Cerpen : Mendakap Cahaya (Bahagian 1)

Oleh : Mohd Hisham Mohd Sharif

Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu, dan ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nya lah kamu akan dikumpulkan.

Al Anfal: 24
Langit kelihatan cerah dan cantik, awan putih yang terbentuk menambahkan keindahan dan keagungan tanda-tanda kebesaran tuhan. Mentari yang terik adakalanya menyorok di sebalik awan putih yang bertompok-tompok menyajikan suasana cerah yang menceriakan suasana. Burung-burung kecil dan besar berterbangan bebas di udara mencari rezeki yang dijanjikan oleh tuhan.

Suasana indah petang itu aku nikmati di Kafe Hijau Kuning bersama seorang pelajar. Kafe terbuka yang dikelilingi oleh bangunan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan itu agak sepi di waktu petang begini.

Rata-rata pelajar telah tamat sesi kelas dan kini berbondong-bondong pulang ke dewan penginapan masing-masing untuk berehat dan berekreasi. Hanya kelihatan beberapa staf akademik dan pentadbiran sedang minum dan berbual-bual sesama sendiri. Kedai-kedai juga telah mula ditutup perlahan-lahan.

“En Hisham, boleh saya tanya satu soalan”

Kim Swee yang senyap dari tadi memulakan bicara. Air sirap bandung di mejanya masih belum terusik. Kerutan di dahinya sedikit sebanyak menunjukkan seperti dia sedang memikirkan sesuatu perkara yang berat.

Aku memandang wajahnya dan ku hadiahkan sebuah senyuman manis. Dalam diam aku harus mengakui bahawa pemuda yang bernama Tan Kim Swee ini cukup tampan seperti pelakon dari Negara Korea dalam drama Winter Sonata.

Matanya tidaklah begitu sepet, wajahnya kekuning-kuningan dan sangat bersih. Hidungnya sedikit mancung, agak lucu aku melihatnya. Aku sendiri tidak pasti dari mana dia mewarisi hidung mancung sedemikian, mungkin ada salasilah keturunannya yang berasal dari Eropah atau India agaknya.

Rambutnya yang lurus disisir rapi, tipikal seperti mana-mana pemuda sebangsa dengannya, jambulnya yang ala-ala Chow Yuen Fatt tetap tidak terjejas walau apa jua situasi, kesan gel rambut tebal jenama Brylcreem yang dipakai agaknya.

Bajunya yang sentiasa kemas dan berpadanan warna dengan seluar dan tali leher yang dipakainya menambahkan lagi kehebatan penampilan dirinya. Tidak mustahil jika ramai anak dara sebangsa denganku dan sebangsa dengannya yang mengimpikan untuk bertemu janji atau berkahwin dengannya.

“Apa dia Kim Swee?”

Aku menjawab pendek, sambil menghirup kopi Radix yang cukup enak dihirup panas-panas diwaktu petang selepas habis tugasan pengajaran. Kebetulan, ketika aku hendak pulang ke rumah tadi selepas selesai sesi tutorial kelas pengaturcaraan, Kim Swee, bekas pelajarku semester lepas dan kini semester akhir dalam jurusan Perakaunan Sistem Maklumat datang mengetuk pintu dan menyatakan hasratnya untuk bertanyakan sesuatu.

Jika pelajar lain yang datang, aku pasti menolak pelawaan kerana hambatan-hambatan tanggungjawab rumahtangga yang menanti, tetapi ketika melihat kesungguhan dan keseriusan Kim Swee aku merasakan ada sesuatu yang sangat penting dan melihat rayuan dari bahasa tubuhnya membuatkan aku tidak mampu menolak.

Kim Swee memang agak rapat denganku dari semester lepas, dia adalah seorang pelajar yang aktif, mudah mesra dan tidak pernah malu untuk bertanya jika terdapat persoalan-persoalan dan konsep berkenaan subjek pelajaran yang masih belum difahaminya. Dalam ramai-ramai pelajar, dia antara pelajar yang paling kerap berjumpa denganku.

Jika bukan berkenaan dengan pelajaran, pasti dia akan datang untuk bertanya berkenaan dengan Islam atau tentang motivasi kehidupan. Walaupun kadang kala sibuk, tetapi aku tetap berusaha meluangkan masa untuk melayani setiap pertanyaannya, kerana aku tahu pada setiap pertanyaannya ada persoalan yang besar yang sedang bermain di kepalanya.

