Segenggam Tabah:Teaser Review

Salam semua,
Teaser novel segenggam tabah, bakal muncul tidak lama lagi (doakanlah agar diberi kekuatan ye)!
***
Kisah Satu: Mimpi


Langit tengahari itu membiru indah, awan-awan yang bergerak perlahan menjadi saksi ayat-ayat kebesaran tuhan. Tersergam gagah puluhan kapalterbang di terminal KLIA menanti masa untuk berlepas. Sesekali kelihatan kapalterbang mendarat dan tidak kurang juga yang berlepas pergi menuju destinasi tersendiri.

Bingit enjin burung raksaksa tidak dipedulikannya, Azam menatap langit tanpa putus, mulutnya terkumat kamit mendoakan agar segalanya lancar.

Hatinya lega tatkala melihat awan mendung berarak pergi menyajikan cuaca indah buat hatinya dan juga buat penghuni kapalterbang MAS yang ditatapinya sejak tadi dari jendela menara pemerhati. Perlahan-lahan kapalterbang itu bergerak meninggalkan terminal setelah tertangguh beberapa kali akibat perubahan cuaca luarbiasa.

Bukan dia sahaja yang berdiri di situ, ramai juga di kalangan sanak saudara jemaah umrah kelolaan syarikat NS travel menanti bersamanya. Pelbagai gelagat kelihatan, ada anak kecil yang melambai-lambai walaupun pasti tidak akan kelihatan oleh insan tersayang di dalam kapalterbang. Ada yang kelihatan terpegun dengan suasana dan kecanggihan lapangan terbang antara terbesar di Asia. Tidak kurang yang kelihatan basah kelopak matanya, mungkin menangisi perpisahan sementara atau mengalirkan air mata gembira.

Azam hanya memerhati gelagat mereka, kemudian dia menghalakan semula pandangannya ke arah burung besi yang membawa dua insan yang paling disayangi dalam hidupnya.

Lafaz tasbih, tahmid dan takbir terus meniti dibibirnya, segala puji untuk pemilik langit dan bumi yang mempermudahkan segala urusan dan memperkenankan hajatnya selama ini. Janjinya kepada diri sejak dahulu kini terlaksana.

“Kami belum bersedia rasanya untuk menunaikan haji, biarlah mak dan abah pi buat umrah dulu, cari pengalaman” itu kata ayahnya tika Azam menyuarakan hasrat untuk menghantar mereka menunaikan haji.

“Azam tidak membantah ayah, kalau itu yang ayah fikir terbaik, maka itulah yang Azam akan tunaikan, namun jika Ayah berubah fikiran Azam tetap bersedia Ayah” Azam menyatakan hasrat dan kesungguhannya untuk menaja pemergian ayah dan ibunya menziarahi dua kota suci dan menunaikan rukun islam ke lima. Walaupun terlintas juga sekelumit perasaan kecewa, namun dipadamkannya segera atas nama membahagiakan hati kedua orang tua.

“Azam nak hantar kami pi umrah pun, seribu syukur kami ucapkan, bukan semua yang mendapat peluang begini zam. Beruntung kami mendapat anak yang berhati mulia seperti Azam.”

Kali ini ibunya pula yang bersuara dengan senyuman yang manis. Terubat hatinya mendengar kalimah keramat yang menusuk terus ke hatinya, terlukis warna-warna bahagia pada hati setelah sekian lama dihinggap derita.

Terbayang di benak pemikirannya ketika itu, jerih payah menjual bungkusan demi bungkusan nasi lemak hingga kepada setiap butir dedak buat memberi makan kepada ikan keli dan tilapia serta ternakan ayam daging yang diusahakannya. Pengorbanan dan setiap titis peluh yang tumpah saat itu dirasakannya cukup berbaloi.

Terasa hilang segala kesusahan dan kepenatan selama ini tatkala melihat kapalterbang itu yang tadinya bergerak perlahan kini mula bergerak laju meninggalkan landasan. Azam melepaskan pandangannya seketika dan duduk sebentar di bangku yang tersedia buat melepas lelah setelah berdiri lebih dari satu jam.

“Abang!” Azam terkejut seketika dan bingkas berdiri tatkala mendengar sapaan cemas adiknya. Dia melihat seketika wajah adiknya yang bernama Anis kelihatan pucat lesi sambil jari telunjuknya tepat dihalakan ke arah kapalterbang yang sedang mengeluarkan asap dari ekor, kelihatan percikan-percikan api disekeliling tubuh kapalterbang itu.

“Eh, Ya Allah, Allahuakbar, kenapa ni? Ya Allah, Ya Allah” hatinya yang tadi berbunga gembira, kini dihinggap perasaan cemas yang tidak tergambarkan ketika dia menyaksikan situasi cemas yang berlaku. Hanya Allah yang diingatinya sekarang ini.

Kapal terbang yang belum sempat meninggalkan landasan, berpatah balik semula dalam keadaan terhoyong hayang. Azam masih tetap di jendela menara, hati dan bibirnya selari melafazkan doa, suasana tenang dan gembira sebentar tadi bertukar menjadi huru hara.

Ada yang bertempiaran lari tanpa arah, tidak kurang yang menangis dan menjerit. Juga kelihatan beberapa susuk tubuh yang pitam dan pengsan. Suasana tambah gempita tatkala kapalterbang itu terus menuju ke arah terminal pemerhati dalam keadaan separuh badannya telah terbakar dan kini ia ibarat bebola api besar yang akan memusnahkan apa jua dihadapannya.

“Abaaaaangg”, Anis menjerit dan memaut kuat tubuhnya. Azam tetap tidak berganjak, jeritan adiknya hanya kedengaran sayup-sayup ditelinga

Bunyi enjin yang semakin hampir menenggelamkan segala jerit tangis manusia yang bakal berhadapan dengan maut yang tidak tersangka-sangka. Azam tidak berganjak dari jendela. Bebola api itu tepat menuju kearahnya.

No comments:

Post a Comment