Bismillah,
Komuniti Melayu Adelaide semalam dikejutkan dengan berita tentang Dr. Zaki Ibrahim, seorang doktor perubatan yang amat dikenali di kalangan komuniti Malaysia di sini. Berita yang dilaporkan oleh beberapa akhbar dan media tempatan itu menyebut bahawa Dr. Zaki telah didapati bersalah atas tuduhan kesalahan serangan seksual ketika beliau bertugas di kawasan pedalaman South Australia. Laporan tersebut boleh dibaca disini (http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/3/24/nation/20120324143756&sec=nation)
Saya menulis warkah ini bukan sebagai hujah pembelaan Dr. Zaki yang masih dalam proses untuk memfailkan rayuan, bukan juga kerana Dr. Zaki adalah bekas pimpinan ISMA Australia yang mana kini saya menyandang jawatan sebagai ketua biro tarbiah dan latihan di peringkat Australia dan timbalan pengerusi di peringkat South Australia, tapi saya menulis warkah ini atas dasar beliau adalah sahabat dan saudara muslim yang saya kenali peribadi dan keluarganya dengan amat rapat dan juga untuk mengelakkan persepsi liar dan tidak adil terhadap beliau dan keluarga yang mungkin timbul akibat laporan berita tersebut.
Saya mengenali beliau telah agak lama, iaitu ketika beliau masih berada di Australia dan saya juga masih bertugas di UUM sebagai pensyarah (kini cuti belajar selama 36 bulan). Ketika itu hubungan kami berdua tidaklah berapa rapat, sekadar bertemu beberapa kali dalam program-program tarbiah anjuran ISMA ketika beliau pulang bercuti di Malaysia.
Hubungan rapat antara keluarga kami bermula setelah saya menjejakkan kaki ke Adelaide, Australia untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD. Beliau menyambut saya di lapangan terbang dan antara orang yang banyak memberi bantuan dari segi nasihat dan keperluan-keperluan asas ketika saya baru hendak memulakan hidup di sini dan semestinya kerana saya dan beliau adalah ahli kepada sebuah NGO dakwah yang sama iaitu ISMA. Saya banyak bertukar pendapat dan berbincang bersama beliau tentang banyak perkara dari dakwah, politik, perniagaan dan isu pendidikan anak-anak.
Berkenaan dakwaan dan kes mahkamah yang beliau hadapi, saya tidak mengetahuinya secara terperinci kerana beliau tidak pernah menceritakannya kepada saya sebelum ini. Cuma saya dan beberapa rakan lain tahu bahawa beliau sedang berdepan dengan beberapa masalah dari segi kerjaya, dan ketika berita ini keluar, kami juga sedikit terkejut dengannya.
Namun setelah berbual secara peribadi dengan beliau dan beberapa rakan doktor yang bekerja di sini, kes begini bukanlah satu kes yang asing dan hanya kes kecil sahaja, cuma ditaqdirkan Allah, beberapa kesilapan yang berlaku di pihak beliau mungkin menyebabkan keputusan majistret mahkamah tidak memihak kepada beliau. Untuk memahami situasi perubatan di Australia dengan lebih jelas, saya sertakan tulisan sahabat saya, Dr. Wan Ridhuan di akhir warkah ini.
Saya tidak ingin mengulas lanjut berkenaan dengan kes yang masih sedang berjalan (diperingkat rayuan), semoga Allah menunjukkan kebenaran dan memberi keputusan yang terbaik bagi pihak dirinya. Apa yang ingin saya ulas adalah berkenaan dengan peribadi beliau yang saya kenali dan bagaimana seharusnya sikap kita sebagai seorang muslim ketika berhadapan dengan berita-berita yang begini.
Beliau saya kenali sebagai seorang yang tegas dan berprinsip walaupun tidak semua perkara yang saya bersetuju dengannya. Beliau sentiasa melazimkan diri berjemaah di masjid, amat menitikberatkan tentang pendidikan Islam terhadap anak-anaknya dan aktif terlibat dalam menjayakan program-program Islam bersama komuniti muslim antarabangsa bersama pertubuhan IICSA. Rumah beliau juga sering menjadi singgahan anak-anak dan keluarga untuk program-program tarbiah anak-anak dan keluarga. Anak-anak saya juga amat gemar untuk bermain bersama anak-anak beliau di rumahnya.
