Sampah oh Sampah


Baru-baru ini, aku dan keluarga telah berpeluang berkunjung ke peranginan Titi Hayun di Yan, Kedah bagi meluangkan masa bersama keluarga di hujung minggu. Namun, kegembiraan kami sekeluarga terencat tatkala melihat sampah bertaburan di sana dan di sini. Bukannya tiada tong sampah, tetapi sikap ambil mudah rata-rata dari pengunjung, merosakkan suasana dan mencemarkan alam.

Sampah sisa makanan, lampin pakai buang, pembungkus makanan, puntung-puntung rokok dan pelbagai jenis sampah dibuang merata-rata hingga ke dalam sungai. Kecewa dengan keadaan itu, kami memutuskan untuk ke satu lagi destinasi iaitu Tasik Darulaman di Jitra, kebetulan sebelum itu ada pertandingan memancing yang baru selesai dijalankan.

Setibanya di Tasik Darulaman, belum pun kami masuk ke kawasan tasik, kelihatan sampah bertaburan dengan begitu banyak sekali di sekeliling kawasan tasik. Kelihatan plastik, beg kertas dan sisa-sisa umpan ikan ditinggalkan begitu sahaja di kawasan tepi tasik. Melihat keadaan itu, kami membatalkan hasrat untuk berkelah dan terus sahaja pulang ke rumah.

Suasana begini juga saya percaya dapat dilihat dikawasan pasar malam ataupun majlis-majlis keramaian. Begitu juga tabiat membuang sampah dari cermin kenderaan di jalanan dan di longkang serta sungai. Mentaliti “tak apa” dan “ada petugas yang akan membersihkan” masih tebal bersarang di minda kebanyakan dari masyarakat kita.

Apalah salahnya jika kita menguruskan sampah masing-masing dan membuangnya di tempat yang telah disediakan. Hanya sedikit tenaga dan usaha yang akan dilibatkan. Harus diingat juga, kebersihan adalah sebahagian dari kebaikan islam dan ada nilaian dosa dan pahala.

Satu sampah yang kita buang merata-rata akan dihitung sebagai satu dosa yang menghampirkan kita kepada azab, manakala satu sampah yang kita uruskan dengan baik dengan dibuang ditempatnya atau dikitar semula, pasti ada ganjaran yang akan memberatkan timbangan mizan di akhirat nanti.

Mari kita sama-sama berazam untuk mengubahnya. Perubahan bermula dari dalam diri kita sendiri.

No comments:

Post a Comment