Goerge Galloway Savages Sky News

Benarlah terserlah, bahawa kepalsuan dan penipuan itu adalah sesuatu yang amat lemah, saksikan bagaimana Galloway "men TKO kan" newscaster Sky News di Jerusalem...

Hapyy Birthday My Love (Khadijah Hanan)

comotnya..huhu




Ketika pulang dari kerja semalam, si kecil yang sedang menunggu di muka pintu bersorak riang, wajahnya cukup ceria melihat kepulangan ayahnya. Dalam gerimis hujan, aku mendukungnya dan bersama-sama dengan kakak menjelajah keliling taman dalam suasana gerimis hujan. Kelihatan wajah si kecil Khadijah cukup ceria dapat merasai setiap titis air hujan yang tumpah di wajahnya.

Sedang kami berjalan, tiba-tiba si kakak bersuara “ayah, hari ni hari jadi khadijah, ayah kena cakap selamat hari jadi la kat dia”

Masyaallah, terkejut seketika aku, dalam kesibukan urusan pengajian dan beberapa perkara lagi, sungguh aku terlupa akan tarikh 27 Julai yang merupakan harijadi Khadijah. Semalam genap setahun “adik Kho” lahir ke dunia, maafkan ayah dik, terlupa seketika akan tarikh penting ulangtahun kelahiranmu.

Melihat proses tumbesaran Humaira dan Khadijah, ibarat menyaksikan keajaiban setiap hari berlaku di rumah kami. Dari seorang bayi yang tidak berupaya, membesar dengan perlahan-lahan, dari meniarap, menjulur, merangkak dan kini berjalan tanpa ada sesiapa yang mengajarinya. Sungguh besar pemeliharaan Allah terhadap kedua anak-anak kami.

Selamat hari jadi adik dan terima kasih kakak kerana tidak jemu-jemu menegur dan mengingatkan ayah atas kelalaian dan kealpaan. Moga anak-anak ayah akan membesar menjadi srikandi seperti Saidatina Aisyah dan Saidatina Khadijah yang sentiasa setia dalam perjuangan di sisi nabi.

Destroyed In Seconds

segalanya boleh bertukar menjadi padang yang tandus dalam sekelip mata

Menonton rancangan Destroyed In Seconds ketika berehat-rehat seketika di rumah di Taman Permata banyak menimbulkan pengajaran dan keinsafan kepada diriku.

Rancangan yang memaparkan tragedi dan kemusnahan yang berlaku dan dirakamkan secara live dihadapan kamera menunjukkan bagaimana hanya dalam masa beberapa saat, tragedi boleh berlaku dan kesannya bukan kepalang.

Antara yang dipaparkan dalam rancangan semalam adalah bagaimana satu kemalangan yang berlaku di lebuh raya Los Angeles melibatkan perlanggaran antara sebuah kereta Mustang dan Van yang berhenti kerana rosak di tepi jalan. Ada juga paparan kapalterbang latihan yang terhempas, roket yang meletup ketika pelancaran, bangunan yang runtuh akibat kebakaran dan rumah ditepi laut yang hancur dipukul rebut tanpa mampu pemiliknya berbuat apa-apa kecuali melihat dengan jiwa yang hiba.

Ada diantara tragedi-tragedi tersebut melibatkan kemalangan jiwa yang besar, ada yang melibatkan kecederaan parah, dan ada yang berjaya “melepaskan diri” dengan hanya luka-luka kecil dibadan.

Namun satu perkara yang harus kita insafi tatkala melihat kejadian-kejadian seperti ini adalah apa jua nikmat yang kita ada dan perolehi, bila-bila masa sahaja boleh ditarik dan mampu ditarik oleh Allah dalam masa beberapa saat sahaja.

Namakan apa sahaja nikmat, isteri yang cantik dan anak-anak yang cerdik, mungkin boleh ditarik nyawa atau kecantikannya dalam kemalangan jalan raya. Kereta yang hebat sehebat Ferrari atau Mustang yang dibeli dengan harga berjuta-juta bisa sahaja menjadi keranda kematian dalam tempoh hanya beberapa saat. Rumah yang besar dan mempunyai pelbagai perhiasan yang mahal dan canggih didalamnya boleh sahaja runtuh akibat gempa bumi atau ditimpa runtuhan bukit atau dilanda ombak tsunami yang membadai.

