Kenapa kena kahwin dengan akhawat?


“Abang Sham, betul ke ikhwah dan akhawat yang ikut usrah ni dia kahwin sesama ahli jema’ah sahaja, bukankah itu perkara bida’ah dan asobiyyah namanya?” Aiman melontar soalan kepada saya secara tiba-tiba memecah sunyi membuatkan saya terkesima seketika.

Lama saya berfikir, cuba mencari jawapan terbaik untuk dimuntahkan, tapi sebelum itu saya bertanya kembali kepadanya, cuba untuk menyelidiki apa sebenarnya yang tersirat di kepalanya.

“Mengapa anta kata begitu Aiman?”

“Sebab ana tengok, ikhwah dan akhawat ni kalau berkahwin, mesti pilih yang sama jema’ah, mengapa begitu?” Jelas Aiman.

“Okay, di mana salahnya hal tersebut, maksud abang Sham kahwin sesama ahli jema’ah?” Tanya saya lagi, terus menyelidiki.

“Yelah, seolah-olah ada unsur paksaan pula, bukankah kita sepatutnya bebas memilih?” Jelas Aiman, dituruti dengan soalan lagi.


Saya berfikir panjang, teringat satu ketika dulu saya juga pernah bertanya soalan yang sama kepada naqib usrah. Namun ketika itu saya tidak faham apa yang dijawabnya hingga akhirnya pengalaman sendirilah yang membuatkan saya sedikit mengerti tentang hakikat pembinaan rumahtangga dakwah.

“Hmmm, soalan yang Aiman tanya ni, jawapannya akan berbeza bergantung pada kapasiti dan situasi orang yang bertanya. Apapun, abang Sham bagi garis panduan umum dulu.” Saya memulakan jawapan.

Butir bicara disusun rapi di dalam kepala agar jawapan yang diberi adalah jawapan yang tidak akan menyebabkan salah fahamnya menjadi bertambah buruk.

“Perkara pertama yang perlu abang Sham jelaskan adalah, dalam Islam, tidak ada halangan untuk kita berkahwin dengan mana-mana wanita dari mana-mana bangsa atau suku pun, asalkan dia Muslim dan tidak ada halangan lain seperti belum habis tempoh iddah, bukan adik beradik susu, tidak ada halangan keras dari ibu bapa, bukan perkahwinan yang akan membawa mudharat, masih ada lagi kuota dan sebagainya.”

“Selepas itu, kita lihat garis panduan yang Nabi berikan iaitu agar kita mencari wanita solehah yang beragama sebelum melihat kepada ciri-ciri lain seperti cantik rupa paras, keturunan dan harta dalam hadis yang biasa kita dengar tersebut.”

“Beragama ni Aiman kena ingat, ukurannya bukan hanya pada tudung labuh, niqab, tanda sujud di kepala atau wajah yang seakan bercahaya sahaja, tapi hakikatnya jauh lebih luas.”

“Beragama ni adalah tahu dan mengamalkan agama, bukan hanya dari segi aurat, tudung dan kalimah-kalimah Arab atau post islamiknya di fb semata-mata.”

“Huraian tentang pemilihan calon dan sifat-sifat calon yang baik abang Sham dah jelaskan panjang lebar dulu, memang kita boleh memilih, tapi biarlah realistik dan jangan terlalu mendamba kesempurnaan dari pasangan. Itu asasnya.”

“Okay, jadi berbalik kepada persoalan Aiman tadi tu, iaitu mengapa ikhwah kena kahwin dengan akhawat yang satu jemaah sahaja?”

“Sebenarnya, seperti mana yang abang Sham sebut tadi, dalam Islam, TIDAK ADA perintah untuk mengahwini akhawat satu jemaah sahaja, ISMA kena kahwin dengan ISMA, IKRAM kena kahwin dengan IKRAM, PAS kena kahwin dengan PAS. Benda itu setahu abang Sham, tidak pernah wujud.”

“Jika ada organisasi dakwah yang mewajibkan dengan unsur paksaan perkahwinan satu jemaah, maka jelas, itu adalah satu penyimpangan. Ingin berkahwin dengan siapapun, pilihan di tangan Aiman sendiri.”

“Itu asas dia,  harap Aiman fahamkan betul-betul, jangan timbul salah sangka pula nanti.”

“Walaupun demikian, dalam perkahwinan, ada aspek praktikaliti yang perlu kita lihat dalam pemilihan calon dan aspek praktikaliti itu ada hubungan yang amat rapat dengan isu yang Aiman timbulkan. Ianya banyak bergantung kepada sejauh mana Aiman beriltizam dengan dakwah dan tarbiah dalam jema’ah yang disertai.”

“Bila Aiman beriltizam dengan amal dakwah dan tarbiah, iltizam itu diharapkan adalah iltizam sepanjang hayat, iaitu kita ingin menjadikan dakwah dan tarbiah berlandaskan sunnah Rasul sebagai jalan hidup kita sehingga kita mati.”

