Showing posts with label Tarbiah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiah. Show all posts

MENCIPTA KEBERKATAN USIA

Dalam sesi seminar statistik kaedah PLS SEM minggu lepas, Professor Ringle memulakan kelas dengan bercerita tentang seorang ahli akademik yang sentiasa menjadi rujukan dan inspirasinya iaitu J.L Lohmoller.

kenangan bersama Prof. Ringle di Newcastle University, New South Wales
Saya mendengar dengan penuh tekun, kalau orang sebijak dan sehebat Professor Ringle boleh kagum pada seseorang, maka pastilah orang itu adalah orang yang amat hebat tahap ilmu statistiknya.

Menurur Professor Ringle, Lohmoller adalah seorang genius muda yang luarbiasa. Walaupun usianya singkat (meninggal dunia pada usia yang masih muda) dan buku tulisannya hanya satu, tapi kualiti ilmu statistik yang ada dalam buku tersebut adalah amat tinggi tahapnya. 

Walaupun ditulis pada tahun 1989, tapi masih relevan hingga hari ini, dan lebih menarik, walaupun Professor Ringle telah membacanya buku tersebut berkali-kali, karya Lohmoller tetap menjadi rujukannya hingga hari ini dan kata beliau lagi, hingga hari ini tetap ada bahagian di dalam buku tersebut yang masih belum dapat difahaminya dengan baik kerana tahap kompleksiti dan penggunaan kaedah statistik yang maju dan luarbiasa.

Terus saya teringat pada Imam Nawawi yang juga meninggal dunia pada usia yang masih muda, tapi meninggalkan legasi pemikiran dan karya yang terus hidup hingga hari ini. Kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Nawawi adalah amat hebat dan terlalu banyak, jika dibandingkan dengan umur beliau yang singkat, jumlah tulisan yang dihasilkan oleh beliau, ternyata amat luarbiasa. Hingga hari ini, kitab-kitab beliau masih menjadi rujukan utama umat Islam di seluruh dunia.

Walaupun singkat masa hidupnya, tapi ternyata keberkatan usia dan ilmunya adalah amat menakjubkan.

Begitu juga dengan Imam Hassan Al Banna yang meninggal dunia juga pada usia yang masih muda, tapi legasi pemikiran dan kaedah amalnya telah membuatkan musuh-musuh Islam tidak senang duduk. Manusia-manusia yang lahir dari madrasah tarbiah Al Banna adalah manusia yang luarbiasa kerana walaupun disiksa dan diuji dengan pelbagai ujian hingga hari ini di Mesir, tapi mereka tetap teguh dengan keimanan dan terus berusaha untuk menegakkan panji Islam di tempatnya yang tertinggi hingga hari ini.

Bahkan, dari madrasah tarbiah Al Banna juga lahir gerakan HAMAS yang terus menjadi tunjang kebangkitan dan semangat juang rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan Al Aqsa.

Banyak lagi tokoh-tokoh silam yang singkat hidupnya, tapi sumbangannya luar biasa dan terus menjadi rujukan ramai manusia hingga hari ini.

Tidak dapat dibayangkan pahala tidak putus-putus yang diterima oleh mereka ini di dalam kubur. Pasti hidup mereka selesa di alam baqa’ berkat kerja keras mereka di dunia, Insyaallah.

Apa sebenarnya rahsia keberkatan usia mereka?

AKU INGIN BERUBAH, TAPI BAGAIMANA?

“Entahlah Abang Sham, saya ni dah lama ikut usrah, tapi tak rasa ada peningkatan pun pada diri, masih lagi tak mampu nak tinggal lagu-lagu lagha, masih suka tengok ‘movie’ lama-lama, layan bola tengah-tengah malam buta, masih lagi suka ‘outing’ dan ‘chatting’ dengan budak perempuan, kadang-kadang, saya rasa saya ni hipokrit, tapi entahlah, saya tak tahu bagaimana nak berubah.” Luah Zairul dengan wajah penuh kesal.

Saya mendengar dan cuba menganalisa, tidak ingin cepat memberi nasihat dan cadangan, cuba untuk meletakkan diri di dalam kasutnya.

“Mutabaah amal saya cuba ‘maintain’, Quran saya baca, Solat Jemaah saya cuba untuk tak miss, tapi tak tahulah, kemanisan beribadah tu saya tak dapat rasa, hipokritkah saya ni Abang Sham?” Zairul menambah.

Saya terdiam dan memandang wajahnya mencari makna. Tampak ada keikhlasan di wajahnya untuk berubah, tapi ada sesuatu yang menghalangnya dari terbang tinggi.

Selepas lama Zairul mendiamkan diri dan melihat wajahnya yang memberi isyarat untuk saya memberi respon, barulah saya memulakan kata-kata.

‘HEATWAVE’ DI ADELAIDE, PANAS LAGI NANTI DI MAHSYAR



Minggu lepas Adelaide mengalami ‘heatwave’ yang dikatakan antara yang terburuk dalam sejarah. Bahkan pada hari Khamis, iaitu hari keempat ‘heatwave’, Adelaide diisytiharkan sebagai bandaraya terpanas di dunia dengan suhu mencecah hampir 46 darjah celcius.

Dengan suhu melebihi 40 darjah untuk 5 hari berturut-turut, kelembapan udara yang rendah hingga menyebabkan pernafasan menjadi sukar dan kulit menjadi amat kering, angin panas yang bertiup menerjah muka seperti angin yang baru keluar dari bara api dan terik mentari yang amat membahang hingga kulit terasa terbakar setiap kali terkena cahaya matahari, ‘heatwave’ kali ini benar-benar membuatkan ramai orang resah dan gelisah.

‘Bushfire’ juga berlaku di beberapa tempat hingga mengakibatkan kehilangan harta yang tidak kurang banyak.

Berada di rumah terasa seperti berada di dalam sauna bila pendingin hawa di rumah mengalami kerosakan. Malam rabu dan khamis, kami sekeluarga terpaksa tidur di surau Universiti di bangunan Business School yang baru dibina kerana tidak tahan berada di rumah. Mandi berkali-kali, minum air sejuk juga bergelen-gelen kerana perasaan dahaga yang luar biasa. Peluh di badan usah dikata.

Siang hari dihabiskan di perpustakaan, pulang ke rumah hanya seketika untuk mandi dan makan seketika. Pergi ke tepi pantai pada waktu malam pun masih terasa bahang angin panas yang bertiup, bahkan ramai yang masih berenang di pantai pada jam 11 malam!

Ini baru panas dunia, bak kata Imam Salam dalam khutbah Jumaat di Masjid Wandana.

JEREMY WADE, RIVER MONSTERS DAN CITA YANG TERPADAM



Selain dari Air Crash Investigation, satu lagi siri yang saya amat minati adalah River Monsters yang dihoskan oleh Jeremy Wade. Dalam beberapa siri River Monsters yang sempat saya tontoni, Jeremy mengembara ke lokasi-lokasi yang agak ‘remote’ dan asing bagi dirinya untuk mencari spesis ikan gergasi yang jarang-jarang ditemui.

Apa yang menyebabkan saya suka dengan siri ini bukanlah kerana ikan-ikan gergasi yang selalu ditemui oleh Jeremy, tapi saya seronok menikmati bagaimana ‘passion’ Jeremy dalam mencari apa yang diingininya. Beliau bukanlah gagah, tampan dan sasa seperti Bear Grylls, atau agresif, luar biasa dan lucu seperti Steve Irwin yang telah meninggal dunia akibat tertusuk duri ikan Pari.

Susuknya sederhana, tiada six pack atau lengan yang berotot, tapi semangatnya yang meluap-luap dalam setiap pengembaraan membolehkan beliau mencapai apa yang beliau cari walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan.

Dokumentari River Monsters menceritakan kisahnya dengan begitu jujur. Beliau pernah diserang Malaria selama dua minggu ketika kembaranya ke Congo, terjatuh dan cedera beberapa kali akibat pelbagai kemalangan ketika pengembaraan di Amazon, dirempuh oleh ikan gergasi hingga menyebabkan kecederaan yang teruk dan pelbagai lagi kisah-kisah menarik.

Banyak juga pengembaraannya yang langsung tidak membuahkan hasil, ikan yang dicari tidak ditemui, ada ketikanya beliau pulang tangan kosong dengan hampa walaupun telah mengembara dengan amat jauh dan memakan masa yang lama, tapi ‘passionnya’ tidak pernah berkurang dalam setiap pengembaraan.

Apa sebenarnya yang mendorong Jeremy Wade untuk mengembara dan mengalami pelbagai kesusahan?

PILIHAN HARI INI, MASA DEPAN KITA NANTI: IBRAH DARI PENERBANGAN 611 CHINA AIRLINES

Gambar hiasan: Pesawat China Airlines
Beberapa hari yang lepas, saya berkesempatan menonton rancangan Air Crash Investigation di YouTube, antara rancangan kegemaran yang sering saya cuba cari masa untuk menontonnya. Kali ini, episod yang saya tonton adalah berkenaan kemalangan yang menimpa sebuah pesawat China Air yang sedang dalam perjalanan dari Taiwan ke Hong Kong.

Pesawat malang berusia 22 tahun ini pecah di udara dan terhempas ke laut hanya selepas 20 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan dan mengorbankan kesemua 225 penumpang dan anak kapal. Pelbagai teori dibangkitkan oleh media untuk mengenalpasti punca kapal terbang ini terputus dua dan relai di udara, antaranya adalah serangan bom oleh penyerang berani mati dan tembakan peluru berpandu oleh tentera Cina yang sedang menjalankan latihan di kawasan berhampiran pada hari pesawat malang tersebut terhempas.