Nikmat kesihatan dan kecantikan tubuh badan yang dijaga melalui usaha senaman dan mengamalkan perubatan-perubatan yang mahal, mungkin sahaja ditarik tanpa ada sebarang amaran yang mungkin penyebabnya hanyalah seekor virus yang tidak bisa dilihat kecuali melalui mikroskop yang berkuasa tinggi.

Benarlah firman Allah dalam surah Al Kahfi ayat 45-46,

Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia adalah sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit, maka menjadi subur karenanya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.

Nikmat kehidupan dunia dari pelbagai rupa seperti rumah yang besar dan indah, jawatan yang tinggi berupa CEO atau professor kelas A, kereta yang hebat berupa BMW 5 series atau Toyota Camry dan Alphard, anak-anak yang ramai dan tampan serta bijak bahkan apa jua adalah nikmat kehidupan dunia yang sememangnya indah dan memikat.

Namun jangan kita lupa bahawa kehidupan dunia adalah ibarat tanah subur yang tumbuh padanya pelbagai macam tumbuhan yang menyedapkan mata. Namun mampu musnah dalam sekelip mata sahaja.

Harus kita sentiasa tanam dalam diri dan sentiasa insafi dengan bersungguh-sungguh bahawa tempat kembali yang paling baik adalah tempat kembali yang kekal selamanya dan itulah kehidupan yang abadi disisi tuhan. Dan dia jualah yang maha kuasa atas segala sesuatu.

Bukanlah haram mengejar dan mencari kekayaan dunia namun usah tertipu dengan kefanaannya dan tumpukanlah usaha untuk mencari nikmat dan kebahagiaan yang lebih abadi...

Cinta? Maka Berusahalah


Bukan sekali dua aku telah mendengar kisah cinta yang terhalang akibat tentangan ibu bapa. Lebih menyedihkan apabila kedua-dua pasangan telah suka sama suka, menjaga segala adab dan akhlak ketika berhubungan manakala pilihan pula telah dibuat dengan cara yang paling baik, iaitu dengan memilih kriteria agama sebagai kriteria utama.

Lebih menyedihkan apabila alasan yang diberikan oleh ibu bapa, langsung tidak masuk akal, lagak seperti cerita Tamil dan Hindustan gayanya. Cuma pelakonnya bukan Rajinikanth dalam filem Padayappa atau Shah Rukh Khan dalam filem Kabhi Kushi Kabhi Gam sahaja!

Ada satu kes terbaru yang aku dengar, ibunya bakal pengantin wanita menangis-nangis meminta dipulangkan cincin merisik, hanya kerana bakal pengantin lelaki tidak pernah menelefon dirinya dan pakcik-pakciknya sebelum merisik. Arghhh, Apekah?

Ada juga yang aku dengar menolak pinangan kerana alasan darjat, keluarga bakal menantu tidak setaraf, hidup dikampung, rumahnya dhaif, tidak layak untuk anaknya nanti. Padahal tidaklah sedhaif mana, hanya saja dinding rumahnya diperbuat dari kayu. Ye,Ye ini kisah benar, bukan drama swasta ye.

Lebih tipikal lagi apabila perhubungan dicantas hanya kerana berbeza negeri, bukan jauh sangat pun, Terengganu dengan Kelantan je. Alasan yang diberikan kerana pernah sekali ada rakan dari Terengganu bertandang ke rumah, kemudian lupa untuk mengucapkan terima kasih selepas makan tengahari dan mukanya sedikit kelat kerana menahan sakit perut semasa makan.

Generalisasi dibuat mengatakan orang Terengganu semuanya tidak ada adab! Alangkah sedihnya.

Ada juga yang anti dengan negeri-negeri tertentu, misalnya Kedah dan Kelantan atau Kelantan dan Melaka. Ada satu kes yang aku dengar dahulu tatkala pasangan dari Kedah dan Kelantan ini menghadapi pelbagai ujian hanya kerana disangkakan bakal menantu wanita dari Kelantan dan akan merampas anaknya nanti.

Dikatakan bahawa orang Kelantan semuanya jahat! Waduh, waduh, kawe pun orang Kelantan juga wei!

Ada juga ibu bapa yang meletakkan syarat mesti satu kampung, lepas berkahwin mesti tinggal dengan mereka, mesti beli kereta, mesti ada rumah yang sekurang-kurangnya 4 bilik sedangkan bakal menantu baru mula bekerja sebagai guru.

