Drift@Darulaman



anda semua biasa dengan drifting tak?rasanya mungkin ramai yang tak biasa kot. Filem Impak Maksima antara filem yang mengisahkan tentang budaya drifting di kalangan anak-anak muda khususnya di Kuala Lumpur.

Entry kali ini bukan aku nak mengisahkan tentang drifting, tapi bagaimana secara tak sengaja aku telah ber "drift" pagi tadi.

Jam menunjukkan 815 pagi, aku baru je keluar rumah nak menghala ke dewan mahsuri, Jitra untuk menghadiri mesyuarat agung ISMA Kedah, hujan gerimis ketika itu, keretaku meluncur laju, meter kelajuan menunjukkan 80 km/j, agak laju bagi jalan kecil didepan tasik. Sampai di selekoh tajam tasik darulaman, secara tiba-tiba keretaku "membuang", aku hilang kawalan, keretaku berpusing, aku hanya mampu pasrah,memegang steering sekuat hati dan menekan brek tanpa henti. Isteriku disebelah menjerit ketakutan, "sreeeeeetttt" akhirnya keretaku berhenti berpusing betul-betul dihadapan pokok di tepi jalan. Isteriku panik, walaupun aku juga gabra tapi aku harus buat-buat rilek, untuk menenangkan keadaan. Dengan selamba aku masuk gear semula, terus bawak kereta macam biasa dan buat-buat tak tahu, walaupun dalam hati tuhan je yang tahu.

Hari ni aku belajar beberapa pelajaran berguna:
1. Jangan bawak kereta laju kat selekoh selepas hujan
2. Malang tidak berbau
3. Hanya Allah yang mampu menyelamatkan kita dari segala mara bahaya.
4. Jangan tunggu esok untuk berbuat baik, kerana kita tidak tahu nasib kita walau 10 saat mendatang.
5. Baca doa naik kenderaan dan jangan lupa baca mathurat selepas solat subuh.

Hari ini, Allah beri aku peluang kedua, esok lusa siapa tahu....

Nasihat Perkahwinan

Dalam alam rumahtangga, banyak ujian dan pancarobanya, banyak juga saat-saat manis dan hebatnya...ketika usia perkahwinanku sudah hampir menginjak 5 tahun, aku teringat satu kata-kata nasihat berharga dari seorang yang berilmu..

Teringat aku kepada suatu petang ketika mana aku, azizi dan seorang teman sedang minum-minum di Subaidah Cafe di UUM selepas waktu kerja, teman kami tu akan melangsungkan perkahwinannya dalam waktu terdekat,

Ketika tu, aku dan azizi baru melangsungkan perkahwinan, lalu kami pun memberi beberapa nasihat dan tips tentang alam rumahtangga, berkongsi seadanya...
kebetulan Prof. Zakaria Abas lalu dan menyapa kami, bertanya khabar dengan mesra, kami lalu memberitahu akan perkahwinan sahabat kami ni dan minta agar Prof. Zakaria memberikan nasihatnya. Prof Zakaria berpesan hanya dengan satu perkataan, SABAR...

Setelah melalui tahun demi tahun dalam alam perkahwinan,aku semakin faham akan nasihat tersebut. Kunci kebahagiaan sesebuah perkahwinan bukanlah pada cantiknya wajah isteri, ataupun pada banyaknya duit yang tersimpan, atau pada besar dan hebatnya rumah dan kelengkapannya, juga pasti bukan pada kereta atau kerjaya suami isteri, bukan juga pada ramainya anak, tapi kunci kebahagiaan sesebuah rumahtangga ada pada perkataan tersebut,

SABAR....

setelah berkahwin, anda akan tahu maknanya

Pantasnya Masa Berlalu

“Ha! Minggu depan mula dah! Bukan minggu satu lagi ke?” aku tersentak
“Weh, minggu depan le, ko ni mimpi ke apa” selamba azizi menjawab
“La yeke, masyaallah, pantasnya masa berlalu, sedar tak sedar semester baru dah nak mula ek, sat je rasa cuti” sambil menepuk dahi, aku beristighfar…

Semalam, aku terkejut, sangkaku kelas hanya akan bermula 2 minggu lagi, rupanya ahad ni dah mula kelas, rasanya baru je habis periksa akhir, sedar-sedar semester baru dah nak mula balik…pantasnya masa berlalu.

Hari ni aku dapat satu sms dari bekas rakan sekolahku di SMLK, ajak pi reunion batch 96 kat KL 27 hb ni, wah, rupanya dah 13 tahun aku meninggalkan zaman persekolahan, rasanya masih basah lagi kenangan-kenangan zaman persekolahan, masa berlalu begitu pantas, tahun depan, 3hb Jan, genap usiaku 30 tahun, dah separuh umur dah rupanya.
Usia remaja dah hampir ke penghujungnya, dah dewasa dah aku rupanya, tapi sekarang ni masa berlalu begitu pantas, anak aku pun usianya dah nak masuk 4 tahun depan, dah besar panjang, sikit lagi nak masuk sekolah dah.

Satu masa nanti, jika diizinkan Allah, kita semua akan menjadi tua seperti ibu bapa kita, dan satu hari nanti kita pasti akan masuk ke alam barzakh seperti ramai yang telah mendahului kita, satu hari nanti juga kita pasti akan berada dihadapan Allah untuk dihisab, dan satu hari nanti juga, pastilah kita akan mengetahui nasib kita samada ke syurga atau ke neraka.

Kita sering bersedia untuk perkara-perkara yang kita masih belum pasti untuk berhadapan dengannya, contohnya seperti peperiksaan, perkahwinan, mendapat zuriat dan pelbagai lagi, tapi bersediakah kita untuk menghadapi perkara-perkara yang kita PASTI akan berdepan dengannya.

Sesungguhnya masa itulah kehidupan kita…

Dek Kerana Kasut Terbang Itu



Dek kerana kasut terbang itu,
Gempar seluruh dunia dibuatnya
Dek kerana kasut terbang itu,
Jutaan ulasan diakhbar dan blog tidak terkira banyaknya
dek kerana kasut terbang itu,
masyhur seantero alam seorang pemuda,
dek kerana kasut terbang itu,
Presiden sebuah negara samseng dunia menerima keaiban yang amat sangat aibnya
Dek kerana kasut terbang itu,
Toke kasut Muntadar kaya raya
Dek kerana kasut terbang itu
Keluarga muntadar akan dapat kasut percuma sampai bila-bila
Dek kerana kasut terbang itu
Bangkit negara arab seluruhnya
Hebat sungguh kasut terbang itu….

Kebesaran Allah ada di mana-mana


Hari ini aku ke KL, ada beberapa urusan, antaranya ke UKM dan UPM untuk melihat suasana PhD di sana. Cadang nak bertolak malam tadi, tapi sebab kereta aku tukar timing belt dan hanya siap jam 9 malam, aku bertolak pagi tadi. Lepas solat subuh di Masjid Bandar Darulaman, lebih kurang jam 6.40 am aku terus memecut ke KL dengan harapan nak buat rekod baru, masa terpantas ke KL dari Jitra.

Sampai di Penang, jam menunjukkan pukul 7.08 am, aku menoleh kekiri dan Masyaallah! Pemandangan matahari naik dari arah timur di celah-celah bukit adalah satu pemandangan yang cukup mengkagumkan, betapa hebat dan besarnya kekuasaan Allah yang menjadikan silih pergantian malam dan siang. Tidak pernah walau sehari matahari itu gagal untuk menepati janjinya kepada Allah untuk menerangi kita semua.

Sampai di Ipoh pula jam menunjukkan jam 9 am, cuaca ketika itu agak mendung, dan tompokan awan banyak dilangit, sekali lagi aku terkesima melihat pemandangan cahaya matahari membelah awan, sungguh menakjubkan. Sesungguhnya dunia ini sentiasa penuh dengan keajaiban-keajaiban yang menunjukkan tanda-tanda kebesaran tuhan.

Aku mula berfikir dan berbicara dalam hati,

Sungguh terlalu banyak tanda-tanda kebesaran Allah diatas muka bumi ini, hatta dibawah mikroskop sekalipun, inah (clastogenic.blogspot.com) pasti boleh menjelaskan tanda-tanda kebesaran Allah yang halus ini dengan baik sekali. Tidak dilupakan makhluk – makhluk Allah yang lain seperti ikan lumba-lumba, dedaun menghijau, burung yang berterbangan dan yang paling mulia dan paling hebat adalah tidak lain dan tidak bukan kita sendiri. Tok Penghulu Amsterdam Aziziabaziz.blogspot.com pasti boleh menjelaskan kepada kita akan betapa hebatnya anugerah akal kepada manusia.

Tapi, manusia sentiasa suka kepada benda-benda yang ganjil, tanda-tanda kebesaran Allah terbentang luas di depan mata, tetapi yang digembar-gembur dan digambarkan sebagai kebesaran Allah adalah kalimah-kalimah suci diatas objek-objek tertentu, diawan, diatas pokok, dibadan haiwan, batu bersujud dan sebagainya. Tidaklah salah untuk kita merasa takjub, tetapi tanda-tanda yang jelas dihadapan mata hatta dalam tubuh badan kita sendiri mengapa tidak pernah diambil sebagai iktibar?

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan pada silih pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda kebesaran bagi golongan ulul albab ” Ali Imran : 190

Sehebat mana kita sebagai manusia, mampukah kita mengawal denyutan jantung kita, mampukah kita menghentikan walau seketika proses perkumuhan dalam tubuh badan kita, mampukah kita menahan mata untuk tidak berkedip walau seminit dan mampukah kita untuk menahan rambut dan kuku kita dari memanjang. Cuba bayangkan jika kita yang mengawal sendiri tubuh badan kita, tumbesaran kita, pastilah tidak akan ada manusia yang akan hidup sebaik keluar dari rahim ibunya.

Semua bukti-bukti yang ada menunjukkan bahawa manusia tidak akan mampu untuk mencipta suatu sistem hatta untuk mengurus tubuh badannya sendiri, kerana hakikat kita adalah hamba yang lemah dan sentiasa berkehendak kepada nikmat dari Allah. Lalu bebal apakah manusia yang menyangka bahawa undang-undang ciptaan manusia lebih baik dari undang-undang yang diturunkan oleh Allah…

“…Ketahuilah bahawa Allah itu maha perkasa lagi maha bijaksana” Al Baqarah:208
Sedar tak sedar, aku sampai di rumah di KL lebih kurang jam 10 am, wah ternyata satu rekod baru, 3 jam 20 minit hasil pecutan pada 170 km/j di beberapa lokasi strategik, kelajuan purata adalah 125 km/j. Mintak-mintakla jangan sampai surat saman lepas ni…

Reformasi Doa



Kita sering mendengar bahawa doa itu adalah senjata orang mukmin, manakala wudhu pula adalah perisainya, tapi persoalannya doa dan wudhu yang bagaimana? Dalam entri kali ini aku tidak ingin berbicara tentang perkara-perkara yang teknikal tentang doa, banyak buku yang boleh dirujuk berkenaan dengan kaifiat doa, akan tetapi sekadar luahan hati melihat tatkala melihat bagaimana masyarakat berdoa dewasa ini.

