Hantarlah Sebuah Kesungguhan


Melihat rata-rata jumlah hantaran yang ditetapkan hari ini, saya merasa gerun.

RM 10000, mungkin masih munasabah.

Tapi, RM 15000, RM 20000 dan mungkin sahaja lebih lagi, membuatkan bakal pengantin lelaki sesak dada mengumpulkan wang untuk menghadapinya.

Itu belum belanja kenduri kendara di sebelah pihak lelaki, hantaran-hantaran hadiah yang lain dan seribu satu kos yang mungkin menyebabkan pihak lelaki terpaksa mengeluarkan belanja sehingga RM 50000 untuk berkahwin.
Saya bernasib baik kerana ketika saya berkahwin, saya punya sahabat yang sudi meminjamkan wang dengan kaedah Qardhul Hassan, kaedah sebenar pinjaman dalam Islam tanpa sebarang faedah dan dengan dokumen perjanjian yang lengkap ditandatangani dan punya saksi.

Itupun dengan hantaran yang sederhana dan kenduri yang tidak berapa besar. Namun masih juga sedikit menyesakkan dada selepas kenduri kendara.

Bagaimana dengan mereka yang yang baru mula bekerja dan terpaksa membayar wang hantaran berbelas ribu ringgit? Itu belum belanja kenduri, hantaran jenis hadiah, cincin belah rotan, dan bermacam lagi aneka ragam belanja.

Kos hendak memulakan kehidupan juga bukanlah murah. Hendak masuk rumah perlu juga ada sedikit sebanyak perabot dan perkakas dapur.

Keseluruhan belanja mungkin boleh mencecah hingga 50 ribu ringgit. Jika memang mewarisi harta raja atau anak tokey balak terkemuka mungkin tidak mengapa.

Tapi bagaimana jika pihak lelaki datangnya dari keluarga yang sederhana dan baru mula bekerja?

Tidak hairanlah ramai lelaki yang memilih untuk melambatkan perkahwinan hingga usia 30 tahun atau lebih. Amat rugi kerana pada umur ini, kesuburan lelaki dan wanita semakin lama semakin menurun walaupun mungkin duitnya pada ketika itu telah bercambah-cambah.

Tidak kurang juga lelaki dan wanita yang bertunang atau berhubungan dalam tempoh yang lama kerana ingin mengumpul belanja kenduri terlebih dahulu hingga menceburkan pasangan dalam maksiat yang akan menghilangkan keberkatan rumahtangga.

Tidak kurang ramai pasangan yang ‘kaw tim’ di belakang tabir, terpaksa berpakat dengan bakal isteri untuk membiayai belanja perkahwinan.

Pastinya juga, ramai lelaki yang terpaksa membuat pembiayaan peribadi sehingga 20 ke 30 ribu dengan tempoh bayaran hingga 10 tahun hanya kerana ingin membiayai kos perkahwinan yang luarbiasa.

Perkara sebegini amat bahaya kerana di masa-masa krisis, tidak kurang lelaki yang mengungkit-ngungkit hingga menimbulkan bencana yang lebih besar dalam rumahtangga.

Ada juga pihak lelaki yang kecewa dan terpaksa menarik diri dari perkahwinan kerana sememangnya tidak mampu. Sungguh menyedihkan.

Lebih menyedihkan apabila ada kata-kata sindiran seperti 'jual anak' dan 'mata duitan' yang dikeluarkan dan berlaku pergaduhan antara keluarga hingga ada yang membuat keputusan untuk lari dari rumah dan bernikah di Siam.
 
Kadang-kadang ibu bapa pihak wanita mungkin tidak berniat hendak meletakkan harga, tapi desakan dari saudara mara ketika majlis pertunangan atau risik yang akhirnya menjadikan belanja hantaran dan kenduri-kendara amat tinggi.

Lebih malang, ada yang berlumba-lumba dan berbangga-bangga dengan tingginya hantaran dan belanja perkahwinan.

Ketahuilah, tidak akan jatuh nilai seorang wanita dengan rendahnya mahar dan hantaran yang diberikan, bahkan dalam satu hadis Rasulullah menyatakan bahawa wanita yang terbaik ialah wanita yang rendah maharnya.

Maksudnya, wanita yang baik adalah wanita yang mudah untuk dikahwini.

Bukan bermakna membiarkan sesiapa sahaja termasuk lelaki fasiq masuk meminang,

akan tetapi, bila datang seorang lelaki yang baik dari keluarga yang baik, permudahkanlah urusan perkahwinan mereka berdua. Salah satu caranya adalah dengan meletakkan hantaran yang bersesuaian dengan kemampuan pihak lelaki.

Wanita juga perlu tahu, bahawa mereka juga punya hak dalam menyatakan pendirian dalam isu hantaran perkahwinan. Jika tahu bahawa bakal pasangan sememangnya tidak mampu, nyatakanlah kepada kedua ibu bapa agar tidak meletakkan hantaran yang membebankan. Kata kuncinya adalah pada perbincangan.

Pihak lelaki juga harus ingat, bahawa pada mempermudahkan urusan hantaran, bukan tiket untuk mengambil mudah urusan-urusan perkahwinan yang lain. Jika hantaran yang tinggi telah ditetapkan, jangan miskin usaha dan kesungguhan untuk mencari jalan.

Di mana ada kemahuan, di situ pasti akan ada jalan-jalannya.

Jika berani untuk bercinta, beranikan diri juga untuk berusaha!

Faiza azamta fatawakkal a’laallah....

No comments:

Post a Comment