Kalau mensyaratkan bakal menantu mesti telah bekerja selama setahun dan mencapai umur tertentu, itu telah biasa didengar, belum lagi kisah jumlah hantaran yang mengangkasawankan bakal menantu (buat pinjaman dengan biro angkasa le tu)

Kadang-kadang aku gagal memahami apakah yang tersirat disebalik ketidaklogikan alasan penolakan ibu bapa ini, apakah kerana nafsu atau apakah sengaja tidak mahu menerima, lalu diletakkan syarat seumpama syarat pinangan Puteri Gunung Ledang.

Walaubagaimanapun, setidaklogik manapun ibu bapa, tetap tidak ada alasan untuk mendurhakai mereka. Derhaka usah dibalas derhaka, kelak anak kita akan melakukan derhaka yang sama terhadap kita nanti. Tetap tidak wajar untuk kita meninggikan suara, apatah lagi untuk lari dari rumah dan jauh lagi berkahwin tanpa restu dari mereka.

Walau macamana sekalipun, mereka tetap ibu bapa yang telah menjaga kita sejak dari kecil yang harus kita kasihi dan tidak boleh kita mengucapkan kepada mereka walau perkataan “Ah!”.

Jika berdepan dengan masalah-masalah begini, pastinya ia adalah satu ujian untuk menguatkan keimanan, terutamanya jika pemilihan dan niat kita hendak berkahwin tidak lain dan tidak bukan atas dasar untuk menyempurnakan agama.

Pada masa-masa beginilah, seharusnya kita kembali kepada pemilik segala hati-hati, yang maha membolak balikkan perasaan dan menguasai segala jiwa manusia. Duduklah bersimpuh dimalam yang sunyi, mohonlah pertolongan kepadanya agar dipermudahkan segala urusan, mohonlah dengan bersungguh-sungguh, carilah setiap waktu yang mustajab samada pada hari Jumaat atau pada bulan Ramadhan yang padanya ada keampunan dan penunaian segala doa yang baik.

Disamping itu, berikhtiarlah, gunalah segala strategi perbincangan yang baik. Rujuklah buku Stephen Covey, Crucial Conversation dan pelbagai lagi. Berilah hadiah, bawalah mereka melancong dan gunalah apa saja strategi untuk “membodek” ibu bapa agar dapat menerima pilihan hati kita.

Usahlah terlalu cepat kecewa dan berpatah hati, kerana Allah akan sentiasa bersama dengan sangkaan kita yang baik-baik. Jika anda benar-benar cintakan (bukan cinta nafsu ye) bakal pasangan anda dan ingin bersama dengannya kerana Allah, maka berusalah sekeras-kerasnya, buktikan kesungguhan dengan pengorbanan.

Sekeras mana hati ibu bapa, pasti akan ada satu ruang untuk sebuah kelembutan, apatah lagi jika kita telah berdoa dan berikhtiar dengan sedaya upaya.

Namun jika segala doa dan usaha tetap tidak berjaya, terimalah bahawa mungkin bukan dia yang tertulis untuk mu. Ketika itu, bacalah pula buku La Tahzan 

Sarah

Sarah termenung panjang

“Lepas ni bagitau pada Sarah, tak perlu nak sms abang lagi dah, perhubungan antara lelaki dan wanita sebelum kahwin adalah haram” tegas Azli kepada adiknya Farhana supaya memberitahu kepada Sarah (Sarah adalah tunangnya) agar tidak menghubunginya lagi kerana ingin menjaga pergaulan.

Sarah yang mendengar “pesanan” itu berkecil hati, bukanlah selalu dia menghantar sms, dan sms yang dihantar pula bukanlah ayat-ayat jiwang yang boleh menggoda perasaan, cuma sekadar bertanya khabar dan berbincang beberapa perkara tentang persiapan majlis perkahwinan yang dirasakannya agak penting untuk dibincangkan.

Bukanlah dia ingin berbicara berjam-jam atau saling berutus beratus-ratus sms yang pastinya termasuk dalam perbuatan dosa seperti apa yang berlaku kepada kebanyakan pasangan yang telah bertunang sekarang. Baginya dan menurut apa yang dipelajarinya dari kakak-kakak naqibah, perbuatan sebegitu adalah haram dan membawa kepada dosa yang menambahkan titik hitam di dada.

Sarah juga tidak ingin seperti pasangan selebriti yang kehulu kehilir bersama sebelum perkahwinan, sama-sama ke busana, sama-sama memilih baju pengantin, sama-sama memilih tema perkahwinan. Bersarapan, makan tengahari dan makan malam bersama ibarat pasangan yang telah berkahwin. Baru bertunang, tapi mesranya terlebih lebih mengalahkan suami isteri.