***

“Allah itu tuhan orang Islam, tapi mengapa umat Islam di Palestin tidak dibantunya?”

Aku terkejut seketika mendengar soalan itu, tidak ku sangka bahawa soalan itu akan terbit dari bibirnya. Sebelum ini memang dia ada juga bertanya tentang asas-asas agama Islam kepadaku, antaranya soalan-soalan tentang Allah, solat, puasa, zakat, haji, Al Quran, peperangan dalam Islam dan sebagainya.

Tetapi tidak ku sangka bahawa isu Palestin juga menarik perhatiannya.

Dia melepaskan satu soalan yang agak mengejutkan tapi cukup menarik untuk dibincangkan, dan jawapannya bukan hanya berguna bagi mereka yang belum memeluk kebenaran, tetapi juga sangat baik untuk difahami oleh kebanyakan umat Islam yang lemah kefahamannya tentang bagaimana agama ini berfungsi.

“Begini Kim Swee, saya yakin kamu telah mengkaji tentang Islam, jika tidak kamu pasti tidak akan bertanyakan soalan ini dan soalan-soalan yang telah kamu tanya sebelumnya ketika sesi diskusi di bilik saya, dan pastinya kamu sentiasa mengambil berat tentang nasib umat Islam kerana jika kamu tidak peduli kamu tidak akan membangkitkan isu tentang Palestin”

Aku memulakan bicara.

Kim Swee mendengar dengan penuh minat, bicaraku yang berbentuk persoalan tidak dijawabnya, dia hanya mengangguk dan mendengar dengan wajah yang serius.

“Sebelum saya menjawab persoalan tadi, saya mahu meletakkan keyakinan bahawa Allah itu adalah tuhan yang maha berkuasa, menguruskan segala-galanya di alam ini.”

“Allah Menciptakan bumi, bulan, bintang dan seluruh alam cakerawala dari sistem suria yang terkandung di dalamnya bumi, matahari dan planet-planet lain hinggalah kepada galaksi-galaksi luas seperti Bima Sakti dan berjuta galaksi lain yang tidak akan terhitung jumlahnya oleh manusia yang cuba menghitung.”

“Segalanya cukup indah dan berseni, tersusun rapi hingga tidak ada satu planet pun yang pernah tersasar dari orbit laluannya. Begitu juga jarak bumi dengan matahari, jika berlaku kesilapan dalam jarak walaupun satu meter, iklim bumi akan menjadi panas atau sejuk hingga tidak akan ada lagi hidupan yang mampu hidup di dalamnya. Begitu juga dengan bulan, jika bulan itu mendekat walau pada jarak yang kecil, apa agaknya yang akan terjadi pada ombak dan pasang surut air di lautan?”

“Keluasan dan ketelitian dalam penciptaan alam ini adalah diluar jangkauan pemikiran manusia. Insan yang sebijak Stephen Hawking pun akhirnya menemui jalan buntu dalam mencari rahsia alam ciptaan tuhan yang maha luas ini.”

“Melihat fakta-fakta ini, adakah logik jika kita katakan bahawa alam itu terjadi dengan sendirinya. Logikkah jika kita masuk ke dalam sebuah rumah dan perabot dan susunannya tersusun elok kita katakan bahawa perabot itu menyusun dirinya sendiri?”

“Pasti ada tangan yang menyusunnya bukan?”

aku bertanya kepadanya.

Kim Swee hanya mengangguk-angguk, mungkin juga konsep itu telah difahaminya. Namun aku tidak mahu terburu-buru memberikan jawapan kepada persoalan yang dibicarakannya.

“Begitu juga jika kita lihat di dalam tubuh kita sendiri, jantung kita yang tidak berhenti berdegup walaupun ketika kita tidur, sistem pencernaan tubuh yang tidak mampu kita mengawalnya, perjalanan darah, sistem pertahanan badan yang mengawal dan mencegah tubuh kita dari pelbagai penyakit dengan caranya yang tersendiri dan segalanya dalam tubuh kita yang sebenarnya menggambarkan bahawa manusia ini adalah makhluk yang sangat lemah dan sentiasa berkehendak kepada tuhan yang mengawal segala-galanya. Hingga hari ini, masih ada lagi rahsia tubuh badan kita yang masih lagi misteri.”

