Kita Mendidik, Bukan Menternak Manusia



“Menarik perkongsian oleh Prof Sidek Baba tadi kan,” isteri saya membuka bicara ketika kami berkereta untuk pulang setelah mendengar sesi perkongsian dakwah oleh Prof. Sidek Baba sebentar tadi.

Anak-anak kami telah lama lena di belakang. Suasana cukup sunyi dan aman. Tidak banyak kereta yang lalu di lebuh raya Melbourne malam-malam begini.

“Betul, ‘best’ sangat. Abang cukup tertarik dengan perkongsian tentang keluarga tadi, tentang bagaimana pengorbanan isterinya yang berhenti kerja untuk mendidik anak ketika dia belajar di Amerika.” Saya membalas mesra, kebetulan malam ini ‘mood’ bersembang tiba-tiba hadir.

Biasanya, dalam keadaan kepenatan begini, mulut saya bagai punya emas di dalamnya. Amat berat untuk berbincang atau bersembang.

“Bukan itu sahaja, bahkan isterinya turut memberi ruang yang amat luas bagi Prof. Untuk keluar berdakwah, bukan mudah untuk berkorban begitu dengan bilangan anak yang ramai.” Saya menambah lagi.

“Emm, betul tu bang, memang nampak tanggungjawab ibu dan isteri ni amat besar sebenarnya. Abang rasa untuk melahirkan anak-anak yang hebat dan untuk memberi ruang kepada suami keluar untuk menunaikan tanggungjawab dakwah dengan lebih luas, apakah seseorang isteri itu patut mengorbankan kerjayanya? Balas isteri saya disusuli dengan soalan.


“Sebab Syifa tengok, banyak contoh-contoh pendakwah yang hebat, samada isterinya bekerja dengan amat minima dan tak utamakan kerjaya atau berhenti kerja untuk mendidik anak-anak, walaupun isterinya punya pendidikan yang tinggi.” Tambah isteri saya lagi sebelum saya sempat menjawab.

Menarik juga persoalan yang ditimbulkan oleh isteri saya. Mungkin ada kebenaran dari apa yang dikatakannya. Saya berfikir seketika sambil kepala terbayang kepada beberapa tokoh dakwah di Malaysia samada yang saya kenal secara peribadi ataupun tidak.

“Abang rasa, pendapat Syifa memang ada kebenarannya, tapi abang rasa itu bukan isunya yang sebenar dalam pendidikan anak-anak.” Saya menjawab.

“Isunya bukan ibu bapa yang bekerja, kerana amat banyak contoh di luar sana yang mana kedua ibu bapa yang bekerja bahkan amat sibuk tapi masih mampu untuk mendidik anak dengan berjaya, dunia dan akhirat.”

“Isunya adalah tidak bersungguh dalam mendidik. Tidak ada kesungguhan, tidak ada perancangan, tidak ada ilmu dan tidak sanggup berkorban untuk mendidik anak-anak dengan nilai-nilai agama.” Saya menyambung jawapan.

“Jika kedua ibu dan bapa tidak bekerja sekalipun, namun jika tidak ada kesungguhan, ilmu dan perancangan, maka luangkanlah seberapa banyak masa bersama sekalipun, anak-anak tetap tidak akan menjadi.”

“Tapi sesibuk mana pun ibu bapa yang bekerja, namun jika punya kesungguhan, ilmu dan perancangan, pasti masa-masa yang berkualiti dari ibu bapa akan memberi kesan kepada tumbesaran dan pendidikan anak-anak.”

“Tak perlulah sampai ke tahap isteri kena berhenti kerja abang rasa, tapi mulakan dengan mengambil berat isu pendidikan anak-anak, jadikan ia sebagai agenda utama dalam keluarga.”

Saya mengakhiri jawapan kepada persoalannya tadi. Isteri saya mendengar sambil mengangguk-angguk. Banyak sekali perbincangan kami malam ini yang amat bermanfaat. 

Alhamdulillah. Benarlah, bahawa jika kita duduk bersama dengan orang-orang yang berilmu walaupun sebentar, cetusan kehebatan itu akan ada tempiasnya.

Ibu bapa harus sedar bahawa mendidik anak-anak bukan hanya sekadar memberi mereka makan, minum, menyediakan pakaian, tempat tinggal dan menghantar mereka ke sekolah untuk belajar tulis baca sahaja. Ia jauh lebih besar dari itu.

Pendidikan anak-anak dalam Islam adalah untuk melahirkan generasi pewaris yang akan menjadi manusia yang punya aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, akhlaq yang mantap, mampu berdikari, luas pengetahuan, sihat tubuh badan dan bermanfaat kepada orang lain.

Benar, ia bukan satu tugas yang mudah kerana ia adalah satu projek besar untuk membina ummah.

Perlu pada ilmu dan perancangan yang rapi, bukan hanya pandai-pandai sendiri.

Jika kita mampu untuk membeli kenderaan yang mahal dan kelengkapan rumah yang moden, mampukan juga untuk melaburkan wang bagi memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak. 

Bukan sekadar pendidikan dunia, tapi pendidikan yang akan membawa mereka ke syurga.

Bukalah hati kepada ilmu dan sediakan diri untuk menjadi murabbi, sekurang-kurangnya kepada anak-anak sendiri.

Banyak liku-liku cabaran yang akan kita hadapi, pohonlah bantuan Allah dan akhirnya serahkanlah natijahnya hanya kepadanya.

Kita mendidik, bukan menternak manusia.

No comments:

Post a Comment