Dr. Zaki ketika dalam salah satu program tarbiah anak-anak di rumahnya |
Ada juga beberapa entry daripada blog ini adalah hasil dari perbincangan dan tazkirah yang diberi olehnya.
Selain itu, walaupun telah tidak menjadi pimpinan ISMA Australia dan tidak lagi terlibat secara langsung dalam organisasi, beliau banyak berkongsi nasihat dan panduan kepada ‘juniors’ tentang dakwah dan tarbiah atas kapasiti beliau sebagai orang lama dalam dakwah di sini sejak zaman MISSA (Malaysian Islamic Society of SA kalau tak silap saya) hinggalah kepada awal penubuhan ISMA Australia.
Kesimpulannya, setakat saya mengenalinya, tidak ada dari dirinya yang saya ketahui melainkan kebaikan.
Mereka yang juga mengenalinya secara peribadi, pasti akan mengetahui kebaikan peribadi dan pengorbanan-pengorbanan yang telah dilakukannya dan tuduhan yang dikenakan adalah satu perkara yang seharusnya dengan mudah kita bersangka baik dengannya.
Sewajarnya sikap kita dalam peristiwa ini dan peristiwa-peristiwa lain yang menimpa orang yang beriman adalah seperti sikap Abu Ayyub Al Ansari ketika berdepan dengan peristiwa Hadith al ifk (fitnah yang menimpa Saidatina Aisyah dan Safwan). Ketika Ummu Ayyub (isteri Abu Ayyub) bertanya, “Wahai Abu Ayyub, tidakkah kamu mendengar tuduhan ke atas Aisyah?”
“Ya,” jawab Abu Ayyub dan beliau menyambung lagi,
“Saya tahu itu hanya dusta belaka, kamu sendiri wahai Ummu Ayyub, pernahkah ada keinginan dalam hatimu mahu melakukan apa yang dituduhkan kepada Aisyah?”
“Tidak,” jawab Ummu Ayyub.
“Aisyah pasti tidak akan melakukan hal yang sedemikian sedangkan beliau itu adalah lebih baik dari kebanyakan orang.” Tegas Abu Ayyub.
Kisah ini dimuatkan dalam banyak kitab, antaranya adalah Tarikhuth Thaari karya Imam Tabari dan Tafsir Fi Zilal Quran karya Syed Qutb.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tuduhan dan penyebaran berita ini secara meluas di media arus perdana mungkin akan mewujudkan pelbagai sangkaan dan pastinya tekanan yang hebat kepada beliau dan keluarga beliau di sini dan di Malaysia.
Saya berharap, dalam saat-saat sukar begini, kita yang mengenalinya dapat menjalankan khidmat kita sebagai seorang muslim kepada dirinya dengan baik. Jika tidak mampu membantu, bersangka baik, bersimpati dan berdoa pun sudah amat memadai. Hari ini beliau diuji, esok dan lusa mungkin giliran kita pula. Getirnya perjalanan hidup ketika berhadapan dengan kes mahkamah selama hampir setahun hanya Allah yang mengetahui perasaannya.
Saya yakin bahawa ujian yang Allah timpakan padanya ini adalah untuk meningkatkan darjatnya dan menghapuskan dosa-dosa. Semoga Allah mengurniakan kesabaran, membantu dan mempermudahkan segala urusannya.
Insyaallah.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tulisan Dr. Wan Muhd Ridhuan (Dr. Duwe)
Perubatan, Seksualiti, Berita dan Fitnah
Hati gusar membaca berita seorang sahabat didakwa kerana serangan seksual terhadap pesakitnya. Saya tidak terkejut tentang berita tersebut kerana sebelum ini pernah berbual dengan beliau tentang kes terbabit dan penjelasannya lebih berkisarkan tentang dokumentasi yang tidak lengkap (incomplete documentation), tetapi yang lebih menggusarkan saya ialah reaksi masyarakat atau orang ramai terhadap berita terbabit.