“Cuba lihat pada ibu jari kita, walaupun lekukannya seakan-akan sama, namun tidak pernah ada dalam sejarah manusia, ada individu yang mempunyai cap jari yang sama. Begitu juga dengan wajah kita, setiap dari kita ada mata, hidung, mulut dan telinga, tapi mengapa wajah kita berbeza-beza? Sepanjang saya belajar dan mengajar di sini belum pernah saya jumpa seseorang yang iras wajahnya kecuali kembar.”

Mendengar pernyataanku ini, dia tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih bersih.

Aku meneruskan bicara dengan membincangkan tentang konsep kekuasaan Allah pada alam dan manusia agar mantap hatinya dengan keyakinan terhadap kekuasaan Allah yang mutlak terhadap semua perkara.

Memahami tauhid rububiyah dan meyakini bahawa Allah adalah penguasa kepada seluruh makhluk dalam alam ini adalah satu konsep penting yang akan membuahkan keimanan yang lebih mantap dan tertancap pada hati.

Terdetik dalam hatiku bahawa hati pemuda ini telah mula disinari cahaya, dan aku ingin menjadi orang yang bertuah untuk menerima ikatan lafaz kalimah syahadah yang akan diungkapkannya nanti.

Ah! Terlalu jauh pula anganku pergi,

Astaghfirullah hal Azim.

Bukankah hidayah itu adalah hak mutlak dari Allah.

Aku kemudian menyambung bicara.

“Jadi maknanya, kalau Allah ingin membantu umat Islam di Palestin, sekelip mata sahaja boleh dibantunya, Negeri Israel itu boleh dimusnahkan dengan gempa bumi berukuran 9 skala richter yang akan menjungkir balikkan segala isi bumi dan akan menghancurkan segala kekuatan persenjataan dan teknologi nuklear mereka.”

Mungkin juga Allah bisa memusnahkan mereka dengan taufan ganas yang datang membadai dalam waktu yang singkat dan menghancurkan segala-segalanya.”

“Bahkan mungkin negeri Israel itu boleh dimusnahkan dengan satu hentaman meteor yang jatuh dari langit sahaja seperti mana Allah telah mempupuskan generasi dinasor satu ketika dahulu yang saya percaya kamu pernah saksikan dalam filem Armageddon atau dengan bencana besar yang datang berturutan seperti dalam filem 2012.”

“Mungkin juga Allah boleh memusnahkan mereka dengan meledakkan sebuah gunung berapi besar dari bawah tanah yang akan memuntahkan lahar di bumi itu dan memusnahkan mereka sehancur-hancurnya hingga tiada lagi generasi mereka yang tersisa.”

Kali ini dia menyampuk,

“Hmmm, mengapa tidak Allah bertindak begitu?, bukankah dalam Quran Allah menceritakan bahawa kaum-kaum yang dahulunya tidak beriman dimusnahkan dengan pelbagai keadaan, seingat saya kaum Nabi Nuh yang ingkar dilemaskan dengan banjir besar, manakala kaum Nabi Soleh dimusnahkan dengan satu suara yang keras”

Wah, mendalam juga pengetahuannya, dalam diam aku meluahkan rasa kagum dengan kajiannya yang agak dalam tentang Al Quran. Jauh lebih mendalam pengetahuannya tentang Quran dari kebanyakan pemuda melayu yang telah Islam lebih dahulu darinya.

Aku pasti dia telah membaca sebahagian dari surah Hud dan surah Anbiya yang banyak menceritakan tentang perjuangan nabi-nabi terdahulu.

Memang benar bahawa kebanyakan dari mereka yang baru memeluk Islam selalunya lebih menghargai hidayah yang diterima, kerana berdasarkan pencarian dan kajian mereka, mereka merasakan bahawa mereka telah mendapat sebutir mutiara berharga dari dasar lautan yang dalam. Insan-insan seperti Ustaz Farid Ravi, Nicholas Sylvester, Maher Zain dan banyak lagi adalah buktinya.

