Mohd Hisham Mohd Sharif


Tatkala diri bersedih, lihatlah disekelilingmu, pasti ada orang yang lebih besar musibah dan kesedihan yang melanda dirinya. Tatkala diri menderita, pasti akan ada orang yang lebih menderita dari kita.

Tatkala membaca berita kematian 4 beradik di Muadzam akibat lemas, aku terkedu, tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan seorang ayah yang kehilangan 4 orang anak sekaligus di depan mata tanpa mampu berbuat apa-apa.

Anak yang sejak dari kecil dipelihara, dibesarkan dengan penuh kasih sayang akhirnya hilang sekelip mata. Berat hati ku membayangkan kesedihannya, berat lagi hati yang menerima musibah itu sendiri.

Saat-saat begini aku teringatkan anak-anak kecil dirumah, terasa ingin terbang untuk memeluk dan mencium mereka, anak-anak adalah amanah, anugerah dan kecintaan yang tiada taranya.

Buat si ayah yang menerima musibah ini, tiada kata yang dapat diungkapkan, moga Allah menggantikan kesedihan ini dengan ganjaran yang besar dan lebih baik.
Mohd Hisham Mohd Sharif


Petang tadi aku direzqikan berjumpa dengan seorang sahabat lama, seorang teman yang membuka kembali kenangan silam kisah hidupku di kampus hijau Sintok sejak dari 1998 lagi. Pertemuan dengannya mengingatkan aku akan manisnya ukhuwwah dalam hidup berjemaah dan membuka kembali memori lama dilorong-lorong gelap kolej MISC hingga ke memori di ladang sawit bersama buah durian.

"Tak sangka yang umur kita sekarang ni dah 30 tahun ye..." Irman mengingatkan aku tentang hakikat usia kami yang kini telah mencecah dewasa.

"Yup, satu ketika dahulu, di foyer inilah tempat kita berjalan sambil berbincang tentang geng gagak hitam, lecturer killer, masalah data struct, kernel OS, COBOL, tension dan pelbagai isu lagi.." aku mengingatkannya kepada memori lama...

"Yelah, kalau dulu, tiap kali jumpa, mesti agendanya assignment yang tak siap ataupun geng gagak hitam, hehehe..." Irman menambah perisa...

"Itu dulu, sekarang ni nampaknya agenda kita banyak beralih pada anak-anak pula, anak dah berapa orang? berapa dah umur? dah boleh buat apa? aku mengimbas rencah perbualan kami tadi, sambil menghirup kopi radix yang masih panas..

"10 tahun lagi, kalau panjang umur dan kita jumpa lagi, mesti kita tanya perihal anak-anak remaja kita pulak, pasal sekolah depa dan sebagainya..."Irman menambah lagi sambil matanya merenung jauh ke hadapan...

aku terdiam, fikiranku juga menerawang ke masa-masa akan datang, 10 tahun tidak lama, ketika itu usiaku akan mencecah 40, rambut pun mungkin akan mula memutih saat itu, kudrat pun akan semakin kurang...itupun jika umurku panjang

"dan satu hari nanti, ketika kita berjumpa lagi, pasti kita akan bertanya pula tentang siapa yang masih hidup? siapa yang sakit? apa penyakitnya dan ketika itu, kulit pun telah berkedut, rambut pun mungkin tinggal sisa-sisa sahaja, anak-anak pun mungkin dah berumahtangga..." Irman terus menambah...

"dan satu hari nanti, kita akan berjumpa pula di mahsyar, jika ada rezqi, kita akan jumpa di syurga, tapi harap-harapnya kita tak berjumpa di neraka..." aku menambah, tapi hanya di dalam hati sahaja, sambil menghabiskan sisa-sisa kopi radix di dalam cawan...

Begitulah hakikat kehidupan, masa akan terus berjalan, generasi demi generasi bertukar ganti, dan kita hanyalah seorang manusia dalam garisan masa sejarah kemanusiaan yang panjang.