Namun data dari kotak hitam pesawat dan maklumat radar menolak teori tembakan peluru berpandu, begitu juga pemeriksaan ke atas mayat-mayat yang ditemui menolak teori pesawat ini dibom oleh penyerang berani mati. Lebih memeningkan penyiasat, langsung tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan kegagalan elektronik dalam sistem pesawat atau kesilapan juruterbang. Perbualan dan bunyi dalam kokpit pesawat juga tidak dapat memberikan apa-apa petunjuk.

Jadi apa punca sebenar?

WHAT YOU DO, YOU UNDERSTAND


Alhamdulillah.

Banyak perkara baru yang saya dalam statistik yang saya belajar hari ini. Bermula dari analisis ‘normality’, ujian ‘reliability’, ‘convergent’ dan ‘discriminant validity’ serta ‘factor loading’. Insyaallah esok akan belajar berkenaan dengan ‘exploratory’ dan ‘confirmatory factor analysis’ pula.

Sebelum ini banyak kelas statistik yang saya lalui, banyak seminar kuantitatif yang saya dengar termasuklah seminar wajib sebelum menghantar permohonan pengajian lanjutan. Tapi, bila berdepan dengan masalah dan data sendiri yang perlu di santuni, cara saya melihat statistik jauh berbeza.

Kesungguhan mencari bahan, pengalaman hasil dari ‘try and error’, perkongsian dari mereka yang pakar dan rujukan-rujukan muktabar benar-benar membantu saya memahami sekelumit ilmu statistik dengan lebih praktikal.

Benarlah kata pepatah yang menyebut:

What you hear you forget, what you see, you remember, what you do, you understand.

Saya memahami pepatah ini secara amali hari ini (dan minggu-minggu sebelumnya). Bila kita benar-benar terjun untuk menyelesaikan masalah sebenar, barulah kita akan benar-benar memahami.

Begitu juga dengan dakwah dan tarbiah, kita hanya akan benar-benar memahami mutiara kata tokoh-tokoh pendakwah dari kalangan generasi kini dan generasi terdahulu, hadis-hadis baginda nabi dan ayat Al Quran yang membicarakan tentang dakwah, tarbiah, jihad dan pengorbanan yang dipelajari di dalam usrah, daurah, mabit dan mukhayyam hanya apabila kita terjun ke medan, bergelumang dengan masyarakat dan melaksanakan dakwah secara praktikal.

Bak kata seorang sahabat saya yang bergelumang dengan amal PRU yang amat sengit baru-baru ini, beliau mengatakan.

“Sekarang baru ana faham makna kata-kata Hassan Al Banna tentang dakwah Ikhwan, rupanya selama ini kita syok sendiri sahaja.”

Bila kaki terasa panas, kulit dan hati terbakar dek kerana asam ragam kafilah dakwah, duit yang ada hanya cukup-cukup makan kerana diinfaqkan ke jalan dakwah, maka barulah kita akan memahami makna dakwah. Itupun hanya sedikit cuma.

Moga Allah memberi kita kekuatan untuk menjadi pendakwah yang terjun ke medan amal, bukan hanya seronok berteori di kalangan ahli usrah yang akhirnya tidak membawa kita ke mana-mana.

Insyaallah.




HARAPKAN ‘PAGAR’, ‘PAGAR’ MAKAN PADI

Harapkan ‘pagar’, ‘pagar’ makan padi adalah satu peribahasa melayu yang biasa saya dengar sejak zaman sekolah. Bahkan hingga hari ini pun ia masih popular. Namun apa yang saya tidak tahu adalah apa yang saya tahu tentang peribahasa ini selama lebih dari 20 tahun, rupanya adalah salah.

Sebenarnya bukan pagar, tapi pegar, sejenis burung yang biasa ditugaskan untuk menjaga sawah padi dari ancaman serangga dan haiwan perosak lain. Maksud sebenar peribahasa ini adalah, burung Pegar yang diharapkan untuk menjaga padi, akhirnya khianat dengan menjadikan padi sebagai habuannya sendiri.

20 tahun saya tenggelam dalam kefahaman yang salah. Tidak mengapalah kerana ia hanya peribahasa, tapi bagaimana dengan perihal agama kita?

Apakah kita telah memeriksa setiap amalan yang kita percaya dan laksanakan selama ini? Apakah ianya benar-benar berlandaskan ilmu? ataupun ikut-ikutan sejak zaman sekolah yang kita tidak pernah kisah untuk menyemaknya kembali?

Jika hanya peribahasa, mungkin tidak akan ada kesan kepada nasib kita di akhirat, tapi bila melibatkan urusan agama, kehidupan kita yang abadi di akhirat yang sedang kita pertaruhkan.

KEBENARAN ITU ADALAH DENGAN HUJAH

Dalam satu situasi,

“Jom makan kat restoran tu?” Ajak Hilman kepada kawannya, Zaim.