Cuba imaginasikan sebentar,

ada dua orang ingin memohon sesuatu bantuan dari kita. Orang yang pertama sudahlah kita tidak berapa kenal, malahan datang pulak dalam cara yang semberono. Bila nak memohon, terus sahaja memberitahu hajatnya kepada kita, semasa bercakap pula matanya diarahkan kelain, sekejap tangan tergaru sana, tergaru sini, udahle bercakap laju, mintak pulak lebih-lebih. Tengah doa boleh pulak balas sms tu. Rasanya orang yang macam ni bukan pertolongan yang kita bagi, silap-silap kena halau pulak, kalau tak kena gaya kena baling dengan kasut lagi ada.

Terus imaginasi,

datang pula orang yang kedua, juga ingin memohon bantuan dari kita, kali ini datangnya dengan lemah lembut, sopan santun, pakaiannya kemas dan cantik, bahasanya menarik, bahkan dipuji-puji akan kebaikan kita dan keluarga dan kawan-kawan kita. Memohon pula dengan bersungguh-sungguh. Orang yang kedua ini, jika kali pertama kita menolak, sudah pasti kita akan menolak dengan baik, tapi kali kedua dan ketiga datang sudah pasti kita akan menunaikan hajatnya.

Ok, kembali ke realiti,

Begitu jugalah dengan adab ketika kita berdoa dengan Allah. Adakah kita rasa Allah akan makbulkan permintaan kita jika doa kita semberono sahaja, tidak tahu adab dan caranya yang betul. Kalau berdoa pula kadang tu laju je baca, kadang-kadang tak faham sepatah pun. Kalau mengaminkan doa di masjid lagilah tak faham sepatah.

Sesungguhnya Allah tidak akan menerima doa dari hati yang lalai, jika masa berdoa tu
fikiran kita dok terbang ke sana dan ke sini, apakah kita tidak tahu bahawa Allah itu maha mengetahui segala isi hati dan fikiran. Jika kita sendiri pun akan halau orang yang tak serius masa nak mintak tolong kita, apatah lagi permintaan kita kepada tuhan yang maha perkasa.

Sempena nak masuk bulan baru hijrah ni, aku nak ajak diriku sendiri dan pembaca blog ni untuk reformasikan cara kita berdoa, sekurang-kurangya ada satu waktu dalam sehari yang kita khusyuk berdoa, tak kiralah walau hanya satu doa sahaja sehari, janji khusyuk.

Belum cuba, belum tau, betul tak?

Prof. Diraja Ungku Aziz : Pahlawan Melayu Terbilang



Pagi tadi semasa sedang bersiap untuk ke UUM, aku tertarik dengan satu segmen dalam Malaysia Hari Ini, wawancara Ally Iskandar dengan Prof. Diraja Ungku Aziz. Melihat wajahnya dan mendengar suaranya terus aku duduk untuk mendengar dengan teliti butir-butir mutiara dari seorang insan yang banyak jasanya terhadap bangsa kita.
Prof. Diraja Ungku Aziz adalah tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi, sebut sahaja namanya rasa-rasanya satu Malaysia akan kenal, kecuali mungkin generasi baru yang lahir selepas 1990. Namanya cukup gah di persada dunia dan lebih gah lagi di bumi Malaysia

Beliau adalah contoh “towering malay” yang perlu kita ambil banyak kebaikan darinya. Keikhlasannya, kesungguhannya, keintelektualannya, jasa dan baktinya dan kekentalan peribadinya. Tabung Haji, Angkasa, pembasmian kemiskinan adalah antara sumbangan besarnya terhadap negara. Beliau adalah contoh seorang ahli akademik sejati yang berjuang sepenuh hati untuk memartabatkan bangsanya.

Menjangkau usia 87 tahun, kudrat pemikirannya masih lagi hebat yang tidak mencerminkan usianya, fikirannya masih lagi tajam dan mampu untuk memberi pandangan-pandangan yang bernas lebih hebat dari kebanyakan Prof. yang jauh lebih muda darinya.
Pagi tadi beliau berpesan kepada ku dan seluruh rakyat Malaysia,

“Saya buat kerja dan kajian saya untuk kebaikan masyarakat, bukan untuk mengampu siapa-siapa”

“Belajar kuat-kuat, study,study & study”

Sungguh bangsa ini akan bangkit jika ada 100 peribadi sepertinya, dan alangkah indahnya jika 100 peribadi ini terdidik dengan akhlak islam yang sejati.
Ingatlah bicara Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Umar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Umar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Umarpun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

Cinta...



“Engkau akan bersama orang yang anda cintai…”(hadis)

Begitu sabda Rasulullah kepada salah seorang dari sahabatnya yang menyatakan rasa cinta terhadap baginda. Di hari akhirat nanti, kita akan bersama dengan orang yang kita cintai.

Sebagai muslim, kita dituntut untuk mencintai Allah dan Rasulnya melebihi segala-galanya bahkan melebihi cinta terhadap diri kita sendiri kerana cinta yang tertinggi itu akan menyelamatkan kita dihari akhirat kelak.

Kita mungkin boleh menyatakan bahawa Allah dan rasul adalah yang paling kita cintai, namun apakah tergambar cinta itu dalam perjalanan kehidupan kita?

Bagaimana perasaan sepasang kekasih yang sedang saling bercinta? Hati masing-masing sering rindu untuk berjumpa, hatinya sentiasa tidak pernah lekang terhadap ingatan kepada kekasihnya, jika ada peluang untuk berjumpa maka akan dikenakan pakaian terbaik dan wangian terbaik dan tidak sabar-sabar menanti waktu untuk berjumpa.

Bagaimana pula perasaan cinta seorang ibu terhadap anaknya, sanggup digadaikan hatta nyawa sekalipun demi untuk keselamatan anaknya.

Cinta kita terhadap harta pula akan membawa kita bersungguh-sungguh untuk mencari dan menjaganya, katakan cinta kita pada kereta baru kesayangan kita, akan kita servis bila sampai masanya, tidak akan kita biarkan walau segaris calar dan sentiasa akan kita basuh dan lap agar sentiasa kelihatan berkilat.

Cinta terhadap artis pula akan membawa peminat-peminatnya untuk mengikuti segala perkembangan diri artis yang dicintai, makanan dan minuman kegemarannya, fesyen rambut bahkan hingga cara bercakap dan cara berjalan mungkin.

Cinta terhadap Allah dan rasulnya apa buktinya? Cintakah seseorang itu apabila solat pun diakhir-akhir waktu dan langsung tidak hadir khusyuk, zikir dan doa pun tidak pernah difahami apa maksudnya, Quran pun jika dibaca tidak pernah cuba untuk menghayatinya, zakat pun hanya zakat fitrah sahaja yang dibayar, sunnah Rasulullah pun tidak kita berusaha untuk diikuti, ajaran agama hanya diambil setakat mana yang menguntungkan sahaja.

Kita akan bersama dengan orang yang kita cintai diakhirat nanti, siapakah yang kita pilih untuk kita letakkan cinta kita yang tertinggi dan kita buktikan melalui amal perbuatan kita? Artiskah yang boleh menyelamatkan kita, teman kitakah yang boleh menyelamatkan kita, atau keluarga ataupun harta kita, jika Allah dan rasulnya menjadi pilihan cinta kita didunia, kita akan selamat pada hari itu, pada hari yang tidak berguna harta, keluarga dan teman-teman kita ketika didunia, melainkan sekeping hati yang cinta pada Allah dan rasulnya.

Mohd Hisham Mohd Sharif

www.hisham79.blogspot.com

Mood Cinta...

Assalamualaikum semua,

Minggu ni aku dalam mood bercinta, ini semua kes baca novel Ayat-Ayat Cinta. Pergi dengar kuliah subuh kat masjid pun Tok Guru Abdullah berbicara tentang cinta, minggu ni pun aku kena bercinta dengan laptop aku sebab banyak tugasan yang perlu disiapkan

1. Kejar dateline buku "Database Management System: A Business Approach" khamis ni
2. Pembentangan PTK minggu depan
3. Perbaiki form sistem MAIK dateline minggu ni
4. Pembentangan kertas kerja hujung minggu ni jugak
5. Proposal PhD, dalam bulan ni jugak

Aduhai, banyaknya keje....

All The Best

Ayat-Ayat Cinta

Malam ni entah kenapa aku tak boleh nak tidur, semalam dah la berjaga sampai pukul 2 pagi kejar dateline penulisan buku, kerja last minute le tu, masa ada masa rilek bukan main, siap boleh baca novel Ayat-Ayat Cinta lagi, padan muka aku.

Apapun novel Ayat-Ayat Cinta memang menarik. Aku bukanlah peminat novel apatah lagi novel cinta yang memang aku cukup sengal je bila tengok orang baca. Tergerak hati aku nak baca novel ni adalah bila aku terbaca satu entry dalam blog saifulislam.com bertajuk "Kamu Memang Layak Diuji", dalam entry tersebut ada beberapa perenggan tentang novel Ayat-Ayat Cinta.

Balik kerja petang tu aku terus sambar novel ni yang memang ada kat rumah aku, entah siapa yang tertinggal agaknya kat rumah...

Halaman demi halaman ternyata mengenyangkan minda dan jiwaku, kisah tentang kesungguhan, perancangan hidup, percintaan, ujian, tawakkal, pengorbanan, berbuat baik kepada jiran, menepati janji, berpegang kepada prinsip dan banyak lagi dipersembahkan dengan sangat indah. Gaya bahasanya kemas dan indah, keindahan akhlak islam ditonjolkan dengan nyata tetapi tidak melulu membuatkan siapa yang membaca pasti akan kagum dengan akhlak mu'min. Tahniah buat pengarang yang mencipta satu novel yang sememangnya pembangun jiwa.

2 kali aku sebak ketika membacanya, pertamanya ketika kisah Fahri dikunjungi sahabat nabi dalam mimpinya dan yang kedua ketika Prof Abdul Rauf menasihati Fahri di penjara semasa Fahri mendapat tahu yang dia dibuang dari Azhar akibat tuduhan fitnah atas dirinya.

Kalau nak tahu keindahan novel ni, bacalah sendiri, insyaallah pasti tak rasa rugi...

Nabi Ibrahim : Suri Teladan Sepanjang Jalan

Kisah Nabi Ibrahim adalah sebuah kisah pengorbanan yang kekal harum sepanjang zaman. Tidak jemu diceritakan dari satu generasi ke satu generasi hingga ke hari ini. Kisah unggul pengorbanan ini adalah satu catatan kemuncak pengabdian kepada Allah yang maha tinggi.