Baginya maruah dirinya harus dipelihara dan dirinya masih lagi “orang asing” terhadap tunangnya. Berkali-kali perkara itu dipesan oleh kakak-kakak naqibahnya semasa usrah. Dia faham dan jika tidak dipesan sekalipun dia tetap akan menjaga kehormatan dirinya, kerana walaupun dirinya adalah tunangan orang, tetapi status perhubungan dengan tunangannya tetap sama.

Dia tidak ingin dibakar dalam api neraka kerana perbuatan khalwat dan perbuatan yang secara jelas membuatkan syaitan bersorak gembira. Dia juga tidak ingin menjadi wanita yang mendayuskan suaminya nanti dengan kebiasaannya terhadap perbuatan-perbuatan yang haram.

Namun dia kecewa, kerana tunangnya terlalu “syadid” dalam menjaga perhubungan hingga menutup terus pintu perbincangan.

Dia cuba mencari jalan tengah dan dia juga tahu dan faham bahawa syaitan akan sentiasa mencari-cari peluang, namun sebagai wanita yang dalam hatinya juga ada perasaan, dia sekadar ingin bertanya khabar dan berbincang beberapa perkara yang tidaklah keterlaluan.

Entahlah, Sarah termenung panjang...

Namun, walaupun dia dilayan sedemikian, dia tetap akan bersangka baik dan tidak akan menceritakan keburukan dan perihal itu kepada sesiapapun, kerana ingin menjaga maruah "bakal suaminya" itu. Dia ingin untuk menjadi wanita yang paling taat dan penyimpan rahsia yang paling setia pada suaminya nanti.

Dan kepada Allah Sarah terus berharap...

Kecil atau Besar, Semua Pasti Dihitung

Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun".

(Al Kahfi:49)

Merenung ayat ini berkali-kali, berfikir dengan serius mengenainya amat menggusarkan hati. Kerana Al Quran itu tidak ada cacat cela dan cerita bohong padanya. Semuanya benar dan PASTI berlaku suatu hari nanti. Seperti suatu hari nanti kita PASTI akan mati, begitu jugalah suatu hari nanti, kita akan menjejakkan kaki di Mahsyar untuk dihisab atas setiap amal perbuatan kita, tidak kira kecil atau besar.

Kita mungkin tidak menyangka, sekecil-kecil perbuatan kita di dunia ada nilaiannya, baik atau buruk, pasti akan ada balasannya.

Kita mungkin tidak menyangka, setiap pandangan mata kita yang khianat, samada di dalam facebook, ketika melihat iklan di billboard lebuh raya atau ketika menyaksikan aurat pelakon-pelakon wanita dalam rancangan Hotel Mania selama sejam di televisyen setiap hari selasa, bahkan di pasaraya Yawata ketika menyaksikan dengan ghairah jurujualnya yang berpakaian “seksi maut”, akan ada nilaian dan hisabannya yang akan membuat kita mengeluh panjang ketika menerima kitab amalan di akhirat nanti.

“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.”

(Al Mu’min:19)

Kita juga mungkin tidak menyangka, setiap patah kata yang keluar dari mulut kita, setiap bait-bait perkataan komentar di facebook yang ditaip dengan jari jemari, suatu hari nanti kulit dan jari akan menjadi saksi ketika mana mulut-mulut kita telah dikunci.

Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.

(Yaasin:65)

Kita mungkin tidak menyangka, perbuatan kita membuang satu plastik gula-gula satu ketika dahulu di tepi jalan atau di dalam longkang, akan dihisab dengan hisaban yang amat dahsyat.

Apatah lagi jika kita meninggalkan solat, melewat-lewatkannya, culas dalam tanggungjawab beragama seperti menutup aurat, malas menuntut ilmu, meremehkan urusan zakat, lebih malang lagi jika kita sering mengumpat dan memfitnah tanpa sempat kita bertaubat.

Kita mungkin tidak menyangka bahawa tatkala kita menyelamatkan seekor semut dari kelemasan di lubang jamban, atau tatkala kita memberi makan pada kucing yang kelaparan, akan ada nilaiannya yang akan menjadi pemberat kepada amal kebaikan.

Kita mungkin tidak menyangka, perbuatan kita sekadar membersihkan seketul tahi cicak yang kecil di lantai masjid, ada nilaian pahala yang sangat besar disana nanti.

