Karya Sulung!

Ketika kali pertama melihat muka depan buku ini selepas proses cetakan siap, teringat satu kata-kata tapi tidak ingat pula perawinya,


“Buku pertama akan memberikan perasaan dan kegembiraan luarbiasa dan seorang lelaki itu hanya boleh dikatakan seorang lelaki apabila dia mempunyai buku karangannya sendiri”

Namun, setelah buku ini diterbitkan (walaupun hanya cetakan awal) aku sebenarnya merasa bimbang dan gusar juga terasa malu dengan ulama-ulama terdahulu. Mereka menulis kitab dengan bahasa keikhlasan, setiap bab tidak akan ditulis melainkan akan dimulakan dengan mengambil wudhu dan solat sunat.

Pada mereka, menulis kitab adalah semata-mata untuk menyebarkan ilmu dan dakwah, langsung tiada motif keuntungan atau untuk mengejar pangkat.

Zaman dahulu, mereka tiada laptop, internet, google, laser printer, pdf, endnote dan sebagainya, tapi tetap karya mereka bukan sahaja hebat, tetapi mengkagumkan. Lihat sahaja saiz karya Imam Malik, Imam Nawawi, Imam Syafi’i atau Imam Ahmad. Jangan lupa pada muhaddisin seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tirmidzi, Imam Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya. Juga lihat pada Ibn Taimiyyah atau Imam Habib Abdullah Haddad yang buta dan kalau lebih kontemporari lihat sahaja pada Sheikh Yusuf Al Qardhawi dan Hamka.

Pada mereka, kemahuan yang kuat akan menghasilkan natijah yang luarbiasa.

Karya mereka kekal zaman berzaman dirujuk oleh generasi demi generasi, meninggalkan warisan pahala yang tidak putus-putus hingga hari kiamat. Karya kita bagaimana pula?

No comments:

Post a Comment