MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN TENTANG JAMA'AH (Bahagian 3 - Mengapa saya memilih ISMA?)


Soalan 3:

Mengapa pilih ISMA? Mengapa tidak jemaah- jemaah lain?

Jawapan:

Pertama sekali, tenaga kita sebagai manusia amat terbatas. Kita ada banyak komitmen-komitmen lain yang tidak kurang berat pada keluarga, pengajian dan kerjaya juga. Jadinya, adalah amat tidak relevan andai kita cuba untuk menyertai banyak jema’ah secara serentak kerana akhirnya kita akan hilang fokus.

Andai kita ingin belajar ilmu perakaunan hingga mendapat ijazah sarjana muda, bolehkah kita menyertai dua tiga universiti dengan alasan untuk menimba ilmu? Sekali kita hadir kelas di Uni Adelaide, sekali di UNISA, minggu depan pula di Flinders. Akhirnya kita akan penat dan ijazah entah ke mana.

Itu untuk dunia, samalah juga dengan amal islami. Tarbiah perlu ada komitmen, displin dan manhaj yang tersusun.

Pilih satu Jema’ah, dan beramallah dengan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar sebagai ahli pasif yang hanya pergi dan balik usrah, tetapi ahli aktif yang dapat menyumbang tenaga, masa dan buah fikiran untuk menyampaikan dakwah.

MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN TENTANG JAMA'AH (BAHAGIAN 2)


Soalan 2:

Mengapa perlu ada banyak Jema’ah? Bukankah ini tanda bahawa umat Islam tidak bersatu hati dan berpecah belah?

Jawapan:

Pertama sekali perlu diingat. Jema’ah hanya wasilah, bukan matlamat. Kita menyeru manusia kepada Islam, bukan kepada Jema’ah. Namun begitu, jema’ah ini amat penting kerana organisasi yang dijenamakan dengan baik, punya agenda, objektif, misi dan visi yang jelas, jalan kerja dan displin yang kemas adalah kenderaan yang amat baik untuk menyampaikan kita kepada matlamat. Kita hanya menunggangnya untuk menyampaikan kita kepada matlamat, iaitu Islam itu sendiri. Tidak ada isu kita mengajak kepada Jema’ah dan bukan kepada Islam, kerana keduanya adalah selari.

Tentang kepelbagaian Jema’ah. Manusia ini sifatnya berbeza-beza. Ada yang suka makan nasi dengan kari ayam. Ada yang suka makan laksa dengan sambal belacan. Ada pula yang suka makan dalca dengan sambal petai. Itu baru bab makanan. Dalam mazhab fiqh juga para Imam berselisih pandangan hingga lahirlah pecahan-pecahan mazhab yang punya kaedah perlaksanaan yang berbeza-beza.

MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN TENTANG JEMA’AH (Bahagian 1)

Soalan 1:

“Saya faham kenapa kita kena berdakwah, tapi kenapa kena ada jema’ah - jemaah untuk berdakwah ni?”

Jawapan:

Alhamdulillah, baguslah kalau dapat faham mengapa kita kena berdakwah, tidak ramai muslim hari ini yang mempunyai kefahaman begitu. Tentang mengapa kita kena ada Jema’ah untuk berdakwah, saya beri satu analogi mudah.

Katakan kita nak buat satu bangunan yang cantik. Boleh tak agak-agak kita nak buat seorang diri? Secara logiknya mestilah tak boleh kan?

Mesti ada orang yang mahir melukis pelan, mesti ada yang mahir dalam seni pertukangan, mesti ada yang mahir dalam perkiraan setiap sudut bangunan, kena ada tukang cermin, tukang mozek, tukang simen dan macam-macam lagi.

Tidak ada seorang manusia yang ada semua kemahiran dan mampu untuk melakukannya secara berseorangan. Kalaupun dia sangat pandai, pasti dia tidak akan mampu untuk membina bangunan tersebut secara berseorangan.

Begitu juga dengan dakwah. Ia adalah satu urusan besar yang memerlukan kepelbagaian kemahiran. Sebagai contoh, katalah kita buat kempen untuk ajak penduduk sebuah taman bagi menunaikan solat berjemaah di masjid.

Ibu Bapa, Anak-Anak dan ‘Smart Phone’

“Ayah, tengok lah lukisan Humaira’ ni sekejap, cantik tak?” Sapa Humaira’ pada saya tika saya baru pulang dari pejabat. Lukisan yang dilukisnya di sekolah diangkat dengan tinggi.