Nabi Ibrahim adalah susuk yang wajar diteladani oleh setiap pendakwah yang ingin mencari motivasi. Kisah tentang perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim ini banyak sisi pengajaran yang boleh kita ambil darinya. Pelajaran tentang aqidah, pelajaran tentang dakwah, pelajaran tentang perjuangan, pelajaran tentang kesantunan, pelajaran tentang kecekalan dan yang paling penting adalah pelajaran tentang pengorbanan.

Hari Raya Aidil Adha adalah satu hari kebesaran, khusus buat memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim. Kehebatan pengorbanannya tidak akan tercapai oleh kita pada hari ini. Bayangkan seorang ayah yang bertahun-tahun meninggalkan keluarga demi sebuah perjuangan dan jihad menyampaikan dakwah, dikurniakan seorang anak yang kemudian ditinggalkan digurun yang tandus demi menyahut seruan jihad dari Allah yang maha agung. Setelah satu-satunya anak itu membesar dan menjadi seorang yang boleh diharapkan untuk menyambung perjuangan, tiba-tiba datang pula perintah untuk mengorbankan anaknya.

Hati mana yang tidak gundah apabila anak yang salih pewaris perjuangan harus dikorbankan, satu-satunya anak yang menjadi penyejuk mata, penawar hati ayah yang bertaqwa. Namun demi sebuah pengabdian, Nabi Ibrahim akur dengan perintah, begitu juga dengan anaknya Ismail yang salih, taat tanpa sebarang kompromi.

Balasan dari sifat pengorbanan ini bukanlah hanya seekor Kibasy pengganti, kekal harum nama Nabi Ibrahim sepanjang generasi menjadi teladan buat mereka yang ingin belajar tentang pengorbanan dan kecekalan diri.

SELAMAT HARI RAYA EIDULADHA

Berdakwahlah Untuk Memberi

“Erti Hidup Untuk Memberi”

Slogan yang amat sinonim dengan www.saifulislam.com , Antara penulis blog yang aku kagumi kerana kekentalannya dalam MEMBERI melalui entri-entri yang mengetuk jiwa dan perasaan.

Apa yang anda faham dengan dakwah?

Jika anda berpendapat bahawa menyertai kumpulan dakwah itu hanyalah dengan hadir ke program, komited pada usrah atau sekadar untuk membaiki diri, kefahaman anda belum lagi lengkap.

Dakwah bukan sekadar untuk membaiki diri atau hadir ke program semata-mata, kefahaman dakwah yang sedemikian akan menatijahkan kemandulan amal yang amat berbahaya. Benar hadir ke program adalah penting, membaiki diri adalah sangat penting, namun apa yang dituntut apabila kita menyertai kumpulan dakwah adalah bagaimana kita merancang untuk memanfaatkan potensi diri bersama-sama ahli kumpulan yang lain untuk MEMBERI dalam segenap aspek kehidupan, memberi impak kepada masyarakat disekeliling kita kearah yang lebih baik.

Fahamilah Islam dengan cara yang betul, amalkanlah Islam dengan cara yang betul, ajaklah orang lain untuk bersama-sama memahami dan beramal dengan Islam sepertimana yang difahami oleh Rasulullah dan para sahabatnya.
kita ini manusia…

Niat Penentu Segala

“Sesungguhnya setiap amal itu bermula dengan niat…

Petikan dari hadis pertama yang dimuatkan dalam kitab Hadis 40 Imam Nawawi menjelaskan kepada kita satu hakikat penting yang menjadi teras agama yang mulia ini. Setiap amal perbuatan kita adalah bergantung kepada niat ketika kita memulakan sesuatu pekerjaan. Niat yang betul akan membawa pahala, niat yang terpesong hanya membuahkan amal sia-sia atau lebih malang menjadi amal pemberat timbangan dosa.

Kawan-kawan mari betulkan niat dalam apa jua tindakan yang kita lakukan, bukan untuk habuan dunia, bukan jua untuk pujian manusia, bukan untuk kenaikan gaji dan pangkat dan bukan kerana kita terpaksa buat.

Luruskan niat, tetapkan matlamat,rancang dengan cermat, anda pasti selamat dunia dan akhirat

Antara Cita-Cita & Kewajipan

“How selfish I am in pursuing my dreams, that’s what I thought each time I see my PhD thesis” ,

Itu antara kata-kata yang tidak pernah aku lupakan dari seorang senior yang berkongsi pengalaman menyambung pengajian PhD di luar negara. Peristiwa hitam kematian ayahnya ketika dia diluar negara benar-benar membuatnya terasa ralat. Walaupun takdir penentu segala, tetapi perasaan bersalah itu tetap ada dan akan kekal hingga bila-bila.

Itu yang menjadi dilema aku sekarang, umur dah mencapai 30 pada 3 Januari tahun depan, ini bermakna sudah sampai masanya aku memulakan perjuangan PhD yang menjadi kewajipan seorang pensyarah IPT. Hasrat dan harapan dihati tentulah ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara, untuk belajar tentang kehidupan, belajar budaya baru dalam dunia akademik, meluaskan pengalaman dan membuka mata tehadap dunia diluar sana.

Namun, setiap kali aku berangan-angan, menghitung negeri yang akan menjadi destinasi, pasti ia akan terhenti apabila aku terkenangkan kedua ibu bapaku. Terkenangkan wajah Ma dan Dedi pasti akan membuat angan-angan ku putus. Usia mereka sudah lanjut dan tinggal hanya berdua dirumah, tambahan pula sering diganggu dengan kesakitan yang datang tidak diundang. Pada saat mereka memerlukan teman dirumah, anak-anak semuanya berada di kejauhan. Dalam keadaan begini, aku terperangkap dalam dilema, cemburu aku melihat rakan-rakan sepengajian yang telah lama menyambung pengajian diluar negara. Namun aku tidak sampai hati untuk meninggalkan mereka kesepian dirumah. Walaupun aku tinggal di Kedah, tetapi aku sering juga pulang ke rumah, menggunakan kesempatan mesyuarat dan program di Kuala Lumpur, peluang singgah walaupun seketika tidak akan aku lepaskan, buat mengubat kesunyian mereka.

Bersempena dengan Hari Raya Korban tahun ini, aku berdoa agar aku diberi kekuatan untuk mengorbankan cita-cita ku ke luar negara demi sebuah kewajipan, kewajipan berbakti kepada kedua orang tua yang amat aku kasihi. Ingin juga aku berdoa pada malam yang penuh dengan keberkatan ini agar aku diberi kekuatan, kesempatan dan dilorongkan kemudahan untuk terus berbakti kepada kedua orang tuaku.

Ingin aku menyeru kepada rakan-rakan, walau sesibuk mana tugas dunia kita, jangan dilupa kedua orang tua, pada mereka punca keberkatan kehidupan kita, tanpa restu mereka, perjuangan kita tidak akan kemana-mana.

Sihat Itu Tuntutan, Mati Itu Ketentuan

Dari Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang mu’min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang mu’min yang lemah. Namun keduanya itupun sama memperoleh kebaikan. Berlumbalah untuk memperoleh apa saja yang memberikan kemanfaatan pada mu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah. Jikalau engkau terkena oleh sesuatu musibah maka janganlah engkau berkata: “Andaikata saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu.” Tetapi berkatalah: “Ini adalah takdir Allah dan apa sahaja yang dikehendaki olehNya tentu Dia melaksanakannya,” sebab sesungguhnya ucapan “andaikata” itu membuka pintu godaan syaitan.” (Riwayat Muslim)

Hadis diatas adalah mutiara bagi orang yang celik hatinya dan ingin mengambil pengajaran daripadanya. Hakikatnya yang jelas menggambarkan model kehidupan orang mu’min yang amat menakjubkan. Apabila Rasulullah menyatakan bahawa orang mu’min yang kuat adalah lebih dicintai oleh Allah, maka pada ketika itu orang mu’min dituntut untuk bersungguh-sungguh menjadi jaguh dalam segenap bidang kehidupannya.
Antara aspek yang paling penting dalam pembinaan kekuatan adalah penjagaan kesihatan dan aktiviti fizikal yang mampu meningkatkan tahap stamina, kecergasan dan kekuatan tubuh badan. Islam bukan agama yang rigid dan hanya mengongkong umatnya agar beribadah dimasjid semata-mata, akan tetapi umat islam menuntut agar setiap peribadi muslim menjaga kesihatannya dan meningkatkan kekuatan tubuh badannya.

“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki… “
Al-Anfal : 60

Penjagaan kesihatan dan tubuh badan dalam islam juga mesti ada matlamat yang jelas, bukan sekadar untuk mendapat tubuh badan yang berotot sasa atau sekadar matlamat-matlamat keduniaan yang rendah semata-mata akan tetapi persediaan ini adalah persediaan yang dituntut oleh Allah sebagai persiapan untuk perjuangan dan akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Oleh kerana itulah umat Islam perlu sentiasa melazimkan dirinya dengan latihan-latihan riadhah seperti berenang, memanah dan menunggang kuda. Jika di Australia, berenang dijadikan sebagai salah satu kurikulum dalam pendidikan sekolah maka umat Islam lebih lagi dituntut untuk mempelajarinya. Selain itu sukan-sukan lazim seperti bolasepak, badminton, ping pong, olahraga dan kaedah-kaedah senaman aerobik yang terbukti baik untuk kesihatan juga perlu menjadi kebiasaan umat Islam dan perlaksanaannya hendaklah dalam rangka pematuhan kepada syara’ seperti menutup aurat dan tidak menggangu waktu solat.

Adalah penting untuk setiap individu muslim menyusun jadual kehidupannya agar ada masa-masa yang diperuntukkan untuk riadhah, latihan-latihan fizikal dan pemeriksaan kesihatan. Sepertimana kita menyusun urusan pejabat dan rumahtangga kita maka urusan riadhah dan kesihatan ini perlu juga diselenggara sama penting dengan urusan-urusan penting yang lain. Hassan Al Banna juga menyatakan kepentingan mempunyai tubuh badan yang kuat dimana ia dinyatakan sebagai salah satu komponen dalam 10 sifat peribadi muslim unggul. Perlu kita peruntukkan dalam seminggu sekurang-kurangnya 3 hari untuk riadhah dimana setiap sesi berlangsung selama setengah jam.

Walaubagaimanapun, sehebat mana kita menjaga kesihatan, ketentuan Allah itu mendahului segala-galanya. Ada orang yang sangat teliti dalam penjagaan kesihatan, namun akhirnya menemui ajal dalam kemalangan jalanraya. Ada juga atlit sukan yang fizikalnya sangat hebat namun menemui ajal dalam usia yang sangat muda. Tragedi yang menimpa Marc Vivien Foe bekas pemain Manchester City yang hebat yang menemui ajal akibat serangan jantung ketika bermain bolasepak, Datuk Razali Ismail yang meninggal dunia ketika bermain badminton, Hani Mohsin yang rebah di lapangan terbang serta banyak lagi kisah-kisah lain yang membuktikan bahawa ajal itu bukan urusan manusia. Kematian dan kecacatan boleh datang dalam pelbagai bentuk, mungkin akibat jangkitan kuman di otak, AIDS akibat pemindahan darah, Denggi, Strok, terjatuh di bilik air, kemalangan jalanraya dan pelbagai lagi sebab yang membawa kepada kecacatan dan maut.
Komponen kedua dalam hadis diatas adalah penting untuk difahami oleh setiap muslim berjiwa hamba, bahawa ketentuan Allah itu mengatasi kudrat manusia, supaya manusia itu tidak kecewa akibat musibah yang menimpa dirinya. Oleh kerana itulah setiap muslim dituntut agar memohon perlindungan Allah pada setiap waktu dan ketika. Atas hakikat inilah, setiap individu muslim itu perlu melazimkan dirinya dengan zikir ma’thurat dan doa-doa perlindungan kerana sifat manusia yang lemah dan tidak berupaya.

Kefahaman yang jelas terhadap hadis diatas akan membentuk peribadi muslim yang dinamik dan seimbang dunia dan akhiratnya seperti yang digambarkan dalam satu lagi komponen hadis tersebut:

“Berlumbalah untuk memperoleh apa saja yang memberikan kemanfaatan pada mu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah”

Sifat berlumba-lumba, bersungguh-sungguh untuk mengejar kebaikan disamping sentiasa memohon pertolongan dari Allah akan membentuk peribadi muslim yang menakjubkan, seperti yang digambarkan dalam satu lagi hadis :

Sungguh menakjubkan perkaranya orang yang beriman, karena segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mu'min: Yaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya." (HR. Muslim)

Umat Islam dituntut untuk bersungguh-sungguh mempersiapkan dirinya, menjaga kesihatan dan memperkuatkan tubuh badan, namun pada masa yang sama, tawakkalnya bukanlah pada usaha dan tubuhnya tetapi pada tuhannya yang masa esa.

Mohd Hisham Mohd Sharif
www.hisham79.blogspot.com
2/12/200

Anak itu penyejuk mata


Ya Tuhan Kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan dan keturunan kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa. Furqan:74

Antara perkara yang paling aku tunggu-tunggu setiap kali aku pulang dari kerja adalah senyuman dari puteri sulungku, Humaira'. Senyumannya yang ikhlas bisa mencairkan segala keserabutan kepala, permasalahan yang kompleks dan kegundahan jiwa yang aku deritai sejak dari pagi. Tambahan pula, dalam usianya yang mencecah 3 tahun 4 bulan, telatahnya makin mencuit hati ku, keramahannya disukai oleh semua, kepintarannya kadang-kadang mengkagumkan aku.

Semalam, ketika aku balik dari program perkhemahan belia, kerana terlalu letih dan mengantuk, aku solat berjemaah di rumah sahaja, seperti biasa si kecil sibuk mencari telekung tatkala kami menghamparkan sejadah. Ketika aku mula membaca al fatihah, Humaira mengajuk dengan kuat, masuk bacaan surah, aku membaca surah al Lahab, dengan tidak disangka-sangka si kecil mengikut bacaan ku dengan separuh lancar dan sebutan yang sangat menggelikan hati, kemudian dia tertawa sendiri. Tak dapat aku meneruskan bacaan kerana hati sudah penat menahan geli. Terus aku rukuk dan menghabiskan solatku dengan segera. Selesai solat terus aku memeluk si kecil, tak sangka aku dalam usia yang sangat muda, dia sudah mampu menghafaz beberapa surah pendek dan doa-doa pendek beserta makna yang kadang-kadang aku sendiri tak terhafal.

Begitu sejuk hati dan mata ku maghrib itu, terubat segala kepenatan perkhemahan, sungguh benarlah bahawa anak yang soleh itu penyejuk mata dan penawar hati bagi ibu bapa.

Aku bercadang jika diizinkan Allah untuk menghantar Humaira ke sekolah yang menyediakan kemudahan hafazan al-quran, moga-moga kesolehannya diwaktu kecil itu kekal hingga dia ke hujung usia. Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami isteri dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.

Yoga : Pandangan Mesti Betul

Dekat Malaysia sekarang ni kecoh isu Yoga dan pengharamannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Ada banyak sudut yang kita boleh tengok berkenaan pengharaman ini,cuma apa yang penting fahami isu ini dengan betul, jangan semua main sedap je nak komen. Pelik, bila timbul je isu-isu Islam, semua nak menjadi jagoan, cuba kalau dalam bidang perubatan orang yang bukan ahlinya memberi komen terhadap institusi doktor. Cuba kalau dalam bidang perundangan orang ditepi jalan pun boleh memberi komen, cuba kalau dalam bidang masakan atau automotif setiap orang cuba menjadi jagoan. Rojak jadinya.

Aku juga sedih melihat bagaimana atas asas ketidakfahaman masyarakat mempertikaikan Majlis Fatwa, akibatnya institusi fatwa diperlekehkan termasuk oleh orang bukan Islam yang tidak ada kena mengena langsung dengan fatwa ini.

Entahlah, tapi apa yang pasti penyelesaian kepada masalah umat Islam yang kompleks ini hanya boleh diatasi dengan usaha pembinaan peribadi-peribadi unggul yang akan membentuk generasi harapan yang baru. Usaha ini perlu dilakukan dengan lebih gigih agar pada masa akan datang umat ini mampu untuk kembali bangkit dengan gagah. Namun, jalan masih lagi panjang, kemenangan tidak akan datang tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Bekerjalah, Allah akan melihat amal-amal kamu.

Bendangman



Jumaat lepas aku berpeluang juga untuk meluangkan masa berkelah, satu aktiviti yang dah lama aku tak buat bersama keluarga, kali ni lokasi yang dipilih adalah Bendangman (bukan Bendang Man ye) di Sik Kedah. Bendangman ni satu anugerah Allah yang sangat berharga, dalam zaman pencemaran disana-sini, lokasi Bendangman yang jauh dari bandar-bandar besar menjanjikan sebuah kedamaian, kesegaran dan kenyamanan air dan udaranya yang benar-benar "fresh". Memang tak akan rugi kalau berkunjung ke sini, airnya jernih, pemandangannya cantik, penduduknya baik, sumber-sumber ketenangan ada disini.



Kalau nak ke Bendangman ni, dari Lebuhraya Utara Selatan PLUS, keluar exit Gurun, kemudian hala ke Sik, lebih kurang 40 minit je dari Gurun. Jalan baru siap, 2 lane lagi, pemandangan pun cantik, melalui kampung-kampung dan dataran-dataran sawah yang berlatarbelakangkan gunung-gunung, cukup indah lukisan alam ciptaan Allah yang maha kaya.

Air sungai dan kawasan perkelahan di Bendangman ni aku rasa setakat ni antara yang paling bersih dan jernih yang pernah aku pergi. Anak aku, Humaira adalah orang yang paling tak sabar sekali nak mandi sungai, berhenti je kereta terus dia meluru keluar menghala ke air sungai.



Memang seronok dan berbaloi sekali sekala menghabiskan masa berehat melepaskan lelah dari tekanan kerja yang membukit, persiapan PhD, pengajaran, penulisan buku, tanda kertas periksa, selia praktikum, kerja-kerja ISMA dan PEMBINA dan urusan rumahtangga yang tak pernah selesai-selesai.

Apapun kembali dari Bendangman, fikiran perlu kembali fokus, kerana banyak tuntutan dan tanggungjawab yang harus dibereskan. Moga Allah beri aku kekuatan.

Ma & Dedi, Kasihmu ku dambakan

Alhamdulillah,
Hanya itu yang mampu ku ucapkan dalam hatiku apabila Allah memberi ruang dan peluang untuk aku menziarahi Ma dan Dedi di kampung (Bandar sebenarnya). Tambahan pula mereka hanya tinggal berdua dirumah, adik beradikku semuanya jauh dimata dekat dihati, ada yg kat Sarawak, Australia, Melaka dan aku terdampar di Kedah. Kesik (bahasa org Kelantan bagi sunyi) toksah nak kata la, tapi itu yang terpaksa dihadapi apabila anak-anak dah mula tumbuh sayap sendiri.

Aku juga merasa seronok melihat kerukunan rumahtangga Ma dan Dedi yang makin akrab sejak duduk berdua ni, tadarus al quran bersama, makan bersama, ke KL bersama, kemana-mana pun bersama dan yang membuat aku rasa lebih gembira apabila kesungguhan Dedi dalam ibadah tempias ke seluruh isi rumah.

Aku mengambil peluang untuk bersembang pelbagai isu, dari pokok mangga hinggalah ke Barrack Obama, kebanyakannya aku hanya jadi pendengar jelah, aku biar je Ma bercerita semahunya, biar terubat kesunyiannya.

Begitulah kehidupan, satu hari nanti kita juga akan tua seperti mereka dan pada ketika itu suara anak-anak dan cucu lah yang menjadi penghibur hati.

Ibu dan Ayah tidak kan boleh dicari ganti, berbaktilah selagi mereka masih ada, berhabislah untuk mereka, gembirakanlah mereka hingga ke hujung usia, jangan sesekali derhaka kerana segaris luka dihati ibu bakal mengundang petaka didunia dan diakhirat sana.

Sungguh aku amat terharu apabila Ma memberitahu, tidak pernah dia lupa untuk mendoakan kebahagiaan dan keberkatan anak-anaknya setiap kali selesai solat. Malu pun ada sebab banyak kali juga aku terlupa untuk mendoakan keselamatan mereka selesai solatku.

Ma & Dedi, Kasihmu ku dambakan, Kemaafan ku pohon, aku berdoa agar aku terus diberi kekuatan untuk terus berbakti dan agar Ma dan Dedi sentiasa terus dipelihara seperti mana mereka memelihara aku ketika aku kecil dulu

Makan untuk hidup atau hidup untuk makan?



Bila ditanya soalan diatas kepada kita, apa jawapan yang kita akan jawab agaknya? Rasanya pastilah yang waras akalnya akan menjawab hidup untuk makan, tapi rasa-rasanya ada juga yang akan tersasul jawab hidup untuk makan kot. Sebenarnya dalam makna soalan tersebut, ada kaitan dengan matlamat hidup kita.