“Eh, bukan restoran tu tak halal ke?” Balas Zaim, hairan dengan ajakan kawannya.

“Tapi aku nampak ada orang melayu makan kat situ tadi, pakai kopiah lagi.” Jelas Zaim dengan yakin.

“Errrr….,” Hilman terpinga-pinga.

Dalam satu lagi situasi.

“Kau tak nak ‘join’ ke skim pelaburan ni, keuntungannya berlipat kali ganda, ramai yang dah berjaya.” Bersemangat Hafiz cuba mengajak sahabat baiknya Zairul untuk menyertai skim pelaburan ala piramid yang baru disertainya.

“Aku tak minatlah pelaburan-pelaburan ‘online’ jenis begini, lagipun aku pernah baca dekat website Ustaz Zaharuddin yang pelaburan jenis ni berpotensi besar haram sebab ada melibatkan unsur-unsur riba. Bahkan ada pakar ekonomi Islam peringkat antarabangsa yang mengharamkannya.” Hujah Zairul, cuba menolak ajakan rakannya dengan lembut dan dengan sedikit ilmu yang diketahuinya melalui pembacaan dan analisa.

“Mana boleh haram, ada ramai ustaz yang berkelulusan timur tengah menyertai pelaburan ni, takkanlah mereka tak tahu? Bahkan ada yang jadi ejen, tahu tak? Ramai juga pensyarah-pensyarah universiti, doktor, peguam dan jurutera yang dah sertai, takkan kau nak kata dia orang ni tak reti?” Balas Hafiz sedikit marah, membidas kembali persoalan Zairul dengan ‘hujah’, membuat Zairul tergamam.

AYAH, UKHUWWAH ITU LELAKI KE PEREMPUAN?


“Ayah, ikhwah tu lelaki kan?” Tanya Humaira’ tidak berapa lama dulu.

“Ye.” Saya menjawab ringkas, acuh tak acuh kerana mata masih tertumpu pada skrin komputer mencari ilham untuk menulis hasil analisa data kualitatif.

“Akhawat tu perempuan kan?” Tanyanya lagi.

“Ye, perempuan.” Kali ini saya berhenti dan merenung wajahnya kehairanan. Dua soalan pertamanya adalah berbentuk pengesahan. Saya amat pasti, akan ada soalan ketiga pula selepas ini.

“Ukhuwwah itu apa pula ayah?” Barulah keluar soalan sebenar.

Saya tertawa kecil. Tidak dapat saya bayangkan apa yang tergambar di kepalanya. Mungkin sebutan yang lebih kurang sama membuatkan dia tertanya-tanya. Jangan terbayang yang bukan-bukan sudah lah. Kalimah ukhuwwah mungkin didengarinya dari sesi usrah ibunya yang sedang berjalan di ruang tamu.

“Ukhuwwah itu bukan lelaki, bukan perempuan, bukan juga lelaki separuh atau perempuan separuh. Ukhuwwah ini maksudnya hubungan antara seorang muslim dan seorang muslim yang lain.” Jelas saya. Cuba mencari maksud paling mudah.

TARBIAH SEKULAR, TARBIAH PLASTIK


Bila berbicara tentang kemenjadian tarbiah, kita mesti lebih subjektif. Penilaian tentang kejayaan tarbiah tidak sekadar memenuhi kotak-kotak kosong pada dokumen penilaian dengan angka-angka atau tanda-tanda.

Kemenjadian tarbiah tidak boleh dinilai hanya dengan komitednya seorang akh menghadiri usrah, katibah, rehlah dan segala wasilah tarbiah yang dilaksanakan oleh Jama’ah, tapi ia mesti dinilai berdasarkan ketinggian akhlaq dan membuminya segala hakikat tarbiah itu dalam dirinya.

Sebagai contoh.

Kesungguhan seorang akh dalam menjaga masa tidak boleh dikatakan berjaya bila akh tersebut hanya mampu menepati masa ketika menghadiri program, tapi sering lambat atau tercicir dalam menghadiri solat berjemaah di masjid atau ketika berjanji dengan orang lain.

Begitu juga kefahaman tentang sabar. Ia tidak boleh dinilai hanya dengan berjayanya seorang akh melalui semua modul dan bahan yang membicarakan tentang makna dan isi daripada sifat sabar.

PERISTIWA SATU PETANG DI TEPI TIANG MASJID

“Anta buat apa kat sini?” Tanya seorang sahabat yang melihat saya sedang bersandar di tepi tiang masjid selepas Solat Asar.

Saya diam. Hanya tersenyum. Sebenarnya ketika itu saya menahan lapar yang amat sangat kerana telah kehabisan wang belanja. Hendak menelefon ke rumah, minta bantuan dari Ma dan Dedi, tidak sampai hati. Hendak meminjam dari kawan-kawan, terasa malu. Kebetulan bulan itu elaun JPA masuk agak lambat. Khabarnya, tiga hari lagi baru duit akan masuk.

