MALAYSIA PERLU GUNAKAN KEKUATAN DIPLOMASI UNTUK BANTU GAZA

Walaupun negara masih dalam keadaan murung dengan tragedi MH17 yang amat mengejutkan, kemurungan itu sedikit terubat dengan kejayaan diplomasi Datuk Seri Najib dengan kumpulan pemisah di Donetsk yang diketuai oleh Alexander Borodai dalam mendapatkan kembali kotak hitam pesawat, akses pasukan penyiasat antarabangsa kepada kawasan pesawat terhempas dan lebih penting, mendapatkan kembali mayat-mayat mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut.

Malaysia menerima kotak hitam dari puak pemisah
Rundingan di belakang tabir ini, sebenarnya adalah satu proses yang amat sukar dan berisiko, kerana kita tidak ingin mencari masalah dengan Kiev yang di belakangnya ada Eropah dan Amerika, apatah pula dengan Russia. Berunding terus dengan Borodai adalah ibarat mengiktiraf tuntutan puak pemisah Donetsk yang sedang diperangi oleh Kiev.

Apapun, kejayaan yang dipuji oleh banyak media dan masyarakat antarabangsa ini adalah satu pencapaian besar buat Malaysia kerana ketika kuasa-kuasa besar dunia saling menuding jari, Malaysia, secara khususnya Datuk Seri Najib bekerja dengan senyap di belakang tabir untuk menyelesaikan masalah dengan efektif.

Kejayaan ini membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia, walaupun kecil di mata dunia, tetapi mempunyai jiwa yang cukup besar dan sentiasa komited dalam membina dunia yang lebih aman tanpa konflik. Tidak seperti kuasa-kuasa besar dunia yang hanya jaguh dalam berkata-kata, tapi hipokrit dalam tindakan, Malaysia membuktikan sebaliknya.

BAGAIMANA REJIM ZIONIS MEMANIPULASI MEDIA

Selain dari penguasaan senjata berat yang canggih hasil sumbangan Amerika Syarikat, cengkaman politik terhadap negara-negara kuasa besar dunia melalui lobi kumpulan-kumpulan berpengaruh seperti American Israel Public Affairs (AIPAC), dana kewangan yang besar hasil dari sumbangan korporat dan jutawan Yahudi yang kaya dari serata dunia, rejim pengganas Zionis memastikan cengkaman penindasan mereka terhadap rakyat Palestin terus kukuh dan tidak boleh dipertikaikan oleh masyarakat dunia melalui cengkaman dan manipulasi media massa besar dunia.

Karikatur peranan AIPAC di Amerika Syarikat

Jika dilihat dari krisis terbaru yang sedang berlaku di Gaza sekarang, yang mengorbankan lebih 700 nyawa, mengakibatkan puluhan ribu mangsa tercedera, dan hampir ratusan ribu kehilangan tempat tinggal setakat hari ini, media-media barat tajaan rejim pengganas Zionis seperti CNN dan BBC walaupun kelihatan seperti simpati dengan Gaza, tapi terus memainkan propaganda dan melakukan manipulasi bagi membina legitimasi masyarakat dunia terhadap serangan terbaru rejim pengganas Zionis kali ini.

Dendangan Israel berhak mempertahankan dirinya sendiri dari serangan roket HAMAS terus diulang-ulang setiap hari, begitu juga dengan kempen untuk melabelkan HAMAS sebagai kumpulan pengganas. Walaupun telah terbukti melakukan banyak jenayah perang dengan menggunakan senjata terlarang, membunuh kanak-kanak, membedil masjid, kubur, bank, sekolah, hospital dan ambulans, tetapi media-media ini terus menggambarkan rejim pengganas Zionis sebagai pihak yang berada di kedudukan mangsa dan tindakan mereka hanya lah untuk mempertahankan diri.

Walaupun menggunakan hujah-hujah yang rapuh, tapi ramai juga yang percaya dan termakan propaganda dendangan media massa yang pro rejim pengganas Zionis.

5 SEBAB MENGAPA HAMAS BERHAK MENYERANG REJIM ZIONIS

Antara alasan yang sering digunakan sejak bertahun lamanya oleh rejim pengganas Zionis sebagai legitimasi kepungan dan serangan mereka ke atas Gaza dan pencerobohan mereka di Tebing Barat  adalah ‘Israel has the right to defend itself from militants’ iaitu merujuk kepada serangan roket oleh tentera pejuang Briged Izzudin Al Qassam dan Saraya Al Quds yang dilancarkan dari Gaza.

Terkini, ‘Israel Defense Forces’ (IDF) melalui laman media sosial telah melancarkan kempen ‘What would you do’ bagi mencari sokongan masyarakat dunia terhadap serangan yang mereka sedang lakukan di Gaza.
Alasan ini juga sering diulang-ulang oleh pemimpin-pemimpin dunia bagi menyokong tindakan rejim pengganas Zionis seperti Obama, John Kerry, Francois Holande, Angela Merkel dan lain-lain, juga diulang-ulang oleh media-media yang sering menyebelahi kekejaman rejim pengganas Zionis seperti CNN, BBC dan ABC.






Malah, ada dari kalangan mereka yang simpati terhadap Gaza juga menggunakan alasan ini iaitu HAMAS wajib menghentikan serangan roket untuk mencapai jalan perdamaian dengan rejim pengganas Zionis dan juga untuk mengelakkan kepungan dan serangan.

Hakikat yang sebenar adalah HAMAS berhak sepenuhnya untuk mempertahankan diri dengan apa jua cara bahkan lebih dari berhak untuk menyerang Israel dengan roket dan apa jua persenjataan yang ada.

Sebab yang pertama adalah kerana negara haram Israel dibina di atas tanah-tanah yang dirampas secara paksa dari rakyat Palestin sejak lebih 60 tahun yang lalu. Ramai yang dihalau keluar dari rumah sendiri untuk memberi laluan kepada pendatang haram Yahudi untuk mendirikan penempatan mereka. Rejim pengganas Zionis juga secara sistematik dengan menggunakan kekuatan ketenteraan telah menjajah banyak dari kawasan-kawasan Palestin sejak 1948 dan 1967.

Jadi rejim pengganas Zionis sebenarnya adalah penjajah dan perampas tanah rakyat Palestin, dan mereka yang dijajah berhak sepenuhnya secara moral dan menurut undang-undang untuk berjuang membebaskan negara mereka dari penjajahan. HAMAS, Jihad Islam, FATAH dan mana-mana jua organisasi di Palestin berhak untuk berjuang menggunakan apa jua cara bagi membebaskan negara mereka dari cengkaman penjajah.