“Humaira, esok maira kena puasa tau, sebab esok dah masuk bulan puasa” aku bertanya kepadanya sehari sebelum Ramadhan. Ketika itu dia sedang leka menonton rancangan kelas fardhu ain di TV9 bimbingan Ustaz Zamri Manthop.
“Boleh, Boleh, tapi puasa tu apa ayah?” dia bertanya kembali, mengalihkan seketika perhatiannya terhadap rancangan yang sedang ditontonnya.
“Puasa tu, kita tak boleh makan dan minum sampai masuk waktu maghrib” aku menerangkannya maksud puasa seringkas yang mungkin, agar dia boleh memahaminya dengan mudah juga.
“ooooo, tapi kenapa kita kena puasa ayah?” soalan kedua yang timbul lebih mencabar untuk aku menjawabnya, namun aku telah mengagak bahawa soalan ini akan ditanya. Setiap apa pasti aka nada kenapa selepasnya.
“Puasa ni Allah suruh, supaya kita jadi lebih kuat dan lebih soleh lagi” aku menerangkan lagi dengan hakikat yang mudah sesuai dengan perkembangan fikirannya yang bijak tetapi masih mentah.
“ooooo, kalau puasa boleh masuk syurga ke ayah?” dia bertanya lagi, kali ini tentang ganjarannya pula. Memang benarlah iklan susu yang menyatakan bahawa minda anak-anak ni saling berhubungan.
“Haaa, kalau puasa penuh, tentulah Allah akan bagi hadiah istimewa, bolehlah masuk dalam syurga” wajahnya kelihatan ceria, senyuman mula terukir diwajahnya apabila membayangkan tentang syurga tatkala aku menceritakan tentang hakikat balasan yang abadi kepadanya.
“Haaa, dalam syurga ada sungai susu kan ayah kan, yang kita boleh mandi kan ayah kan” Humaira mengimbas kembali penerangan tentang syurga yang selalu kami terangkan kepadanya jika dia berbuat sesuatu amalan kebaikan.
“Iyee, macam-macam ada dalam syurga tau sayang” sambil aku mengingat firman Allah dalam surah Yaasin ayat 57.
“Dan di dalam syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan apa sahaja yang diinginkan”
“Ayah ayah, dalam syurga ada aiskrim tak?” tanyanya lagi, mungkin kerana makanan kegemarannya di dunia adalah aiskrim.
“Adaa, aiskrim yang paling best paling special, nak aiskrim besar rumah pun boleh” aku menerangkan kepadanya bahawa dalam syurga kita akan beroleh apa sahaja yang kita inginkan selari dengan firman Allah dalam surah Yaasin walaupun Umar M Noor menyatakan dalam solusi isu 22 bahawa apa yang ada di syurga langsung tidak ada persamaannya dengan matabenda dunia, hanya persamaan dari segi nama sahaja supaya manusia boleh memikir-mikirkannya, namun hakikat sebenar syurga adalah kelazatan dan kenikmatan yang tidak pernah disaksikan oleh mata, didengari oleh telinga dan dibayangkan oleh hati manusia.
“Haaa, besar rumah, macamana maira nak makan?” kali ini dia tergelak kecil, sambil tangannya membuat gaya rumah yang sangat besar.
“Hehe, adalah cara dia, kalau masuk syurga baru boleh tau...” aku cuba mengacah untuk merangsang lagi motivasi dirinya dengan syurga.
“Ok..Ok, maira nak puasa, esok ayah kejut sahur macam Upin Ipin tau, maira nak makan banyak-banyak, barulah tak lapar nanti masa puasa” Bersemangat sungguh nampaknya anak sulungku ini, semoga dia akan beroleh kejayaan dalam puasa kali ini.
Dan semoga kita semua akan berkumpul di syurga sana.
No comments:
Post a Comment