Petang itu saya buntu. Kali terakhir saya menjamah makanan adalah sebungkus Maggi yang saya kongsi bersama roommate malam tadi, sesudahnya hanya minum air sejuk kerana duit yang di dalam dompet hanya 50 sen. Tidak pernah lagi keadaan kewangan saya kritikal begini. Apatah lagi untuk menghadapi beberapa hari lagi.

Perut terasa amat pedih.

“Anta ada masalah ke?” Tanya sahabat itu lagi. Sahabat itu adalah senior saya dua tahun di Universiti. Dia adalah antara tenaga utama yang mengajak saya mengenal usrah, tarbiah dan dakwah.

Saya hanya menguntum senyum. Bertarung antara perasaan malu dan perut yang sedang menggerutu.

“Biasanya anta tak begini, pada hemat ana, anta ni mesti tengah tak ada duit sebab elaun budak-budak tahun pertama JPA masuk lambat bulan ini kan. Eh, anta dah makan?”

Dada saya bagai disambar petir. Bagaimana dia boleh meneka dengan tepat apa yang sedang bermain di fikiran saya.

“Macam ini lah, anta ambil RM 20 ni, buat belanja apa yang patut, ana tahu anta tak ada duit.”

Dia mengeluarkan dua keeping not merah dari dalam dompet dan menghulurkan kepada saya.

Tanpa sedar saya menghulurkan tangan, tidak mampu menolaknya.

“Ana minta diri dulu, ada hal sikit. Kalau anta perlu bantuan apa-apa, anta tahu nak cari ana kat mana.” Sahabat saya itu bangun dan berlalu pergi.

Saya menahan air mata. Bantuan Allah datang dalam keadaan tidak disangka-sangka. Saya menunggu kelibatnya hilang dan kemudian terus bangkit menuju kafeteria terdekat untuk mencari makanan.

Peristiwa petang hari di tepi tiang masjid itu adalah antara peristiwa dari sekian banyak kenangan yang tidak akan dapat saya lupakan. Antara noktah penting yang menyebabkan mengapa saya terus kekal bersama dengan dakwah dan tarbiah hingga hari ini.

Kadang-kadang bukan ceramah yang berdegar-degar di dalam daurah, bukan juga siri-siri usrah, nasihat-nasihat boombastik, katibah dan mukhayyam yang akan menyentuh hati seorang mad’u dan mengubah pendiriannya tentang dakwah dan tarbiah, tetapi cukup sekadar dengan sentuhan-sentuhan kecil yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dari hati murabbi yang penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Bila kita (da’ie) jujur dengan ukhuwwah, hati mad’u pasti akan mudah berubah.

Moga Allah memberi kelapangan hidup dan keluasan rezqi pada sahabat yang membantu saya petang itu.

CINTA ITU BUKAN SEKADAR LAFAZ

Cinta dan sayang itu bukan sekadar lafaz, tapi mesti dibuktikan dengan perbuatan.

Seorang wanita yang mengaku sayangkan suaminya bersungguh-sungguh, pasti tidak akan suka andai ada sebarang kemudharatan yang menimpa suaminya.

Begitu juga seorang anak, secara khusus anak perempuan yang sayangkan ayahnya, pasti tidak akan suka andai ada kecelakaan yang menimpa ayahnya.

Seorang ayah juga, andai sayangkan anaknya (anak perempuan secara khusus), pasti tidak akan membenarkan apa jua perkara mengapa-apakan anak-anaknya.

Seorang suami, andai sayangkan isterinya dengan bersungguh-sungguh, pasti akan menjaga isteri tersebut bagai menatang minyak yang penuh.

Apatah lagi jika ada api yang ingin membakar tubuh mereka yang disayangi tersebut, jauh sekali hendak membayangkan bahawa merekalah yang menjadi punca tubuh mereka yang disayangi disentuh oleh api.

Begitulah cinta hakiki, ia bukan sekadar lafaz “I Love You”, tapi ia pasti akan disusuli dengan tindakan penuh bertanggungjawab untuk melindungi orang yang disayangi dari menerima apa jua bala bencana.

Saya pasti, sukar untuk sesiapa yang mempunyai fitrah yang normal untuk tidak bersetuju dengan hakikat ini.
Namun realitinya jauh berbeza hari ini. Apakah kerana tidak tahu, atau tewas dek pujukan hawa nafsu?

Tidak, saya tidak berbicara tentang nasib kita di dunia, tapi lebih kepada nasib kita nanti di akhirat sana.

Ramai wanita yang mengaku sayangkan suami, namun masih keluar dengan aurat terbuka yang menyebabkan suami menimbun beban dosa.

Ramai juga suami yang menyatakan cinta dengan penuh rasa hati, tidak pernah lupa untuk menghadiahkan bunga pada setiap hari ulangtahun, namun membiarkan isteri keluar tanpa menutup aurat, apatah lagi keluar dan bergambar bersama dengan lelaki yang bukan mahram.