Kita juga mungkin tidak menyangka, bahawa satu senyuman yang manis terhadap sahabat, besar nilaiannya disisi Allah.

Apatah lagi jika kita menjadi hamba Allah yang baik terhadap manusia yang lain, sentiasa komited dan istiqamah dalam ibadah solat dan puasa, berbuat baik pada kedua ibu bapa dan sering berdoa untuk mereka serta sentiasa cinta pada majlis-majlis ilmu dan orang-orang yang soleh.

Duhai teman-teman, janganlah remehkan kebaikan walaupun sekecil tahi cicak, dan jangan cuba-cuba untuk melakukan kejahatan walau sebesar plastik gula-gula. Kerana setiap perbuatan kita, kecil atau besar, akan ada hisabannya.

Pada hari itu manusia ke luar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka.

Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.

Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula.

Al Zalzalah:6-8

Maafkanlah dan Pohonlah Kemaafan




Situasi 1:

“Woi! Buta ke! apa punya samseng la bawak kereta! maki seorang ‘pemandu berhemah tinggi’ di jalanraya ketika secara tiba-tiba sebuah kereta menukar lorong tanpa memberikan signal. Sepanjang jalan si ‘pemandu berhemah’ tadi bersyarah kepada isteri yang duduk di sebelahnya tentang kaedah pemanduan selamat dan kelemahan wanita ketika membawa kereta (yang bersalah tadi adalah pemandu wanita). Isterinya hanya mendengar dengan hati yang membara.

Situasi 2:

“Shreeeeettttttt” bunyi tayar dari kereta dibelakang yang mengelak akibat si ‘pemandu berhemah’ tinggi tadi menukar lorong secara tiba-tiba ketika hendak membayar tol. Wajahnya tambah pucat tatkala melihat bahawa yang mengelak tadi adalah sebuah kereta polis peronda. Setelah disyarahkan oleh polis selama 15 minit dan dikenakan saman atas pemanduan berbahaya, maka ‘pemandu berhemah’ pun dilepaskan dengan seribu satu sesal akibat kesilapannya tadi.

Dalam kehidupan, kita makhluk yang bernama manusia tidak akan dapat mengelak dari melakukan kesalahan. Kerana hakikatnya kita adalah makhluk yang lemah. Jika hari ini kita memarahi seseorang kerana kesilapannya, maka jangan kita lupa bahawa satu ketika dahulu atau satu masa nanti kita mungkin terlibat dalam kesilapan yang sama.

Jika hari ini kita memarahi anak kita kerana dia melakukan kesilapan, apakah kita lupa akan kesalahan-kesalahan kita yang lebih besar terhadap kedua ibu bapa kita.

Jika hari ini kita memarahi isteri diatas kurangnya layanan terhadap kita, apakah kita lupa kita juga tidak pernah sempurna dalam melayani dirinya.

Jika hari ini kita memarahi orang bawahan kerana kesilapan atau kecurangan yang dilakukannya, tidakkah kita ingat tatkala kita mula masuk bekerja, kesilapan demi kesilapan telah kita lakukan.

Hukumilah, tapi janganlah melampaui batas, tetapi bukankah memberi kemaafan itu lebih baik.

(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (Ali Imran:134)

Belajarlah memberi maaf terhadap orang yang melakukan kesilapan, dan belajarlah memohon maaf terhadap orang yang telah kita lakukan kesilapan padanya. Nescaya kita akan menjadi manusia yang paling bahagia.

Mengapa Palestin tidak dibantunya?

“Saya yakin bahawa agama Islam itu benar, cuma saya belum mendapat hidayah. Tapi satu yang saya mau tanya pada kamu” Seorang teman berbangsa Cina bertanya kepadaku


“Hah apa dia?” Aku terkesima seketika mendengar kata-katanya, namun aku bertanya semula kepadanya, sambil menghirup kopi Radix panas yang cukup kaw dihirup panas-panas diwaktu petang.

“Allah itu tuhan orang Islam kan? Tapi mengapa umat Islam di Palestin tidak dibantunya?” Dia melepaskan satu soalan yang cukup menarik untuk dibincangkan, dan jawapannya bukan hanya menarik bagi mereka yang belum memeluk agama Islam, tetapi juga sangat menarik bagi kebanyakan umat Islam yang lemah kefahamannya tentang bagaimana agama ini berfungsi.