“Dengan kata lain, amal dakwah dan tarbiah ini akan berterusan selepas fasa kita sebagai pelajar. Ia akan berlanjutan hinggalah ke fasa kita bekerja, berkahwin, beranak pinak dan hingga mempunyai cucu, dan di sinilah aspek praktikaliti itu hadir.”

“Aspek praktikaliti yang abang Sham maksudkan adalah bila suami dan isteri berkongsi jalan dakwah dan tarbiah yang sama, perancangan keluarga insyaallah akan jadi kurang kompleks kerana masing-masing saling memahami tugas masing-masing.”

“Persefahaman adalah antara kunci utama dalam kebahagiaan rumahtangga. Sinergi suami isteri yang faham dakwah adalah kunci utama untuk kelangsungan dakwah.”

“Contoh mudah, bila ada program boleh berpergian bersama-sama, boleh berbincang berkenaan isu-isu yang timbul dalam jema’ah bersama-sama atau berbincang tentang permasalahan umat Islam, banyak perkara yang boleh dikongsi sehati sejiwa. Banyak perkara teknikal dalam rumahtangga akan jadi lebih mudah.”

“Kalau suami keluar berusrah, berprogram dan melaksanakan misi dakwah kepada masyarakat, isteri di rumah akan lebih memahami dan ada juga masanya suami terpaksa bertahan di rumah ketika isteri keluar seketika untuk berusrah dan berdakwah di medannya.”

“Tarbiah anak-anak juga akan jadi lebih harmoni bila ada kesepakatan antara ibu bapa, sebagai contoh, anak-anak boleh disepakati untuk dihantar ke program-program tarbiah anjuran NAZIM (Kelab Anak Hebat ISMA) dan ke tadika dan sekolah Islam yang baik, bila dah meningkat usia sedikit boleh bersama KRIM (Kelab Remaja ISMA) pula, jadi kurang kompleksiti dalam perbincangan kerana kedua ibu bapa punya agenda yang sama.

“Perkara ini kita boleh sebut sebagai sekufu, iaitu bukan sekadar sekufu dari segi agama, keturunan, pendidikan, tapi kalau boleh, kita nak kena cari juga yang sekufu dari segi kefahaman amal dakwah.”

“Atas sebab-sebab yang abang Sham nyatakan tadilah maka jema’ah amat menggalakkan agar kalau masih belum berpunya, carilah calon yang sekufu dalam kefahaman amal dakwah, dengan kata lain, dari jama’ah yang sama lah.”

“Macamana nak mencari, itu isu lain pula, perlu sesi lain untuk dijelaskan.”

“Seperkara lagi, bila dari jema’ah yang sama, mudah untuk orang tengah menyelidiki keperibadiannya melalui mekanisme-mekanisme yang kita ada dan segala urusan juga akan lebih sejahtera kerana kita sentiasa muhasabah agar tidak berlaku ikhtilat yang keterlaluan sebelum perkahwinan berjaya dilangsungkan.”

“Macam yang abang Sham sebut awal-awal tadi, kalau dah berpunya atau memang dah ada penyusunan ibu bapa tu lain pula jawapannya, tapi memandangkan Aiman ni belum berpunya dan punya semangat untuk beriltizam dengan amal dakwah, maka inilah jawapan yang abang Sham fikirkan paling sesuai.”

“Walau apapun, harus diingat, pilihan di tangan Aiman sendiri, persetujuan ibu bapa juga teramat penting, jemaah hanya ‘facilitate’ dan beri panduan sahaja.”

“Tidak dapat dinafikan, ada yang berkahwin dengan pasangan berbeza jema’ah atau tidak punya jema’ah tapi masih berjaya membangunkan rumahtangga islami yang diidam-idamkan dan ada juga yang berkahwin satu jemaah yang tidak lepas dari pelbagai masalah.”

“Pertimbangan yang kita buat adalah berdasarkan praktikaliti dan pengalaman mereka yang telah lama bergiat cergas dalam amal dakwah ini, dan abang Sham juga telah merasai dan melihat perkara ini sepanjang beberapa tahun dalam alam dakwah dan rumahtangga ini.”

“Banyak yang abang Sham lihat dan diceritakan oleh orang lama, bila memilih calon yang tidak ‘sekufu’ kefahaman dakwah atau yang tidak memahami keutamaan dakwah dan tarbiah untuk membangunkan umat, akhirnya leka dan larut dalam dunia rumahtangga dan kerjaya hingga agenda dakwah yang dulunya berdegar-degar dilaungkan, lebur dengan begitu mudah.”

“Kalau boleh kita tak nak perkara seperti itu berlaku, kalau boleh kita ingin bersama pasangan sama-sama menjadi pejuang agama dan melahirkan zuriat yang akan dididik menjadi pejuang juga.”

“Bukan bermakna kalau kahwin satu jemaah itu akan bebas dari masalah dan selesai segalanya, kerana ada juga yang bermasalah, tapi kita berikhtiar agar masalah-masalah dapat dikurangkan dan rumahtangga yang dibangunkan punya asas untuk suami dan isteri bersefahaman.”