Orang yang hidup untuk makan menjadikan agenda dan keutamaan yang paling utama dalam hidupnya adalah untuk makan dan memuaskan nafsu semata-mata. Tiada yang penting baginya selain dari memuaskan nafsu makan, tidur, bermewah dan berhibur. Apa yang penting dalam hidupnya adalah perutnya sentiasa kenyang dan nafsunya sentiasa puas. Hidupnya tidak ada matlamat jangka panjang yang jelas, masanya dihabiskan untuk perkara yang ada kaitan dengan perut dan nafsu sahaja. Bangun pagi fikir pasal makan, buat kerja sekejap, fikir pasal makan lagi, malam fikir pasal makan lagi, makan pula sentiasa nak yang sedap-sedap. Pakaian sentiasa nak yang ada kelas, kereta nak yang hebat-hebat, rumah nak yang paling luas. Hujung minggu pula fikir macamana nak berseronok, dalam alam kariernya sentiasa difikirkan macamana nak dapatkan kenaikan pangkat, bonus dan kontrak, supaya kehendak nafsunya sentiasa dapat dipenuhi. Tiada beza golongan ini dengan ayam, kambing, lembu, itik dan binatang ternak yang lain.

Bagi golongan seperti ini, hidup hanyalah untuk memuaskan hawa nafsu, agama ditolak ketepi, hidupnya kosong dari perjuangan dan tujuan hidup yang mulia.

Bagaimana nilaian Allah pada golongan ini? Mari kita tengok sama-sama :

“Orang-orang kafir itu mereka makan dan minum seperti mana binatang ternak makan dan minum, azab neraka adalah tempat tinggal mereka” Muhammad:12

Nauzubillahiminzalik, harap-harap kita tak termasuk dalam golongan seperti ini, kalau boleh kita nak masuk dalam golongan yang kedua iaitu golongan yang makan untuk hidup. Golongan yang makan untuk hidup ini hawa nafsu tidak dapat menguasai dirinya, hidupnya ada matlamat yang jelas dan mulia, makan dan harta baginya hanyalah wasilah untuk mencapai matlamat hidup yang mulia tadi. Setiap detik hidupnya dalam perjuangan, hidupnya diabdikan untuk tuhan yang esa, golongan ini telah membuat satu transaksi perniagaan yang menguntungkan dengan pemilik sekalian alam. Hebat golongan seperti ini, mari kita tengok apa balasan Allah pada golongan seperti ini :

“Niscaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah kemenangan yang agung.” Saff:12

Kita ni masuk dalam golongan mana? Tepuk dada, tanyalah pada hati…

Dari Mana Datangnya Makhluk-Makhluk Ganas Ini?



Hari ini perasaan ku bercampur baur, geram,marah,sedih. Geram dan marah terhadap penjenayah-penjenayah yang telah membunuh dengan kejam 'Ustaz' Khairuddin dalam tragedi rompakan stesen minyak di Kuala Kangsar. Tiada langsung belas kasihan ditunjukkan oleh penjenayah-penjenayah ini. Hanya kerana RM1000, seorang insan soleh dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan.

Sedih hari ini melihat gambar isteri dan anak-anaknya yang hilang tempat bergantung. Sedih melihat anaknya yang masih bayi yang telah kehilangan dakapan dan kasih seorang ayah.

Dari mana datangnya makhluk-makhluk yang ganas ini, kemanakah hilangnya perikemanusiaan mereka, apakah mereka ini tiada ibu, tiada ayah, tiada anak, tiada saudara mara. Apa perasaan mereka kalau anak mereka dibunuh didepan mata?

Manusia hari ini kian hilang pertimbangan, akibat jauh dari iman, nyawa manusia seolah tiada nilaian, dimana hilangnya belas kasihan?

Aku harap agar pihak polis segera menangkap syaitan-syaitan yang kejam ini, tidak selayaknya mereka ini bergelar manusia mahupun binatang, kenakanlah hukuman yang setimpal buat mereka didunia ini, hukuman untuk mereka diakhirat sedia ternanti.

Mari kita sama-sama mohon perlindungan dari Allah dari kezaliman manusia, Malaysia hari ini seolahnya telah tidak selamat lagi untuk diduduki, pembunuhan dan rompakan disana sini, inikah harga sebuah pembangunan? Jika inilah harganya, aku lebih rela memilih untuk hidup dalam kampung-kampung yang tiada pembangunan asalkan disana ada sebuah keamanan.

Antara Sajak Kematian & Sajak Kelucahan



Semalam gempar satu Malaysia dek kerana tindakan seorang guru agama menayangkan video sajak kematian kepada pelajar-pelajarnya. Dek kerana takut, maka pelajar tadi ketakutan hingga tidak dapat tidur malam. Laporan polis dibuat dan ustazah tersebut kini pula yang pasti dalam ketakutan.

Bukanlah aku nak memihak kepada mana-mana pihak, tapi sebagai seorang muslim, sensitifkah kita dengan isu-isu seperti ini. Jangan cepat melenting dan melatah, nilaikan emosi kita dengan islam, neracakan tindakan kita dengan iman.

Mengingat kematian itu adalah pemutus kelazatan dan dalam satu hadis dinyatakan bahawa orang yang cerdik itu adalah orang yang banyak mengingat mati. Disatu sudut pula, dikiri dan kanan kita majalah-majalah separa lucah disana dan disini, siri televisyen yang mengundang kelucahan tanpa batasan, tak percaya lihatlah siri Desperate Housewives ataupun Kyle XY.

Mencintai hiburan adalah pencetus kepada kemalasan, pembunuh perasaan dan penggalak kemaksiatan, lihatlah filem-filem melayu hari ini, Cinta Medik lebih banyak cinta dari mediknya, filem Kami yang terang-terang mengajak pada pergaulan bebas antara remaja. Itu baru beberapa contoh. Namun adakah dikalangan kita yang berani tampil membuat laporan polis terhadap siri-siri televisyen seperti ini? Program yang terang-terang merosakkan anak kita dibiarkan begitu sahaja,dimanakah sensitiviti kita?
Apabila seorang ustazah menayangkan sajak kematian untuk mendidik anak-anak muridnya agar takutkan mati, ramai yang melenting dan melatah, kononnya anak-anak akan ketakutan, bagaimana dengan Pontianak Harum Sundal Malam? Susuk? Kuntilanak? Jangan Pandang Belakang? bukan sekadar dibiarkan bahkan diberi anugerah pula.

Sungguh hipokrit...

Flash Drive & Kitab Catitan Amal



Antara salah satu komponen rukun iman adalah percaya kepada malaikat. Masa sekolah dulu kita wajib belajar dan hafaz 10 nama-nama malaikat. Antara 10 malaikat tersebut ada yang namanya Raqib & Atid, tugas mereka berdua adalah untuk mencatit segala amal perbuatan kita dalam kitab amalan. Kitab amalan kita ni pada hari akhirat esok akan dibukakan dan akan dipertontonkan segala amal perbuatan kita untuk dihisab. Kadang-kadang kita terfikir, berapa besar dan hebatkah kitab amalan ini hingga dapat mencatit amal seorang manusia dari kecil hingga dia mati dan kitab ini wujud untuk setiap manusia yang pernah hidup diatas muka bumi ini. Berapa besar agaknya storan yang diperlukan untuk menyimpan segala maklumat tersebut? tak tersampai dek akal kita kan.
Mungkin 10 tahun yang lepas kita tak boleh nak bayangkan, tapi hari ini bagaimana? Ibarat kalau kita ada mesin masa dan kita kembali ke zaman 500 tahun yang lepas dan beritahu pada manusia pada ketika itu yang besi boleh terbang dan kita boleh terbang pula dalam besi tu. Bukan saja mereka tak akan percaya silap-silap kena baling batu atau dituduh ahli sihir agaknya.
Hari ini terdapat satu teknologi yang dipanggil sebagai "Flash Memory". Anda semua tahu tak Flash Memory ni apadia?
Secara mudahnya Memori Flash ini adalah satu kaedah penyimpanan data dalam cip. Kaedah ini digunakan dalam peranti yang kita biasa guna setiap hari contohnya macam thumb drive, memory card, memory stick dan macam-macam lagi. Teknologi Flash ini popular sebab ianya mempunyai masa capaian yang pantas, tahan lasak (masuk mesin basuh pun takpe) dan senang dibawa kemana-mana.
Saiznya kalau 3 tahun dulu paling besar adalah 128MB sahaja, kini dan mencapai 10GB. Harganya juga makin lama makin murah, hari ini dengan hanya RM50 kita boleh dapat 10GB.
Walaubagaimanapun, entry kali ini bukan nak cerita panjang lebar pasal thumb drive, tetapi nak kaitkan macamana teknologi Allah S.W.T yang boleh menyimpan segala data manusia bahkan seluruh data alam ini. Begitulah kerdilnya kita sebagai manusia, kalau kita berfikir maka kita akan dapati bahawa hakikat kita sebagai hamba adalah sangat lemah dan tidak berupaya. Tidak takutkah kita bahawa setiap saat amal perbuatan kita dicatit dalam bentuk audio video dan akan dihisab nanti, tidak kira ketika kita bersama dengan orang ramai ataupun ketika seorang diri. Sebab itulah sentiasa kita perlu berwaspada akan amal perbuatan kita, kerana segala-galanya akan dicatit. Didepan komputer ke, dalam bilik air ke, ketika membeli belah ke, tidak walau sesaat pun yang akan tertinggalkan catitan kita oleh malaikat yang mulia.
Walau secanggih mana teknologi manusia yang diciptakan, canggih lagi teknologi Allah yang menciptakan.

Dunia Kian Tenat

"Telah nyata kerosakan dilangit dan dibumi, akibat perbuatan tangan-tangan manusia"
Rum:41

Dunia kini kian tenat, sakit segala-galanya, alam sekitar sakit dengan pemanasan global,ekonomi sakit dengan krisis kewangan global, masyarakat tenat dengan krisis sosial dan identiti global. Manusia tidak lagi dapat hidup dengan tenang, hambatan dunia menghantui saban hari, pelbagai krisis disana dan disini menambahkan lagi gelodak keresahan dijiwa. Saban hari pemimpin-pemimpin dunia memerah otak memikirkan penyelesaian, Obama melaungkan slogan, "Change,we can believe in", kononnya untuk mengubah segala permasalahan dunia hari ini, undang-undang digubal, bajet diluluskan, hukuman dilaksana, namun penyakit tidak juga sembuh. Dimanakah ubat bagi segala penyakit yang bernama "global" ini, apakah puncanya? Adakah ini hukuman ataukah natijah dari kesombongan makhluk yang bernama manusia?
Jika kita kaji sejarah umat manusia ini, nescaya kita akan ketemu jalan penyelesaiannya. Dunia ini pernah makmur rupanya, dimana? bila? bagaimana?
Islam ada jawapan buat segala-galanya.
Dunia hanya akan aman dan makmur dengan undang-undang dari pencipta dunia ini, manusiakah yang menciptakan dunia ini? ataukah tuhan yang maha perkasa. Layakkah manusia yang dicipta mencipta undang-undangnya sendiri. Undang-undang itu hanyalah milik Allah, hak mutlak Allah. Serahkan segalanya kepada dia, tiada hak kita sebagai hamba untuk mempertikaikan apa-apa.
Langit,Galaksi,Bintang,Sistem Suria,Planet,Bulan segala-galanya tunduk patuh kepada peraturan dan undang-undangnya. Belum sampaikah masanya kita sebagai manusia untuk tunduk pada Allah yang maha perkasa? Anda ada jawapannya....