“Begini Tan (bukan nama sebenar), saya yakin kamu telah mengkaji tentang Islam, jika tidak kamu tidak akan membicarakan tentang hidayah dan pastinya kamu sentiasa mengambil berat tentang nasib umat Islam kerana jika kamu tidak peduli kamu tidak akan membangkitkan isu tentang Palestin” Aku memulakan bicara.

Tan mendengar dengan penuh minat, bicaraku yang berbentuk persoalan tidak dijawabnya, dia hanya mengangguk dan mendengar dengan wajah yang serius.

“Sebelum saya menjawab persoalan tadi, saya mahu meletakkan keyakinan bahawa Allah itu adalah tuhan yang maha berkuasa, menguruskan segala-galanya di alam ini. Menciptakan bumi, bulan, bintang dan seluruh alam cakerawala. Segalanya cukup indah dan berseni dan keluasan alam ini adalah diluar jangkauan pemikiran manusia”

“Adakah logik jika kita katakan bahawa alam itu terjadi dengan sendirinya. Logikkah jika kita masuk ke dalam sebuah rumah dan perabot dan susunannya tersusun elok kita katakan bahawa perabot itu menyusun dirinya sendiri?”

“Pasti ada tangan yang menyusunnya bukan?” aku bertanya kepadanya.

Tan hanya mengangguk-angguk, mungkin juga konsep itu telah difahaminya. Namun aku tidak mahu terburu-buru memberikan jawapan kepada persoalan yang dibicarakannya.

“Begitu juga jika kita lihat di dalam tubuh kita sendiri, jantung kita yang tidak berhenti berdegup walaupun ketika kita tidur, sistem pencernaan tubuh yang tidak mampu kita mengawalnya, perjalanan darah, sistem pertahanan badan dan segalanya yang sebenarnya menggambarkan bahawa manusia ini adalah makhluk yang sangat lemah dan sentiasa berkehendak kepada tuhan”

Aku meneruskan bicara dengan membincangkan tentang konsep kekuasaan Allah agar mantap hatinya dengan kekuatan dan kekuasaan Allah yang mutlak. Mungkin juga hal ini telah diketahuinya, tetapi sengaja aku ingin memantapkan bicara.

“Jadi maknanya, kalau Allah ingin membantu umat Islam di Palestin, sekelip mata sahaja boleh dibantunya, Negeri Israel itu boleh dimusnahkan dengan satu gempa bumi atau dengan taufan sahaja”

“Bahkan mungkin negeri Israel itu boleh dimusnahkan dengan satu hentaman meteor yang jatuh dari langit sahaja, atau Allah bisa sahaja menterbalikkan bumi atau memuntahkan lahar di bumi itu dan memusnahkan mereka sehancur-hancurnya.”

Kali ini Tan menyampuk, “Hmmm, mengapa tidak Allah bertindak begitu?, bukankah dalam Quran Allah menceritakan bahawa kaum-kaum yang dahulu tidak beriman dimusnahkan dengan pelbagai keadaan, seingat saya kaum Nabi Nuh yang ingkar dilemaskan dengan banjir besar, manakala kaum Nabi Soleh dimusnahkan dengan satu suara yang keras”

Wah, mendalam juga pengetahuannya, dalam diam aku meluahkan rasa kagum dengan kajiannya yang agak dalam tentang Al Quran.

“Ye memang benar Tan, tidak ada salahnya apa yang diutarakan itu”

“Namun, agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad ada caranya yang tersendiri, dan ada juga bahkan banyak persamaannya dengan agama-agama umat yang terdahulu.”

“Allah tidak akan memberi hukumannya pada umat zaman ini seperti mana umat-umat terdahulu, itu yang kami fahami”

“Agama ini pada zaman ini tidak berfungsi dengan cara-cara yang ajaib...” aku terdiam seketika, memikir dan menyusun ayat yang sesuai, kerana individu yang sedang didepani sekarang ini bukan sebarangan kajian tentang islam yang telah dibuatnya.

“Allah ingin agar agama ini ditegakkan dengan dengan usaha manusia, dengan mengikuti peraturan-peraturan yang sesuai dengan kehidupan manusia.”

“Contohnya, jika dalam satu permainan bolasepak, pasukan yang lebih baik displinnya, tersusun setiap ahlinya dan mantap taktikalnya seperti pasukan Jerman dalam piala dunia kali ini (2010) pasti akan menang tatkala menentang mana-mana pasukan yang tidak tersusun, tidak ada taktik yang baik dan hanya bergantung kepada populariti pemainnya seperti pasukan England dan Argentina.”

