AKU INGIN BERUBAH, TAPI BAGAIMANA?

“Entahlah Abang Sham, saya ni dah lama ikut usrah, tapi tak rasa ada peningkatan pun pada diri, masih lagi tak mampu nak tinggal lagu-lagu lagha, masih suka tengok ‘movie’ lama-lama, layan bola tengah-tengah malam buta, masih lagi suka ‘outing’ dan ‘chatting’ dengan budak perempuan, kadang-kadang, saya rasa saya ni hipokrit, tapi entahlah, saya tak tahu bagaimana nak berubah.” Luah Zairul dengan wajah penuh kesal.

Saya mendengar dan cuba menganalisa, tidak ingin cepat memberi nasihat dan cadangan, cuba untuk meletakkan diri di dalam kasutnya.

“Mutabaah amal saya cuba ‘maintain’, Quran saya baca, Solat Jemaah saya cuba untuk tak miss, tapi tak tahulah, kemanisan beribadah tu saya tak dapat rasa, hipokritkah saya ni Abang Sham?” Zairul menambah.

Saya terdiam dan memandang wajahnya mencari makna. Tampak ada keikhlasan di wajahnya untuk berubah, tapi ada sesuatu yang menghalangnya dari terbang tinggi.

Selepas lama Zairul mendiamkan diri dan melihat wajahnya yang memberi isyarat untuk saya memberi respon, barulah saya memulakan kata-kata.