Norman & Abby: Keaiban yang harus ditutup

Hari ini saya percaya ramai yang gempar dengan berita Abby menyerang Norman Hakim dilokasi penggambaran Gerak Khas. Krisis rumahtangga mereka mendapat liputan meluas dari akhbar perdana, Utusan melaporkan berita lengkap 1 muka berkenaan krisis tersebut. Walaupun berita tersebut seronok dibaca kerana sensasi, namun wajarkah begitu?

Cuba kita bayangkan kalau yang berkrisis itu kita, sukakah kita keaiban kita menjadi tatapan umum. Seaib mana sekalipun dosa seseorang itu, masyarakat islam tidak seharusnya menjadikan keaiban yang menimpa seseorang sebagai tatapan umum.

Saya petik hadis riwayat muslim berikut dari artikel Dr. Maza dalam Utusan Ahad lepas sebagai pedoman buat kita dalam menangani masalah mendedahkan dosa dan kesalahan :

Seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan.

Moga Allah mengampunkan dosa kita semua dan menyembunyikan aib kita di hari akhirat kelak.

Belajar Dari Si Kecil Hana


[Hana tika jadi model telekung jualan isteriku]

"Bang, bagus betul la si Hana tu", isteriku memulakan perbualan dalam kereta...
"Kenapa?" Jawabku dalam keadaan fikiran menerawang ke sana dan kesini,

"Tadi dia puasa sunat,sanggup tak makan masa rehat kat tadika, Puasa 6 pun dapat ke dia"

Aku tak mampu berkata-kata apa-apa,hanya kekaguman, untuk pengetahuan anda semua,Hana hanyalah kanak-kanak berusia 6 tahun,salah seorang pelajar yang paling lama duduk di tadika isteriku,sejak dari umurnya 3 tahun lagi. Tanpa apa-apa program tarbiyyah secara langsung yang diikuti, jiwanya kental untuk beramal soleh. Mengikut ibunya, Hana kat rumah sangat rajin mengaji Quran, membaca buku dan sangat berbudi bahasa. Alangkah baiknya kalau kita dapat mencontohi semangat si kecil ini dalam beramal. Sejuk perut ibu yang mengandungkan setiap anak seperti ini.

Aku doakan agar Hana terus kekal dalam kebaikan dan moga dia membesar menjadi seorang pendakwah dan cendikiawan yang hebat.

Peringatan Buat Para Daie

Dari Abu Zaid Usamah Bin Zaid Bin Harithah radhiallahuanhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: ”Akan didatangkan seorang lelaki pada hari Qiamat nanti lalu dilemparkan ke dalam api neraka sehingga terkeluarlah isi perutnya kemudian ia berpusing seperti berpusingnya seekor kaldai di tempat penggilingan gandum. Para penghuni neraka terkejut melihat kejadian ini lalu mereka segera berhimpun di sekelilingnya sambil berkata padanya: ”Hai Fulan! Mengapa engkau jadi begini? Bukankah dahulu engkau menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang mereka dari kemungkaran?” Lalu orang itu menjawab: ”Ya benar. Dahulunya saya suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan, tetapi saya tidak melakukannya, dan saya suka melarang orang lain daripada kemungkaran, tetapi saya sendiri melakukannya.”

Hadis ini merupakan peringatan yang sangat menggerunkan buat para da’ie yang mengajak manusia kepada Islam. Dalam pada kita berdakwah kepada manusia, mengajak mereka kepada kalimah tauhid. Jangan dilupakan diri kita, perbaikilah diri kita dahulu sebelum kita menyeru teman-teman yang lain.
Berapa ramai antara kita yang ketika mana mengendalikan usrah berpesan pada anak-anak buah agar berpuasa dan qiamullail, akan tetapi, amat malang dalam realiti kehidupan sehari-hari, puasa dan qiamullail itu sangat jauh dari diri. Berapa ramai antara kita yang menyeru kepada meninggalkan jahiliah secara total, akan tetapi dirumah membiarkan maksiat berleluasa dan tiada suasana Islam dirumahnya. Berapa ramai antara kita yang masih menyeru kepada Islam secara keseluruhannya, tapi masih beriltizam dengan pinjaman berasaskan riba melalui kad kredit, insuran dan pinjaman-pinjaman yang lain.
Dakwah ini adalah dakwah realiti. Ada pepatah mengatakan, “If you want to deliver the message, be the message”. Mulakan dengan diri kita dahulu, kemudian ajaklah orang lain. Amat benarlah kalimah dakwah yang dipelajari ketika awal-awal dahulu, “Islah nafsaka, wad’u ghairuka”.

My Father, My Hero...



Entry kali ini aku nak cerita pasal seseorang yang aku anggap sebagai hero dalam hidup aku. Seorang yang mulia dan telah memberikan segala-gala dalam hidupnya untuk kebaikan anak-anaknya. Dialah yang menyara makan dan minumku, mendidik aku dengan akhlak yang mulia, mengajarku kenal budi bahasa, mengajarku tulis baca, dialah yang mengajarkan ku segala-galanya.
Ketika aku sakit, dialah yang setia menghantarkan ku ke klinik, ketika aku kecewa, dia lah yang memberikan ku harapan dengan kata-kata nasihat yang berharga, walaupun hidupnya hanya sederhana, tetapi diberikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Dia menggadai cita-cita untuk melihat anak-anaknya berjaya.
Hari ini, walaupun aku dah makin dewasa, tapi tetap aku banyak belajar dengannya, rutin hidupnya bermula seawal jam 430 pagi dengan solat tahajjud, bacaan quran, solat lima waktu di masjid, puasa sunat, menelaah buku dan macam-macam lagi amalan soleh. Walaupun tanpa tarbiyyah dan muhasabah saban minggu, tetap amalannya terjaga tiap waktu.
Aku berdoa agar Allah memanjangkan umurnya dalam keimanan dan diberikannya kebaikan dan agar Allah memelihara dirinya sepertimana dia menjaga aku ketika aku kecil dahulu.
Tanpa dia, siapalah aku...

Lama tak nampak? Mana hang pi?

Assalamualaikum semua,
Hai, nak kata sibuk takdelah sibuk sangat, tapi entahlah takde idea aku nak tulis apa, tapi apapun, mengingatkan bahawa blog ini adalah antara sumber pahala aku, untuk menyampaikan kebaikan Islam kepada pengunjung blog, akan aku gagahi juga, walaupun aku bukanlah muslim yang terbaik, tapi tetap akan ku usaha untuk melakukan yang terbaik untuk Islam.

Fikrah Isma Fikrah Islam

Tulisan ini telah dipublish dalam www.ismakedah.wordpress.com

untuk pengetahuan anda semua ISMA adalah singkatan untuk Ikatan Muslimin Malaysia, sebuah NGO yang bergerak aktif untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sahih di kalangan masyarakat dan mendidik generasi baru ummah untuk menerajui kebangkitan Islam pada masa akan datang.

Apa kena mengena ngan aku lak, eh...aku ni ahli ISMA Cawangan Kedah merangkap setiausaha biro pembangunan belia atau lebih popular dengan nama PEMBINA

hayatinya!

*********************************************************************************
Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa yang dibawa oleh ISMA, nak bawa ke mana dan nak bawak Islam yang macamana? Bak kata orang dakwah, ISMA ni bawak fikrah apa?

Sebelum kita memahami fikrah ISMA ni fikrah apa, ada baiknya kita memahami kepentingan kefahaman Islam yang sahih terlebih dahulu.

Maksud memahami Islam dengan kefahaman yang sahih atau sejahtera adalah memahami Islam seperti mana yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Kefahaman Islam yang sahih ini diibaratkan oleh Ibn Qayyim ibarat cahaya yang dicampakkan kedalam hati hambanya sehingga dia mampu untuk membezakan antara yang benar dengan yang batil.

Kegagalan untuk memahami Islam dengan rohnya yang sebenar akan membuahkan natijah yang akan merosakkan Islam dengan sehebat-hebatnya. Kegagalan kefahaman ini telahpun dibuktikan dengan wujudnya golongan pelampau seperti golongan Khawarij yang terlibat dalam pembunuhan sahabat, golongan Muktazilah yang menyeleweng dan dalam zaman yang terkedepan ini kita dapat lihat contoh Jemaah kafir mengkafir dan golongan Arqam yang nampak hebat tetapi hakikatnya menyeleweng. Itu contoh ekstrim yang berbeza, ada pula ekstrim yang memahami Islam hanya setakat ritual-ritual Ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Ada pula pemahaman yang melihat halal dan haram hanya pada arak, judi dan bangkai sahaja. Bila masuk masalah perbankan dan kewangan, ramai daripada umat Islam hari ini yang tewas. Islam hari ini tidak dilihat oleh kebanyakan umatnya sebagai satu sistem yang mengurus kehidupan manusia, tetapi dilihat sebagai komponen-komponen yang terpisah dan tiada kaitan antara satu sama lain.

Apa buktinya yang Islam ni satu sistem kehidupan yang lengkap? Anda boleh rujuk surah An Nahl ayat 89 :

”Kami turunkan kepadamu Al Quran menjelaskan segala sesuatu sebagai petunjuk serta rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang yang berserah diri”

Begitu juga ayat dari surah Al Baqarah ayat 208 :

”Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya”

Dan kesempurnaan Islam ini dapat kita lihat buktinya dalam surah Al Maidah ayat 3 :

” Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu untukmu…”

Definisi Islam yang lengkap kontemporari ini dinukilkan oleh Imam Hassan Al Banna dalam Risalah Taalim dengan cukup ringkas dan padat :

”Islam adalah agama yang syumul, mencakupi seluruh bidang kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau pemerintah dan umat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah sepertimana ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih.”

Kalau kita tengok betul-betul definisi Islam syumul oleh Imam Hassan Al Banna memang cantik dan lengkap. Islam ini tidak ditegakkan dengan komponen yang terpisah-pisah, cuba lihat ayat yang akhir tu ….sepertimana ia adalah akidah yang benar dan ibadah yang sahih. Maknanya memahami dan menegakkan Islam dengan caranya yang lengkap adalah sama pentingnya dengan masalah akidah dan ibadah. Menegakkan daulah dan membebaskan tanahair Islam adalah sama penting dengan akidah dan ibadah, membangunkan satu sistem perekonomian Islam yang bebas dari unsur riba dan tamak juga sama penting dengan akidah dan ibadah dan begitulah seterusnya. Sudah sekian lama umat Islam terjebak dalam penyakit sekularisma yang membunuh jiwa. Kini tiba masanya untuk umat Islam kembali bangkit menerajui alam ini dengan membawa rahmat dan keadilan melalui implementasi sistem Islam yang lengkap.

