gambar dari wallpapertimes.com
“Aku dah bosan la dengan hidup, dah tak tahu nak buat apa, tiada apa lagi yang istimewa dalam hidup ini”
“Bosannya, tak tahu nak buat apa waktu cuti, makan, tidur, tengok tv, main game, layan facebook, tengok movie...bosannya”
“Waktu cuti ni aku nak khatamkan cerita Lord of the rings, Heroes, Smallville, Merlin, Supernatural, Iron Man dan semua movie yang best-best, sampai lebam biji mata aku...hehe”
Mendengar komentar-komentar sedemikian rupa dari kebanyakan para belia hari ini, cukup menggusarkan, masa muda dibazirkan begitu sahaja tanpa aktiviti-aktiviti dan tugasan yang berfokus lagi bermanfaat. Waktu cuti IPTA selama 2 bulan ini sebahagian besarnya dibuang begitu sahaja dihadapan laptop menghadap movie dan facebook.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah menggambarkan bahawa masa muda adalah detik-detik waktu yang sangat berharga dan harus diisi sebaiknya dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat. Amat malang jika kita hidup dalam usia muda, tetapi detik-detik waktu dimana fizikal kita penuh dengan tenaga dan kecerdasan dibazirkan begitu sahaja.
Ketiadaan fokus dan tidak tahu nak buat apa adalah sindrom kepada penyakit hidup tanpa matlamat yang jelas. Kehidupan hanya dibiarkan berjalan tanpa hala tuju dan destinasi ibarat kapal tanpa hala tuju di lautan yang luas.
Tidak jelas apa yang ingin dicapai dalam hidup.
Bermula dari alam persekolahan sasarannya adalah untuk cemerlang dalam peperiksaan, kemudian masuk ke IPT hanya untuk menamatkan pengajian, seterusnya mencari pekerjaan, bekerja, berkahwin, beranak pinak. Apakah untuk itu sahaja kita diciptakan?
Hidup ini hanya sekali, amat rugi jika kita tidak memaksimakan potensi diri untuk menjadi manusia yang luar biasa. Kalaupun kita tidak berjaya sekurang-kurangnya kita mencuba.
Contoh yang mudah, jika kita menyasarkan untuk menjadi seorang hafiz al quran sebelum usia 40 tahu, maka seharusnya kita menyusun jadual kehidupan untuk menuju ke situ. Setiap bulan ada sasaran surah yang ingin dihafal, berapa hari dalam seminggu yang akan kita gunakan untuk menghafal, apakah hari-hari tersebut dan dalam hari-hari tersebut, berapa jam atau jam berapakah yang akan kita gunakan untuk menghafal. Jadi masa tidak akan terbazir sia-sia.
Contoh lagi, jika kita menyasarkan untuk menjadi seorang konsultan dalam bidang teknologi maklumat, kita tentukan apakah bidang ilmu yang harus kita kuasai. Sebagai contoh, pengaturcaraan web, jadi cuba fahami dan kuasai teknologi PhP dan ASP atau Coldfusion dengan sebaiknya. Kemudian cuba hasilkan modul, cuba untuk terbitkan ataupun gunakan modul tersebut untuk buat kursus-kursus latihan secara kecil-kecilan dahulu.
Contoh lagi, jika kita ingin menjadi novelis islami yang berjaya, mulakan dengan menulis blog, tulis cerita-cerita pendek, belajar dari yang telah pakar, sasarkan berapa novel yang ingin dikeluarkan dan tetapkan berapa jam sehari yang akan digunakan untuk menulis.
Jika kita ingin menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya pula, tetapkan apakah bentuk perniagaan yang ingin kita ceburi. Perniagaan hartanah, menternak kambing, menjual kebab atau apa sahaja, semuanya memerlukan ilmu dan langkah pertama.
Jika kita jelas dengan matlamat hidup kita, tidak akan timbul isu bosan dengan kehidupan kerana setiap detik waktu akan kita gunakan untuk melangkah menuju ke matlamat yang ingin dituju. Kemungkinan di pertengahan jalan akan timbul kelelahan dan kebosanan, waktu itu berehatlah untuk mencari kekuatan bukan mencari kerehatan terus dari perjuangan kehidupan.
Hidup ini lebih singkat dari apa yang kita jangkakan, terlalu singkat untuk kita bazirkan dengan perkara-perkara remeh dalam kehidupan. Manfaatkan ia sebaiknya, pastikan setiap saat bernilai pahala.
No comments:
Post a Comment