Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Adil Tidak Semestinya Sama Rata
Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi karena Allah biar pun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau pun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu karena ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjaan.
[4:135]
Katakanlah: "Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan". Dan (katakanlah): "Luruskanlah muka (diri) mu di setiap salat dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah) kamu akan kembali kepada-Nya)".
[7:29]
Membicarakan tentang konsep keadilan dan kesaksamaan, pelbagai definisi boleh diberi, pelbagai tafsiran boleh dibuat dan pelbagai perkara boleh diperdebatkan. Namun yang pasti, keadilan tidak semestinya sentiasa sama rata.
Dalam rumahtangga misalnya, ketika hendak pulang berhari raya, suami isteri telah menetapkan sistem giliran, maknanya tahun ini giliran suami manakala tahun seterusnya giliran isteri dan begitulah berlaku dari tahun ke tahun. Tiba satu tahun dan ketika itu giliran untuk pulang ke rumah isteri, si suami mendapat panggilan bahawa ibunya sedang sakit tenat. Ketika suami memilih untuk pulang ke rumahnya bagi menjenguk dan menjaga ibunya yang sedang sakit, apakah ketika itu suami akan dicop sebagai tidak adil kerana tidak mematuhi perjanjian dan tidak mengikut giliran pulang ke kampung? Zalimlah si isteri jika tetap berkeras mahu menuntut hak balik kampung tatkala ibu mertuanya sedang bertarung nyawa dan amat berharap untuk menatap wajah anak-anaknya yang mungkin tatapan itu adalah tatapan terakhir.
Tatkala seorang ibu makan bersama anak-anaknya, tidak adilkah si ibu apabila hanya menyuap anaknya yang masih kecil yang belum pandai untuk menyuap makanan sendiri dan dibiarkan anak-anaknya yang telah besar panjang makan dengan upayanya sendiri? Ibu itu tahu, satu hari nanti anak kecil itu akan membesar, tetapi buat masa ini upaya tangannya masih lemah dan perlu dibantu, jika dibiarkan akan tumpahlah nasi merata-rata dan akan kelaparanlah anak kecil itu.
Ketika si anak yang telah besar memberontak di meja makan, menyatakan ibunya tidak adil, pilih kasih dan meminta agar ibunya tidak lagi menyuapkan anaknya yang kecil dan memberi potongan ikan yang dikhaskan untuk anak kecil kerana tidak upayanya tadi untuk mencubit daging ikan dengan baik dan selaju abang-abang yang telah besar , si ibukah yang zalim kerana tidak mahu memberi ikan atau anak besar itu kah yang kurang rasional?
Ketika mana seorang pencuri masuk ke rumah dan akhirnya memilih untuk menetap di rumah itu, adilkah pihak polis apabila mengarahkan tuan rumah untuk berkongsi rumah bersama si pencuri? Tatkala tuan rumah cuba untuk melawan pencuri, tuan rumah pula yang ditangkap polis dan dipenjarakan manakala sang pencuri dibiarkan lepas bebas dan meletakkan pelbagai peraturan disana dan disini untuk tuan rumah yang dibebaskan kemudiannya. Adilkah begitu?
Keadilan itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, menunaikan hak kepada yang patut mendapatnya. Zalimlah kita apabila ketayap yang letaknya dikepala disarungkan dikaki manakala selipar disarungkan di kepala. Mungkin ketika itu, manusia tidak lagi akan menuduh kita zalim, bahkan gila mungkin.
Berpada-padalah dalam membuat tuntutan, fahamilah suatu isu dengan kefahaman yang benar dan berlaku adillah jika tidak mahu dikatakan gila!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment