Jom Baca Buku!

Pengalaman bertandang ke pesta buku antarabangsa di KLCC semalam, amat menyeronokkan. Melihat kebangkitan penerbit-penerbit muslim seperti PTS, Galeri Ilmu, Aras Mega, Pustaka Salam dan pelbagai lagi amat mengkagumkan. Judul-judul baru dan buku-buku Islam yang dipakejkan dengan sangat menarik juga semakin bertambah, membanyakkan lagi pilihan buku-buku yang boleh dibeli oleh pengunjung.

Jumlah pengunjung yang hadir juga makin bertambah, lebih menggembirakan apabila melihat banyak wajah-wajah remaja islam yang berminat dengan buku. Menjanjikan satu harapan bahawa generasi umat islam akan datang adalah generasi yang cintakan ilmu.
Kami juga tidak ketinggalan membeli beberapa buah buku yang telah lama diidam-idamkan antaranya:

1. Ensiklopedia Kanak-Kanak Muslim
2. Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata
3. Murabbi Cinta
4. Secangkir Teh Pengubat Letih
5. Putera Lembah Bakkah
6. Sinergi

Dan banyak lagi....

Membeli adalah bahagian yang mudah, bahagian yang lebih mencabar adalah untuk membaca, memproses dan mengeluarkan output dari buku-buku ini. Buku – buku yang dibeli pada pesta buku tahun lepas juga masih ada yang belum terusik. Aduhai.

Jom kita baca buku!

Kasihan

Semalam ketika bersiar-siar di taman KLCC, aku menyaksikan sendiri betapa parahnya krisis identiti yang melanda umat ini. Ketika kami berjalan keluar dari Aquaria menuju ke kawasan kolam kanak-kanak kelihatan pasangan-pasangan muda-mudi tanpa segan silu berdua-duaan, berpelukan di siang hari tanpa menghiraukan orang yang lalu lalang disekeliling.

Sedang kami berjalan, hujan turun dengan lebat dan kami terpaksa berlindung di sebuah pondok wakaf. Di pondok tersebut, ada satu pasangan sedang memadu kasih dengan begitu romantis. Melihat cara dan wajah mereka, aku yakin bahawa pasangan ini belum berkahwin kerana pasangan yang telah berkahwin tidak akan “beraksi” sedemikian di khalayak ramai.

Aku jadi begitu kasihan melihat remaja perempuan tersebut. Berbaju kurung dan bertudung lengkap manakala wajahnya ke anak-anakan, mungkin sekitar 15 atau 16 tahun. Melihat kami datang, pasangan tersebut terus beredar dari pondok wakaf tersebut dalam keadaan tergesa-gesa, walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Aku lihat dari jauh, sambil mereka berjalan, tangan lelaki tersebut tidak lekang dari tubuh remaja tersebut dalam keadaan yang sungguh memualkan, manakala remaja perempuan itu hanya membiarkan sahaja perbuatan lelaki tersebut.

Melihat keadaan itu, dan keadaan yang aku saksikan saban waktu di tasik darulaman jitra, di bandaraya Alor Setar, Suria KLCC bahkan dimana-mana sahaja, aku jadi begitu gundah memikirkan akan betapa hampirnya kita dengan azab Allah akibat kelalalaian kita dalam menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar.

Tugas menyelamatkan umat ini adalah tugas kita semua, Jika bukan kita siapa lagi?

Banyaknya Idea Sedikitnya Masa

Bulan Mac 2010 adalah antara bulan yang paling mencabar setakat ini. Dengan perjalanan berkereta ke sana dan ke sini bermula dengan seliaan praktikum(Melaka) pada minggu pertama, diikuti balik kampung(KL + Pahang) pada minggu kedua dan ketiga, mengiringi pelajar( Melaka) pada minggu ke empat, ditambah pula dengan urusan permohonan ke universiti luar negara yang rumit dan pelbagai serta ditambah lagi dengan menguruskan penjualan kereta Perdana kesayangan (sedihnya uhuk uhuk) kerana kos selanggara yang semakin meningkat, masa dirasakan berlalu begitu singkat dan setiap saat dirasakan begitu berharga.

