“Abang, Khadijah semakin hari semakin menjadi-jadilah sekarang ni, geram Syifa dibuatnya, kadang-kadang rasa nak cubit pun ada.” Adu isteri saya melalui sms ketika saya berada di pejabat.
Saya membaca sms itu dengan hati yang celaru dan kemudian menjawab ringkas,
“Be calm”
Walaupun nyata saya sendiri tidak tahu apa perlu dilakukan.
Tidak tahu apa puncanya dan sejak bila ia bermula, kelaku Khadijah semakin hari semakin menduga kesabaran. Bila dia inginkan sesuatu dan gagal mendapatkannya, amukan adalah senjatanya. Entah berapa kali dia menangis sambil berguling di merata tempat, tidak kira di rumah, di pasar atau di mana sahaja.
Terbaru dia berguling di pasar Gepps Cross kerana inginkan belon Mickey Mouse yang berharga AUD 3. Amukannya amat lama hingga saya terpaksa menggunakan pelbagai strategi untuk memujuk dan mendukungnya ke kereta.
Jiwanya juga seolah makin sensitif, selalu menangis dan mudah marah, entah apa puncanya. Mungkin menyedari bahawa kedudukannya selaku adik bongsu akan tergugat tidak berapa lama lagi agaknya.
Waktu malam bersamanya juga amat mencabar kini. Tangisannya yang muncul di awal pagi seawal jam 3 yang tidak henti-henti membuatkan kami merenung sesama sendiri.
Saya duduk dan berfikir sebentar di atas kerusi, meninggalkan seketika tugas transkripsi yang menyakitkan dan membosankan.
Saya mencapai buku ‘Tahapan Mendidik Anak’ yang baru saya beli dari Malaysia, membelek-beleknya seketika dan kemudian melihat satu tajuk “Mendoakan Kebaikan Untuk Anak”.
Dalam tajuk ini, ada satu kisah menarik berkenaan seorang bapa yang datang menemui Abdullah Bin Mubarak untuk mengadu berkenaan dengan anaknya yang selalu menyakitinya.
“Apakah engkau pernah mengutuknya?”
Lelaki itu kemudian menjawab, “benar, pernah.”
Lalu Abdullah Bin Mubarak berkata, “engkau sendirilah yang telah merosakkannya.”
Saya termenung sendiri membaca kisah ini. Benar, kadang-kadang dalam keadaan kita marah kepada anak, mungkin tidak disedari keluar perkataan-perkataan yang buruk untuk anak seperti,
“Ya Allah, nakalnya anak aku ni!” atau banyak lagi perkataan-perkataan lain yang mungkin kita tidak menyedarinya kerana berada dalam keadaan marah.
Sedangkan doa ibu bapa kepada anaknya adalah termasuk dalam kategori doa yang amat mustajab.
Ketika kita mengeluh berkenaan dengan nakalnya anak kita, renunglah diri kita kembali, apakah kita pernah mendoakan kebaikan untuknya?
Apakah kita selalu mendoakan agar anak kita dikurniakan akhlaq yang mulia?
Apakah kita selalu mendoakan agar anak kita termasuk dalam generasi mereka yang menunaikan solat?
Apakah kita selalu mendoakan agar anak kita menjadi seorang anak yang soleh?
Apakah ketika kita marah, kita telah mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya untuk anak kita?
Teringat kepada ibu saya yang setiap kali saya meminta dia mendoakan saya untuk dipermudahkan segala urusan, dia hanya menjawab,
“Ma tak pernah lupa doa untuk kebaikan dan kejayaan kesemua anak Ma setiap kali selepas selesai solat 5 waktu.”
Banyak yang perlu dimuhasabah kembali. Jangan hanya berdoa sekali atau dua kali, terus kita mengharap anak kita akan berubah secara automatik. Perlu lebih jujur dan istiqamah dalam berdoa jika kita benar sayangkan anak-anak kita.
Sama-samalah kita mendoakan yang baik-baik untuk anak-anak, Insyaallah. Jangan sesekali meremehkan kuasa doa.
Sayangkan anak, doa-doakan.
No comments:
Post a Comment