Walau Sekelumit “Ah!”

gambar kami sekeluarga, lama tidak dapat bergambar seperti ini

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” Al Isra:23

Dalam Al Quran, banyak akan kita dapati suruhan-suruhan untuk berbuat baik dan galakan untuk berdoa kepada ibu bapa, terutamanya apabila kedua mereka telah lanjut usia. Suruhan ini adalah suruhan yang banyak hikmahnya dan hanya akan kita fahami apabila ibu bapa kita sendiri telah sampai ke satu peringkat usia yang biasanya di Malaysia kita menyebutnya sebagai warga emas.

Hati ibu bapa yang telah lanjut usia adalah ibarat taufu lembut, mudah terguris walau dengan sekelumit perkatan “Ah!” atau tindakan-tindakan kita yang kecil apatah lagi tika mereka dilanda sakit yang menduga atau ada keresahan yang melanda.

Pada kita, mungkin perkara yang mengguris hati mereka adalah tidak sepatutnya mereka berkecil hati kerananya. Mungkin kita hanya ingin beramah mesra atau berlawak jenaka, dan mungkin juga bagi kita tindakan-tindakan kita adalah perbuatan yang harus disisi agama.

Kadang-kadang kerana satu tindakan atau perkataan yang kita ucapkan dengan sengaja atau tidak sengaja, samada kita memaksudkannya atau tidak, akan menimbulkan rasa marah yang bersangatan dihati mereka, membawa pada rajuk yang panjang dan terkeluarlah perkataan-perkataan yang amat memedihkan rasa tika kita mendengarnya.

Hati pasti akan terasa sedih dan pilu, apatah lagi tika diungkit segala kesilapan masa silam dan dituduh sebagai tidak mengenang budi dan lebih derita jika dicop sebagai derhaka walhal langsung tidak kita bermaksud untuk melukakan hati mereka.

Namun, suruhan Allah untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukanlah suruhan yang bersyarat, ia adalah perintah mutlak tanpa mengira dalam situasi apa kita berada. Walaupun kedua ibu bapa kita tidak seagama, walau hati kita sentiasa terluka dengan kata-kata dan tindakan mereka.

Tinggalkanlah justifikasi-justifikasi dan perdebatan walaupun kita berada di pihak yang benar jika perbincangan itu hanya akan mengeruhkan keadaan. Hatta dalam situasi bagaimana sekalipun, tanggungjawab seorang anak kepada kedua orang tuanya adalah dengan memelihara hubungan yang baik dan sentiasa memuliakan mereka. Usahlah berputus asa dalam membina jambatan kasih dengan mereka, kerana redha Allah akan hadir dengan redha dua ibu bapa kita.

Tika hati terasa pedih, ingatlah bahawa ibu bapa telah membesarkan kita dengan susah payah yang tiada galang gantinya. Entah berapa ribu kali, mereka dengan sabar tetap melayani karenah dan ragam kita tanpa rasa jemu dan bosan. Ingatlah saat-saat kita terkencing diatas tilam, muntah hijau di sofa kereta, tika kita mengamuk kerana tidak mendapat mainan yang diimpi, tika mereka merawat setiap inci luka, tika tidur malam mereka yang terganggu kerana tangisan yang tidak diketahui apa sebabnya, saat mereka menghantar kita ke sekolah buat belajar tulis baca. Mereka tetap setia disisi walau apa jua situasi untuk menemani, mengorban kepentingan diri demi sebuah kasih sejati.

Walau apa jua kekurangan mereka ketika lanjut usia atau kepincangan dalam mendidik kita, mereka tetap adalah ibu bapa kita yang tidak akan kita jumpai galang gantinya walau serata galaksi kita mencarinya. Usahlah membanding-bandingkan ibu bapa kita dengan ibu bapa orang lain, kerana Allah lebih tahu pada rahim siapa selayaknya kita berada.

Bulan Syawal yang indah ini, adalah saat terbaik buat kita merapatkan hubungan yang renggang, memohon keampunan atas segala salah kata dan tindakan kita kepada kedua ibu bapa. Lupakanlah segala sengketa, ketepikan segala ego dan carilah redha Allah melalui redha ibu bapa.

Keberkatan hidup itu ada pada redha dan doa kedua ibu bapa kita.

Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri". (Al Ahqaf : 15)

7 comments:

  1. assalamualaikum akhi...

    salam lebaran buat akhi sekeluarga...ana suka membaca coretan akhi berkaitan humaira..dia anak yang cerdik dan pintar..alhamdulillah..ana juga menginginkan anak yang sikapnya dan fikirannya seperti humaira...insyaallah

    jauh disudut hati ana..ana cemburu dengan kebahagiaan akhi bersama isteri dan anak2...lama ana menunggu saat bahagia seperti itu...tp mungkin belum masanya...ape2pun ana tidak berpurus asa dan terus berdoa moga allah memaqbulkan permintaan ana walaupun pada lewat usia awal 30 an...ana berharap ana juga boleh bahagia seperti org lain walaupun sekejap sebelum menutup mata bertemu allah kembali..

    ujian sekarang yang ana rasa kan selain dari ujian di tmpt kerja ialah hati ana sangat ingin untuk berumahtangga...tp belum ada lagi yang berani datang meminang ana....mungkin kerana faktor keluarga yang meletakkan mahar yang tinggi untuk mana2 lelaki yang mahu menyunting ana...walaupun usia ana telah berada pada angka 30...

    ana hanya mampu menumpang gembira dan rasa bahagia pada kegembiraan dan kebahagiaan orang lain (kawan2 dan blogger2)...moga allah mengasihi ana walaupun Dia menakdirkan ana tidak bersuami hingga akhir hayat...

    ReplyDelete
  2. waalaikumussalam

    terima kasih atas kunjungan dan ziarah, moga ada kebaikan dari coretan-coretan yang bermanfaat.

    Insyaallah, teruskan berdoa, wanita yang baik tersedia untuknya jodoh yang baik juga. Cuma jangan jemu berusaha dan berdoa dan selalulah berbincang dengan ibu bapa. Jika kena caranya, pasti hati mereka akan lembut dan terbuka.

    Ajal, maut jodoh semuanya ditangan tuhan, jika bukan disini jodoh kita, disyurga pasti ada jika kita beriman dan bertaqwa dengan bersungguh-sungguh.

    Mohonlah pada Allah, kerana dia jua yang maha memberi.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum akhi....

    terima kasih kerana membalas komen ana...mmg ana tunggu...syukran...

    terima kasih juga di atas sokongan akhi...ana akan terus berusaha dan berdoa...insyaallah...amin ya rabb...

    cume ana nak tny....bagaimana agaknya jodoh wanita yg dulunye mungkar pada perintah allah...tp kini telah kembali ke jalan Nya dan bertaubat...berjanji tidak mengulanginya kembali...adakah wanita itu layak mendapat jodoh yang baik?..adakah allah tetap menghukum wanita itu?...

    ReplyDelete
  4. waalaikumussalam warahmatullah,
    perasaan ingin berpasangan adalah fitrah kejadian manusia yang amat indah, apatah lagi jika ianya dihiasi mawaddah dan rahmah.

    Ukhti, Allah itu maha luas rahmatnya, dia adalah penguasa semesta alam dan pemilik segala perbendaharaan langit dan bumi. Dia mampu untuk memberikan apa sahaja, ye apa sahaja untuk hamba-hambanya yang dicintainya, iaitulah hambanya yang bertaubat dan sentiasa memelihara kehormatan dan kesucian diri.

    ReplyDelete
  5. bagaimana untuk kita merasakan dosa telah diampun allah?
    apakah merasakan dosa tidak diampun itu bererti kita tidak mempercayai allah?
    ana bingung akhi...dosa terlalu banyak...rasa spt tidak diampun..bukan ana bersangka buruk pd tuhan...tp ana rs ada kaitan dgn lmbtnye jodoh ana...
    ana berusaha setiap hari untuk tidak terlalu memikirkan hal2 dunia...tp ana gagal...

    ReplyDelete
  6. Ukhti,
    Orang mu'min itu merasai dosa itu ibarat gunung yang ingin menghempapnya (maksud hadis).

    Adapun jika hati kita cinta kepada kebaikan dan mudah memahami perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan benci kepada kejahatan, itu adalah antara tanda-tanda bahawa cahaya hidayah mula menyinari jiwa.

    Dosa-dosa yang lalu tidak perlu diungkit dan diingat lagi, pandanglah ke hadapan dan teruskan langkah dengan cemerlang

    ReplyDelete
  7. terima kasih akhi di atas penjelasan tersebut...ana tidak berani untuk menilai sendiri status ana di hadapan Allah...tp ana tahu Allah itu maha mendengar..mendengar semua doa hambaNya dan Allah itu maha mengetahui...mengetahui segala yang tersirat dan tersurat di hati hambaNya....insyaallah..ana akan meneruskan langkah hidup selagi dipinjamkan oleh Allah dengan nafas dan degupan jantung....langkah cemerlang...wp langkah yang dipijak terasa berduri kesan akibat dosa silam...

    ReplyDelete