BILA ANAK TIDAK 'MENJADI'

“Anak awak puasa dah berapa hari?” Tanya Fatin kepada temannya Ainul yang mempunyai anak yang sebaya dengan anaknya.

“Alhamdulillah, setakat ini tak pernah tinggal lagi,” jawab Ainul dengan wajah yang berseri-seri. Bangga dengan pencapaian anaknya yang tidak pernah meninggalkan puasa sejak usianya 5 tahun.

Fatin terdiam, tidak menjawab. Teringat anaknya yang telah berusia 7 tahun, namun masih amat liat untuk berpuasa. Paling membuat dia sedih, pernah anaknya curi-curi makan kerana tidak tahan dengan dugaan berpuasa. Akhirnya, selepas hari itu, Fatin tidak lagi memaksa anaknya berpuasa kerana tidak ingin anaknya berbohong.

Gambar Khadijah ketika kecil di Jitra, hiasan semata-mata, hehe

Namun, perbualannya dengan Ainul petang itu, membuat dia kembali geram dan kesal. Di mana silapnya? Mengapa anaknya tidak boleh berpuasa seperti anak-anak rakannya yang lain?


Keesokan harinya, Fatin memaksa juga anaknya berpuasa, namun kali ini, anaknya menangis tanpa henti sejak jam 2 petang membuatkan perasaannya semakin tertekan. Akhirnya keluarlah perkataan-perkataan yang tidak baik kepada anak kesayangannya itu.

Kisah di atas hanyalah rekaan semata-mata. Namun saya yakin bahawa ramai ibu bapa yang mengalami situasi sama, iaitu tertekan bila anak-anak tidak ‘menjadi’ seperti anak-anak orang lain.

Rasa cemburu bila melihat anak-anak orang lain telah mula berjalan

Rasa cemburu bila melihat anak-anak orang lain boleh makan dengan senang

Rasa cemburu bila melihat anak-anak orang lain lebih ramah dan berdisplin

Rasa cemburu bila melihat anak-anak orang lain lebih baik solat dan puasanya

Rasa cemburu bila melihat anak-anak orang lain lebih lancar membaca Al Quran

Rasa cemburu bila melihat anak-anak orang lain lebih cemerlang dalam peperiksaan

Dan banyak lagi kecemburuan yang timbul bila kita mula membandingkan anak-anak kita dengan anak-anak orang lain.

Saya dan isteri juga sering termasuk ke dalam perangkap ini, hingga kadang-kadang anak-anak menjadi mangsa. Namun bila saya berfikir-fikir dengan memasang peranti empati dan rasional, baru tersedar bahawa sikap sebegini adalah satu bentuk kezaliman kepada anak-anak.

Harus diingat, anak-anak adalah cerminan ibu bapa itu sendiri. Jika anak-anak tidak berdisplin, malas dan punya pelbagai lagi sikap negatif, ia adalah cerminan kepada tarbiah ibu bapa itu sendiri di rumah. Pihak pertama yang patut dimuhasabah bila anak-anak bermasalah, adalah ibu bapa itu sendiri.

Jika kita ingin anak-anak solat awal waktu, maka ibu bapa harus solat awal waktu terlebih dahulu. Jika tidak ingin anak-anak terlalu ralit dengan televisyen, iPhone dan iPad, ibu bapa juga perlu mengurangkan waktu di hadapan laptop dan facebook ketika bersama mereka. Jika ingin anak-anak bergerak pantas dan menghormati masa, maka ibu bapa juga harus menunjukkan teladan itu terlebih dahulu.

Kita juga perlu tahu bahawa setiap anak punya potensinya dan kebolehan yang berbeza-beza, hatta dalam ibadah sekalipun. Ada anak-anak yang tidak cemerlang dalam Matematik, tapi punya bakat luarbiasa dalam seni. Ada anak-anak yang mudah berpuasa tapi liat untuk membaca Al Quran, ada anak-anak yang mudah bangun pagi, tapi cukup liat untuk mandi. Ada anak-anak cukup malas membaca buku akademik, tapi cukup hebat bila bertukang dan membaiki.

Ibu bapa perlu mengenal dan menggilap potensi anak-anak sesuai dengan kemampuan dan kebolehan mereka. Tidak adil jika kita letakkan ‘benchmark’ kecemerlangan anak-anak kita, pada anak-anak orang lain. Hatta anak pertama dan kedua pun berbeza-beza, ini pula anak-anak kita dengan anak-anak orang lain. Kita sendiri pun tidak suka jika dalam kerjaya orang membanding-bandingkan pencapaian kita.

Jika orang bertanya saya begini,

“Hang tengok dia, 2 tahun setengah dah boleh habis PhD, hang dah 4 tahun, kenapa tak habis-habis?”

Saya akan menjawab,

“Usain Bolt boleh lari 100 meter dalam 9.4 saat, hang boleh?”

Tidak salah untuk kita bertanya tentang pencapaian anak-anak orang lain untuk belajar kaedah-kaedah pendidikan efektif yang diamalkan oleh ibu bapa lain yang cemerlang. Namun, kita perlu ingat bahawa dalam pendidikan anak-anak, tidak ada apa yang dikatakan sebagai kaedah 'one size fits all'. Kaedah tersebut mungkin berkesan untuk anak-anaknya, tapi belum tentu berkesan untuk anak-anak kita.

Ibu bapa perlu bijak dalam mengaplikasikan kaedah yang terbaik bagi setiap anak. Mungkin ada yang sesuai dengan kaedah sedikit keras, mungkin ada yang perlu berlembut. Dinamik setiap anak-anak adalah cukup berbeza. Saya harus akui, ia adalah tugas yang amat mencabar.

Pendidikan anak-anak adalah satu proses, nilai kejayaan adalah bila anak kita berjaya menjadi manusia yang soleh dan musleh dalam apa jua bidang yang diceburinya, mungkin dalam peperiksaan, mungkin dalam sukan, mungkin juga dalam masakan.

Tidak adil bila kita mengukur kecemerlangan anak-anak hanya apabila anak-anak kita mengatasi anak-anak orang lain, dalam peperiksaan sebagai contoh.

Saya teringat kisah satu keluarga yang punya anak yang ramai. Semua anak-anaknya berjaya dalam akademik dan kerjaya, punya pangkat besar dan gaji yang tinggi malah ada yang bertugas hingga ke luar negara, kecuali seorang yang tidak ‘menjadi’ dan hanya melakukan kerja-kerja di kampung sahaja.

Akhirnya bila ibu bapa mereka telah sampai ke usia yang lanjut, anak-anak yang cemerlang dan berjaya tadi semuanya tinggal berjauhan dan sentiasa sibuk ke sana dan ke sini hingga hampir tidak ada masa yang dapat diluangkan untuk menziarahi dan menjaga ibu bapa yang telah tua. Hanya kiriman wang dan panggilan telefon sahaja yang sesekali mengubat rindu.

Tinggallah anak yang tidak ‘menjadi’ tadi berkhidmat dengan setia kepada kedua ibu bapanya hingga mereka meninggal dunia.

Kesimpulannya, usahlah membandingkan anak-anak dan menjadikan anak-anak sebagai modal untuk kita berbangga-bangga. Anak-anak adalah amanah dan dalam setiap fasa kehidupannya, ada amanah yang wajib kita sebagai ibu bapa lunaskan. Sedikit sebanyak kekurangan anak-anak, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk memperbaikinya. Apa yang penting, asas tauhid, ibadah dan akhlaq, mesti dipupuk sejak kecil.

Semoga kita tidak menjadi ibu bapa yang derhaka kepada anak-anak agar nanti anak-anak tidak akan derhaka kepada kita pula.


“Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar. (8:28)”


1 comment:

  1. Komen dari K Nadiyah Elias sebagai tambahan kepada isi artikel

    "anak-anak kita dianugerahkan kebolehan dan kapasiti yang berbeza dengan kita. Ibubapa yang superachievers dan supertalented- mesti ingat perkara ini - Jika anak-anak tidak mencapai seperti kita dahulu- ini bukan kerana Allah tidak anugerahkan banyak kepada mereka, tetapi mungkin kerana Allah telah menganugerahkan yang terlalu banyak kepada kita sendiri dahulu. Bersyukur dan jangan sekali kali bandingkan pencapaian diri dengan anak-anak. Ia sombong dan melukakan hati anak-anak."

    Moga bermanfaat

    ReplyDelete