Merendamkan tubuh di pinggir Laut Cina Selatan yang luas terbentang di daerah Marang pada waktu pagi yang tenang selepas menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Rusila sambil menyaksikan sang mentari melunaskan janji adalah kepuasan yang tidak mampu untuk ditulis dengan kata-kata.
Sesekali aku mengerling Humaira yang leka bermain pasir sambil tangan kecilnya mengorek-ngorek mencari anak-anak ketam yang berselindung di balik cengkerang siput dan kerang yang bertaburan diatas butiran-butiran pasir halus yang tersusun indah.
Setelah puas bermain pasir agaknya, dia berlari ke arahku untuk membasahkan tubuhnya dengan air laut yang jernih. Dia merenung lantunan ombak dan mengamati desirannya yang memikat lalu bertanya
“Ayah, kenapa dekat laut ada ombak?”
Soalan yang telah aku agak akan ditanyakannya ketika kami merendamkan diri membiarkan tubuh diusap oleh ombak sepoi-sepoi bahasa bertemankan anak-anak ikan kecil halus yang berenang bebas mencari rezeki yang dijanjikan.
Aku terdiam sejenak, mencari-cari jawapan yang terbaik, setahu aku, ombak boleh terbentuk akibat dari 3 keadaan, yang pertama adalah akibat tarikan graviti bulan yang menyebabkan air tertarik ke lautan dan kemudian terlepas kembali kerana tarikan graviti bulan yang tidak cukup kuat. Untuk menerangkan cara ini, aku merasakan agak tidak sesuai kerana nanti akan ditanyakan pula apa itu graviti dan kenapa bulan boleh ada graviti pula. Ah! Jangan cari penyakit Hisham...
Aku terfikirkan cara yang lebih ekstrem iaitu akibat sesaran kerak bumi yang mengakibatkan tsunami, tetapi rasanya ombak bentuk itu bukanlah seperti ombak yang kami saksikan bersama pagi ini.
Cara yang paling mudah rasanya adalah dengan menerangkan konsep tiupan angin yang menyebabkan air laut beralun-alun dan akhirnya terhasillah ombak. Lebih mudah dan praktikal.
“Ehem, Ehem....Humaira, begini” aku memulakan bicara lagak seorang saintis pakar yang ingin menerangkan tentang teori besar kejadian ombak dalam seminar antarabangsa yang dihadiri oleh cendekiawan-cendekiawan ulung dari seluruh dunia.
“Humaira tahu tentang angin?” aku menjawab soalannya dengan soalan, kaedah biasa yang aku gunakan untuk merangsang mindanya agar turut sama bergerak. Juga ia sebagai strategiku untuk mencuri masa tika soalan yang ditanya tidak dijumpai jawapannya dalam ensiklopedia kompleks di kepalaku yang terkandung di dalamnya keupayaan pemikiran yang hampir tidak pernah dioptimakan.
“Tahu, tahu” dia menjawab ringkas.
“Ok, kalau tahu bagus, sekarang ni dekat laut ada angin yang bertiup kan, Maira boleh rasa tak?”
“Ha, rasa, rasa” sambil dia memegang wajahnya merasai tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.
“Bila angin tu bertiup, dia akan tiup air tu sama” kemudian aku mengambil secedok air dengan genggaman tanganku dan kemudiannya aku meniupnya untuk menunjukkan contoh mudah bagaimana ombak terhasil.
“Maira nampak tak air yang dalam tangan ayah ni, bergerak-gerak dan berombak bila ayah tiup. Macam tu juga dengan air laut, bila angin bertiup dan kemudian akan adalah ombak dekat laut sama macam yang ayah tunjuk dalam tangan ayah tadi”
Dia kemudiannya turut mengambil secedok air dan kemudian turut ditiupnya seperti contoh yang aku lakukan tadi. Air di tangannya juga bergerak-gerak dan berombak sama seperti demonstrasi yang aku lakukan tadi.Wajahnya kelihatan puas sekali dapat memahami bagaimana ombak terhasil melalui eksperimennya sendiri.
“Nah, faham sekarang?” aku bertanya kepadanya untuk mencari kepastian. Dia mengangguk-ngangguk tanda faham.
“Maira, dengar ni. Paling penting adalah, ombak dan lautan ini, semuanya Allah yang ciptakan, hebat tak Allah” aku kembali kepada kesimpulan yang paling penting dalam pelajaran pagi ini dan pada hari-hari yang lain, iaitu meletakkan rasa kehebatan Allah pada setiap ciptaan di alam ini pada jiwa kecilnya yang masih lagi lentur.
“Hebat, hebat, hebat” mulutnya menjawab tapi matanya melihat-lihat anak-anak ikan kecil halus yang berenang renang manja sambil tangannya cuba menyauk ikan ikan itu.
Menerangkan tentang konsep ombak,agak mudah, tidak sesusah menerangkan konsep kenapa daun hijau dan bagaimana Allah melihat kita. Menjawab persoalan anak-anak, perlukan kesabaran dan sedikit kreativiti, dan paling penting, jangan lupa untuk menambahkan perisa keimanan dan tauhid ke dalam setiap kisah, kerana tarbiyyah itu ada di mana-mana.
“Maira, ombak ni selain dari kena tiup angin, ada satu cara lain lagi macamana ombak boleh jadi, nak tau tak?”
“Nak, nak, nak”
“Ok, boleh, tapi kena tutup mata dulu” kali ini aku akan demonstrasikan pula padanya teknik ombak akibat sesaran bumi. Aku mencedok air dari tanganku dan meminta dia menunggu dengan mata yang terpejam.
“Sedia, satu, dua, tiga...nah terimalah ombak yang ketiga!” aku mencampakkan air laut ke mukanya ala ala tsunami yang melanda.
“Ayaaaaaaaaahhhhhhhh!”
ya akhi...tarbiyyah ada di mana2..termasuk lah di blog akhi ini...teringin hati saya bertemu humaira...subhanallah...anak itu sgt bijak...
ReplyDelete