Kesungguhan mereka mencari cahaya terkadang membuatkan aku terasa malu atas kemalasan kelemahan kita dalam meningkatkan diri.

Berbanding dengan kebanyakan dari pemuda Islam yang mewarisi Islam dari ibu bapa mereka, nikmat beragama dan beriman selalunya tidak dihargai dalam seluruh aspek kehidupan dan Islam hanya dilaksanakan pada ritual-ritual tertentu sahaja.

Pada mereka Islam hanyalah pada solat, puasa, zakat, haji, perkahwinan dan kematian dan tidak ada kena mengena dengan kehidupan, apatah lagi jika ianya menjadi penghalang pada keinginan nafsu untuk berhibur dan bergembira.

“Ye memang benar Kim Swee, tidak ada salahnya apa yang diutarakan itu dan soalan itu adalah soalan yang amat bagus untuk ditanya.”

Aku kembali menyambung kata-kata dan memberikan kata pujian buat mendorong dirinya agar hatinya lebih bersedia dan terbuka.

“Namun, agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad ada caranya yang tersendiri untuk berfungsi walaupun banyak persamaannya dengan agama-agama umat yang terdahulu seperti Kaum Nabi Nuh, Lut, Saleh, Sulaiman, Daud, Musa dan Isa.”

Aku menyebut beberapa nama-nama nabi agar dia mengetahui bahawa agama ini adalah agama langit yang bersambungan sejak zaman berzaman.

“Allah tidak akan memberi hukumannya pada umat zaman ini seperti mana umat-umat terdahulu, itu yang kami Umat Islam fahami dan pelajarinya sejak zaman berzaman.”

“Agama Islam pada zaman ini tidak berfungsi dengan cara-cara yang ajaib...”

Aku terdiam seketika, memikir dan menyusun ayat yang sesuai dengan penuh hati-hati, kerana individu yang sedang didepani sekarang ini bukan sebarangan kajian tentang Islam yang telah dibuatnya.

Pada ketika ini aku cuba mengingat-ingat poin-poin penting dalam buku Inilah Islam yang dikarang oleh Sayyid Qutb. Kitab kecil yang dikarang oleh seorang lelaki berjiwa besar kelahiran Mesir yang menemui kematiannya ditali gantung kerana mempertahankan keimanannya.

Walaupun terpenjara, tetapi jiwanya tetap merdeka dan ini dibuktikan oleh As Syahid Sayyid Qutb apabila menghasilkan beberapa karya besar yang menjadi rujukan hingga hari ini ketika dipenjara. Bahasanya indah dan kupasannya segar, walaupun sedikit kontroversi kerana beberapa pendapatnya yang agak keras, namun itu tidak menjadi penghalang karya-karyanya dari terus tersebar dan memberi cahaya kepada umat yang berada dalam kegelapan.

Banyak karyanya yang hebat seperti Petunjuk Sepanjang Jalan dan Inilah Islam tetapi karyanya yang paling mashyur dan diingati tentunya adalah Tafsir Fi Zilal Quran (Di bawah Naungan Quran), satu kitab tafsir kontemporari yang banyak membicarakan tafsiran ayat-ayat dari sudut gerakan Islam dan dakwah.

Namun yang lebih menjadi perhatian adalah keindahan bahasanya yang cukup memikat, setiap bait-bait tafsirnya jika dibaca akan menyejukkan jiwa ibarat manikmati segelas jus tembikai susu yang dingin pada hari yang panas terik.

“Allah ingin agar agama ini ditegakkan dengan dengan usaha manusia, dengan mengikuti peraturan-peraturan yang sesuai dengan kehidupan manusia.”

Aku memilih ayat-ayat dalam topik pertama buku Inilah Islam untuk kuterangkan kepadanya hakikat agama ini yang bersifat manusiawi.

“Contohnya, jika dalam satu permainan bolasepak, pasukan yang lebih baik displinnya, tersusun setiap ahlinya dan mantap taktikalnya seperti pasukan Jerman dalam piala dunia tahun 2010 pasti akan menang tatkala menentang mana-mana pasukan yang tidak tersusun, tidak ada taktik yang baik dan hanya bergantung kepada populariti pemainnya seperti pasukan England dan Argentina yang hanya bergantung kepada Wayne Rooney, Stephen Gerrard dan Lionel Messi”

Kebetulan Piala Dunia baru berakhir dan aku tahu Kim Swee juga adalah peminat bolasepak tegar berdasarkan pada poster-poster yang ditampal pada kulit buku dan fail yang dibawanya.