Ramai (anak perempuan yang telah dewasa dan belum berkahwin) yang mengaku sayangkan ayahnya dengan sepenuh hati, namun masih membiarkan ayahnya menghimpun dosa dengan keluar tanpa menutup aurat, meletakkan gambar mendedahkan aurat di laman social, balik lewat malam tanpa sebab yang munasabah dan bergambar bersama lelaki yang bukan mahram.

Ramai juga ayah yang saya pasti, amat sayangkan anaknya (anak perempuan secara khusus), namun masih membiarkan anak-anak hanyut tanpa didikan agama, dan langsung tidak menegah anak dari melakukan perbuatan-perbuatan yang menghampirkan diri mereka berdua ke jurang api neraka.

Tidakkah semua ini akan menjadikan diri dan orang yang disayangi calon untuk menjadi bahan bakar api neraka?

Cinta apakah ini? Cinta palsu atau cinta yang penuh dengan penipuan?

Tidak ada sesiapa yang suka dengan cinta palsu yang sering diungkapkan oleh sang penipu.

Andai sayang, buktikanlah dengan perbuatan.

Buat adik-adikku (yang belum berkahwin), jika benar sayang kepada ayah, jangan dayuskan ayah anda dengan mendedahkan aurat (aurat bukan sekadar menutup rambut), keluar dengan lelaki yang bukan mahram dan meletakkan gambar yang mendedahkan aurat di merata-rata.

Buat para isteri di luar sana, andai sayang pada suami, bantulah dia untuk sama-sama berpimpin tangan untuk bercinta hingga ke syurga. Jangan heret suami ke neraka dengan kealpaan kita dalam menjaga maruah diri dan aib rumahtangga.

Buat para suami dan juga ayah, kita adalah pemimpin, dan diri kita akan dipertanggungjawabkan atas rakyat yang kita pimpin. Tidak guna kejayaan kita gilang gemilang di dunia, andai pengakhiran kita nanti adalah di tepi lembah neraka.

Buktikan bahawa kita benar-benar cinta!

GEMA KEWARAKAN


Apabila seseorang da’i mewajibkan dirinya bersifat dengan sifat warak, kewarakannya akan mempunyai gema yang pengulangan gema tersebut akan menggerakkan orang ramai. Hakikat ini dijelaskan oleh penemuan yang dilakukan oleh Yahya bin Mu’az, seorang zahid, yang mengatakan: “Bahawa manusia akan mempedulikan urusan anda, sekadar mana anda peduli dengan urusan Allah.” Taufiq yang diberikan oleh Allah terhadap kerja pengumpulan yang kita lakukan adalah bergantung kepada tahap kesungguhan kita terhadap kerja tersebut. Krisis ketidakmahuan manusia untuk datang kepada kita, tidak lain dan tidak bukan, adalah disebabkan oleh kurang pedulinya kita terhadap apa yang diwajibkan oleh Allah kepada kita. Sesiapa yang datang kepada Allah dengan hatinya, nescaya Allah akan mendatangkan hati-hati manusia kepadanya. 

Abu Ammar - Al Masar

Lebih Dari Sekadar Kemenangan dan Kekalahan


Lee Chong Wei tewas tipis.

Azizulhasni juga begitu.

Namun, keduanya disanjung oleh banyak pihak walaupun tewas. Memberi satu definisi baru kepada kemenangan dan kekalahan.

Selama ini kita dimomokkan bahawa yang menang itu adalah yang mendapat tempat pertama, manakala yang kalah adalah sebaliknya.

Definisi yang amat sempit jika ia hanya difahami secara literal.

Namun, jika tempat pertama itu adalah natijah kepada usaha yang berterusan hasil dari keazaman yang membara, maka itu adalah kemenangan yang pastinya adalah kemenangan yang hakiki.

dan, jika tempat pertama itu adalah keputusan selepas siri-siri kebangkitan dari kekalahan, maka itu adalah kemenangan yang amat bermakna.

Itulah juara sebenarnya. Tidak hanya dalam sukan, tapi dalam mendepani apa juara cabaran kehidupan.

Inilah rahsia mengapa mereka dipuji walaupun tewas. Kerana mereka tidak tewas tanpa usaha dan kesungguhan, tapi tewas dengan cara yang sungguh bergaya.

Hakikatnya, mereka yang gagal bukanlah mereka yang tidak berusaha, tapi mereka yang langsung tidak punya usaha dan keberanian untuk keluar dari zon selesa. Takut dengan cabaran kerana takutkan kekalahan.

Berpatah arang dengan keberanian kerana tidak ingin berkorban. Inilah sifat asasi mereka yang jiwanya telah tewas sebelum bermula.

Kalah dengan berusaha tidak mengapa kerana ia jauh lebih baik dari tidak punya keazaman untuk mencuba. Lebih malang jika hanya pandai mengata.

