"Gambar ini diambil dari teleskop Hubble, menunjukkan tanda-tanda kebesaran alam ini"
Mendengar kisah tentang syurga semalam dalam kuliah tafsir surah Yaasin di surau taman tunku sarina semalam yang disampaikan oleh Ustaz Faisol, benar-benar menyegarkan iman dengan kesegaran yang tiada tandingannya.
Tiada kata yang dapat mengungkapkan rasa, tiada rasa yang dapat menggambarkan nikmat syurga yang sebenarnya. Sungguh motivasi terbaik bagi seorang mu’min dalam beramal adalah syurga. Tiada yang lain kecuali syurga.
Di dalamnya kita akan memperoleh segala-galanya, ye segala-galanya yang kita inginkan. Khayalkan apa sahaja, Allah akan memberi berkali-kali ganda. Sungguh syurga itu adalah kenikmatan dan keindahan yang tidak pernah tergambarkan oleh mana-mana manusia yang pernah hidup di atas muka bumi dulu kini dan dan akan datang.
Di syurga, kita akan hidup selama-lamanya, tiada pengakhiran, tiada kematian, tidak perlu risau tentang sakit, tua, tiada dendam dan cemburu dan tidak akan ada masalah yang membelenggu. Segala-galanya adalah bahagia.
Dunia yang hanya sebentar ini, walau sehebat mana atau sekaya mana pun kita adalah penjara bagi orang yang beriman, kerana kenikmatan sebenar bagi orang mu’min adalah di syurga.
Yakinlah, suatu hari nanti kita pasti akan mati, suatu kepastian yang pasti akan berlaku pada setiap makhluk di dunia ini. Suatu hari nanti kita akan dibangkitkan dan suatu hari nanti kita akan dihisab dan suatu hari nanti kita pasti akan ke syurga jika kita benar-benar beriman.
Yakinlah, suatu hari nanti, saatnya akan tiba ibarat tibanya hari esok selepas hari ini...
No comments:
Post a Comment