Apa yang cuba dibawa oleh Isma tidak terpisah dari pengertian diatas. Kami sedaya upaya kami cuba untuk membawa pengertian Islam yang lengkap kepada masyarakat, mendidik diri dan keluarga kami seterusnya mengajak masyarakat agar kembali kepada Islam yang sebenar, seperti mana ia kali pertama diturunkan kepada Rasulullah. Dakwah Isma adalah dakwah Islam, inilah fikrah kami dan fikrah kami adalah fikrah Islam.

Mohd Hisham Mohd Sharif

S/U Pembina Kedah

Ustaz Zaharuddin



Assalamualaikum,

Anda semua ada idola tak? masa sekolah dulu aku tak pernah ada idola yang aku kagumi, paling hebat pun kalau tak silap aku Bebeto ngan Romario la (pemain Brazil era 90 an), ntahapaapantah aku ni. Kengkadang berangan nak jadi kuat macam Superman, hai banyak sangat pengaruh TV aku ni dulu

Posting aku kali ini adalah mengenai seorang yang sangat aku kagumi semangat, kesungguhan, ilmu dan karismanya, tak lain tak bukan, al fadhil Ustaz Zaharuddin Abd Rahman.

Mengapa aku sangat kagum dan cemburu dengannya:
1. Mempunyai latarbelakang syariah, tapi fasih berbahasa inggeris dan mempunyai pengalaman luas dalam industri perbankan.

2. Aktif memberi ceramah dan penulis blog yang sangat aktif. Blognya ranking no 1 dalam ukhuwwah.com.

3. Ilmu yang banyak dan pelbagai, ilmu dalam perbankan, syariah dan kini sedang menuntut lagi ilmu di Wales.

4. Sentiasa bersungguh dalam setiap apa yang dibuatnya, kreatif dan suka mencari cabaran-cabaran baru.

5. Mempunyai motivasi diri yang sentiasa tinggi dan matlamat hidup yang jelas.

dan macam-macam lagi yang menyebabkan aku sentiasa cemburu pada ilmu dan kesungguhannya dan membuatkan aku cuba untuk sentiasa meningkatkan kualiti diri dan peribadi.

Anda semua boleh lawati blog beliau dan dapat banyak manfaat dari sana www.zaharuddin.net

Ping Pong & Kesihatan


Assalamualaikum

Antara hobi yang sangat aku minat adalah bermain ping pong. Kalau boleh setiap hari aku cuba untuk bermain ping pong, samada ketika waktu gap antara pengajaran, waktu rehat ataupun selepas waktu pejabat. Sukan ping pong ni best sebab murah, beli bola dia RM 5 dan mainlah sampai pecah bola tu, kemudian tak perlu ada pakaian seragam khusus, main pakai baju pejabat dan selipar pun dah boleh jadi. Ping Pong juga sukan yang mudah keluarkan peluh, terutamanya kalau main dengan lawan yang kompetitif dan dapat mengasah ketajaman fikiran kita dalam mengatur gerak dan melatih kepantasan kita dalam memulangkan bola spin.
Banyak teknik yang boleh dipakai dalam Ping Pong ni, boleh pilih samada nak main secara top spin ataupun boleh pilih teknik potong. Tapi aku lebih selesa dengan top spin ala ala Timo Ball (Pemain Ping Pong Hebat dari Jerman), nampak lebih bergaya, agresif dan lebih bagus untuk melatih stamina dan ketajaman fikiran berbanding teknik potong yang agak membosankan.
Apapun sukan yang kita mainkan, tak kiralah ping pong ke, bola ke badminton ke berenang ke, apa saja..niatkan kerana Allah dan insyaallah anda akan dapat pahala.
Bagi setiap muslim, menjaga kesihatan adalah satu tuntutan, sama beratnya dengan tuntutan tuntutan kehidupan yang lain,tanpa kesihatan, pastilah ibadah sukar untuk dilakukan, justeru itu, bersukanlah untuk persahabatan dan kesihatan

Anak-anak Palestin:Kita Tertawa Mereka Berduka

Assalamualaikum
Di 10 ramadhan yang hujung ini, perbanyakkanlah berdoa dan jangan lupakan anak-anak kita di bumi Palestin sana, tika anak-anak kita tertawa menyambut raya, mereka berduka dalam hujanan peluru yang tidak bermata...

Hayati video ini (Thanks gunx)

Blues Ramadhan

"Petang ni kita gi buka posa kat masjid" sang suami memberi arahan, "ok bang, tapi kita beli la makanan dan air sikit" sahut sang isteri, memberi nasihat
"Laa, nak susah sikit pun x boleh, makan je la apa yg ada kat masjid tu" getus sang ketua, tegar dengan arahan yang diberi...
Kereta dipandu, masjid zahir dituju...
"Eh xkan bubur lambuk je ngan teh o je?" bibit-bibit gundah mula tercetus dalam hati sang suami, "alamak, bubur lambuk pun tinggal tahap kontang dah ni....x boley jadi ini macam", wajah mula kelat...risau kena gelak dengan isteri...
"Kehkehkeh" makan apa yang ada konon! isteriku xberenti gelak sambil mengunyah ayam goreng pakcik sander dalam kereta...

Moral of the story:
Lain kali, ukur la baju di badan sendiri...padan ngan muka...

Ramadhan Pembakar Semangat Ummah

Bulan Ramadhan bulan yang berkat, pada bulan ini bergembiralah para mu’minin kerana janji-janji Allah seolahnya semakin hampir. Para malaikat turut bergembira melihat pesta ibadah hamba-hamba yang bertaqwa. Bulan Ramadhan bukanlah pesta makanan, bahkan ia adalah pesta perjuangan. Sejarah mencatatkan ummah ini hampir tidak pernah ditewaskan di bulan Ramadhan. Bukalah kisah perang Badar yang agung, perang Qadisiyyah menentang Parsi yang gagah perkasa, perang Ain Jalut menentang tentera Mongol yang ganas, Ummah berada pada kemuncaknya pada bulan ini, ia sewajarnya menyemarakkan lagi semangat kita untuk memenangkan Islam dan meletakkannya di tempat yang tertinggi, ayuh semua! 10 hari lagi tinggal untuk kita merebut ganjaran pembebasan dari api neraka

Quadran Kehidupan

“Antara keelokan Islam pada seseorang itu adalah apabila dia meninggalkan sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya”
Hadith 12 : Hadith 40

Masa berlalu dengan sangat pantas, sedar tak sedar, kita dah masuk fasa ke 3 Ramadhan, rasa-rasanya macam baru beberapa hari je berpuasa, pantas betul pergerakan masa sekarang ni. Harap-harapnya amal kita makin bertambah dan makin giat kita mencari malam lailatul qadr. Susunlah masa agar 10 hari yang terakhir dalam bulan Ramadhan ni dapat kita optimumkan dengan bersungguh-sungguh untuk mencari keredhaan dan keampunan buat membebaskan diri dari api neraka.
Begitu juga lah dengan usia kita, semakin hari semakin bertambah, tahun depan mungkin ada antara kita yang dah nak mencecah usia kerasulan, ada pula yang dah meninggalkan alam remaja dan mula masuk ke alam dewasa, yang kanak-kanak mencecah masuk ke alam remaja dan yang dulunya bayi kini mula mencecah usia kanak-kanak. Hakikatnya kita semakin lama semakin tua, namun satu persoalan? Sudahkah kita menguruskan kehidupan kita dengan cara yang sistematik untuk mencapai tujuan dan matlamat hidup kita.
Stephen Covey dalam bukunya, 7 tabiat orang yang amat berkesan membahagikan aktiviti – aktiviti kehidupan manusia dalam 4 quadran :
1. Penting dan terdesak
2. Penting tapi tak terdesak
3. Kurang penting tapi terdesak
4. Kurang penting dan tak terdesak
Sebagai muslim, ada kebaikan yang banyak yang boleh kita ambil dari tulisan Stephen Covey ni, hadis yang dinukilkan diatas memberi isyarat kepada kita untuk meninggalkan perkara yang kurang penting dan tidak memberi manfaat secara langsung kepada diri kita. Antaranya adalah seperti menonton televisyen berjam-jam, leka dengan internet, sibuk dengan perkembangan politik semasa yang tidak berkesudahan, bersembang yang tidak membuahkan amal, bersiar-siar tanpa tujuan yang jelas dan pelbagai lagi. Perkara-perkara seperti ini harus kita elakkan agar kita tidak membuang masa yang banyak dalam kehidupan kita. Sesungguhnya masa adalah kehidupan, membazir masa ibarat membazir kehidupan.
Ada juga disana perkara-perkara yang kurang penting tapi sentiasa mendesak, contohnya memasak, mengemas rumah, bayar bil dan pelbagai lagi. Perkara kurang penting dan terdesak ini biasanya adalah rutin kehidupan kita. Perkara-perkara ini sepatutnya boleh kita susun untuk dibereskan dalam tempoh masa yang singkat sahaja. Perlu ada strategi khusus agar tidak banyak masa yang kita habiskan dalam hidup hanya untuk perkara seperti ini. Hassan al banna ada menyebut bahawa kewajipan yang ada adalah lebih banyak dari waktu, jadi bantulah saudaramu dalam menyelesaikan urusannya. Hidup akan jadi membosankan jika terlalu banyak masa yang dihabiskan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang bersifat jangka pendek sahaja.
Ramai yang sering terlupa atau mengabaikan perkara-perkara penting dalam kehidupan kerana terlalu disibukkan oleh tugasan atau aktiviti rutin yang kurang penting dan hanya memberi impak jangka pendek kepada diri. Perkara-perkara penting ini hanya disesali setelah usia makin meningkat atau peluang telah terlepas. Perkara penting ini adalah perkara yang akan memberi impak jangka panjang dalam kehidupan kita bahkan kehidupan selepas dari kematian. Contoh perkara penting yang sering diabaikan adalah menjaga kesihatan. Kita semua tahu akan peri pentingnya menjaga kesihatan dengan melakukan senaman berkala dan menjaga makan dan minum, akan tetapi berapa ramai antara kita yang sentiasa istiqamah dengan senaman berkala. Begitu juga dengan amalan-amalan ruhi, seperti solat tahajjud, berapa ramai antara kita yang konsisten dengan solat tahajjud sekurang-kurangya seminggu sekali? Merancang kehidupan juga adalah satu perkara yang sangat penting bagi memastikan kehidupan kita tidak berjalan atas mod auto pilot. Pernahkah kita duduk seketika dan melihat akan kehidupan kita, adakah berjalan dengan jalan yang betul menuju ke matlamatnya. Setiap muslim perlu mempunyai misi kehidupan yang jelas agar hidup tidak sia-sia dan masa kita dapat digunakan untuk perkara-perkara penting dalam kehidupan kita. Perkara penting yang akan menyampaikan kita kepada matlamat dan misi kehidupan kita. Cuba kita bayangkan kalau tempoh masa kehidupan kita ada 2 bulan sahaja lagi, apakah yang akan kita lakukan? Kemanakah wang kita akan dibelanjakan, apakah aktiviti-aktiviti kehidupan yang akan kita lakukan?. Namun siapakah yang dapat menjamin bahawa dirinya akan kekal sihat 2 bulan lagi. Sebab itulah Rasulullah menyatakan bahawa individu yang terbaik adalah individu yang sentiasa mengingati mati, kerana orang yang sentiasa mengingati mati akan insaf dan sedar bahawa kematian boleh datang pada bila-bila masa. Orang yang sentiasa mengingati mati ini biasanya akan memfokuskan aktiviti kehidupannya pada perkara yang penting-penting sahaja kerana ingin mengoptimumkan masa yang dia ada. Kita bagaimana?