Banyak idea-idea untuk mengisi blog ini tentang pengalaman berkelana ke Melaka dan juga tentang beberapa isu tempatan masih hanya tinggal di dalam kepala dan masih belum sempat dijelmakan dalam bentuk bit-bit data untuk tatapan pembaca blog.

Begitu banyaknya idea tapi betapa sukarnya untuk mencari masa yang sesuai buat menulis catatan-catatan buat penambah bekalan di hari perhitungan nanti. Moga Allah akan terus memberiku kekuatan untuk menjadi hambanya yang berjaya dalam kehidupan di dunia dan yang lebih utama pada kehidupan abadi di alam akhirat nanti.

Cerpen: Aku Ingin Syahid

Selepas membaca beberapa cerpen karya Hilal Asyraf, tiba-tiba terasa nak menulis cerpen pula. Dalam kelapangan waktu di Felda Chini Timur, aku persembahkan cerpen sulungku bertajuk "Aku Ingin Syahid", idea dari klip video Maher Zain, Palestine Will Be Free. Selamat membaca
*****
Aku Ingin Syahid



Petang itu kelas berjalan seperti biasa, aku lihat rakan-rakan sekelas menumpukan sepenuh perhatian terhadap subjek yang diajar. Tiada kipas buat menyejukkan hawa, hanya angin sepoi-sepoi bahasa yang setia menemani lamunan dan perasaan.

Aku tatap buku lusuh yang telah diulang pakai generasi demi generasi, Biarlah buku itu dan dinding kelas yang berlubang-lubang kesan tembakan peluru menjadi saksi di hadapan Allah akan azam dan cita-cita kami yang tidak pernah padam untuk membebaskan
bumi al Aqsa.

Aku tatap lukisan-lukisan aku dan rakan-rakan sekelasku di dinding, harapan kami bahawa Palestin akan bebas suatu hari nanti amat kami yakini.

Aku tenggelam dalam lamunan, teringat pesan ayahku yang telah syahid tidak lama dulu dalam satu operasi di sempadan. Ayah gugur syahid ditembak peluru perpandu dari pesawat tanpa juruterbang tentera penjajah Israel ketika sedang melancarkan roket yang ditembak ke pekan Sderot.

“Hanan, belajarlah bersungguh-sungguh, Allah akan menjadi saksi akan kesungguhan dan tawakkal kita. Dengan iman, dengan ilmu, dengan roh dan dan darah kita akan bebaskan tanahair kita” seakan-akan tergambar wajah ayah yang lembut sedang berkata-kata.

Sinar dimatanya membayangkan harapan dan janji Rasul yang pasti akan terlaksana suatu hari nanti.

“Hanan, darah ibu dan adik akan kita tuntut bela, keadilan Allah pasti akan tiba, terus berkorban dan berjihad, masanya pasti akan tiba” kata-kata keramat arwah ayah membakar semangatku, darah ibu dan adikku yang baru berusia 7 bulan terkorban dalam tragedi pengeboman pasar Gaza jelas terbayang di depan mata.

Aku genggamkan tangan mengingat sumpah keramat aku dan ayahku untuk mencari pembelaan dan keadilan buat keluargaku yang telah terkorban syahid

“Hanan, kamu faham penjelasan cikgu sebentar tadi” Cikgu Husna berhenti seketika, matanya merenung tajam kepadaku, mungkin melihat aku mengelamun sebentar tadi.

“Faham cikgu, insyaallah” aku menjawab dengan penuh adab.Cikgu Husna adalah susuk yang amat aku hormati dan kagumi, kerana kesungguhan dan keseriusannya dalam mendidik kami.

Bagi Cikgu Husna, kami adalah ibarat anak-anaknya sendiri dan sekolah ini adalah segala-galanya bagi dirinya.

