Menjaga Hubungan Dalam Pertunangan: Antara Syadid dan Boombastik

“Abang Sham, nak tanya sikit boleh tak?” Soal Fahmi kepada saya setelah kami berdua selesai solat Isya’ di masjid Wandana.

“Boleh, tanyalah.” Saya menjawab sambil membuka pintu kereta.

“Masa bertunang, macamana ye bentuk perhubungan yang dianjurkan oleh Islam?” Fahmi menjelaskan lagi soalannya setelah kami berdua duduk di dalam kereta.


“Maksudnya?” Saya bertanya kembali, buat-buat tidak faham soalan yang ditanyakan.

“Yelah, boleh ke kami telefon-telefon tanya khabar, sesekali pergi makan bersama dengan ada teman, guna panggilan-panggilan yang mungkin lebih mesra sedikit dalam sms.” Tanya Fahmi, berterus terang.

Saya tersenyum mendengar pertanyaannya. Anak muda berdarah manis yang baru bertunang di Malaysia ketika cuti musim panas baru-baru ini amat jujur dalam pertanyaannya. Walaupun bunyi soalannya agak ‘nakal’, tetapi saya amat menghargai keterbukaannya dalam bertanya.
Itu tandanya hatinya amat prihatin dengan agama, Alhamdulillah.

“Begini Fahmi, dalam pertunangan, walaupun si dia itu adalah bakal isteri, tapi tetap ada batas-batas yang harus kita hormati kerana dia masih lagi bukan muhrim walaupun statusnya dah di ‘upgrade’ menjadi teman tapi mesra.” Saya memulakan penerangan. Bunyi enjin kereta Hyundai Lantra saya yang agak bingit akibat kekurangan minyak enjin membuatkan saya terpaksa meninggikan sedikit suara agar jelas didengari.

“Fahmi jangan terikut-ikut dengan budaya songsang lagi boombastik (lebih-lebih) masyarakat hari ini, walaupun baru bertunang, tapi lebih gedik dari orang yang telah berkahwin.” Saya menyambung.

“Berkepit ke sana dan ke mari setiap hari, menonton wayang bersama, makan bersama, pergi membeli belah persiapan perkahwinan pun berdua-duaan.”

“Panggil memanggil pun dengan panggilan-panggilan ‘sayang, ‘abang’ hingga menimbulkan syahwat yang sudah tentunya akan mencetus dosa.”

“Kita kan hendak membina masjid, seeloknya kita pelihara proses dan bahan-bahan binaan masjid dari unsur-unsur yang dimurkai Allah.”

“Sebab takut nanti, bila Allah murka, tidak ada keberkatan dan kemanisan dalam rumahtangga yang kita bina. Khuatir nanti rumah tangga porak peranda akibat dosa yang meraja.”

“Itu yang jadinya bercinta bagai nak rak akhirnya lepas kahwin sebentar terus berpisah.”

“Kalau boleh tak naklah rumahtangga porak peranda kerana dosa yang dilakukan. Biar kita berkahwin dan bercerai kerana mati sahaja.”

“Kalau hendak rumahtangga bahagia, sedaya upayalah cuba untuk pelihara hak-hak Allah dalam proses untuk kita berumahtangga.”

“Elakkan keluar berdua, makan bersama, berkepit dan bergambar bersama, menayang-nayang gambar mesra bersama tunang di dalam ‘facebook’, ber ‘abang-sayang’ dan perkara-perkara yang boleh menimbulkan syahwat dalam pertunangan.”

“Islam meletakkan batas-batas dalam pertunangan bukan untuk menyusahkan, tapi agar kehormatan dan maruah diri keduanya dapat dipelihara sehinggalah saatnya benar-benar tiba.”
“Lepas berkahwin esok, nak berkepit, nak merempit berdua-duaan, nak meronggeng, nak berjimba, nak berzumba....25 jam pun takde hal...hehe.” Panjang lebar saya menjelaskan sambil memandu kereta menuju ke arah Regency Road bagi menghantar Fahmi pulang ke rumah bujangnya.

Saya melihat wajahnya yang sedang merenung jauh. Entah apa yang bermain di fikirannya. Saya menyambung lagi bicara.

“Cumanya Fahmi,”

“Walaupun Islam meletakkan batas-batas dalam pertunangan, tetapi tidaklah hingga kedua pasangan tidak boleh langsung berhubung dan berbincang.”

