segalanya boleh bertukar menjadi padang yang tandus dalam sekelip mata |
Menonton rancangan Destroyed In Seconds ketika berehat-rehat seketika di rumah di Taman Permata banyak menimbulkan pengajaran dan keinsafan kepada diriku.
Rancangan yang memaparkan tragedi dan kemusnahan yang berlaku dan dirakamkan secara live dihadapan kamera menunjukkan bagaimana hanya dalam masa beberapa saat, tragedi boleh berlaku dan kesannya bukan kepalang.
Antara yang dipaparkan dalam rancangan semalam adalah bagaimana satu kemalangan yang berlaku di lebuh raya Los Angeles melibatkan perlanggaran antara sebuah kereta Mustang dan Van yang berhenti kerana rosak di tepi jalan. Ada juga paparan kapalterbang latihan yang terhempas, roket yang meletup ketika pelancaran, bangunan yang runtuh akibat kebakaran dan rumah ditepi laut yang hancur dipukul rebut tanpa mampu pemiliknya berbuat apa-apa kecuali melihat dengan jiwa yang hiba.
Ada diantara tragedi-tragedi tersebut melibatkan kemalangan jiwa yang besar, ada yang melibatkan kecederaan parah, dan ada yang berjaya “melepaskan diri” dengan hanya luka-luka kecil dibadan.
Namun satu perkara yang harus kita insafi tatkala melihat kejadian-kejadian seperti ini adalah apa jua nikmat yang kita ada dan perolehi, bila-bila masa sahaja boleh ditarik dan mampu ditarik oleh Allah dalam masa beberapa saat sahaja.
Namakan apa sahaja nikmat, isteri yang cantik dan anak-anak yang cerdik, mungkin boleh ditarik nyawa atau kecantikannya dalam kemalangan jalan raya. Kereta yang hebat sehebat Ferrari atau Mustang yang dibeli dengan harga berjuta-juta bisa sahaja menjadi keranda kematian dalam tempoh hanya beberapa saat. Rumah yang besar dan mempunyai pelbagai perhiasan yang mahal dan canggih didalamnya boleh sahaja runtuh akibat gempa bumi atau ditimpa runtuhan bukit atau dilanda ombak tsunami yang membadai.
Nikmat kesihatan dan kecantikan tubuh badan yang dijaga melalui usaha senaman dan mengamalkan perubatan-perubatan yang mahal, mungkin sahaja ditarik tanpa ada sebarang amaran yang mungkin penyebabnya hanyalah seekor virus yang tidak bisa dilihat kecuali melalui mikroskop yang berkuasa tinggi.
Benarlah firman Allah dalam surah Al Kahfi ayat 45-46,
Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia adalah sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur karenanya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.
Nikmat kehidupan dunia dari pelbagai rupa seperti rumah yang besar dan indah, jawatan yang tinggi berupa CEO atau professor kelas A, kereta yang hebat berupa BMW 5 series atau Toyota Camry dan Alphard, anak-anak yang ramai dan tampan serta bijak bahkan apa jua adalah nikmat kehidupan dunia yang sememangnya indah dan memikat.
Namun jangan kita lupa bahawa kehidupan dunia adalah ibarat tanah subur yang tumbuh padanya pelbagai macam tumbuhan yang menyedapkan mata. Namun mampu musnah dalam sekelip mata sahaja.
Harus kita sentiasa tanam dalam diri dan sentiasa insafi dengan bersungguh-sungguh bahawa tempat kembali yang paling baik adalah tempat kembali yang kekal selamanya dan itulah kehidupan yang abadi disisi tuhan. Dan dia jualah yang maha kuasa atas segala sesuatu.
Bukanlah haram mengejar dan mencari kekayaan dunia namun usah tertipu dengan kefanaannya dan tumpukanlah usaha untuk mencari nikmat dan kebahagiaan yang lebih abadi...
mnthop..manthop..! tq sahabat..
ReplyDelete