Cikgu Husna telah kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam penyembelihan di kem Jenin yang telah berlaku lebih 10 tahun lalu, kini seluruh hidupnya diwaqafkan untuk mendidik anak bangsa bagi membina kembali kekuatan dan kemuliaan anak-anak Gaza.

Cikgu Husna kembali menyambung pengajarannya dan aku menumpukan kembali sepenuh perhatian sehinggalah kedengaran bunyi yang amat menggerunkankan hati.

“Hanan, itu bunyi kapal terbang Israel kan?” Humaira, sahabat karib dan teman sepermainanku di asrama anak yatim nursyifa yang duduk di sebelah mejaku bertanya.

Wajahnya kelihatan amat bimbang, dan perasaan itu dikongsi bersama oleh seluruh ahli kelas darjah 6 Ahmad Yassin.

Kelihatan wajah-wajah yang ketakutan, ada yang menangis manakala pelajar lelaki ada yang bertakbir.

Walaupun kami telah dididik agar tidak takut kepada sesiapa melainkan Allah, dan bunyi itu telah biasa kami dengar, namun bunyi kali ini kedengarannya terlalu hampir dan agak menakutkan, deruman enjin jet penjajah Israel kali ini kedengaran lebih dekat dari biasa.

“Anak-anak, cepat masuk ke bawah meja!” Cikgu Husna menjerit, wajahnya juga kelihatan cemas.

Namun ada riak ketenangan diwajahnya, riak cinta dan rindu kepada mati syahid, cita-cita tertinggi yang sentiasa dikongsikan oleh Cikgu Husna kepada kami hingga aku juga bercita-cita untuk syahid suatu hari nanti.

Kami cepat-cepat menyusup ke bawah meja, namun ada beberapa pelajar lelaki yang meluru ke tingkap dengan wajah yang menyinga sambil tangan mereka menggengam serpihan batu daripada pecahan dinding bilik darjah.

Batu-batu itu dilontarkan kearah jet dan helikopter apache yang kian mengampiri sekolah kami di Khan Younis.

“Boooommmmm” satu letusan kuat kedengaran

******

Aku buka mata perlahan-lahan, suasana sunyi sepi, esak tangisan telah terhenti, suara takbir juga telah tiada, Cikgu Husna juga tidak kelihatan dimana-mana, hanya kelihatan debu-debu dan runtuhan yang amat dahsyat.

Walaupun ketakutan, aku memberanikan diri bangun, syukur pada Allah yang masih memberi aku kesejahteraan dan keselamatan dicelah-celah runtuhan bangunan.

Aku lihat ke kiri dan ke kanan, suasana sungguh mengerikan, ada rakan sekelasku yang terkulai, ada yang hilang kaki dan tangan, ada yang darah memenuhi wajah mereka.

Aku teringatkan Cikgu Husna, lalu aku mencari-cari dirinya. Tiba-tiba aku lihat jasad Cikgu Husna terbujur kaku dicelah-celah runtuhan, aku berlari kepadanya, menggerak-gerakkan tubuhnya, namun tiada respon.

Cikgu Husna telah mencapai cita-citanya yang tertinggi.

Aku menangis disisi tubuhnya yang kaku, darah merah mengalir tanpa henti dari tubuhnya, aku tidak pasti lagi, apakah aku takut, apakah aku sedih, apakah aku gembira, perasaanku tidak keruan.

Aku teringatkan rakan karibku disebelah meja, “Ya Allah, selamatkanlah Humaira”,getusku di dalam hati.

Aku berlari dalam suasana samar-samar, esak tangis mula kedengaran, kelihatan beberapa rakan sekelasku telah mula bangkit, masing-masing ketakutan dan keliru.

Aku tiba di tempat aku bangkit tadi. Humaira aku lihat telah terbujur kaku, seketul batu besar menghempap kepalanya.