“Haa, cantik-cantik” Jawab saya, acuh tak acuh. Saya melihat sebentar lukisannya dan kemudian mengalihkan pandangan pada ‘iPhone’, melihat email dan ‘newsfeed Facebook’ yang masuk dengan pantas.


“Ayah tak tengok pun. Ayah ni, jangan lah asyik tengok telefon je. Tengoklah sini sekejap!” Marah Humaira’. Saya tersentak. Tersentap. Tergamam. Tergumam.

“Ok, ok, ‘sorry’, meh sini ayah tengok, ” saya meletakkan telefon, dan kemudian memberi sepenuh perhatian padanya.

Di dalam hati penuh dengan rasa bersalah.

“Ya Allah, teladan apa yang telah aku tunjukkan ini.” Bicara saya di dalam hati.

Hari Raya Korban di Adelaide

Lama tidak menulis ‘update’ tentang suasana yang berlaku di sini. Ingin juga sesekali bercerita secara santai tanpa perlu berfikir banyak tentang laras bahasa yang digunakan dan mesej yang ingin disampaikan.

Baiklah, tentunya ‘update’ kali ini adalah tentang Hari Raya Korban di Adelaide. Tahun ini kali kedua kami menyambutnya di sini, lebih menambah seri adalah kehadiran Fatimah Insyirah yang kini telah berusia 6 bulan.

Sambutan di sini agak sederhana, namun kemeriahan tetap terasa. Seperti tahun sebelumnya, tahun ini kami memilih untuk menunaikan solat sunat hari raya di Bonython Park. Tahun ini yang menjadi imam adalah Imam Yusuf, Imam Masjid Wandana yang berketurunan Uighur.

Khutbah agak pendek kerana ingin meraikan orang yang terpaksa bekerja dan mempunyai pelbagai urusan kerana hari Jumaat adalah hari bekerja di sini.  Isinya adalah tentang cinta, ujian dan pengorbanan yang dilalui oleh Nabi Ibrahim sepanjang sejarah hidupnya. Nanti saya kongsikan isinya dalam entry lain kalau berkesempatan.

Alhamdulillah, cuaca cukup cantik, tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Kehadiran juga agak baik walaupun masjid-masjid lain di sekitar Adelaide seperti Masjid Khalil dan Masjid City juga menganjurkan Solat Sunat Aidil Adha.

Suasana cukup meriah dengan anak-anak yang turut dibawa hadir tanpa ada sebarang kebimbangan akan mengganggu ketenteraman Jemaah yang sedang solat. Oleh kerana padang yang luas terbentang, kanak-kanak bebas berlari dan bermain sepuas-puasnya. Harap-harap nanti sunnah yang baik seperti ini dapat diamalkan juga di Malaysia satu hari nanti.


Solat di padang adalah satu sunnah yang masih belum dapat dirasai di Malaysia. Cukup menarik bila dapat berkumpul dan melihat orang-orang Islam berbilang bangsa sujud dan bertakbir berbumbungkan langit dan berlapikkan rumput hijau.

Ada juga ‘jumping castle’ yang membuatkan anak-anak tidak senang duduk. Tahniah kepada IICSA (Islamic Information Centre of South Australia) yang menganjurkan program ini dengan amat baik sekali.

Selesai solat, kami akan bersalam-salaman, berpeluk-pelukan diikuti sesi bergambar bersama pelajar-pelajar Malaysia yang hadir. Cuma tahun ini, Nampak tidak berapa ramai pelajar Malaysia yang ada, mungkin ada yang bertembung dengan kelas dan tugasan yang perlu dihantar segera.

Jamuan ringan disediakan oleh pihak penganjur, tapi, kalau namanya orang Melayu, pasti tidak akan lepas dengan rendang, ketupat dan pelbagai jenis juadah ketika hari raya yang disediakan oleh beberapa keluarga, termasuklah isteri saya yang bersengkang mata memasak seperiuk besar rendang ayam pada malam sebelumnya.

Kami tidak ke mana-mana hari ini, asalnya saya bercadang untuk ke pejabat, namun melihat rumah seperti tongkang pecah, terpaksa juga meluangkan sedikit masa untuk operasi selepas Solat Jumaat. Selepas Asar, barulah kami keluar beraya ke rumah Shibi dan Surah yang berhampiran dengan rumah kami.