Apakah kita memilih untuk menjadi sejarah yang dilupakan ataupun melakar tanda di atas garisan dengan dakwat yang harum, hanya kita yang mampu menjawabnya...
Mohd Hisham Mohd Sharif


si anak bertanya "Ayah, tu burung apa tu ayah...?"
si ayah menjawab "Burung murai..."

si anak bertanya lagi "Ayah, tu burung apa tu ayah...?"
si ayah menjawab lagi "Burung murai..."

si anak terus bertanya"Ayah, tu burung apa tu ayah...?"
si ayah terus menjawab "Burung murai..."

Masih ingat lagi dengan dialog di atas? ketika aku pertama kali menyaksikan iklan ini, aku hanya ketawa, tidak terfikir yang aku akan melalui situasi yang sama satu hari nanti. Ketika itu Humaira hanya berusia 3 tahun dan obsesinya hanyalah pada menyebut benda-benda disekelilingnya yang di ajar oleh ibu dan ayahnya.

Kini, usianya telah mencecah 4 tahun 4 bulan, perkembangan mindanya begitu pantas, kadang-kadang tidak mampu dikejar oleh ibu dan ayahnya. Setiap soalan yang ditanya, menguji akal dan kesabaran kami kadang-kadang.

Satu soalan kadang-kadang ditanya berulang-ulang kali, kadang-kadang aku hampir juga hilang sabar, tapi memikirkan yang dia hanyalah berusia 4 tahun dan mungkin memerlukan kepastian dan peneguhan yang mendalam, butang "pause" pada kemarahan harus ditekan.

Kanak-kanak dalam usia ini ibarat span, yang akan menyedut apa sahaja input yang diberi kepadanya, kita perlu berhati-hati dalam memberi jawapan, kerana kadang-kadang jawapan yang kita beri ketika kecil akan kekal dimindanya hingga usianya lanjut dewasa.

Kegagalan ibu dan ayah untuk melayan pertanyaan si kecil mungkin akan menyebabkan kebosanan dan akhirnya ketika dia telah mempunyai rakan sebaya yang boleh dipercayainya,kemungkinan ibu dan ayahnya tidak lagi akan menjadi sumber rujukan utama dalam memandu kehidupannya.

ketika ini aku teringat kepada kata-kata seorang penceramah dalam satu kursus keibubapaan yang aku pernah hadiri dahulu.

"raising your children is like jumping from a plane with a parachute, you only got one chance to open it, if you fail, then that's it..."
Mohd Hisham Mohd Sharif
Credit to muharikah.wordpress.com for sharing this really nice manipulated transformer video clip...enjoy

Mohd Hisham Mohd Sharif

"Ayah, kenapa orang tu menangis ayah?"

Humaira bertanya dengan ikhlas tatkala melihat pemandangan orang yang berwukuf di Arafah bersolat kemudian berdoa sambil menangis di kaca televisyen.

"Ye la, kita bila kita banyak buat salah dan dosa, kita kena minta maaf dengan Allah, sama macam Humaira bila terkencing atas katil, lepas kencing tu Humaira nangis kan sambil minta maaf..."

"Sebab tu la kita bila kita banyak buat dosa, kita rasa sedih, kita menangis sebab takut Allah tak maafkan kita..."

Aku menerangkan konsep taubat dengan begitu berkeyakinan sekali...

"Tapi Ayah..." wajahnya kelihatan hairan

"Tapi apa Humaira"...aku cuba mencungkil apa yang terbuku dihatinya...

"Humaira tengok Ayah dengan ibu masa solat tak nangis pun..."

"mmmm...gulp...Ayah sakit perut la, Ayah nak gi tandas jap ek...Humaira tanya ibu na..."