Ia bukan tentang pingat emas sebenarnya.

Jauh lagi tentang Olimpik atau mana-mana sukan yang dipertandingkan.

Hakikatnya, ia adalah kisah tentang keazaman dan seni mengurus kekalahan untuk mencipta kemenangan.

Semuanya bermula dengan keazaman!

Kerana hidup ini jauh lebih bermakna dari sekadar mendapat tempat pertama.

Selamat Berusaha Mencari Lailatul Qadr.

Kerana Syurga itu Mahal Harganya


Tewas, tapi bermaruah.

kredit: telegraph.co.uk
Saya pasti, tidak ada siapa pun yang rasional yang akan memberi kutukan terhadap Chong Wei setelah menyaksikan perlawanan semalam. Bahkan, kita akan rasa lebih hormat jika mengetahui apa yang telah dilaluinya sebelum melangkah dan kemudiannya tewas bermaruah dalam perlawanan akhir semalam.

Bangkit dari masalah keluarga yang meruncing dan kecederaan buku lali yang agak serius, Chong Wei membuktikan bahawa kerja keras yang berterusan dan pengorbanan yang tinggilah yang akan menyampaikan sesiapa sahaja ke mercu kejayaan. Insyaallah.

Saya ralat, tapi tidak kecewa, kerana Lee Chong Wei telah memberikan segalanya.

Begitu juga dengan Azizulhasni Awang, beberapa kali jatuh dan cedera tidak pernah menghalangnya untuk bangkit kembali. Siapa yang boleh melupakan kayuhannya dengan keadaan kakinya yang tertusuk kayu serpihan tajam hingga akhirnya memperoleh pingat gangsa dalam kejohanan dunia di Manchester.

Doktrinasi ISMA: Beberapa Prinsip (Bahagian 2)


“Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (At Taubah: 105)

“Wahai Ikhwan Muslimin ! Sesungghnya jalan kamu telah digariskan langkah-langkahnya dan telah diletakkan batas-batasnya. Aku tidak akan melanggar batas-batas ini yang amat aku yakini bahawa ia adalah jalan paling selamat ke arah mencapai Matlamat. Memang ia mungkin jalan yang panjang akan tetapi tiada jalan yang lain selainnya. Kelelakian seseorang itu terpancar melalui kesabaran, teguh, bersungguh dan kerja yang berterusan. Sesiapa dari kamu yang gopoh hendak segera memetik buah sebelum masaknya atau menyunting bunga sebelum mekarnya, maka aku tidak bersamanya sama sekali. Lebih baik baginya meninggalkan Dakwah ini untuk bersama dengan jemaah-jemaah yang lain. Siapa yang bersabar bersama aku sehingga benih bercambah, pohon tumbuh, buah masak meranum dan sedia dipetik maka pahala untuknya ada disisi Allah. Kita dan dia tidak akan terlepas dari mendapat dua kebaikan, samada kemenangan dan pemerintahan, atau syahid dan kebahagiaan”. (Imam Hassan Al Banna)

“Dalam banyak-banyak Jema’ah, mengapa Abang Sham pilih ISMA? Mengapa tidak IKRAM, mengapa tidak HALUAN, mengapa tidak PAS? Mengapa bukan jemaa-jemaah lain?” Lanjut soalan Aiman.



Soalannya yang kali ini membuat saya termenung panjang. Bukan kerana sukarnya hendak menjawab, tapi mengingat akan kenangan demi kenangan ketika saya mula mengenal jalan dakwah dan tarbiah 15 tahun lalu yang mengubah dan mencorakkan setiap inci kehidupan saya hingga hari ini.

Doktrinasi ISMA : Bukan Zombi Kampung Pisang (Bahagian 1)


Kita ingin jelaskan objektif kita kepada seluruh manusia, kita mahu bentangkan pendekatan kita di hadapan seluruh manusia, kita ingin kemukakan dakwah kita kepada semua. Kita mahu kemukakan dakwah ini tanpa berselindung dan berlapik. Dakwah ini secerah cahaya mentari, seterang sinar fajar, sejelas siang hari. (Imam Hassan Al Banna)


“Peninglah Abang Sham, macamana ni?” Tanya Aiman dengan suara yang lemah sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Pening apanya?” Tanya saya, sebenarnya, saya seakan tahu akan persoalan yang ingin ditanya olehnya, cuma sekadar meminta pengesahan.

“Ni haa, Aiman baca dalam facebook macam-macam orang kata tentang ISMA, kata ISMA ni doktrinasi anak-anak buahnya dengan kefahaman yang pelik-pelik. Lepas tu ada juga kawan-kawan yang minta saya keluar dari usrah ISMA ni dan join sahaja usrah dari jema’ah lain. Pening kepala saya macam ni.”