Malamnya saya melayani anak-anak. Lama tidak menonton ‘movie’ bersama kerana kesibukan saya dengan pengajian. Kali ini kami menonton filem ‘How to Train Your Dragon’. Satu kisah dengan jalan cerita yang cukup menarik. Nantikan entry seterusnya (kalau rajinlah, hehe).

Ibadah korban akan dilakukan esok di pusat penyembelihan di Lobethal. Saya dan beberapa orang rakan sama-sama berpakat untuk menumbangkan seekor lembu.  Cara sembelihan di sini agak unik, tidak seperti di Malaysia. Lepas sembelih esok, nanti saya kongsikan gambar dan sedikit cerita tentang penyembelihan di sini.

Baiklah, setakat itu dulu update, janggal juga rasanya menulis di blog seperti ini, kerana telah amat lama tidak melakukannya. Asalnya saya ingin menulis tentang perkara lain, namun menunggu ilham yang tidak kunjung datang, akhirnya saya memilih untuk menulis sahaja apa yang terlintas di fikiran.

Moga bertemu lagi di lain masa.

Eid Mubarak buat semua pembaca blog ini!

DIA TIDAK PERNAH LUPA


“Ma jangan lupa doakan Hisham ye,” pesan saya kepada Ma setiap kali sebelum menamatkan panggilan telefon.

“Ma tak pernah lupa, setiap kali selepas solat Ma akan doakan. Malah setiap malam Jumaat Ma akan buat solat hajat untuk anak-anak. Minta semua dimudahkan urusan, yang belum kahwin agar dimudahkan jodoh, yang sedang belajar agar lulus dengan cemerlang, yang baru berkahwin agar cepat dapat anak. Ma doakan semuanya berjaya dunia akhirat.”

Walaupun jawapan yang sama diberi setiap kali saya menghubungi dan saya tahu, Ma pasti tidak akan lupa selagi mana dia bernyawa (Insyaallah), tapi sengaja saya ingin mendengarnya bagi mendapatkan penawar bagi hati yang sedang lara atau ketika minda dalam keadaan amat berserabut.

Biasanya selepas berbual-bual dengan Ma, saya akan merasai ketenangan luar biasa. Bukan kerana saya dapat meluahkan masalah, kerana saya memang jenis yang suka memendam masalah. Buka juga kerana dapat solusi kepada formula yang tidak dapat difahami berhari-hari. Namun, ketenangan itu hadir kerana saya tahu, di satu sudut kecil di dunia ini, ada manusia yang paling mustajab doanya bagi diri saya, sedang berdoa, memohon agar Allah mempermudahkan kehidupan saya dunia dan akhirat.

Subhanallah. Cukup melegakan.

Begitulah hati seorang ibu. Walaupun anak-anak sibuk ke sana dan kemari hingga kadang-kadang ada waktunya terlupa untuk menghubungi, tetapi ibu yang sejati, walaupun ilmu agamanya tidak setinggi mana, walaupun tidak berijazah, walaupun tidak pernah bersama mana-mana jama’ah yang semangat berdakwah, tetap tidak pernah lupa untuk mendoakan anak-anaknya.

Sedangkan kita yang kononnya ilmu penuh di dada, meletakkan status facebook, posting di blog yang berbau islami dan penuh muhasabah diri, sibuk dengan amal tarbiah dan dakwah di sana sini, seringkali lupa untuk mendoakan keselamatan dan kebahagiaan sekujur tubuh yang kian dimamah usia itu.

Andai hari ini kita berbangga dengan kejayaan dan pencapaian diri, mungkin di sebaliknya ada doa seorang ibu yang dimakbulkan.

Andai hari ini kita berbangga dengan bahagianya keluarga dan anak-anak yang menjadi, mungkin di sana ada keberkatan dari ibu yang sentiasa mendoakan kesejahteraan rumahtangga anak-anaknya.

Allah. Kadang-kadang rasa malu pada diri sendiri. Terima kasih kepada semua yang sudi mengingatkan, kerana peringatan itu sentiasa berguna bagi orang-orang yang beriman.

Moga Allah mengurniakan kita kekuatan untuk menjadi anak yang soleh dan sentiasa mendoakan kebaikan buat ibu bapa kita.

Jangan lupakan mereka dalam doa seusai solat petang ni!