“Humaira, humairaaaaa....” aku memeluk tubuhnya, aku rangkul serapat-rapatnya. Aku peluk dan aku cium wajah rakan karibku sepuas-puasnya. Tergenggam erat di tangan Humaira anak patung kesayangannya, aku letakkan anak patung itu di dadanya, aku tutup matanya, kelihatan wajahnya seakan-akan tersenyum.

“Humaira, berjanjilah kita akan bertemu kembali disyurga, kita akan bermain sepuas-puasnya disana, ukhti doakan ana juga syahid ye...” aku berbisik perlahan-lahan ditepi telinganya, airmataku tumpah lagi, entah kali yang ke berapa.

Aku berlari ke luar, aku berlari dan terus berlari, tidak pasti kemana harus aku tuju, aku berlari di celah-celah runtuhan bangunan tanpa arah, ku turutkan sahaja ke mana kaki ku pergi.

*****

Langkahku terhenti seketika, aku menarik nafas panjang dicelah-celah lorong, kedengaran bunyi dentuman peluru dan ledakan bom tanpa henti.

Saat-saat begini, aku teringatkan nasihat-nasihat dan kata-kata ayah yang tidak pernah gagal dalam mendidikku dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

“Ayah, kenapa kita harus begini? Dimanakah umat Islam yang lain, bukankah tanggungjawab mereka untuk membantu kita?

Aku teringat dialog di suatu pagi yang hening di tepi pelabuhan. Kelihatan nelayan-nelayan tetap cekal walaupun hanya dibenarkan menangkap ikan dalam kawasan yang terhad.

Walaupun aku baru berusia 12 tahun, namun ayah tidak pernah menganggap aku begitu. Titipan kata-kata semangat dan nasihat sentiasa diungkapkan. Aku belajar erti perjuangan walaupun dalam usiaku yang masih hijau.

“Hanan, jangan sekali-kali menyesali nasib kita, kita harus berbangga kerana kitalah yang dipilih oleh Allah untuk menjadi barisan hadapan umat ini dalam berdepan dengan kekejaman musuh-musuh Allah” ayahku tenang dalam menjawab persoalan, sinar diwajahnya menggambarkan harapan dan azamnya yang cekal.

“Walaupun kita lemah, tapi Allah sentiasa bersama-sama dengan kita, itu adalah kemenangan yang sebenar” ayahku menjelaskan sambil wajahnya merenung jauh ke lautan.

“Hanan , dunia ini hanya sebentar, akhirat itulah yang lebih kekal, kita hanya akan menderita disini paling lama dalam 50 atau 60 tahun, syurga akan menunggu kita jika kita terus teguh dan istiqamah dalam perjuangan ini”

“Tapi ayah, bukankah tanggungjawab setiap muslim dimana sahaja untuk membebaskan al aqsa? Mengapa mereka tidak membantu kita ayah?” aku masih tidak puas hati kerana ayah tidak menjawab persoalanku tadi.

“Hanan, umat hari ini bukan lagi seperti umat dahulu, umat hari ini telah dihinggapi oleh penyakit cinta dunia dan takutkan mati, kita tidak perlu risau akan tanggungjawab mereka, apa yang perlu kita risau adalah tanggungjawab kita.

Kita harus berdoa agar umat ini kembali gagah dan Islam akan kembali menjadi rahmat kepada seluruh alam”

“Hanan, jika ayah telah tiada, teruskan perjuangan ini, jangan lemah dan jangan putus asa, kerana kitalah yang paling mulia jika kita beriman dan berazam, Allah tidak akan bersama-sama dengan mereka yang berputus asa”

Kata-kata keramat ayahku, terngiang-ngiang di telinga, kelihatan pejuang-pejuang Hamas sedang mengambil kedudukan masing-masing. Dahulu, ayahku adalah sebahagian dari mereka, ayah telah menunaikan janjinya dengan Allah dan rakan-rakannya sedang menanti giliran mereka dengan gembira.