Aku menggunakan contoh pasukan Jerman dibawah kendalian Joachim Loew yang cukup aku kagumi kemahiran teknikalnya. Pemain-pemain muda dalam pasukannya seperti Mesut Ozil dan Sami Khedira, menonjol bukan kerana kemahiran individu, tapi kerana mereka terdidik dengan displin permainan dan semangat berpasukan yang tinggi.

“Begitulah agama Islam, cuma ia bukanlah bergantung sepenuhnya kepada usaha manusia semata-mata, Allah menuntut manusia untuk berusaha sehingga ke tahap yang maksima, merancang strategi, tertib, cermat dan tersusun dengan segala ikhtiar dan upaya manusia hingga sampai ke satu peringkat dimana ikhtiar itu telah sampai ke titik yang maksima.”

“Konsep penting berkaitan dengan usaha ini telah diterangkan oleh Allah dalam surah Ar Ra’d ayat 11, aku membuka naskhah al quran terjemahan bersaiz kecil pada poket bajuku dan aku menunjukkan ayat itu kepadanya.

Kim Swee melihat dan membaca dengan penuh minat ayat itu. Melihat dan membaca tafsir Al Quran bukanlah satu perkara yang asing baginya.

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”



Ketika matanya sedang asyik menatap ayat itu, aku menambah lagi.

“Allah menuntut agar manusia memohon pertolongan dan bergantung dengannya. Ketika ikhtiar telah habis dan manusia hanya bergantung dengan Allah, maka Allah akan memberi bantuannya.”

“Bantuan itu akan tiba tatkala kita berdoa dengan bersungguh-sungguh padanya, dan Allah pasti akan memberi bantuannya ketika hamba-hambanya berdoa dengan tulus ikhlas kerana Allah itu maha mendengar dan sentiasa dekat dengan hamba-hambanya.”

“Inilah yang telah terjadi dalam perang Badar dan perang Ahzab, kamu tau kan sejarah peperangan ini?”

Aku cuba menduga kefahamannya sedikit tentang sejarah penting umat Islam. Sekali lagi dia mengangguk. Lidahnya masih bungkam diam. Mungkin masih takjub dengan ayat-ayat kebesaran yang baru dilihatnya.

“Kisah tentang perang Badar dan Ahzab ini boleh kamu baca dengan teliti dalam surah Anfal iaitu surah ke lapan dalam Al Quran bagi perang Badar dan surah Ahzab iaitu surah ke tiga puluh tiga bagi kisah perang Ahzab”

Aku kemudian menyelak-nyelak Al Quran itu untuk menunjukkan kepadanya surah-surah itu. Ternyata pada wajahnya kelihatan binar-binar cahaya yang mula mendekati.

“Dalam bentuk bagaimana bantuan itu, itu adalah hak Allah untuk menentukannya. Jika dalam perang Badar Allah mengutuskan malaikat yang berkuda untuk mengalahkan kaum Musyrikin Mekkah. Para sahabat yang turut serta dalam peperangan ini menjadi saksi akan turunnya bantuan Allah pada tentera-tentera Badar.”

“Cuba Kim Swee lihat ayat 9 ini” aku menunjukkan padanya sebahagian dari ayat dalam surah Anfal.

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut".



Dalam perang Ahzab pula, Allah mengutuskan angin kencang yang merobohkan segala persiapan tentera bersekutu yang berkampung untuk menyerang Madinah.

Begitu juga dalam perang – perang kontemporari, bantuan mungkin akan tiba dalam bentuk malaikat yang menjelma sebagai gergasi, mungkin juga dengan asap putih atau angin yang menerbangkan peralatan musuh, mungkin juga dengan kegagalan bom meletup atau peluru berpandu yang beralih arah.”