“Tidaklah sehingga kalau bercakap pun mesti seperti robot yang keras kematu.”

“Tidaklah hingga kalau menjawab e-mail pun seperti menjawab e-mail penyelia tesis yang kita benci. Ditanya sepatah, dijawab setengah patah.”

“Boleh sahaja hendak berziarah ke rumah ketika hari raya, sesekali bertanyakan khabar berita melalui e-mail atau sms, berbincang urusan-urusan perkahwinan dengan penuh adab dan dengan kehadiran orang ketiga.”

“Kalau berutus ‘e-mail’ dan rasa takut tidak dapat menjaga diri dari syahwat ketika berbincang, ada baiknya ‘cc’ kan ‘mail’ tersebut kepada orang tengah yang kita percayai untuk mengelakkan timbulnya suasana yang boleh mengundang dosa dalam perbincangan tersebut. Sebaiknya orang tengah tersebut adalah dari mereka yang telah berkahwin jika segan hendak men ‘cc’ kan ‘e-mail’ kepada ibu bapanya.”

“Kerana adakalanya, dalam tempoh pertunangan perlu juga perbincangan-perbincangan yang serius, yang melibatkan masa depan. Tunaikanlah hak perbincangan itu dengan penuh adab Islam. Jangan terlalu syadid (keras) hingga langsung tidak mahu berbincang.”

“Hendak membina rumahtangga, lebih sukar dari membina bangunan Eiffel Tower. Jadinya perlu banyak perencanaan dan perbincangan jika mahu hasil yang terbaik.”

“Kamu lebih tahu bagaimana urusan pertunangan kamu Fahmi. Abang Hisham hanya memberikan panduan asasnya sahaja. Ada adab-adab yang perlu dijaga kerana dia masih anak yang menjadi tanggungan ayahnya. Jangan menderhakai ayahnya dengan melibatkan anaknya di kancah dosa.”

“Cuma, bila terasa resah di hati, berwaspadalah, mungkin itu adalah tanda-tanda dosa datang menghinggap.”

“Pendekata, usah terlalu syadid dan jangan pula terlalu boombastik dalam menjaga hubungan. Carilah jalan tengah antara keduanya. Apa yang penting, letakkan neraca Islam di hadapan, bukan neraca nafsu.”

Saya memberhentikan kereta di hadapan rumahnya.

“Macamana, ok ke Fahmi?” Saya bertanya sambil menghulurkan tangan untuk menyalaminya.

“Insyaallah, ok Abang Sham, jelas dan padat. Terima kasih atas penerangannya ye.” Fahmi membalas salam dengan wajah yang ceria. Semoga ada sesuatu yang dapat dipelajarinya malam ini dari perbincangan ringkas kami berdua.

Fasa pertunangan, walaupun sebentar, adalah fasa yang tidak kurang penting dalam marhalah pembinaan rumahtangga muslim yang sebenar. Laksanakanlah adab-adab Islam dalam menjaga hubungan ketika pertunangan.

Apa yang penting, letakkan Islam sebagai neraca pertimbangan dalam apa jua perkara. Insyaallah, ketenangan akan menjadi milik kita.

3 comments:

  1. Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat ilmu hasil dari pebincangan tuan. :)

    ReplyDelete
  2. Bersetuju tetapi kadangkala terlalu syadid sampaikan nk kenal bakal teman hidup pun teragak2.. Tdak sesekali menentang adab pertunangan dlm Islam, malahan bersetuju... Cuma ia membabitkan masa hadapan kedua2 belah pihak, & seharusnya ia membabitkan pengenalan ketika tempoh pertnangan mengikut batas2 Islam supaya kedua2 sedia maklum mengenai bakal teman hidup... Jangan langsung tidak dibuka ruang utk mengenal bakal teman hidup krn ia adalah masa hadapan masing2 & tujuan pertunangan adalah utk berkenalan mngikut kaedah yg diajar Islam...sbg manusia, kadangkala wujud perasaan terkilan krn x dpt mengenali bakal teman hidup dlm tempoh bertunang..tidak meminta lebih, sekadar nk mengenali bakal teman hidup, tetapi akibat sesuatu, skrg hanya bertawakkal pdNya.. Tak berharap apa2 lg. semoga Allah maafkn andai wujud kekhilafan diri..

    ReplyDelete
  3. Jazakallahukhair.. Banyak memberi penjelasan pada saya sebagai sorang muslimah..

    ReplyDelete