“Aik, kenapa pula, tak ada angin,
tak ada ribut, apa kes?” Saya bertanya kehairanan. Jarang Husni mengadu dalam
keadaan begini, kesungguhannya dalam dakwah dan tarbiah serta keupayaannya
untuk menyelesaikan banyak masalah-masalah kehidupan dan pada masa yang sama
mengekalkan kecemerlangan dalam pelajaran akademik membuat ramai yang cemburu,
termasuk saya sendiri yang tua setahun darinya.
Bila Husni mengadu begini, pasti
ada sesuatu yang luar biasa.
“Entahlah, ada anak usrah aku
yang seorang ni, dia jadi terlalu rapat dengan aku, rimas aku dibuatnya.” Jelas
Husni, lemah.
Saya ber’aku’-‘hang’ sahaja
dengan Husni, tidak ber’ana’-‘anta’ seperti dengan rakan-rakan lain dalam usrah.
“Apa masalahnya kalau rapat, baguslah
begitu.” Balas saya kembali.
“Masalahnya terlalu rapat, asyik
nak mengendeng dengan aku, ber ‘sms’ benda-benda remeh, nak berteman, asyik ajak
aku makan, asyik ajak aku belajar sekali, macam makwe pulak.” Tambah Husni.
Saya hampir tergelak
mendengarnya, pecah perut juga menahan, tapi sedaya upaya cuba menahan kerana
melihat wajah Husni yang serius.
“Baru ni masa Qiam, masa tidur
pun nak datang tidur sebelah aku, argghhhh….tertekan ko tahu tak…..geli pun
ada.” Terang Husni hingga akhirnya saya tidak dapat menahan tawa yang pecah
berderai di tangga masjid. Mengekek-ngekek saya tertawa terbahak-bahak.