Aku menerangkan sedikit intisari dari surah-surah ini sambil mengingat ayat tujuh belas dari surah Anfal yang cukup menarik dan kisah-kisah menakjubkan yang pernah aku dengar dari peperangan Afghanistan menentang kuasa besar Soviet Union pada awal tahun 80 an dan terkini ketika kegagalan Israel dalam operasi besar-besaran untuk memusnahkan Hamas dan Gaza pada tahun 2008. Walaupun diserang dari langit, laut dan darat, Hamas dan Gaza tetap utuh dan akhirnya Israel mendapat malu besar dari kekalahan ini.

Maka (yang sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah-lah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar. (Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.



“Namun sebelum bantuan dari Allah tiba, umat Islam harus memeriksa, apakah usahanya telah sampai ke tahap yang maksima dan apakah pergantungan mereka hanya bulat dengan Allah sahaja”

“Jadi umat di Palestin, masih begitu kerana sememangnya umat Islam pada zaman ini masih belum benar-benar hebat ikhtiarnya, begitu juga dengan pergantungan dengan Allah dalam segala doa dan usaha mereka”

Kim Swee mengangguk-ngangguk lagi, seolah-olah segalanya telah difahaminya dengan teliti.

“Satu lagi perkara lagi, bagi Allah dan bagi kami umat Islam, kemenangan yang sebenar bukanlah di dunia ini. Memang kemenangan itu menggembirakan, tapi kemenangan yang sebenar adalah pada kehidupan selepas kematian.”

Aku berhenti seketika menarik nafas, cuba mengingat firman Allah dalam surah Saff ayat 11-13. Lantas kemudian aku menyelak lembaran-lembaran terjemahan dan kutunjukkan ayat itu padanya.

(yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,



niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.



Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.



“Adakalanya umat Islam akan kalah walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh, tapi kekalahan itu hanya kekalahan di dunia, kerana kemenangan yang sebenar adalah pada ganjaran syurga buat siapa yang berusaha.”

“Apalah ertinya kemenangan dalam kehidupan kita yang sangat singkat ini, bukan kemenangan itu tidak penting, tetapi yang lebih penting adalah usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh serta pergantungan dengan Allah secara total. Itu yang akan dinilai sebagai pahala yang kami harap akan memberatkan amalan kebaikan di sisi Allah.”

“Jika kemenangan itu adalah syarat hakiki kebenaran sesebuah agama, maka pastilah Allah tidak akan menceritakan kisah penduduk kampung yang dibakar kerana keimanan mereka dalam surah Buruj. Pada mereka ada kemenangan yang lebih hakiki iaitu kemenangan beroleh keredhaan dan beroleh syurga yang tertinggi.”

Aku memberhentikan bicara, wajah Kim Swee kelihatan berkerut sedikit, mungkin sedang memikirkan sesuatu.

Hingga akhirnya dia bersuara

“Ye, saya faham kini, sememangnya agama ini sebenarnya adalah agama yang cukup praktikal dan menepati realiti kehidupan manusia, dan saya telah menjumpainya melalui bacaan dan kajian saya tentang Islam. Apa yang En. Hisham ceritakan tadi telah menguatkan lagi keyakinan saya”

“Bagi saya inilah agama yang terbaik dari kalangan semua agama, dan saya sangat suka kepadanya.”

Matanya kelihatan bersinar-sinar cerah, ibarat gemerlapan bintang pada malam yang terang.

Hatiku juga berbunga-bunga mendengar dia melafazkan kata-kata tadi, cahaya hidayah semakin menghampiri dirinya. Tanpa sedar terlafaz dari bibirku ucapan pujian-pujian pada Allah yang maha agung.

“Alhamdulillah”

“Lalu apa yang ditunggu lagi Kim Swee? Peluklah kebenaran sebelum terlambat” aku terus sahaja mengajaknya untuk kembali kepada fitrah dirinya yang asal, kembali seperti kain putih yang belum dicorakkan.

“En. Hisham, ada satu lagi perkara yang saya ingin lakukan sebelum saya menjadikan Islam sebagai cara kehidupan saya yang baru.”

“Apakah perkaranya?” aku bertanya penuh sangsi.

“Saya ingin ke Gaza dan bolehkah En. Hisham bantu saya untuk sampai ke sana sebab saya tahu En. Hisham ada terlibat dengan Aman Palestin kan.”

“Haaah!” hampir-hampir kopi Radix panas yang sedang aku hirup tersembur keluar memercik ke wajahnya.

***

No comments:

Post a Comment