PERISTIWA SATU PETANG DI TEPI TIANG MASJID

“Anta buat apa kat sini?” Tanya seorang sahabat yang melihat saya sedang bersandar di tepi tiang masjid selepas Solat Asar.

Saya diam. Hanya tersenyum. Sebenarnya ketika itu saya menahan lapar yang amat sangat kerana telah kehabisan wang belanja. Hendak menelefon ke rumah, minta bantuan dari Ma dan Dedi, tidak sampai hati. Hendak meminjam dari kawan-kawan, terasa malu. Kebetulan bulan itu elaun JPA masuk agak lambat. Khabarnya, tiga hari lagi baru duit akan masuk.

Petang itu saya buntu. Kali terakhir saya menjamah makanan adalah sebungkus Maggi yang saya kongsi bersama roommate malam tadi, sesudahnya hanya minum air sejuk kerana duit yang di dalam dompet hanya 50 sen. Tidak pernah lagi keadaan kewangan saya kritikal begini. Apatah lagi untuk menghadapi beberapa hari lagi.

Perut terasa amat pedih.

“Anta ada masalah ke?” Tanya sahabat itu lagi. Sahabat itu adalah senior saya dua tahun di Universiti. Dia adalah antara tenaga utama yang mengajak saya mengenal usrah, tarbiah dan dakwah.

Saya hanya menguntum senyum. Bertarung antara perasaan malu dan perut yang sedang menggerutu.

“Biasanya anta tak begini, pada hemat ana, anta ni mesti tengah tak ada duit sebab elaun budak-budak tahun pertama JPA masuk lambat bulan ini kan. Eh, anta dah makan?”

Dada saya bagai disambar petir. Bagaimana dia boleh meneka dengan tepat apa yang sedang bermain di fikiran saya.

“Macam ini lah, anta ambil RM 20 ni, buat belanja apa yang patut, ana tahu anta tak ada duit.”

Dia mengeluarkan dua keeping not merah dari dalam dompet dan menghulurkan kepada saya.

Tanpa sedar saya menghulurkan tangan, tidak mampu menolaknya.

“Ana minta diri dulu, ada hal sikit. Kalau anta perlu bantuan apa-apa, anta tahu nak cari ana kat mana.” Sahabat saya itu bangun dan berlalu pergi.

Saya menahan air mata. Bantuan Allah datang dalam keadaan tidak disangka-sangka. Saya menunggu kelibatnya hilang dan kemudian terus bangkit menuju kafeteria terdekat untuk mencari makanan.

Peristiwa petang hari di tepi tiang masjid itu adalah antara peristiwa dari sekian banyak kenangan yang tidak akan dapat saya lupakan. Antara noktah penting yang menyebabkan mengapa saya terus kekal bersama dengan dakwah dan tarbiah hingga hari ini.

Kadang-kadang bukan ceramah yang berdegar-degar di dalam daurah, bukan juga siri-siri usrah, nasihat-nasihat boombastik, katibah dan mukhayyam yang akan menyentuh hati seorang mad’u dan mengubah pendiriannya tentang dakwah dan tarbiah, tetapi cukup sekadar dengan sentuhan-sentuhan kecil yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dari hati murabbi yang penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Bila kita (da’ie) jujur dengan ukhuwwah, hati mad’u pasti akan mudah berubah.

Moga Allah memberi kelapangan hidup dan keluasan rezqi pada sahabat yang membantu saya petang itu.

APA SALAHNYA KAMI BERKAWAN?


“En. Hisham, apa salahnya kami berkawan dan keluar bersama sekali sekala. Bukan buat salah apa pun, lagi pun kami hanya cuba kenal mengenali hati budi masing-masing, dan saya memang ada perancangan untuk melamar andai saya dapati dia serasi dengan saya.” Kata seorang pelajar kepada saya pada suatu masa selepas selesai sesi penyeliaan berkenaan pelajaran di bilik.

Tergamam saya mendengar soalan dan penjelasan ‘tanpa diminta’ tersebut, apatah lagi bila ia diungkapkan dengan wajah penuh selamba.

Saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Mungkin kerana ada kata-kata nasihat tentang hubungan antara lelaki dan perempuan yang sering saya sebutkan sebelum memulakan pengajaran menyentuh dirinya. Wallahua’lam, saya ingin membebaskan diri dari sangka-sangkaan. Biarlah saya dalam keadaan tidak tahu.