*****

Bunyi deruman enjin mengejutkan aku dari lamunan, kelihatan sebuah kereta kebal tentera Israel sedang menuju ke arah tempat persembunyian tentera-tentera Hamas.

“Aku harus pertahankan mereka, inilah peluangku untuk syahid, seolah-olah terbayang wajah ayah, ibu, adik, Cikgu Husna dan Humaira sedang melambai-lambai dari syurga.

Aku mengutip seketul batu yang agak besar dan terus aku berlari ke sebuah timbunan runtuhan, betul-betul tepat ke arah tempat tujuan kereta kebal tentera Israel tadi.

Aku genggam batu itu seerat-eratnya, dan aku menunggu saat yang sesuai untuk melemparnya dengan segenap kekuatan yang ada. Kereta kebal itu terus maju, kali ini aku tidak lagi gentar, aku nekad, aku ingin syahid.

Kereta kebal itu akhirnya berhenti betul-betul dihadapanku dan menghalakan muncung meriam tepat ke tubuhku. Tidak sekelumit pun aku gentar, batu itu aku lemparkan sekuat hati dan mengenai kereta kebal itu.

Aku menutup mata, menanti saat rohku bebas dan menyanyi di syurga.

Suasana sepi seketika

Tiada ledakan, tiada letusan, aku masih berdiri disini, kereta kebal itu masih disitu. Aku melihat pejuang-pejuang Hamas telah bersedia dengan senjata masing-masing, namun mereka masih tidak melepaskan tembakan, mungkin khuatir akan mengenai diriku.

Tiba-tiba kereta kebal itu mengundur, aku memberanikan diri lagi, aku kutip batu-batu dan terus aku lemparkan ke kereta kebal tentera penjajah zionis itu.

Kereta kebal itu mengundur lagi, dan terus bergerak ke arah lain dan akhirnya hilang dari pandangan mata

Aku terduduk, wajahku yang penuh debu aku biarkan.

“Hanan, syahid itu adalah anugerah Allah, berjuanglah bersungguh-sungguh, Allah akan menunaikan janjinya kepada kita, samaada menang atau syahid” Itu pesanan terakhir ayah ketika dia keluar dari rumah buat kali yang terakhir.

Wajah ayah seakan-akan tersenyum terbayang dimataku, masih terasa hangat pelukan dan belaian ayah.

“Hanan rindu pada ayah, rindu pada ibu, rindu pada adik” aku tahan airmataku dari tumpah, kerana tiada siapa yang akan menyeka air mata ini lagi.

Aku pasrah, namun langkah ini harus ku kuatkan kerana aku akan terus berjuang dan berjihad sehingga Allah memberikan keputusannya.

Perlahan-lahan aku bangun, aku genggam tanah dan aku lafazkan sumpah keramat...

“Palestin akan bebas suatu hari nanti, dengan izin Allah aku tidak akan berhenti berjuang sehingga aku syahid”
*****

Abuhumaira 1:06 am (18 September 2010)

Bedtime stories:kisah tawakkal seribu dinar



“Ayah, tu ayat apa tu ayah?”

Humaira menarik perhatianku terhadap frame ayat seribu dinar yang telah tergantung di dinding sejak sekian lama, frame tersebut diberi oleh kedua ibu bapaku sebagai hadiah perkahwinan.

“Oh, tu ayat surah At Talaq” aku menjawab ringkas.

“Cuba ayah baca, maira nak dengar” pinta Humaira kepadaku, sambil dia berbaring diatas ribaanku dengan wajah yang mengantuk. Aku membaca ayat tersebut kepadanya dan dia mendengar dengan begitu teliti sekali.

“Maira nak dengar tak cerita surah At Talaq” aku menawarkan kisah kepadanya. Setiap ayat yang aku bacakan atau aku minta dia hafal, akan aku kisahkan kepadanya makna disebalik ayat, supaya dia tidak hanya pandai membaca, tapi faham serba sedikit makna Al-Quran.