“Begitulah agama Islam, cuma ia bukanlah bergantung sepenuhnya kepada usaha manusia semata-mata, Allah menuntut manusia untuk berusaha sehingga ke tahap yang maksima, merancang strategi, tertib, cermat dan tersusun dengan segala ikhtiar dan upaya manusia hingga sampai ke satu peringkat dimana ikhtiar itu telah sampai ke titik yang maksima”

“Ketika itu Allah menuntut agar manusia memohon pertolongan dan bergantung dengannya. Ketika ikhtiar telah habis dan manusia hanya bergantung dengan Allah, maka Allah akan memberi bantuannya.”

“Dalam bentuk bagaimana bantuan itu, itu adalah hak Allah untuk menentukannya, mungkin dalam bentuk malaikat yang menjelma sebagai gergasi, mungkin juga dengan asap putih atau angin yang menerbangkan peralatan musuh, mungkin juga dengan kegagalan bom meletup atau peluru berpandu yang beralih arah.”

“Namun sebelum bantuan tiba, umat Islam harus memeriksa, apakah usahanya telah sampai ke tahap yang maksima dan apakah pergantungan mereka hanya bulat dengan Allah sahaja”

“Jadi umat di Palestin, masih begitu kerana sememangnya umat Islam pada zaman ini masih belum benar-benar hebat ikhtiarnya, begitu juga dengan pergantungan dengan Allah”

Tan mengangguk-ngangguk, entah faham atau tidak, harapnya dia faham dan mendapat hidayah.

“Satu lagi perkara Tan, bagi Allah dan bagi kami umat Islam, kemenangan yang sebenar bukanlah di dunia ini. Memang kemenangan itu menggembirakan, tapi kemenangan yang sebenar adalah pada kehidupan selepas kematian.”

Aku berhenti seketika menarik nafas.

“Adakalanya umat Islam akan kalah walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh, tapi kekalahan itu hanya kekalahan di dunia, kerana kemenangan yang sebenar adalah pada ganjaran syurga buat siapa yang berusaha.”

“Apalah ertinya kemenangan dalam kehidupan kita yang sangat singkat ini, bukan kemenangan itu tidak penting, tetapi yang lebih penting adalah usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh serta pergantungan dengan Allah secara total. Itu yang akan dinilai sebagai pahala yang kami harap akan memberatkan amalan kebaikan kami disisi Allah.”

Aku memberhentikan bicara, wajah Tan berkerut-kerut, mungkin sedang memikirkan sesuatu.

Akhirnya dia bersuara “Ye, saya faham kini, sememangnya agama ini cukup cantik dan adil bagi manusia, bagi saya inilah agama yang terbaik, dan saya sangat suka kepadanya.”

“Cuma satu lagi soalan, boleh tanya lagi ke?”

Aku melihat jam tangan, waktu telah suntuk kerana aku harus berkejar ke rumah untuk mengambil anak di tadika, namun aku tidak ingin mematikan minat dan kesungguhannya.

Sebelum sempat aku mengelak, dia telah memberikan soalannya

“Kalau agama Islam ini baik, kenapa orang Islam itu banyak tidak baik, kenapa yang teruk-teruk, banyak buang anak, lemah dalam pelajaran, banyak penagih dadah, itu semuanya orang Islam” Dia melancarkan satu lagi soalan cepu emasnya.

“Tan, sebenarnya aku ingin sangat nak jawab soalan tu, tapi aku kena balik ni, sat lagi anak aku mengamuk di tadika. Nanti esok pagi kita jumpa di sini selepas waktu pejabat, beginilah, datang sahaja ke rumahku malam ini, nanti aku suruh isteriku masakkan lauk yang sedap-sedap, lepas itu bolehlah kita berbincang lagi.”

Tan tersenyum lebar, dia yang masih bujang, cukup suka jika diajak ke rumah kawan-kawan untuk menjamu selera. Kebetulan pula Tan memang seorang yang amat cermat dalam pemilihan makanan dan dia pernah memberitahuku bahawa dia tidak pernah makan dan menyentuh daging babi. Begitu juga dengan arak.

Kehidupannya baik-baik sahaja, cuma mungkin hidayah belum singgah dihatinya. Apapun, aku harus menyiapkan jawapan untuk persoalan yang ditanyakkannya tadi semantap mungkin, agar kukuh hatinya dengan iman dan hingga dia kembali kepada fitrah dirinya sebagai kain putih yang suci bersih.

