“Sham, anta nak tengok satu pohon tomato yang menakjubkan tak?” Tanya Dr. Zaki kepada saya ketika kami sama-sama berjalan keluar dari Masjid Khalil seusai solat Maghrib.
“Menakjubkan?” Saya tertanya-tanya dan tanpa disuruh saya menuruti langkahnya ke sebuah pohon yang kelihatan telah kering di tepi masjid.
“Pohon ni baru sahaja mati, sebelum ni dia berbuah dengan amat baik.” Ujar Dr. Zaki sambil saya memerhati pohon tersebut. Cuba untuk mencari di mana keajaibannya.
“Apa yang istimewa sangat dengan pohon tomato ni?” Saya bertanya. Terpinga-pinga.
“Cuba anta tengok, kawasan ni kan berbatu, dan pohon ni bukan ditanam oleh sesiapa. Semasa Ramadhan yang lepas, asal tempat pohon ini adalah antara tempat orang membuang sisa makanan selepas berbuka.”
“Macam-macam yang dibuang, termasuklah sisa tomato.”
"Daripada sisa tersebut, tumbuhlah pohon ini secara perlahan-lahan. Tidak ada siapa yang menyedari pada mulanya."
“Namun, pohon tomato ini amat istimewa kerana walaupun tak dijaga, tak disiram kecuali oleh hujan, letaknya pula di kawasan yang penuh batu dan tidak ada siapa yang mempedulikannya, namun dia tetap berbuah dengan elok.”
“Walhal, pohon tomato yang ana tanam di rumah, jenuh ana siram, bubuh baja dan guna tanah yang baik, tapi tetap tidak mahu berbuah.” Jelas Dr. Zaki lagi.
Masyaallah, saya baru menangkap keajaibannya!
Sungguh! Pohon tomato di laman masjid Khalil ini telah membuktikan bahawa apa yang Allah kehendaki, pasti akan terjadi, walaupun kelihatan mustahil di mata manusia.
Namun, perancangan manusia, walaupun seteliti dan sehebat mana sekalipun, tetapi jika tidak diizinkan Allah, tetap tidak akan terlaksana.
Subhanallah, pada pohon tomato ini ada pengajaran yang besar buat menanam sifat pasrah pada kehendak Allah dalam diri.
Apa yang dikehendaki Allah, tidak akan ada usaha yang dapat menghalangnya.
Apa yang tidak dikehendaki Allah, tidak akan ada usaha yang mampu menjayakannya.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.” (Taubah: 51)
No comments:
Post a Comment