Berbicaralah Dengan Ilmu, Bukan Nafsu

“Senang je kanser ni,, minum air masak banyak-banyak, masa makan tengahari dan malam kena banyakkan makan daging batang pinang, lebih baik kalau dapat bahagian ‘harimau menangis’, lebih berkhasiat.”

“Sayur hijau kalau boleh cuba elakkan, sebab dia ada vitamin C yang akan menggalakkan lagi pertumbuhan sel kanser, ikan kembung dan selar juga berbahaya, sebab berdasarkan kajian, kedua jenis ikan ni punya kandungan ion dan zat besi yang akan membuatkan pertumbuhan sel kanser jadi tambah menggila.”

“Oh, seperkara lagi, setiap pagi jangan lupa ambil telur ayam kampung separuh masak, campurkan dengan halia dan susu pekat, kacau dan minum dengan air suam.”

“Jangan sesekali pergi hospital, kemoterapi tu satu jenis rawatan yang amat berbahaya, banyak penggunaan bahan kimia yang berasaskan enzim babi. Bukan boleh sembuh, lebih parah lagi adalah.”

Panjang lebar Naim, seorang mekanik kereta terkenal di kampung durian menasihati sahabatnya Azli yang dikesan menghidap penyakit kanser tahap ke 3. Azli khusyuk mendengar dan mencatit, dia berazam untuk melaksanakan setiap nasihat yang diberi oleh Naim dengan sempurna.

Selesai mencatit, Naim bertanya pula kepada Azli seorang nelayan yang juga dikenali sebagai pakar dalam bidang ilmu bintang.

“Eh, habis bincang tentang kanser ni, aku nak tanya satu benda la, sejak kebelakangan ni, ‘wiring’ di kedai aku ni selalu masalah, lampu dan alat-alat elektrik jadi cepat rosak sebab elektrik kerap terputus. Apa yang patut aku buat ye?”

“Oh! Aku ni kerjanya nelayan je Naim, kalau hang tanya aku tentang cara nak menjala atau macamana nak tengok bintang bagi menentukan arah perjalanan di laut, tahu le aku nak menjawabnya.”

“Dalam kes ni, aku tak tahu la Naim, aku rasa baik hang telefon TNB atau mungkin panggil sahaja Man Letrik, depa lebih ahli dalam bidang ‘wiring’ ni dan pastinya boleh beri pendapat yang lebih bijaksana.”

Jujur Azli menerangkan kepada Naim.

Pada pandangan anda, siapa yang lebih cerdik dan jujur, Naim atau Azli?

Sejak kebelakangan ini, kerap kedengaran ramai yang berbicara tanpa dasar ilmu terutamanya dalam bidang agama hingga menyerlahkan kedunguan si pembicara.

Ada yang berbicara tentang fiqh muamalat dan perbankan islam dengan sesedap rasa. Berbicara atas dasar nafsu dengan melulu sehingga mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah.

Ada juga yang berbicara tentang hukum hudud dan fiqh Islam dengan mengikut logik akal sendiri tanpa langsung merujuk kepada ahlinya. Akhirnya, hukum Allah yang jelas dan terang, dihina dan diperlekehkan.

Lebih ramai yang berbicara tentang isu politik dan fiqh politik Islam tanpa ilmu dan hanya bertujuan untuk meraih sokongan pengundi dan memuaskan kepentingan pihak-pihak tertentu.
Ketahuilah, kita mungkin merasakan apa yang kita perkatakan itu kecil, bahkan di sisi Allah ianya amat besar dosanya.

(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar. (An Nuur:15)

Berhati-hatilah ketika berbicara, jangan terlalu mengikut nafsu ketika hendak memberi komentar tentang sesuatu yang kita tidak ada pengetahuan padanya. Ketahuilah bahana lidah, mungkin akan menyebabkan kita terjerumus ke lembah neraka sehingga 70 lamanya.

Sesungguhnya ada seseorang yang berbicara dengan satu kalimat, dia tidak menganggapnya berbahaya, dengan sebab satu kalimat itu dia terjungkal selama 70 tahun di dalam neraka.
[HR. Tirmidzi, no. 2314; Ibnu Majah, no. 3970; Ahmad, 2/355, 533; Ibnu Hibban, no. 5706. Syaikh Al-Albani menyatakan "Hasan Shahih"]

Berfikirlah dengan teliti sebelum berkata-kata, kerana mungkin atas perkara-perkara kecil yang kita rasakan tidak penting, akan menyebabkan musibah yang besar bagi kita di akhirat nanti.

Sesungguhnya ada seorang hamba benar-benar berbicara dengan satu kalimat yang termasuk keredhaan Allah, dia tidak menganggapnya penting, dengan sebab satu kalimat itu Allah menaikkannya beberapa darjat. Dan sesungguhnya ada seorang hamba benar-benar berbicara dengan satu kalimat yang termasuk kemurkaan Allah, dia tidak menganggapnya penting, dengan sebab satu kalimat itu dia terjungkal di dalam neraka Jahannam. (HR. Bukhari, no. 6478)

Semoga peringatan ini akan membuat kita menjadi manusia yang lebih cermat dan lebih ingat tatkala ingin memberi komentar tentang apa jua perkara, terutamanya dalam urusan ilmu agama.

Astaghfirullah.

No comments:

Post a Comment