Mendengar luahan itu, saya teringat kepada soalan yang hampir sama yang pernah ditanyakan oleh seorang sahabat kepada baginda Nabi yang mulia. Dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa satu hari, seorang anak muda datang berjumpa dengan Rasulullah dan bertanya;

"Wahai Rasulullah saw, izinkan aku untuk melakukan zina",

PEMIKIRAN PELIK POLITIK KITA HARI INI


“Mat, aku rasa baik jangan lagi mencuri, sebab mencuri itu berdosa.” Tegur Amran kepada sahabat baiknya.

“Hang jangan melampau Amran, hang tengok kawan kita si Zaim tu, lagi teruk dia mencuri, pernah aku dengar dia rompak bank lagi, kenapa hang tak pernah tegur dia? Sedangkan aku hanya curi makan di kedai sahaja. Hang memang tidak adil!!!” Sergah Mat kepada sahabat baiknya tadi.

Amran terpinga-pinga.
….

Dalam satu lagi situasi.

“Siapa suka makan pisang di sini?” Tanya Cikgu Amir kepada anak-anak murid kelasnya.

“Saya cikgu, saya” beberapa orang pelajar mengangkat tangan.

“Haa, monyet juga suka makan pisang, jadi kamu semua adalah monyet.” Jelas Cikgu Amran setelah melihat beberapa orang murid mengangkat tangan.

(Krik Krik)
.…

Pelik bukan. Jangan bimbang, dialog di atas hanyalah rekaan semata-mata.

Namun, realiti politik kita hari ini adalah hakikat, bukan rekaan. Politik kita hari ini amat pelik. Tidak banyak bezanya seperti apa yang digambarkan dalam dialog di atas.

Begini maksud saya.

CINTA ITU BUKAN SEKADAR LAFAZ

Cinta dan sayang itu bukan sekadar lafaz, tapi mesti dibuktikan dengan perbuatan.

Seorang wanita yang mengaku sayangkan suaminya bersungguh-sungguh, pasti tidak akan suka andai ada sebarang kemudharatan yang menimpa suaminya.

Begitu juga seorang anak, secara khusus anak perempuan yang sayangkan ayahnya, pasti tidak akan suka andai ada kecelakaan yang menimpa ayahnya.

Seorang ayah juga, andai sayangkan anaknya (anak perempuan secara khusus), pasti tidak akan membenarkan apa jua perkara mengapa-apakan anak-anaknya.

Seorang suami, andai sayangkan isterinya dengan bersungguh-sungguh, pasti akan menjaga isteri tersebut bagai menatang minyak yang penuh.

Apatah lagi jika ada api yang ingin membakar tubuh mereka yang disayangi tersebut, jauh sekali hendak membayangkan bahawa merekalah yang menjadi punca tubuh mereka yang disayangi disentuh oleh api.

Begitulah cinta hakiki, ia bukan sekadar lafaz “I Love You”, tapi ia pasti akan disusuli dengan tindakan penuh bertanggungjawab untuk melindungi orang yang disayangi dari menerima apa jua bala bencana.

Saya pasti, sukar untuk sesiapa yang mempunyai fitrah yang normal untuk tidak bersetuju dengan hakikat ini.
Namun realitinya jauh berbeza hari ini. Apakah kerana tidak tahu, atau tewas dek pujukan hawa nafsu?

Tidak, saya tidak berbicara tentang nasib kita di dunia, tapi lebih kepada nasib kita nanti di akhirat sana.

Ramai wanita yang mengaku sayangkan suami, namun masih keluar dengan aurat terbuka yang menyebabkan suami menimbun beban dosa.

Ramai juga suami yang menyatakan cinta dengan penuh rasa hati, tidak pernah lupa untuk menghadiahkan bunga pada setiap hari ulangtahun, namun membiarkan isteri keluar tanpa menutup aurat, apatah lagi keluar dan bergambar bersama dengan lelaki yang bukan mahram.

Ramai (anak perempuan yang telah dewasa dan belum berkahwin) yang mengaku sayangkan ayahnya dengan sepenuh hati, namun masih membiarkan ayahnya menghimpun dosa dengan keluar tanpa menutup aurat, meletakkan gambar mendedahkan aurat di laman social, balik lewat malam tanpa sebab yang munasabah dan bergambar bersama lelaki yang bukan mahram.

