Kisah ini diriwayatkan dari
Suwaid Bin Ghaflah, direkodkan oleh Ibnul Qayyim dalam kitabnya Belitan Iblis
pada bab Belitan Iblis pada golongan Rafidhah.
Suatu hari, aku melewati
sekumpulan orang-orang Syi’ah yang sedang mencaci Abu Bakar dan Umar serta mengurangi
kedudukan mereka. Aku lalu pergi mendapatkan Ali Bin Abi Talib lalu berkata:
Hai Amirul Mukminin! Aku lewati beberapa orang dari sahabatmu yang mereka
menyebut-nyebut sesuatu yang tidak baik terhadap Abu Bakar dan Umar, dan
kalaulah tidak kerana mereka menyangka yang engkau juga ada menyimpan sesuatu
yang serupa itu di dalam hati mu, pasti mereka tidak akan berani untuk
menyatakan perkara tersebut.
Ali terus menjawab: “A’udzubillah!
A’udzubillah! Andai aku ada menyimpan sesuatu di dalam hatiku, selain apa yang
diamanatkan oleh Nabi S.A.W kepadaku.”
“Allah akan melaknati sesiapa
yang menyimpan dari hal keduanya selain yang baik-baik sahaja. Bukankah kedua
mereka adalah saudara Rasulullah, sahabat dan wazirnya? Moga-moga Allah menurunkan
rahmat ke atas keduanya.”
Kemudian Ali r.a bangun sedang
air matanya mengalir kerana menangis, kemudian dia memimpin tanganku sehingga
ke masjid lalu dia naik ke atas mimbar dan duduk di atasnya dengan penuh
tenang. Dia meraut-raut janggutnya yang putih, sehinggalah orang ramai datang
dan berkumpul. Kemudian dia pun bangun dan menyampaikan kalimah-kalimah ringkas
yang cukup berkesan.