Sudah tentu kisahnya adalah yang bersesuaian dengan tahap akalnya, takkanlah nak membicarakan asbabun nuzul atau pengajaran dari kitab tafsir ibnu katsir untuk kanak-kanak yang hanya baru berusia 5 tahun.

Kepalaku ligat berfikir tentang apa kisah yang akan aku ceritakan kepadanya bagi memahamkan konsep tawakkal dalam bentuk yang mudah, kebergantungan hanya kepada Allah yang akan membuahkan jalan keluar yang tidak disangka-sangka.

“Suatu hari, ada 3 orang budak bermain ditepi hutan, nama dia Khadijah, Anis dan Alia” aku memulakan kisah, sengaja aku menamakan watak dengan nama adik dan kawan-kawan rapatnya supaya dia rasa lebih hampir dengan kisah yang aku bakal kisahkan.
“Mereka bermain dan bermain, tiba-tiba, bola yang Khadijah campakkan kepada Anis, tercampak masuk ke hutan...” aku menceritakan dengan penuh gaya dan ekspresi wajah, Humaira mendengar dengan penuh khusyuk.

“Mereka pun masuk ke hutan, nak cari bola tadi, cari punya cari, bola tak jumpa dan diaorang sesat dalam hutan dalam keadaan malam yang gelap”

(“Khadijah...Alia takut”) aku menggayakan dialog agar kisahku lebih hidup dan bermakna

(“Khadijah pun takut Alia, Khadijah takut gelap, Khadijah dah lapar, Khadijah nak baliiiikkk”) “Khadijah dan Alia menangis sebab takut dan tak tahu nak buat apa, kesiankan kat diaorang?” Wajah Humaira kelihatan sedikit cemas, mungkin terkesan dengan lakonanku, hehe...

(“Anis pun takut juga, tapi apa kata kita doa, kita minta Allah tunjukkan pada kita jalan keluar”) “Anis bagitau diaorang suruh diaorang doa, walaupun Anis takut, tapi Anis yakin, masa tu, takde siapapun yang boleh tolong diaorang melainkan Allah” aku mula menerangkan konsep tawakkal dan harapan kepada Allah dalam keadaan yang terdesak.

(“Jom kita doa sama-sama, ikut Anis ye”)

(“Ya Allah, selamatkanlah kami Ya Allah, kami sesat, kami takut, kami tak tahu nak buat apa Ya Allah, hanya engkau yang boleh selamatkan kami”) “Diaorang berdoa bersungguh-sungguh, sebab dalam hutan tu tiada siapa yang boleh tolong diaorang kecuali Allah”

“Habis saja diaorang berdoa, tiba-tiba ada seekor beruang datang” Kali ini wajahnya kelihatan begitu cemas, mungkin risau “kawan-kawannya” dimakan beruang agaknya.

“Semua orang takut, sebab ingatkan beruang tu nak makan depa, tapi tiba-tiba beruang tu tundukkan badan dia , seolah-olah macam nak suruh diaorang naik”

“Lalu diaorang pun naiklah belakang beruang tu, dan akhirnya beruang tu bawa diaorang pulang ke rumah...” aku meringkaskan cerita kerana aku sendiri sudah mengantuk.

“Sekarang, maira Nampak tak, bila kita susah, kita dah usaha dan kita dah tak tahu nak buat apa, kita doa pada Allah, Allah akan tolong kita dengan cara yang tak disangka-sangka” aku menyimpulkan cerita, kali ini wajahnya kembali ceria, kerana “kawan-kawannya” dah diselamatkan.

“Ayaah, cerita surah al mulk pulak” satu lagi permintaan dari si kecil...

“Hah, sudah, ayah dah ngantuk ni, Jom naik atas...nanti lain kali ayah cerita” Aku mengakhiri perbualan malam itu, teringat akan panjangnya surah al mulk dan betapa kompleksnya kisah yang perlu aku ceritakan.