(Perbualan diatas hanyalah rekaan, inspirasi dari perbualan dengan Bro Zulkurnai selepas main badminton petang tadi, namun harap bermanfaat buat semua pembaca ;), thanks Bro Zul for the inspiration!)

Kita Masih Jauh


Ketika Kota Konstantinople telah ditawan, dan waktu Jumaat telah masuk, Sultan Muhammad Al Fateh berkenan untuk memilih imam bagi memimpin solat jumaat yang pertama di Kota Konstantinople. Namun cara pemilihannya agak unik, beliau memanggil seluruh tenteranya dan meminta mereka semua berdiri dengan teratur.

Setelah semuanya dalam kedudukan yang tersusun, maka dia bertanya kepada tentera-tenteranya:

“Siapa diantara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu, sila duduk...”

Tidak ada siapa dikalangan anggota tenteranya yang duduk

Kemudian beliau bertanya lagi

“Siapa diantara kamu yang pernah meninggalkan solat-solat sunat yang utama”

Ketika ini sebilangan kecil dari anggota tenteranya duduk.

Kemudian beliau bertanya lagi,

“Siapa diantara kamu yang pernah meninggalkan solat tahajjud sila duduk”

Kali ini seluruh anggota tenteranya duduk kecuali beliau sendiri dan akhirnya beliau sendiri yang memimpin solat berjemaah di Kota Konstantinople.

Ternyata beliau adalah orang yang paling soleh dan dekat dengan Allah dikalangan tenteranya, maka benarlah sabda junjungan bahawa yang akan menakluk Konstantinople itu adalah tentera yang terbaik dipimpin oleh pemimpin yang terbaik.

Masyaallah, jika beginilah kualiti pemimpin dan tentera Sultan Muhammad Al Fateh yang menakluk dan membebaskan kota Konstantinople dari jajahan Byzantine, maka tidak hairanlah pertolongan Allah akan sentiasa bersama dengan mereka.

Jika kita bertanyakan soalan yang sama pada generasi muda hari ini, mungkin pada soalan yang pertama sahaja telah ramai yang ‘kantoi’ apatah lagi apabila ditanyakan soalan kedua dan ketiga. Mungkin jika ditanya soalan ini kepada kumpulan para pendakwah hari ini pun, belum tentu natijahnya sama dengan apa yang didapati Sultan Muhammad Al Fateh kepada tenteranya.

Hari ini, kita berada dalam satu generasi yang lebih menghafaz nama-nama artis dan pemain bolasepak handalan dari sahabat-sahabat nabi dan nama pahlawan-pahlawan Islam sepanjang zaman. Lebih bermaklumat tentang sejarah juara piala dunia dari 1930 an berbanding sejarah agung umat islam. Generasi yang lebih ghairah dan cinta kepada bolasepak berbanding cinta kepada keimanan dan kehidupan islam yang indah. Generasi yang sanggup bangun malam untuk melihat pasukan kegemaran berbanding bangun malam untuk memohon keampunan.

Ternyatalah bahawa sebenarnya kita masih jauh dengan kemenangan, selagi mana generasi hari ini tidak dididik dengan didikan islam yang sebenar dan menghayati kehidupan islam secara total, maka selagi itulah umat akan terus dijajah dan diratah oleh musuh.

Penyelesaian kepada kemelut yang melanda hari ini hanyalah dengan mengembalikan semula jatidiri dan kemuliaan Islam kepada setiap peribadi-peribadi muslim. Generasi hari ini haruslah dididik untuk cinta kepada keimanan lebih dari cinta kepada hiburan dan kelalaian. Cinta kepada kebaikan dan kesungguhan lebih dari cinta kepada kerehatan dan kemalasan. Lebih cinta untuk membaca Al Quran dan solat malam berbanding membaca analisis piala dunia dan bangun malam kerana bola.

Projek membina generasi Muhammad Al Fateh adalah projek besar yang memerlukan kepada persediaan yang rapi, kesabaran yang tinggi dan kebijaksanaan yang bukan calang-calang kerana generasi yang ingin dibina adalah generasi yang mempunyai kesungguhan dan tekad yang kuat untuk menolak godaan hawa nafsu.

Kita harus mengoreksi diri kita dan memeriksa, apakah kita telah terlibat dalam projek pembinaan generasi Al Fateh. Jika tidak, bagaimana kita harus bermula? Hanya kita sendiri yang boleh mencari jawapannya.

"Ramai yang boleh berdakwah, tetapi tidak ramai yang cinta pada dakwah"