"Fizi ingat tak nak bersama dah dengan usrah, sebab Fizi rasa, pelajaran Fizi terganggu bila hadir ke program-program usrah, daurah dan Qiamullail. Program-program dakwah dan tarbiah benar-benar memakan masa Fizi untuk belajar." Luah Fizi dalam sesi pertemuan peribadi kami berdua petang itu setelah selesai program usrah.
"Orang lain mungkin boleh cemerlang walaupun komited, tapi Fizi rasa Fizi tak boleh. Fizi perlukan masa yang lebih berkualiti untuk 'study'". Sambungnya lagi.
Saya mendengar dengan teliti. Panas juga telinga mendengarnya. Namun saya cuba menyusun kata-kata yang paling berhikmah agar tidak ada hati yang tercedera.
"Abang Sham tak kisah jika Fizi tidak lagi mahu bersama kumpulan usrah kita lagi selepas ini." Saya memulakan 'leteran'.
"Abang Sham juga tak kisah jika Fizi memilih untuk bersama dengan kumpulan-kumpulan lain untuk membaiki diri dan menyumbang untuk agama, asalkan kumpulan yang diikuti bukan kumpulan yang sesat."
"Setiap orang bebas untuk memilih kumpulan atau pendekatan mana yang lebih dekat dengan kecenderungannya."
"Cuma berjemaah itu penting, kerana kita sebagai manusia pasti tidak akan mampu kuat jika kita berseorangan."
"Apatah lagi untuk menentang kebatilan yang penuh kesungguhan dan tersusun rapi."
"Bahkan jika Fizi keluar dari usrah untuk komited bersama dengan mana-mana halaqah ilmu hatta keluar bersama dengan Jama'ah Tabligh sekalipun, Abang Sham akan berlapang dada."
"Tapi, apa yang Abang Sham kisah dan terkilan adalah apabila Fizi ingin meninggalkan usrah dan kemudian menyalahkan pula usrah, daurah, katibah, mukhayyam dan qiammullail sebagai punca kemerosotan pelajaran Fizi."
"Abang Sham tahu, kemampuan setiap orang berbeza-beza kerana ada sahabat kita yang masih mampu untuk cemerlang walaupun amat komited dengan program dakwah dan tarbiah"
"Tapi bila Fizi memilih untuk menyalahkan dakwah dan komitmen kepada program-program tarbiah sebagai alasan kepada kemerosotan dalam pelajaran,itu satu sikap yang tidak tepat dan Abang Sham sangat kesal dengannya."
"Seolah-olah dakwah dan tarbiah adalah punca segala-galanya. Abang Sham tak nafi bahawa program yang kita anjurkan adalah amat jauh dari sempurna, dakwah kita masih bagai bumi dan galaksi jika dibandingkan dengan seruan para nabi, tapi untuk menjadikannya sebagai punca kegagalan dalam pelajaran, ia ibarat menyalahkan raket Yonex Arcsaber tika kalah dalam perlawanan badminton."
"Diri sendiri yang lemah dan tidak pandai mengurus diri, orang lain pula yang disalahkan."
"Jangan begitu, kerana ia amat dangkal."
"Abang Sham ada banyak kisah tentang dakwah dan kecemerlangan dalam akademik, tapi Abang Sham tak akan ceritakan hari ini sebab Abang Sham nak Fizi fikir."
"Apa jaminan bahawa jika Fizi tidak lagi terikat dengan program-program tarbiah Fizi akan mampu cemerlang?"
"Apa jaminan jika Fizi tidak terikat dengan komitmen tarbiah, Fizi akan menghabiskan segala masa yang terluang dengan 'study' dan tidak akan terlibat dengan aktiviti lagha?"
"Bila kita tidak disibukkan dengan amal kebaikan, besar kemungkinan kita akan disibukkan dengan perkara yang sia-sia."
"Jangan letakkan tawakkal kita hanya dengan usaha Fizi, tawakkal kita harus bulat kepada Allah."
Panjang saya berleter. Sudah lama rasanya saya tidak berleter begini. Namun masih saya sedaya upaya mengawal nada agar tidak kelihatan seperti sedang marah.
"Satu lagi Abang Sham, saya dah berbincang dengan orang tua saya, dan orang tua saya tidak lagi membenarkan saya ke program Qiammullail, program perkhemahan dan usrah, kerana khuatir pelajaran saya terganggu."
"Jadi saya tak mahu melanggar kata-kata orang tua saya." Responnya lagi setelah melihat saya berhenti.
Saya beristighfar di dalam hati. Makin pelik alasan yang diberi.
"Fizi, ketaatan kepada ibu bapa adalah dalam perkara-perkara yang ma'ruf sahaja. Kalau ibu bapa menghalang kita dari solat malam, apa asasnya disitu? Solat malam ni bukan Abang Sham atau sesiapa yang reka, tapi ia adalah anjuran Allah untuk kita meningkatkan darjat sebagai orang yang beriman."
"Solat malam adalah amalan para Nabi dan orang-orang yang soleh, ia adalah kunci kejayaan, bukan punca kegagalan."
"Kalau tidak mahu hadir tidak mengapa, kalau nak tarik diri tak mengapa, tapi tahan diri dari memberi penilaian dan komen yang tidak adil."
"Beginilah Fizi, balik nanti, muhasabah balik, fikir masak-masak. Ingat, syaitan dan para pendukung kebatilan tidak pernah bercuti dan sentiasa berkorban masa, harta dan tenaga bahkan nyawa demi untuk menyesatkan manusia."
"Kita bekerja, kita luangkan masa untuk memahami islam, kita berkorban tenaga membantu orang lain dan cuba mengajak mereka untuk bersama melakukan amal kebaikan bukan untuk sesiapa, tapi untuk bekalan diri kita juga agar kita ada sedikit bekal untuk dibawa menghadap Allah nanti. Islam tidak akan rugi jika kita mengundur diri, sebaliknya, kitalah yang rugi kerana kafilah dakwah akan terus berjalan."
"Jangan terlalu manja, jangan mudah tertipu dengan belitan iblis untuk mengeluarkan kita dari suasana yang soleh. Mohon doa dan petunjuk dari Allah ye." Saya menasihati dengan lembut dan menamatkan perbualan kerana jam sudah agak lewat dan saya perlu segera pulang untuk ke pasar malam bagi membeli juadah untuk satu lagi sesi usrah yang akan diadakan di rumah saya malam ini.
Fizi menundukkan kepala, saya tahu dia telah datang dengan keputusan, bukan untuk berbincang, tapi sekadar menyatakan hasrat untuk tidak lagi ingin bersama. Moga Allah menunjukkan jalan yang terbaik buat dirinya.
"Nak ikut, ikut...tak nak ikut sudah...cuma jangan dok salah menyalah, nanti punah" Monolog saya di dalam hati.
Pasrah.
No comments:
Post a Comment