geleng kepala ketika keluar dari dewan.

Sesi yang terakhir, saya dan rakan cuba untuk menghayati, kami duduk di barisan paling hadapan dan cuba untuk melakukan setiap aktiviti dengan penuh fokus, namun saat muzik keras dan jeritan-jeritan oleh moderator bermula diikuti oleh tangisan-tangisan peserta yang di dendangkan kepada semua peserta, saya mengangkat bendera putih. Ketika ini saya membuat kesimpulan bahawa ESQ bukan untuk saya.

Seperkara lagi, sujud syukur pada akhir sesi dalam keadaan ramai yang mengejek-ejek dan berbelah bagi, amat tidak sesuai untuk dilakukan. Dikhuatiri ia akan menjejaskan nilai ibadah bahkan lebih buruk membawa peserta secara tidak sedar untuk mempermain-mainkannya.

Saya tidak ingin memberi komen tentang kesahihan isinya kerana biarlah mereka yang lebih ahli memberi pendapat mereka. Tulisan ini hanyalah pendapat peribadi saya tentang ESQ.

Tidak dapat dinafikan bahawa program ESQ ini banyak juga memberi kesedaran kepada ramai orang seperti yang dapat dibaca dalam rantaian e-mail UUM (tidak kurang juga yang tidak menyukainya) juga perbincangan hangat dalam dua status saya berkenaan dengan program tersebut di facebook.

Buat mereka yang memperoleh hidayah melalui ESQ ini, ucapkanlah pujian-pujian dan rundukkanlah hatimu kepada tuhan melalui jalan menuntut ilmu dari ulama’ pewaris nabi susulilah ilmu itu dengan amal-amal soleh yang ikhlas dan istiqamah. Tidak cukup hanya dengan kesedaran kerana kesedaran tanpa disusuli oleh tindakan hanya akan menjadi sia-sia.

Namun bagi mereka yang tidak menyukainya, usahlah keterlaluan dalam mengutuk dan mengeji, apatah lagi jika ia dilakukan dalam keadaan penuh emosi. Mungkin ada jalan-jalan lain yang lebih sesuai untuk kita beroleh kesedaran, jangan angkuh dan jangan sesekali berasa ujub dengan ilmu yang kita ada.

Walaupun berbeza pendapat, janganlah hingga menjejaskan kasih sayang antara kita sesama muslim. Apa yang lebih penting, sama-samalah kita berpimpinan tangan dalam menuju jalan keredhaan tuhan.

Dalam ESQ, ada hitam, putih dan kelabu. Namun apa yang pasti jalan yang saya lalui akan berbeza jalannya dengan ESQ. Bagi saya, hidayah itu tidak dapat saya terima dengan manhaj taghyir 'The ESQ way'.