PEMBERIAN PALING SEMPURNA

“Humaira’, tahun ini Humaira’ dah masuk usia 7 tahun, dah besar dah.” Saya memulakan perbualan tatkala kami keluar bersiar-siar dikawasan sekeliling rumah. Setelah beberapa hari terbaring lesu akibat demam panas dan jet lag sejak pulang dari Malaysia, petang ini saya mengajaknya berjalan-jalan untuk mengambil angin.

“Aaa’aa, tahun ini ayah nak bagi hadiah apa masa hari jadi Humaira’?” Terus dia bertanya membuatkan saya menggaru kepala. Sikap manja dan terlalu ingin dihargai kadang-kadang boleh membawa rasa jengkel juga.

Ini mengingatkan saya bahawa tanggungjawab mendidik anak perempuan adalah satu tanggungjawab yang amat sukar. Jangan kita lalai dengan akhlaq anak-anak yang kelihatan baik ketika usia mereka 5 tahun ke bawah, kerana cabaran selepas usia itu adalah jauh lebih mencabar.

Perjalanan masih lagi panjang dan jauh. Mendidik anak-anak bukan sekadar mengajar mereka solat, menghafaz Al Quran dan berpuasa semata-mata. Ia jauh lebih besar dari itu.

Jiwa mereka perlu sentiasa diisi, begitu juga dengan minda dan emosi mereka yang sentiasa perlu diluruskan dengan cara yang berhikmah sesuai dengan peringkat perkembangan usia mereka.

Sehingga akhirnya anak-anak itu akan membesar menjadi muslim yang sempurna pada aqidahnya, pada ilmunya, pada ibadahnya, pada akhlaqnya dan pada perjuangannya.

“Apa kata tahun ini, kita tukar sedikit konsep?” Saya cuba menukar topik, tapi masih dalam tajuk perbincangan yang disukainya.

“Tukar konsep macamana pula ayah?”

“Ok, biasanya masa harijadi Humaira’, orang lain akan beri hadiah pada Humaira’ kan, apa kata tahun ini, masa harijadi Humaira’, Humaira’ pula beri hadiah pada orang lain.”

“Raya tahun ini kan kita akan balik Malaysia, jadi, kita cari orang-orang yang susah dan miskin di Malaysia, yang tak mampu nak beli hadiah dan mainan yang banyak macam kita untuk kita beri hadiah pada mereka. Boleh ke?” Saya memberi cadangan.

“Aaa, boleh-boleh, nanti Humaira tengok dalam bilik mainan, kalau ada mainan atau ‘teddy bear’ yang lama-lama dan Humaira’ tak nak dah, kita ambil mainan tu dan bagi pada orang lain.” Jawabnya jujur, membuatkan saya menggaru kepala sekali lagi.

“Emmm, tak boleh lah begitu sayang, kalau kita nak bagi hadiah kat orang, Allah kata, kita kena bagi hadiah yang paling kita sayang, bukan hadiah yang kita tak mahu.” Jawab saya. Teringat kepada makna daripada ayat 92, surah Ali Imran.

Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.


Tapi,

Berapa banyak dari kita hari ini yang apabila diminta untuk menderma kepada orang yang susah, mengambil peluang untuk mengosongkan almari pakaian, memilih pakaian-pakaian yang telah usang untuk ‘disedekahkan’.

Berapa banyak dari kita hari ini yang apabila diminta untuk untuk membantu sahabat-sahabat kita di Palestin dan di bumi-bumi Islam yang lain, hanya berpada dengan not-not 5 ringgit yang diberi entah berapa tahun sekali. Pemberian yang mungkin hanya 0.00000001 daripada gaji.

Berapa banyak dari kita hari ini yang apabila diminta untuk menyumbang dan berkorban sedikit untuk agama, hanya memberi cebisan-cebisan waktu dan tenaga yang tersisa malah ada yang hanya berpada dengan komen-komen atau wall post di dalam fb yang kelihatan islamik, itupun mujur, kerana biasanya ramai yang sepi, hanya memandang dengan wajah hambar.

Bila kita ingin memberi atas nama agama, maka pastikanlah bahawa pemberian itu adalah pemberian yang elok dan ‘gemuk’, seumpama korban Habil yang diterima oleh tuhannya.

Bukan seperti korban Qabil yang ‘kurus’ dan halus, yang langsung tidak akan dipandang oleh Allah.

Jika kita mampu berhabis ratusan ribu untuk rumah yang hanya kita akan duduki sementara cuma di atas dunia, mengapa kita tidak ingin melabur sedikit harta, wang dan tenaga untuk membina rumah agam dengan taman yang memukau di syurga sana?

Jika kita mampu berhabis ratusan ribu untuk kenderaan canggih yang akan membawa kita ke sana dan ke sini di dunia yang sempit dengan pelbagai peraturan ini, mengapa tidak kita laburkan sedikit harta, wang dan tenaga untuk membeli kenderaan yang akan membawa kita melintasi titian sirat sepantas cahaya?

Jika kita mampu berhabis ratusan ribu setahun untuk polisi takaful atau insurans yang akan membiayai perbelanjaan perubatan kita, mengapa tidak kita laburkan sedikit harta, wang dan tenaga untuk membeli jaminan keselamatan dari api neraka?

Kerana syurga itu mahal harganya dan Allah amat cinta kepada hamba-hambanya yang suka berkorban dengan sempurna.

“Emmm, ala, rasa sayang la nanti ayah.” Jawab Humaira’, masih jujur.

“Tak mengapa, nanti Allah akan ganti dengan lebih hebat lagi di syurga, dengan apa sahaja yang Humaira’ inginkan.” Saya memujuk, namun saya pasti bahawa perubahan tidak akan cukup dengan kata-kata dan doa sahaja.

Saya dan isteri harus menunjukkan contoh terlebih dahulu jika ingin anak-anak memberi apa yang disayangi.

Semoga Allah membantu kami.


No comments:

Post a Comment