Bukan maksud saya menulis artikel ini untuk menyokong sahabat saya dalam isu tersebut, tetapi saya lebih bermaksud untuk menerangkan secara umum beberapa isu yang berkaitan dalam kes beliau kerana saya juga seorang doktor, pernah terbabit dalam kes mahkamah di Australia dan hampir terperangkap dengan isu serangan seksual terhadap pesakit agar para pembaca dapat meneliti isu sensitif ini dengan minda yang terbuka tanpa prejudis.
Perubatan dan seksualiti
Saya pernah terlibat dalam satu kes mahkamah di Australia sebulan yang lepas tetapi isu yang berlainan iaitu serangan fizikal. Alhamdulillah, dibantu dengan dokumentasi yang lengkap ketika saya merawat pesakit terbabit, kes berjalan lancar dan saya tidak disabitkan dengan kesalahan.
Berbalik kepada pengalaman bekerja di sini, saya pernah beberapa kali hampir terperangkap dalam kes legal berkaitan dalam isu seksualiti tetapi syukur berjaya diselesaikan ‘on-spot’ dan tidak pernah difailkan oleh pesakit.
Umum mengetahui bahawa isu seksualiti di Australia lebih terbuka berbanding dengan beberapa tempat di dunia di mana membincangkan isu seksualiti ini agak sensitif atau ‘taboo’. Sejak belajar perubatan di peringkat siswazah, saya dapati dan berpandangan secara majoritinya wanita di Australia lebih terbuka dan selesa dalam membincangkan kes atau masalah seksualiti (atau yang berkaitan) dengan doktor yang berlainan jantina.
Pengalaman saya sebagai doktor junior di bahagian sakit puan (Gynaecology Department) tahun lepas membuka ruang untuk lebih mengenali wanita daripada pelbagai latar belakang bangsa dan sosial. Tidak dinafikan memang wujud masalah sebagai seorang doktor lelaki terutamanya ketika melakukan pemeriksaan alat sulit (per vaginal examination).
Selain di bahagian sakit puan, saya juga hampir terperangkap dalam isu seksualiti ini ketika di bahagian kecemasan (Emergency Department).
-
- Seorang lelaki homoseksual datang pada waktu malam meminta ubat pencegahan virus HIV setelah kondom yang digunakannya pecah ketika melakukan seks luar tabii dengan lelaki lain. Banyak yang kami bualkan dalam kes ini yang menyebabkan pesakit ini tidak berpuas hati dengan saya. Bagaimanapun, setelah diterangkan dengan baik oleh saya, pesakit menerimanya walaupun seolah-olah masih membenci saya di dalam hati.
-
- [Kes ini baru berlaku minggu lepas]: Seorang wanita Asia bersuamikan Caucasian (orang putih) datang dengan nanah sekitar lubang dubur (perianal abscess). Setelah mendapatkan cerita masalah (history taking), saya melakukan pemeriksaan alat sulit (per rectum examination) untuk melihat sejauh mana teruknya nanah terbabit bertemankan seorang jururawat wanita sebagai ‘chaperone’ (peneman) dan pesakit juga tidak membantah. Melihatkan nanah terbabit agak ‘extensive’ dan berhampiran dengan kemaluan hadapan, saya terpaksa memeriksa bahagian kemaluan hadapan wanita terbabit. Setelah saya habis melakukan pemeriksaan dan keluar daripada bilik pemeriksaan, jururawat wanita terbabit datang memberitahu saya bahawa pesakit itu lebih suka doktor wanita yang memeriksanya berdasarkan latarbelakang bangsa dan sosialnya. Sebaik sahaja diberitahu, saya terus berjumpa dengan pesakit terbabit serta suaminya. Setelah berbincang elok-elok, akhirnya pesakit tersebut setuju dengan tindakan saya sebelum ini, dan saya dokumenkan segala isu yang timbul terbabit dalam nota kesnya (her case note).
