Mengapa Palestin tidak dibantunya?

“Saya yakin bahawa agama Islam itu benar, cuma saya belum mendapat hidayah. Tapi satu yang saya mau tanya pada kamu” Seorang teman berbangsa Cina bertanya kepadaku


“Hah apa dia?” Aku terkesima seketika mendengar kata-katanya, namun aku bertanya semula kepadanya, sambil menghirup kopi Radix panas yang cukup kaw dihirup panas-panas diwaktu petang.

“Allah itu tuhan orang Islam kan? Tapi mengapa umat Islam di Palestin tidak dibantunya?” Dia melepaskan satu soalan yang cukup menarik untuk dibincangkan, dan jawapannya bukan hanya menarik bagi mereka yang belum memeluk agama Islam, tetapi juga sangat menarik bagi kebanyakan umat Islam yang lemah kefahamannya tentang bagaimana agama ini berfungsi.

“Begini Tan (bukan nama sebenar), saya yakin kamu telah mengkaji tentang Islam, jika tidak kamu tidak akan membicarakan tentang hidayah dan pastinya kamu sentiasa mengambil berat tentang nasib umat Islam kerana jika kamu tidak peduli kamu tidak akan membangkitkan isu tentang Palestin” Aku memulakan bicara.

Tan mendengar dengan penuh minat, bicaraku yang berbentuk persoalan tidak dijawabnya, dia hanya mengangguk dan mendengar dengan wajah yang serius.

“Sebelum saya menjawab persoalan tadi, saya mahu meletakkan keyakinan bahawa Allah itu adalah tuhan yang maha berkuasa, menguruskan segala-galanya di alam ini. Menciptakan bumi, bulan, bintang dan seluruh alam cakerawala. Segalanya cukup indah dan berseni dan keluasan alam ini adalah diluar jangkauan pemikiran manusia”

“Adakah logik jika kita katakan bahawa alam itu terjadi dengan sendirinya. Logikkah jika kita masuk ke dalam sebuah rumah dan perabot dan susunannya tersusun elok kita katakan bahawa perabot itu menyusun dirinya sendiri?”

“Pasti ada tangan yang menyusunnya bukan?” aku bertanya kepadanya.

Tan hanya mengangguk-angguk, mungkin juga konsep itu telah difahaminya. Namun aku tidak mahu terburu-buru memberikan jawapan kepada persoalan yang dibicarakannya.

“Begitu juga jika kita lihat di dalam tubuh kita sendiri, jantung kita yang tidak berhenti berdegup walaupun ketika kita tidur, sistem pencernaan tubuh yang tidak mampu kita mengawalnya, perjalanan darah, sistem pertahanan badan dan segalanya yang sebenarnya menggambarkan bahawa manusia ini adalah makhluk yang sangat lemah dan sentiasa berkehendak kepada tuhan”

Aku meneruskan bicara dengan membincangkan tentang konsep kekuasaan Allah agar mantap hatinya dengan kekuatan dan kekuasaan Allah yang mutlak. Mungkin juga hal ini telah diketahuinya, tetapi sengaja aku ingin memantapkan bicara.

“Jadi maknanya, kalau Allah ingin membantu umat Islam di Palestin, sekelip mata sahaja boleh dibantunya, Negeri Israel itu boleh dimusnahkan dengan satu gempa bumi atau dengan taufan sahaja”

“Bahkan mungkin negeri Israel itu boleh dimusnahkan dengan satu hentaman meteor yang jatuh dari langit sahaja, atau Allah bisa sahaja menterbalikkan bumi atau memuntahkan lahar di bumi itu dan memusnahkan mereka sehancur-hancurnya.”

Kali ini Tan menyampuk, “Hmmm, mengapa tidak Allah bertindak begitu?, bukankah dalam Quran Allah menceritakan bahawa kaum-kaum yang dahulu tidak beriman dimusnahkan dengan pelbagai keadaan, seingat saya kaum Nabi Nuh yang ingkar dilemaskan dengan banjir besar, manakala kaum Nabi Soleh dimusnahkan dengan satu suara yang keras”

Wah, mendalam juga pengetahuannya, dalam diam aku meluahkan rasa kagum dengan kajiannya yang agak dalam tentang Al Quran.

“Ye memang benar Tan, tidak ada salahnya apa yang diutarakan itu”

“Namun, agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad ada caranya yang tersendiri, dan ada juga bahkan banyak persamaannya dengan agama-agama umat yang terdahulu.”

“Allah tidak akan memberi hukumannya pada umat zaman ini seperti mana umat-umat terdahulu, itu yang kami fahami”

“Agama ini pada zaman ini tidak berfungsi dengan cara-cara yang ajaib...” aku terdiam seketika, memikir dan menyusun ayat yang sesuai, kerana individu yang sedang didepani sekarang ini bukan sebarangan kajian tentang islam yang telah dibuatnya.

“Allah ingin agar agama ini ditegakkan dengan dengan usaha manusia, dengan mengikuti peraturan-peraturan yang sesuai dengan kehidupan manusia.”