Ramai juga ayah yang saya pasti, amat sayangkan anaknya (anak perempuan secara khusus), namun masih membiarkan anak-anak hanyut tanpa didikan agama, dan langsung tidak menegah anak dari melakukan perbuatan-perbuatan yang menghampirkan diri mereka berdua ke jurang api neraka.

Tidakkah semua ini akan menjadikan diri dan orang yang disayangi calon untuk menjadi bahan bakar api neraka?

Cinta apakah ini? Cinta palsu atau cinta yang penuh dengan penipuan?

Tidak ada sesiapa yang suka dengan cinta palsu yang sering diungkapkan oleh sang penipu.

Andai sayang, buktikanlah dengan perbuatan.

Buat adik-adikku (yang belum berkahwin), jika benar sayang kepada ayah, jangan dayuskan ayah anda dengan mendedahkan aurat (aurat bukan sekadar menutup rambut), keluar dengan lelaki yang bukan mahram dan meletakkan gambar yang mendedahkan aurat di merata-rata.

Buat para isteri di luar sana, andai sayang pada suami, bantulah dia untuk sama-sama berpimpin tangan untuk bercinta hingga ke syurga. Jangan heret suami ke neraka dengan kealpaan kita dalam menjaga maruah diri dan aib rumahtangga.

Buat para suami dan juga ayah, kita adalah pemimpin, dan diri kita akan dipertanggungjawabkan atas rakyat yang kita pimpin. Tidak guna kejayaan kita gilang gemilang di dunia, andai pengakhiran kita nanti adalah di tepi lembah neraka.

Buktikan bahawa kita benar-benar cinta!

GEMA KEWARAKAN


Apabila seseorang da’i mewajibkan dirinya bersifat dengan sifat warak, kewarakannya akan mempunyai gema yang pengulangan gema tersebut akan menggerakkan orang ramai. Hakikat ini dijelaskan oleh penemuan yang dilakukan oleh Yahya bin Mu’az, seorang zahid, yang mengatakan: “Bahawa manusia akan mempedulikan urusan anda, sekadar mana anda peduli dengan urusan Allah.” Taufiq yang diberikan oleh Allah terhadap kerja pengumpulan yang kita lakukan adalah bergantung kepada tahap kesungguhan kita terhadap kerja tersebut. Krisis ketidakmahuan manusia untuk datang kepada kita, tidak lain dan tidak bukan, adalah disebabkan oleh kurang pedulinya kita terhadap apa yang diwajibkan oleh Allah kepada kita. Sesiapa yang datang kepada Allah dengan hatinya, nescaya Allah akan mendatangkan hati-hati manusia kepadanya. 

Abu Ammar - Al Masar

JANGAN PANDANG RENDAH PADA ORANG LAIN

Jangan pandang rendah pada orang lain kerana roda kehidupan ini berputar dengan cara yang cukup misteri.

Orang yang lemah dan pernah kita pandang rendah mungkin akan berjaya pada masa akan datang jauh lebih hebat dari apa yang kita dapat bayangkan.

Orang yang hebat dan kita pandang tinggi bahkan mungkin diri kita sendiri, tanpa kita ketahui akan jatuh terperosok ke lembah hitam yang paling dalam.

Berpada-padalah dalam menyanjung dan mengeji, juga dalam cinta dan benci, kerana taqdir kehidupan semuanya dalam genggaman taqdir Allah yang tidak kita ketahui.

Rumahtangga Dakwah Kita (2) - Taman Syurga Dunia


“Syifa akan teruskan juga ke dengan tadika ni walaupun kita dah kahwin?” Tanya saya pada isteri dalam taaruf kami setelah beberapa hari kami berkahwin.

Wajah isteri saya sedikit berubah.

“Kenapa abang tanya begitu?” respon isteri saya, penuh curiga.

“Iyelah, lepas kahwin, Syifa tak nak tumpukan pada rumahtangga ke?” Saya menjelaskan maksud.

“Maksud abang?” Isteri saya meminta penjelasan.

“Maksudnya, Syifa boleh ke nak tunaikan tanggungjawab pada suami, mendidik anak-anak yang bakal lahir nanti dengan adanya tadika ni? Abang bimbang, kalau Syifa sibuk, akhirnya rumahtangga akan jadi kurang berkualiti.” Luah saya. Mencurahkan perasaan hati.