“Tido, tido...Bismikallahumma ahya wa amut...(“Dengan nama Allah aku hidup dan aku mati”)” moga humaira tidur diulit mimpi tawakkal yang akan membuahkan jalan keluar yang tidak disangka-sangka dan moga dia yakin hanya Allah yang mampu menyelamatkan dirinya dalam apa jua keadaan.

Peminta Sedekah Bertubuh Tegap...

Minggu lepas ketika menyelia praktikum di Kota Melaka,aku berpeluang menelusuri jalan dan lorong-lorong kecil yang pernah dilalui oleh Hang Tuah, Hang Jebat dan kawan-kawannya, menelusuri jalan-jalan ini aku teringat akan kehebatan muslim satu ketika dahulu, menjadi peniaga, pengembara dan membina empayar yang gagah. Namun kini segalanya tinggal kenangan, peribadi-peribadi muslim yang hebat telah tiada hari ini, yang tinggal hanya angka-angka kosong yang cintakan dunia dan takutkan mati.

Singgah di Masjid Kampung Hulu berhampiran Jalan Hang Tuah, aku terkejut apabila dihampiri oleh seorang pemuda bertubuh tegap, berjubah putih dan berkopiah datang menghulurkan tangan. Sangkaku, mungkin tempat letak kereta di masjid ini berbayar, namun apabila menoleh kepada pelajar yang aku selia yang menunggu diseberang jalan, dia menunjukkan isyarat tangan tanda supaya aku tidak menghiraukan lelaki tersebut.

Bila aku bertanya kepada pelajarku selepas itu tentang lelaki tersebut, katanya, telah menjadi seakan kebiasaan di masjid itu, akan ada orang-orang yang tanpa segan silu meminta sedekah dari orang yang singgah dimasjid itu, bukan lelaki itu sahaja, tetapi ada lagi yang bukan cacat dan bukan juga tidak waras, namun tangan dihulur tanpa rasa malu. Aku agak terkejut dan sedih, tubuhnya tiada cacat walau sedikitpun tapi kerjanya meminta sedekah.

Ketika selesai urusanku di pejabat, aku kembali ke perkarangan masjid, sekali lagi lelaki itu datang dan menghulurkan tangan, hatiku menjerit mahu memaki hamun, tapi mulutku seakan terkunci, aku hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala dan terus berlalu dari situ dengan wajah yang masam. Apakah tiada ikhtiar lain bagi dirinya dalam mencari sesuap nasi?

Sepanjang perjalanan ke tempat seliaan seterusnya, aku terfikir sendiri, apakah nasib ummah ini, hingga pemuda-pemuda yang seharusnya menjadi batu-bata ummah, hari ini tenggelam dengan pelbagai permasalahan, bilakah kita akan bangkit dari tidur yang panjang?

Entahlah Labu

Hari ini ketika membeli nasi lemak di gerai kegemaranku di Taman Permata, aku tertarik melihat laporan muka depan sebuah akhbar tempatan berbahasa melayu tentang solat hajat yang ingin dilakukan oleh sebuah parti politik terhadap seorang ahli parlimen yang keluar parti.
laporan
Jika aku tidak silap, solat hajat itu secara khusus bertujuan mendoakan bala terhadap ahli parlimen tersebut jika dia tidak meletakkan jawatan dalam tempoh 7 hari kerana khianat. Aku bukanlah berminat untuk mengulas tentang pergolakan politik tempatan, tetapi...

Ketika mana Syafiah Humaira dibunuh dengan kejam, dimanakah solat hajat kalian?

Ketika masalah sosial remaja makin meruncing, dimanakah solat hajat kalian?

Ketika mana jenayah berleluasa dinegara kita, dimanakah solat hajat kalian?

Ketika mana setiap jiwa muslim dibunuh disana dan disini di seluruh dunia islam, dimanakah solat hajat kalian?

Dimana solat hajat kalian untuk kesejahteraan ummah ini?

Apakah solat hajat kalian hanya untuk politik kepartian semata-mata,hodoh benar
wajah politik yang kalian tonjolkan kepadaku...