“Contohnya, jika dalam satu permainan bolasepak, pasukan yang lebih baik displinnya, tersusun setiap ahlinya dan mantap taktikalnya seperti pasukan Jerman dalam piala dunia kali ini (2010) pasti akan menang tatkala menentang mana-mana pasukan yang tidak tersusun, tidak ada taktik yang baik dan hanya bergantung kepada populariti pemainnya seperti pasukan England dan Argentina.”

“Begitulah agama Islam, cuma ia bukanlah bergantung sepenuhnya kepada usaha manusia semata-mata, Allah menuntut manusia untuk berusaha sehingga ke tahap yang maksima, merancang strategi, tertib, cermat dan tersusun dengan segala ikhtiar dan upaya manusia hingga sampai ke satu peringkat dimana ikhtiar itu telah sampai ke titik yang maksima”

“Ketika itu Allah menuntut agar manusia memohon pertolongan dan bergantung dengannya. Ketika ikhtiar telah habis dan manusia hanya bergantung dengan Allah, maka Allah akan memberi bantuannya.”

“Dalam bentuk bagaimana bantuan itu, itu adalah hak Allah untuk menentukannya, mungkin dalam bentuk malaikat yang menjelma sebagai gergasi, mungkin juga dengan asap putih atau angin yang menerbangkan peralatan musuh, mungkin juga dengan kegagalan bom meletup atau peluru berpandu yang beralih arah.”

“Namun sebelum bantuan tiba, umat Islam harus memeriksa, apakah usahanya telah sampai ke tahap yang maksima dan apakah pergantungan mereka hanya bulat dengan Allah sahaja”

“Jadi umat di Palestin, masih begitu kerana sememangnya umat Islam pada zaman ini masih belum benar-benar hebat ikhtiarnya, begitu juga dengan pergantungan dengan Allah”

Tan mengangguk-ngangguk, entah faham atau tidak, harapnya dia faham dan mendapat hidayah.

“Satu lagi perkara Tan, bagi Allah dan bagi kami umat Islam, kemenangan yang sebenar bukanlah di dunia ini. Memang kemenangan itu menggembirakan, tapi kemenangan yang sebenar adalah pada kehidupan selepas kematian.”

Aku berhenti seketika menarik nafas.

“Adakalanya umat Islam akan kalah walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh, tapi kekalahan itu hanya kekalahan di dunia, kerana kemenangan yang sebenar adalah pada ganjaran syurga buat siapa yang berusaha.”

“Apalah ertinya kemenangan dalam kehidupan kita yang sangat singkat ini, bukan kemenangan itu tidak penting, tetapi yang lebih penting adalah usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh serta pergantungan dengan Allah secara total. Itu yang akan dinilai sebagai pahala yang kami harap akan memberatkan amalan kebaikan kami disisi Allah.”

Aku memberhentikan bicara, wajah Tan berkerut-kerut, mungkin sedang memikirkan sesuatu.

Akhirnya dia bersuara “Ye, saya faham kini, sememangnya agama ini cukup cantik dan adil bagi manusia, bagi saya inilah agama yang terbaik, dan saya sangat suka kepadanya.”

“Cuma satu lagi soalan, boleh tanya lagi ke?”

Aku melihat jam tangan, waktu telah suntuk kerana aku harus berkejar ke rumah untuk mengambil anak di tadika, namun aku tidak ingin mematikan minat dan kesungguhannya.

Sebelum sempat aku mengelak, dia telah memberikan soalannya

“Kalau agama Islam ini baik, kenapa orang Islam itu banyak tidak baik, kenapa yang teruk-teruk, banyak buang anak, lemah dalam pelajaran, banyak penagih dadah, itu semuanya orang Islam” Dia melancarkan satu lagi soalan cepu emasnya.

“Tan, sebenarnya aku ingin sangat nak jawab soalan tu, tapi aku kena balik ni, sat lagi anak aku mengamuk di tadika. Nanti esok pagi kita jumpa di sini selepas waktu pejabat, beginilah, datang sahaja ke rumahku malam ini, nanti aku suruh isteriku masakkan lauk yang sedap-sedap, lepas itu bolehlah kita berbincang lagi.”

Tan tersenyum lebar, dia yang masih bujang, cukup suka jika diajak ke rumah kawan-kawan untuk menjamu selera. Kebetulan pula Tan memang seorang yang amat cermat dalam pemilihan makanan dan dia pernah memberitahuku bahawa dia tidak pernah makan dan menyentuh daging babi. Begitu juga dengan arak.

Kehidupannya baik-baik sahaja, cuma mungkin hidayah belum singgah dihatinya. Apapun, aku harus menyiapkan jawapan untuk persoalan yang ditanyakkannya tadi semantap mungkin, agar kukuh hatinya dengan iman dan hingga dia kembali kepada fitrah dirinya sebagai kain putih yang suci bersih.

(Perbualan diatas hanyalah rekaan, inspirasi dari perbualan dengan Bro Zulkurnai selepas main badminton petang tadi, namun harap bermanfaat buat semua pembaca ;), thanks Bro Zul for the inspiration!)

No comments:

Post a Comment