Mohd Hisham Mohd Sharif
Setiausaha Pembina Kedah

Siri Dakwah For Dummies : Mengapa Berdakwah



Dakwah, satu kalimah yang mungkin selalu kita dengar dalam kehidupan kita sehari-hari. Mungkin ketika berbual dengan kawan-kawan di pejabat, atau dalam tazkirah di masjid dan surau. Apabila ditanya kepada masyarakat kebanyakan berkenaan pengertian dakwah, maka macam-macam versi pengertian dakwah akan diberi mengikut pemahaman masing-masing. Ada yang mungkin mengertikan dakwah dengan kerja-kerja mengajak orang jadi baik je ataupun ajak orang pergi masjid semata-mata. Ada juga yang memberi pengertian bahawa dakwah ini adalah kerja-kerja untuk mengajak kepada yang makruf dan membanteras kemungkaran. Ada juga yang faham dakwah adalah hakmilik eksklusif ustaz-ustaz yang mengajar di masjid sahaja, tak perlulah bukan ustaz atau bukan budak sekolah agama nak menyebok dalam urusan dakwah. Ada juga yang berpendapat bahawa tak payahlah aku ni nak penat-penat masuk kumpulan dakwah atau fikir pasal dakwah, cukuplah asal aku dan keluarga aku jadi baik, aku boleh pergi masjid 5 waktu sehari semalam, boleh ajar anak aku mengaji, bulan Ramadhan boleh puasa pastu bayar zakat dan kalau ada duit lebih sikit pergi buat haji dan umrah. Percaya atau tidak, kebanyakan dari masyarakat muslim hari ini mempunyai mindset yang macam tu ataupun lebih kurang macam tu. Eh, salah ke?
Nanti dulu, kefahaman tentang dakwah ni bukan boleh main agak-agak macam tu je. Bukan isu remeh temeh dan ranting, tapi dakwah ni satu tugas besar yang diwarisi dari para nabi sejak zaman berzaman lagi. Kalau risalah ini dibawa oleh para nabi, maknanya ia memang perkara yang sangat penting bagi kehidupan manusia. Cuba kita kaji betul-betul apa yang dibawa oleh para nabi dari dahulu sampai sekarang, adakah sekadar nak ajak kawan-kawan jadi baik je? Rasa-rasanya kalaulah risalah yang dibawa Rasulullah sekadar nak ajak orang jadi baik je, maka tak perlulah Rasulullah serta sahabat-sahabat baginda bersusah payah berjuang hingga sampai kena bina negara dan tak berhenti setakat itu sahaja, risalah ini disampaikan juga ke segenap pelusuk muka bumi oleh para sahabat dan tabiin hingga ke negeri China.
Nak faham dakwah ni apa dan dakwah ni nak bawak ke mana, pertama sekali kita kena faham hakikat Islam dan keistimewaan Islam itu sendiri. Apa istimewanya Islam berbanding agama-agama lain? Adakah Islam ni hanya amalan ibadah khusus semata-mata?. Kebanyakan dari umat hari ni sebenarnya salah faham terhadap agama mereka sendiri, ibarat mengecam gajah dari kacamata seorang yang buta. Ada yang faham Islam ni hanya sembahyang 5 waktu sehari semalam lepas tu kalau rajin sikit pergi baca yasin kat masjid, ada pulak yang amalkan Islam ni bila nak akad nikah dan bila nak uruskan jenazah je, tu pun kira ok la bahkan yang lebih malang lagi, harap nama je Islam tapi solat 2 kali setahun takpun seminggu sekali itupun sebab malu dengan kawan-kawan pejabat. Itu belum tengok busana dan tudung ’muslimah’ hari ini, banyak yang tak lulus daripada yang lulus. Kalau nak bincang aspek songsang dalam kefahaman Islam sebenar memang takkan habis sebab banyak sangat. Jauhlah sangatnya pengertian Islam yang difahami oleh kebanyakan dari umat hari ini dari pengertian Islam yang sebenar. Masing-masing boleh cuba ambil kertas dan cuba senaraikan kalau tak percaya.
Islam ni adalah agama yang lengkap dan sistematik, maknanya dia tak boleh dipisahkan dari kehidupan. Islam mencakupi segala-galanya dalam kehidupan manusia, bermulalah dari aspek kepercayaan, ibadah-ibadah khusus, pemerintahan, ekonomi, ketenteraan, perniagaan, perbankan, teknologi, perubatan, berkeluarga, cara berpakaian bahkan segala-galanya hinggalah ke dalam tandas pun Islam ada caranya yang tersendiri. Bila kita yakin yang Islam ni datang dari Allah secara terus, maknanya segala-galanya adalah sempurna dan relevan. Ibarat kalau kita beli komputer dari HP, maka kita mestilah rujuk panduan penggunaan komputer HP ni dari user manual yang diberikan oleh syarikat HP sendiri. Takkan kita nak main belasah je guna komputer tu ikut sedap kita, dan bila rosak kita main agak-agak je baiki, alamatnya bukan makin elok komputer tu, lagi jahanam adala. Begitulah juga Islam, ia adalah satu panduan tentang macamana nak menguruskan manusia kat atas muka bumi ni sebab manusia ni dicipta oleh Allah dan muka bumi pun dicipta oleh Allah. Bukan boleh main sedap je buat peraturan sendiri, tentulah tak kena. Kalau kita faham bahawa Islam ni adalah agama yang terbaik untuk menyelesaikan semua masalah umat manusia dan memerintah manusia, maka secara tabiinya kita pastilah nak berkongsi kebaikan Islam ni dengan semua orang yang duduk kat atas muka bumi ni, bahkan disuruh pulak kita sebagai penganut agama ini untuk menyampaikan Islam ini kepada seluruh manusia.
Cuba kita perhatikan baik-baik apa yang terjadi atas muka bumi hari ini, kacau bilau sana sini, masalah sosial, peperangan, pencemaran, kerosakan ada dimana-mana. Ini semua adalah akibat fitnah besar apabila Islam tidak memerintah diatas muka bumi. Segala-galanya tidak seimbang dan lari dari fitrahnya, ibarat macam nak baiki komputer tadilah, bukan makin elok tapi makin rosak.
Kat sini lah kita boleh faham makna dakwah dan risalah. Dakwah ini adalah satu usaha secara tersusun untuk menyampaikan Islam dan menegakkan ketuanan Islam diatas muka bumi supaya semua manusia dapat menikmati keindahan Islam dan bebas dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah. Tugas dakwah ini tidak terhad terhadap keluarga kita semata-mata bahkan melangkau jauh sempadan geografi setiap negara, ia adalah tugas global yang mana kita yang bertuah dilahirkan sebagai umat islam dan setiap orang dari kita bertanggungjawab untuk tugas dakwah ini, ia bukan tanggungjawab ustaz-ustaz semata-mata, bahkan kita akan dipertanggungjawabkan atas urusan ini. Mengapa kita berdakwah? Sebab Islam itu adalah agama yang sempurna dan kita wajib untuk berkongsi nikmat kesempurnaan ini dengan semua manusia. Sebab itulah kita nak kena bekerja bersungguh-sungguh, sebab bila Islam tertegak diatas muka bumi dan memerintah bumi ini, maka akan aman makmurlah segala-galanya, ekosistem akan kembali seimbang dan dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami. Faham tak sekarang mengapa kena berdakwah? Tapi persoalannya macamana nak bermula? Tentang macamana, kita akan bincangkan dalam artikel yang akan datang.

Mengapa Anda Ngeblog?

Assalamualaikum dan salam ramadhan,
Wah, tak sangka aku dapat buat blog sendiri, setelah sekian lama. Walaupun aku ni graduate IT n Master Software Engineering, tapi agak slow sikit bab2 teknologi ni, mungkin sifat aku dari dulu yang sentiasa berhati-hati dan tak sukakan perubahan, well sebab tula aku tak jadi businessman kot. Anda semua pernah tak tanya diri anda, mengapa berblog? kat bawah ni cuba tengok jawapan-jawapan yang ada, mungkin ada yang kena dengan diri anda :

1. Saje je, hobi
2. Sebab member ade blog, malu la aku takde
3. Nak buang masa
4. Nak glamer
5. Nak cari duit
6. Sebab politik
7. Nak luahkan perasaan
8. Takde keje, boring2 buat la blog

dan macam-macam lagi sebab, Anda berblog untuk apa sebenarnya?

Dalam kitab hadis 40 susunan Imam Nawawi, hadis yang pertama diletakkan adalah hadis berkenaan dengan niat, nak tunjuk bahawa betapa pentingnya niat dalam kehidupan seorang muslim. Begitu juga dalam ngeblog, niat adalah perkara yang paling utama, jika kita niat kerana Allah dan untuk memberikan manfaat kepada pengunjung-pengunjung blog atas cetusan rasa kita dalam blog, maka ganjaran pahala yang berganda akan didapati dan sebaliknya jika blog itu dibuat tanpa ada tujuan yang jelas, lebih malang kalau tujuan itu menyalahi perintah Allah.

Sebagai muslim, biarlah setiap apa yang kita buat ada manfaatnya kepada orang lain, supaya berat timbangan amal kita di akhirat sana, hatta hanya dengan satu posting sahaja.

insyaallah, aku harap blog ini akan dapat memberikan manfaat kalau tidak banyak sikit pun jadilah pada setiap pengunjung-pengunjungnya...

wallahua'lam

Salam Perkenalan:Jangan Hangat2 Taik Ayam

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Untuk Semua

Syukur pada Allah, tuhan yang maha esa atas kekuatan dan kesempatan masa yang diberikan kepada ku untuk memulakan blog ku sendiri. Walaupun dah lama bercita-cita nak ada blog sendiri, tapi baru hari ni tercapai. Harap-harapnya tak jadi hangat-hangat taik ayam macam dulu le, tidak teruk kena kutuk dengan isteri aku nanti. Aku harap posting ini tidak akan jadi yang pertama dan terakhir, bahkan aku harap agar sentiasa aku diberi kekuatan untuk sentiasa menghapdate blog ni.

Ok, salam perkenalan penuh keceriaan untuk semua :)