Selamat Hari Raya Aidil Adha :)
Hisham, Syifa
Humaira, Khadijah
Mohd Hisham Mohd Sharif
Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu karena takut kemiskinan. Kami lah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.
[17:31]

Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.
[24:32]

“Eh, ni Saiful kan, apa khabar? Lama tak jumpa? Kerja dimana sekarang?”

“Alhamdulillah sihat En Hisham, la saya kerja di Kolej Komuniti, pembantu tadbir je...”

Saiful adalah antara bekas pelajarku yang terawak, ketika aku mula masuk mengajar di UUM pada hujung tahun 2003, berjumpa dengannya kembali setelah 6 tahun amat mengimbau memori.

Antara pelajar yang masih aku ingat hingga sekarang antaranya Zulfikri, pengaturcara yang kreatif, Saiful Nizam yang menjadi penyampai utama dalam bulletin utama TV3, Jalwati Nadirah, pelajar paling rajin dalam kelas, Radin, Islahudin dan ramai lagi.

“Kamu dah kahwin ke? Anak berapa dah?”

Itu soalan pertama yang terpacul dari mulutku

“saya anak 2 dah, en hisham pula berapa?”

“Wah, lajunya” aku tersengih, tidak pula menjawab soalan...

“Saya kahwin awal en hisham, tahun akhir tu saya kahwin dah, anak sulung pun tahun depan nak masuk tadika dah”

“Bagus tu, kahwin awal...ermmm, kamu tak rasa susah ke, masa kahwin kerja belum ada?”

“Tak juga en sham, saya pun hairan, rezeki kadang-kadang datang dari arah yang tidak disangka-sangka, tambah pula bila dah ada anak ni, saya memang rasa, setiap kali anak saya lahir, pendapatan saya pasti bertambah”

“Kalau ikut logik, pendapatan bulanan saya takkan cukup punya, kalau saya kira-kira, memang tak cukup, tapi belanja nak beli pampers, susu, makan pakai semuanya cukup-cukup je, walaupun taklah mewah, tapi cukup...”

“Hmm, yelah, memang betul cakap Saiful tu, setiap anak yang lahir, telah ditentukan rezekinya, kita ni hanya tukang bedak je”

“mmm, betul en hisham, sebab tu saya tak risau pun kalau nak dapat anak lagi, insyaallah rezeki untuk diaorang ada”

Malam itu, aku beroleh keyakinan baru, walaupun mungkin sebelum ini telah mengetahuinya, tapi malam itu aku bertambah yakin bahawa perkahwinan yang diberkati akan mengundang redha dan rezqi.

Berkahwinlah wahai pemuda, usahlah risau dengan urusan rezqi, kerana urusan itu bukan urusan kita...
Mohd Hisham Mohd Sharif

arghhh...terlepas lagi! tensen betul
Mohd Hisham Mohd Sharif
“kita seharusnya takut pada tuhan, bukan pada manusia...”

“Buat apa nak takut pada manusia, tuhan lebih berkuasa...itu rezeki semua ditangannya..”

Itu pesanan Mr. Arsaythamby Veloo ketika aku sedang menjalani kursus PTK 3 dua tahun yang lalu. Walaupun berbeza agama, tapi Mr. Arsay telah mengutarakan antara konsep aqidah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Walaupun berbeza aqidah dan pegangan, tetapi tidak dapat tidak aku harus bersetuju dengan konsep yang diutarakan tersebut. Rasa bertuhan akan melahirkan manusia yang sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakannya.

Minggu lepas, ketika sedang mengawas peperiksaan akhir di dewan Mas, aku dan rakan-rakan dikejutkan dengan satu kes kecurangan akademik oleh seorang pelajar. Walaupun sebelum ini telah banyak yang ditangkap ketika melakukan kecurangan dalam peperiksaan akhir namun inilah kali pertama aku terlibat secara langsung dalam kes.