Berdasarkan sedikit pengalaman di atas, tidak dapat dinafikan bahawa doktor-doktor sangat cenderung untuk melakukan kesalahan termasuk dalam isu-isu sensitif tidak kira di negara mana pun termasuk yang agak terbuka dalam isu seksualiti. Bagaimanapun terdapat cara untuk mengelakkan masalah terbabit dari awal ataupun kemudian. Dengan ilmu serta panduan yang dipelajari sepanjang belajar perubatan serta bekerja, terdapat beberapa tips untuk menghindari masalah ini:
- Tanya pesakit perempuan terbabit bermula dari awal samada beliau selesa diperiksa oleh doktor lelaki
- Gunakan ‘chaperone’ (peneman), sebaik-baiknya jururawat perempuan, ketika melakukan pemeriksaan alat sulit
- Dokumentasi yang lengkap bermula daripada mendapatkan cerita masalah atau simptom (history taking), pemeriksaan fizikal (physical examination), diagnosis serta sebarang isu yang timbul sepanjang temubual dan pemeriksaan kesihatan antara doktor dan pesakit.
- Bincang dengan pesakit elok-elok, meminta maaf sekiranya perlu.
- “Be empathy rather than sympathy”.
Itulah sedikit sebanyak kisah berdasarkan pengalaman cetek saya sebagai doktor di Australia dalam menangani isu seksualiti supaya para pembaca dapat memahami realiti dan latar belakang kerjaya sebagai seorang doktor dalam isu ini.
Memahami kesahihan berita dan fitnah
Sebagai umat Islam, al-Quran dan as-Sunnah perlu dijadikan panduan dalam pelbagai aspek kehidupan. Dalam memahami sesuatu khabar berita, saya lebih suka mengambil pengajaran daripada kisah berita bohong (‘Ifk’) terhadap Ummul Mukminin A’isyah r.a. dalam surah An-Nur: 11-26 (Untuk penerangan lanjut, sila semak tafsir-tafsir muktabar tentang kisah ini). Pengajaran penting daripada kisah ini ialah pastikan kesahihan berita terlebih dahulu tanpa mempercayainya bulat-bulat, mengajar untuk bersangka baik sesama Muslim (husnu zonn) serta menjauhi buruk sangka (su’u zonn), apatah lagi sekiranya berita tersebut melibatkan aib serta fitnah. Tidak perlu saya terangkan betapa besarnya kesan fitnah itu sehingga disebutkan dua kali dalam al-Quran sebagai lebih besar daripada membunuh [Al-Baqarah: 191 &217].
Oleh itu, saya mengharapkan para pembaca supaya lebih teliti dan memahami latar belakang sesuatu isu dalam mendapatkan pandangan sesuatu berita. Ini penting kerana selain kita mempunyai akhlak tersendiri berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, kita juga dapat mengelakkan keburukan terhadap diri kita sendiri serta orang lain.
Kepada sahabat saya yang didakwa dalam kes tersebut, saya mendoakan yang terbaik buat beliau dalam menghadapi situasi ini serta banyakkan bersabar. Seperti yang diceritakan oleh beliau, kesilapan utamanya ialah kerana dokumentasi yang tidak lengkap (incomplete documentation). Saya mengenalinya bagaimanapun hanya Allah SWT yang lebih mengetahui tentang makhlukNya. Mudah-mudahan kisah beliau menjadi teladan buat diri ini, sahabat-sahabat yang bergelar doktor serta masyarakat umum secara amnya.
Disediakan oleh,
Dr Wan Muhd Riduan Wan Jaffar
MBBS (Monash).
Nak tanya. Kalau berita fitnah Zaki tak boleh percaya, kenapa berita fitnah Anwar boleh percaya?
ReplyDeletePelik juga Dr Wan Riduan ni. Patutnya dia sebagai pembela Islam, dia yang offer doktor wanita untuk periksa kemaluan pesakit wanita. Ini tidak, pesakit nak doktor wanita, dia yang nak periksa, kemudia explian kat pesakit kenapa dia yang wajar periksa bukannya doktor perempuan. Mana dia tarbiah Islamnya?
ReplyDeleteAs Salam,
ReplyDeleteApa kaitan berita fitnah Anwar dengan entry ni dan bila pula saya sebut saya percaya akan berita fitnah tersebut?
Untuk pengetahuan, Dr. Wan Ridhuan menjelaskan situasi yang dialaminya di Emergency Department Modbury Hospital, dimana dia adalah satu-satunya Dr. yang bertugas pada waktu itu, harap maklum.