Ataupun aku yang tidak mengerti, entahlah labu...

Kearah Mana Hala Hidupmu



“En. Kat UUM ada kerja kosong tak sebagai pensyarah?”

Pagi itu aku mendapat panggilan dari seorang bekas pelajarku yang telah bergraduat 2 tahun lepas. Lama tidak mendengar khabar berita, tiba-tiba hari ini muncul kembali

“emmm, saya tak pasti, tapi kamu boleh cuba apply” aku teragak-agak untuk memberikan jawapan, kerana urusan perjawatan bukan antara perkara yang menarik minatku di UUM.

“Rasa-rasanya kalau saya apply dapat tak?, saya ni dah 2 tahun kerja GSTT (guru sandaran)” Pelajar tersebut separuh mengeluh dan dari suaranya kedengaran dia agak terdesak juga.

“Eh, manalah saya tahu, saya bukannya terlibat dalam proses interview dan sebagainya...”aku menjawab sejujurnya.

“Hmmm, En, tahu tak kat mana ada kerja-kerja kosong lagi yang boleh saya apply, saya dah terdesak dah ni, asalkan kerja je, tak kesahlah kerja apa pun” kali ini nada suaranya kedengaran agak perlahan, mungkin sedih, mungkin tertekan.

“Saya pun tak pasti, cuba kamu tengok iklan di laman web universiti atau di suratkhabar” aku menjawab dengan jujur

“Oh, en tak tau ye, takpelah En, terima kasih, nanti jumpa lagi ye, assalamualaikum” lalu perbualan ditamatkan, dan aku menghela nafas panjang.

Soalan-soalan tentang pekerjaan bukanlah suatu isu baru yang aku hadapi, bahkan ia adalah dendangan lama yang berulang kepada graduan-graduan yang menghadapi dilema dalam memilih pekerjaan.

Masalah ini bagiku bukanlah masalah mencari pekerjaan, tetapi lebih kepada masalah sikap dan halatuju kehidupan.

Kebanyakan pelajar hari ini, memasuki universiti tanpa hala tuju yang jelas, diterimanya sahaja kursus yang tidak diminatinya, masuk ke universiti hanya kerana desakan orang tua atau kerana rakan-rakan yang lain masuk U.

Kemudian setelah bergelar graduan, kebanyakan mereka tidak tahu kemana hala tuju
kehidupan, kehidupan dibiarkan berjalan secara autopilot, dibiarkan sahaja kehidupan membawanya belayar tanpa tujuan dan tanpa destinasi yang hendak dituju.
Ada yang menjadi guru, ada yang menjadi pembantu tadbir, bukan kerana minat tapi asalkan dapat kerja.

Sikap begini harus diubah, kehidupan harus dirancang bermula dari bangku sekolah atau ketika di universiti lagi.

Jika anda menetapkan bahawa anda ingin menjadi seorang akauntan atau juruaudit yang berjaya dan mempunyai firma audit yang tersendiri, mula dari sekarang, belajar bersungguh-sungguh dalam kursus perakaunan, ambil kelayakan professional seperti ACCA atau CPA, letakkan sasaran dan bila anda akan mencapai setiap sasaran tersebut.
Jika ingin menjadi guru, ketahuilah, profesyen guru bukanlah profesyen yang mudah, bukan tempat lambakan graduan yang gagal mencari kerja, kerana tugas sebagai guru amanahnya amat berat, berdepan pula dengan pelajar-pelajar generasi hari ini yang lebih cerdik dan panjang akalnya.

Jika ingin menjadi pensyarah, anda harus meminati bidang akademik, penulisan dan melakukan kajian. Juga harus bersedia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi.

Walau apa sahaja yang anda ingin lakukan, letakkan sasaran dalam kehidupan, dan rancanglah kehidupan berdasarkan kepada sasaran tersebut, jangan biarkan layar kehidupan tanpa hala tuju dan destinasi.

Hidup ini terlalu singkat untuk kita bazirkan