Sarah termenung panjang
“Lepas ni bagitau pada Sarah, tak perlu nak sms abang lagi dah, perhubungan antara lelaki dan wanita sebelum kahwin adalah haram” tegas Azli kepada adiknya Farhana supaya memberitahu kepada Sarah (Sarah adalah tunangnya) agar tidak menghubunginya lagi kerana ingin menjaga pergaulan.
Sarah yang mendengar “pesanan” itu berkecil hati, bukanlah selalu dia menghantar sms, dan sms yang dihantar pula bukanlah ayat-ayat jiwang yang boleh menggoda perasaan, cuma sekadar bertanya khabar dan berbincang beberapa perkara tentang persiapan majlis perkahwinan yang dirasakannya agak penting untuk dibincangkan.
Bukanlah dia ingin berbicara berjam-jam atau saling berutus beratus-ratus sms yang pastinya termasuk dalam perbuatan dosa seperti apa yang berlaku kepada kebanyakan pasangan yang telah bertunang sekarang. Baginya dan menurut apa yang dipelajarinya dari kakak-kakak naqibah, perbuatan sebegitu adalah haram dan membawa kepada dosa yang menambahkan titik hitam di dada.
Sarah juga tidak ingin seperti pasangan selebriti yang kehulu kehilir bersama sebelum perkahwinan, sama-sama ke busana, sama-sama memilih baju pengantin, sama-sama memilih tema perkahwinan. Bersarapan, makan tengahari dan makan malam bersama ibarat pasangan yang telah berkahwin. Baru bertunang, tapi mesranya terlebih lebih mengalahkan suami isteri.
Baginya maruah dirinya harus dipelihara dan dirinya masih lagi “orang asing” terhadap tunangnya. Berkali-kali perkara itu dipesan oleh kakak-kakak naqibahnya semasa usrah. Dia faham dan jika tidak dipesan sekalipun dia tetap akan menjaga kehormatan dirinya, kerana walaupun dirinya adalah tunangan orang, tetapi status perhubungan dengan tunangannya tetap sama.
Dia tidak ingin dibakar dalam api neraka kerana perbuatan khalwat dan perbuatan yang secara jelas membuatkan syaitan bersorak gembira. Dia juga tidak ingin menjadi wanita yang mendayuskan suaminya nanti dengan kebiasaannya terhadap perbuatan-perbuatan yang haram.
Namun dia kecewa, kerana tunangnya terlalu “syadid” dalam menjaga perhubungan hingga menutup terus pintu perbincangan.
Dia cuba mencari jalan tengah dan dia juga tahu dan faham bahawa syaitan akan sentiasa mencari-cari peluang, namun sebagai wanita yang dalam hatinya juga ada perasaan, dia sekadar ingin bertanya khabar dan berbincang beberapa perkara yang tidaklah keterlaluan.
Entahlah, Sarah termenung panjang...
Namun, walaupun dia dilayan sedemikian, dia tetap akan bersangka baik dan tidak akan menceritakan keburukan dan perihal itu kepada sesiapapun, kerana ingin menjaga maruah "bakal suaminya" itu. Dia ingin untuk menjadi wanita yang paling taat dan penyimpan rahsia yang paling setia pada suaminya nanti.
Dan kepada Allah Sarah terus berharap...
No comments:
Post a Comment