Sudah menjadi lumrah, setiap pelajar ingin mendapatkan keputusan yang cemerlang, dan dalam prose situ ada yang terlibat dengan tindakan-tindakan yang tidak wajar. Dalam kes ini pelajar tersebut ditangkap ketika sedang membaca nota di dalam tandas.
Ketika ditangkap oleh pembantu pengawas, mulanya pelajar itu enggan mengaku bersalah, namun alasan yang diberikan sungguh meloyakan tekak.

“Saya tak meniru, saya bawa kertas ini untuk buat lap berak”
Kami tercengang, setelah diteliti ternyata kertas yang dibawa adalah nota yang memang ada kaitan dengan subjek peperiksaan.

“Takkan kamu takde kertas lain yang boleh digunakan, atau gunalah air atau apa saja alternatif, rendah sungguh darjat nota pelajaran hingga kamu nak jadikannya sebagai lap najis sahaja”

Aku membebel...

“Takpelah, kamu jawablah sedemikian di mahkamah akademik nanti”

Ketua pengawas malas untuk berbicara panjang.

“Tapi, saya tak baca nota tu” tegas pelajar tersebut lagi.

Namun, gambar yang dirakam jelas menunjukkan pelajar tersebut sedang membaca nota. Menyedari dirinya telah terperangkap, pelajar tersebut mendiamkan diri.

Apa yang aku kesalkan adalah alasan yang diberikan sungguh menyedihkan, kalaupun hendak menipu, carilah alasan lain yang lebih rasional.

Kecemerlangan dalam peperiksaan bukan segala-galanya, apa yang penting adalah apa yang dilalui melalui proses pembelajaran, walaupun mendapat markah yang tinggi tetapi jika akhlak dan sifat amanah tiada, tidak ada gunanya.

Walaupun mungkin ramai yang terlepas dan menggunakan pelbagai teknik yang canggih untuk meniru, ingatlah bahawa pembalasan tuhan yang jika tidak dibalas didunia, akan dibalas dengan lebih pedih diakhirat sana.
Mohd Hisham Mohd Sharif


Saat runtuhnya khilafah Uthmaniah pada 1924, malapetaka demi malapetaka menimpa umat ini, dimamah dan dijajah dimana-mana. Walaupun era penjajahan fizikal lama telah berakhir kecuali di Iraq dan Afghan yang dijajah semula, tetapi agenda serangan halus yang membunuh minda umat Islam, menukarkannya dari singa yang garang kepada kijang yang pengecut terus berjalan dengan sistematik direncanakan oleh tangan-tangan iblis dibantu oleh pembantu yang setia dari kalangan musuh kepada keamanan dan kedamaian.

Akibat dari serangan ini, kita telah bertukar dari menjadi umat yang menang kepada umat yang kalah, dari umat pencipta kepada umat pengguna, dari umat yang maju kepada umat yang mundur serba segalanya. Jika kita pejamkan mata seketika dan gambarkan senario umat islam yang ada pada hari ini kita akan merasai betapa parahnya kedudukan umat ini dimana-mana negara sekalipun.

Pejamkan mata seketika, bayangkan apa yang ada disekeliling kita, makanan, minuman, pakaian, komputer, cip pemproses, telefon bimbit, internet, kertas, jurnal, sistem pendidikan, sistem perundangan bahkan apa sahaja yang terlintas di fikiran kita, 99% daripadanya umat islam hanyalah pengguna.

Kemudian lihatlah pula apa yang terjadi kepada umat ini, selak helaian berita, lihat siapa jaguh dalam penagihan dadah, rempit rempitan, buang bayi, merusuh di padang bola, gagal dalam pelajaran, berpeleseran di konsert-konsert, siapa lagi kalau bukan umat ini.

Kemudian lihat pula apa pengisian anak-anak muda umat yang bertuah ini, pasang radio, lihat televisyen, lihat majalah dan novel-novel yang ada ; berapa peratus rancangan yang mengajak kepada agenda pembangunan umat dan yang lebih kritikal, berapa banyak rancangan yang mengajak manusia untuk mengingati Allah.

