Kecil atau Besar, Semua Pasti Dihitung

Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun".

(Al Kahfi:49)

Merenung ayat ini berkali-kali, berfikir dengan serius mengenainya amat menggusarkan hati. Kerana Al Quran itu tidak ada cacat cela dan cerita bohong padanya. Semuanya benar dan PASTI berlaku suatu hari nanti. Seperti suatu hari nanti kita PASTI akan mati, begitu jugalah suatu hari nanti, kita akan menjejakkan kaki di Mahsyar untuk dihisab atas setiap amal perbuatan kita, tidak kira kecil atau besar.

Kita mungkin tidak menyangka, sekecil-kecil perbuatan kita di dunia ada nilaiannya, baik atau buruk, pasti akan ada balasannya.

Kita mungkin tidak menyangka, setiap pandangan mata kita yang khianat, samada di dalam facebook, ketika melihat iklan di billboard lebuh raya atau ketika menyaksikan aurat pelakon-pelakon wanita dalam rancangan Hotel Mania selama sejam di televisyen setiap hari selasa, bahkan di pasaraya Yawata ketika menyaksikan dengan ghairah jurujualnya yang berpakaian “seksi maut”, akan ada nilaian dan hisabannya yang akan membuat kita mengeluh panjang ketika menerima kitab amalan di akhirat nanti.

“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.”

(Al Mu’min:19)

Kita juga mungkin tidak menyangka, setiap patah kata yang keluar dari mulut kita, setiap bait-bait perkataan komentar di facebook yang ditaip dengan jari jemari, suatu hari nanti kulit dan jari akan menjadi saksi ketika mana mulut-mulut kita telah dikunci.

Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.

(Yaasin:65)

Kita mungkin tidak menyangka, perbuatan kita membuang satu plastik gula-gula satu ketika dahulu di tepi jalan atau di dalam longkang, akan dihisab dengan hisaban yang amat dahsyat.

Apatah lagi jika kita meninggalkan solat, melewat-lewatkannya, culas dalam tanggungjawab beragama seperti menutup aurat, malas menuntut ilmu, meremehkan urusan zakat, lebih malang lagi jika kita sering mengumpat dan memfitnah tanpa sempat kita bertaubat.

Kita mungkin tidak menyangka bahawa tatkala kita menyelamatkan seekor semut dari kelemasan di lubang jamban, atau tatkala kita memberi makan pada kucing yang kelaparan, akan ada nilaiannya yang akan menjadi pemberat kepada amal kebaikan.

Kita mungkin tidak menyangka, perbuatan kita sekadar membersihkan seketul tahi cicak yang kecil di lantai masjid, ada nilaian pahala yang sangat besar disana nanti.

Kita juga mungkin tidak menyangka, bahawa satu senyuman yang manis terhadap sahabat, besar nilaiannya disisi Allah.

Apatah lagi jika kita menjadi hamba Allah yang baik terhadap manusia yang lain, sentiasa komited dan istiqamah dalam ibadah solat dan puasa, berbuat baik pada kedua ibu bapa dan sering berdoa untuk mereka serta sentiasa cinta pada majlis-majlis ilmu dan orang-orang yang soleh.

Duhai teman-teman, janganlah remehkan kebaikan walaupun sekecil tahi cicak, dan jangan cuba-cuba untuk melakukan kejahatan walau sebesar plastik gula-gula. Kerana setiap perbuatan kita, kecil atau besar, akan ada hisabannya.

Pada hari itu manusia ke luar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka.

Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.

Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula.

Al Zalzalah:6-8

No comments:

Post a Comment