Rahsia Dalam Rahsia

“Bukankah saya kata jangan ‘on’ kan telefon bimbit dalam kelas! Mengapa kamu degil! Keluar sekarang!” Jerkah seorang pensyarah bagai halilintar apabila ‘pantang larang’ utamanya dalam kelas dicabar oleh seorang pelajar yang duduk di tepi tingkap setelah pelajar itu kelihatan sedang menatap skrin telefon bimbitnya dengan amat leka ketika waktu pengajaran.
Dalam satu situasi lain,

“Sejak beberapa minggu kebelakangan ni, ana tengok anta selalu datang lambat ke program usrah atau daurah (seminar), apakah anta tak tahu bahawa nilai masa bagi seorang mu’min adalah lebih mahal dari intan permata?” Nasihat seorang naqib kepada Aiman, anak usrahnya yang sering lambat hadir ke program-program tarbiah sejak akhir-akhir ini.

Aiman hanya tunduk sambil termenung jauh.

Dalam satu lagi situasi,

“#$%^&* punya perempuan, kalau aku jumpa dia, aku akan belasah cukup-cukup!” Komen Husni setelah melihat video seorang wanita memukul anaknya yang masih kecil dengan bantal dan beberapa objek lain bertubi-tubi tanpa belas kasihan.

Apakah persamaan antara 3 kisah di atas? Apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan?

Pohon Tomato Menakjubkan di Masjid Khalil!

“Sham, anta nak tengok satu pohon tomato yang menakjubkan tak?” Tanya Dr. Zaki kepada saya ketika kami sama-sama berjalan keluar dari Masjid Khalil seusai solat Maghrib.

“Menakjubkan?” Saya tertanya-tanya dan tanpa disuruh saya menuruti langkahnya ke sebuah pohon yang kelihatan telah kering di tepi masjid.

“Pohon ni baru sahaja mati, sebelum ni dia berbuah dengan amat baik.” Ujar Dr. Zaki sambil saya memerhati pohon tersebut. Cuba untuk mencari di mana keajaibannya.

“Apa yang istimewa sangat dengan pohon tomato ni?” Saya bertanya. Terpinga-pinga.

“Cuba anta tengok, kawasan ni kan berbatu, dan pohon ni bukan ditanam oleh sesiapa. Semasa Ramadhan yang lepas, asal tempat pohon ini adalah antara tempat orang membuang sisa makanan selepas berbuka.”

“Macam-macam yang dibuang, termasuklah sisa tomato.”

"Daripada sisa tersebut, tumbuhlah pohon ini secara perlahan-lahan. Tidak ada siapa yang menyedari pada mulanya."

“Namun, pohon tomato ini amat istimewa kerana walaupun tak dijaga, tak disiram kecuali oleh hujan, letaknya pula di kawasan yang penuh batu dan tidak ada siapa yang mempedulikannya, namun dia tetap berbuah dengan elok.”

“Walhal, pohon tomato yang ana tanam di rumah, jenuh ana siram, bubuh baja dan guna tanah yang baik, tapi tetap tidak mahu berbuah.” Jelas Dr. Zaki lagi.

Masyaallah, saya baru menangkap keajaibannya!

Sungguh! Pohon tomato di laman masjid Khalil ini telah membuktikan bahawa apa yang Allah kehendaki, pasti akan terjadi, walaupun kelihatan mustahil di mata manusia.

Namun, perancangan manusia, walaupun seteliti dan sehebat mana sekalipun, tetapi jika tidak diizinkan Allah, tetap tidak akan terlaksana.

Subhanallah, pada pohon tomato ini ada pengajaran yang besar buat menanam sifat pasrah pada kehendak Allah dalam diri.

Apa yang dikehendaki Allah, tidak akan ada usaha yang dapat menghalangnya.

Apa yang tidak dikehendaki Allah, tidak akan ada usaha yang mampu menjayakannya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.” (Taubah: 51)

Setiap Daun yang Gugur, DIA Mengetahuinya

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. (Al Anaam: 59)

Masyaallah, mari kita bayangkan, dalam dunia ini bilangan pohon yang berdaun tidak terkira banyaknya. Apatah lagi jika kita cuba mengira bilangan daun yang ada pada setiap pohon yang wujud dalam dunia ini. Manusia tidak akan mampu untuk mengiranya.

Namun, Allah tahu apa yang berlaku bukan pada setiap pohon, tapi pada setiap helai daun yang tumbuh di setiap pohon, bila waktu daun itu tumbuh, bagaimana daun itu harus tumbuh dan bila saat daun itu akan gugur.

Betapa luas dan telitinya pengetahuan Allah dalam setiap urusan. 

Maka apakah yang membuatkan kita rasa kita mampu untuk bersembunyi dari Allah ketika melakukan maksiat walaupun di dalam bilik gelap yang berkunci.

Allah tahu segala-galanya, bahkan rahsia hati kita yang paling dalam pun Allah mengetahuinya.

Allahuakbar!