Seterusnya lihat pula masa depan umat ini, lihat anak-anak mudanya, lihat graduan dan siswazahnya, apa keutamaan mereka, bagaimana mereka menghabiskan masa mereka, apa yang mereka ingin tuju dalam kehidupan mereka.

Tidak perlu dibentangkan dengan statistik, cukup hanya dengan melihat dengan mata kasar akan realiti umat ini, nescaya kita akan dapati bahawa bila-bila masa sahaja bala Allah boleh menimpa.

Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya menaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. Al Isra:16

Dan apabila bala Allah menimpa, ia tidak akan hanya mengenai orang-orang yang zalim dan derhaka, bahkan semua akan terlibat dalam kanun pembalasan tersebut.

Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.Al Anfaal:25

Amat wajar sekali, diketika musim bumi ini kian meledakkan amarahnya dengan amaran amaran dari tuhannya dengan gegak gempa, putting beliung, perubahan cuaca dan sebagainya kita menggolongkan diri kita dalam kelompok berikut :

Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?" Mereka menjawab: "Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa". Al A’raaf:164

Nasihat bermula untuk diri sendiri, keluarga, tetangga yang dekat. Jika setiap dari kita dapat berperanan dalam menjadi duta-duta kebaikan, walaupun hanya untuk diri dan keluarga, mungkin apabila tiba masanya, kita akan mempunyai hujah ketika berhadapan dengan Allah pada hari yang tidak ada gunanya jawatan, kereta, wang dan segalanya kecuali sekeping hati yang sejahtera.

Kita tidak akan ditanya tentang apakah kita berjaya mengubah dunia, tetapi kita akan ditanya, apakah kita telah bekerja?

Bersediakah kita untuk hari yang besar itu?
Mohd Hisham Mohd Sharif
Kecewa, itu sahajalah perkataan yang mampu aku ungkapkan selepas menyaksikan sendiri kekalahan The Red Warrior semalam, seperti budak yang baru bermain bolasepak, pertahanan bermain dengan begitu melulu sekali, hantaran entah kemana, kesilapan mudah yang tidak setaraf pemain profesional dan gerakan yang langsung tidak ada aturannya. Negeri Sembilan berhak menang.

Walaubagaimanapun, aku lebih kecewa dengan sikap penonton pasukan Kelantan yang menunjukkan gedebenya tidak kena tempat, (gedebe = kerek(gedebe dari perkataan arab ghadaba yang bermaksud marah), bukankah menang dan kalah itu adat permainan, sikap membaling botol, mercun dan entah apa-apa lagi yang dipekong (lempar) menunjukkan keangkuhan dan kebodohan sikap penyokong pasukan Kelantan. Walaupun hanya segelintir yang melakukannya, tapi habis semua penyokong Kelantan telah terpalit lumpur.

Melihat sikap penyokong Kelantan semalam, aku melihat bahawa masadepan dakwah di negara ini masih lagi jauh, jika penyokong dari negeri yang mendapat jolokan serambi mekkah pun masih berkelakuan demikian, apalah yang boleh diharapkan dari umat melayu yang ramai bilangan tapi tidak berkualiti ini.

Rata-rata masalah sosial adalah dari kaum yang satu ini, yang memenuhi stadium adalah dari kaum ini juga, yang sering memenuhi pesta dan konsert, menjadi mat rempit handalan dan juara buang bayi juga dari kaum yang satu ini.

Pendakwah harus lebih serius dalam mendepani realiti, tidak ada gunanya jika kita hebat ber ana anta sesama kita sedang masyarakat masih jauh dari iman. Tidak ada gunanya bersengketa mendabik dada, fikrah akulah yang paling asolah (asli) sedang realiti umat semakin lama semakin parah. Ayuh bekerja, kerana Allah hanya akan melihat amal kita, bukan sorak dan kata-kata yang tidak ada ertinya.