“Aiman faham ke? Perkara ini sebenarnya ‘common sense’ sahaja jika kita berfikir dan melihat rumahtangga sebagai satu medan untuk membangunkan ummah. Walaubagaimanapun, ini adalah pendapat abang Sham berdasarkan sedikit pengalaman, mungkin orang lain ada pendapatnya yang lain yang mungkin lebih bernas lagi.”

Panjang lebar saya menjelaskan dengan bahasa termudah yang boleh saya susun dan dengan senyuman yang tidak pernah henti menguntumi bibir yang berbicara.

“Oooo, ok, faham-faham.” Jawab Aiman dengan wajah yang cerah. Semoga persoalan dan sangkaannya kembali jernih.

Mencari pasangan yang ‘sekufu’ kefahaman adalah antara satu aspek penting dalam membina rumahtangga dakwah yang bahagia. Walaupun ianya bukan jaminan mutlak kepada kebahagiaan, tapi sekurang-kurangnya, bila asas yang dibina adalah di atas kefahaman yang sama iaitu untuk membina ummah melalui jalan dakwah dan tarbiah, adalah diharapkan suami dan isteri akan lebih mudah untuk saling memahami dan bersinergi dalam menyumbang kepada dakwah.

Harus diingat, membina rumahtangga dakwah bukan satu tugas mudah, dan ia bukan juga ubat mujarab untuk menyelesaikan segala masalah hati ikhwah dan akhawat. Tetapi rumahtangga dakwah adalah tempat untuk para da’ie membina kekuatan diri, menjadikan diri lelaki sejati yang mampu memimpin ummah dan melahirkan generasi singa yang berkualiti.

Ia adalah ujian, hanya yang kuat dan bersedia akan terus melangkah.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Nota penting dari artikel ini:
1)    Jemaah tidaklah mewajibkan, tapi menggalakkan perkahwinan sesama ahli jema’ah agar pasangan punya kesekufuan dalam kefahaman dan amal dakwah agar urusan dakwah dapat diteruskan walaupun selepas walimah. Namun begitu, pilihan adalah ditangan ikhwah dan akhawat dan ibu bapa memainkan peranan yang amat penting. Jangan kerana disusun oleh jema’ah, ibu bapa didurhakai dan dilukai. Banyakkan berbincang.

2)    Artikel ini bukan jawapan bagi mereka yang telah punya pasangan, telah bertunang atau hampir berkahwin, untuk golongan ini, perlu pencerahan lain yang noktahnya adalah jauh berbeza.


3)    Berkahwin sesama ahli jama’ah bukanlah jaminan bahawa rumahtangga itu akan bahagia, bahagia itu perlu dibina dan diusahakan, ia tidak akan hadir sendiri.

6 comments:

  1. teringat pengertian Salim A. Fillah...

    Cinta dalam rumah tangga juga tak datang bergolek... Sama seperti mencari cinta Allah, tiada usaha, maka tak dapat cintaNya...

    *Refering to point 3

    ReplyDelete
  2. Best. Jelas dan sgt praktikal. ;)

    Moga Allah membalas anda dgn sebaik-baik ganjaran, biidznillah.

    Oh salaam ukhuwwah fillah. Moga terus laju dan subur dakwah dan tarbiyah. ^^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam ukhuwwah Inche Gabbana,

      Terima kasih atas doa dan harapan, Insyaallah, moga kita terus maju menderu bersama alir dakwah.

      Insyaallah :)

      Hisham Sharif
      ISMA South Australia

      Delete
  3. Kelako bro!

    Sekali baca tajuk, terlintas dlm hati...

    "pastu kalau tak kawin dgn akhawat, nak kawin dengan ikhwah ka? haiyyoooo.... ammmmaaaa.... appppaaaaa....."

    ReplyDelete
  4. Apa yang Joe Daddy cakap tu betul. Ada yang hanya panggil "akhawat", kepada ahli jemaah sendiri saja.

    Dan guna label non-akhawat untuk perempuan jemaah lain. Lucu kan bila akhawat=saudara perempuan itu hanya pada perempuan sendiri saje.

    ReplyDelete
  5. ya syeikh, mgkin soalan ini agk 'tak matang' tapi bagaimana lelaki dan perempuan dari jemaah yg berbeza boleh berkahwin? sebelum masing2 masuk jemaah masing2, kami mnyukai satu sama lain dan merancang untuk mendidirkan rumah tangga selepas belajar, dan ibu bapa masing2 pon telah mngetahui dan tidak membantah, Namun selepas masing2 menyertai jemaah masing2. Perasaan itu masih ada tetapi fikirkan 'fikrah yg berbeza' kami terpaksa memutuskan hasrat tersebut. Sekadar bertanya pendapat syeikh. Adakah ini suatu perngorbanan? atau pun masih boleh diteruskan?

    ReplyDelete