“Humaira! Bangun, semalam kata nak sembahyang subuh sama-sama!” pagi itu aku menggerak-gerakkan tubuhnya dengan agak kasar dengan suara yang agak keras. Ini kerana azan subuh telah lama berkumandang, dan aku masih belum bersiap sepenuhnya untuk ke surau.
Aku menjadi agak terburu-buru kerana khuatir akan ketinggalan solat berjemaah, lalu Humaira menjadi mangsa kekalutanku.
“Humaira cepatla!, nak solat ke tak nak ni?” aku mula meninggikan suara sedikit, namun tubuh dan mindanya masih lagi lena.
Lalu aku terus sahaja mengangkat tubuhnya, membawa ke bilik air dan kepalanya terus aku basahkan dengan air sejuk.
“Uwaaaaa.....sejuuuuuuk” tangisan Humaira memecahkan keheningan pagi, airmatanya gugur menyaingi gugurnya embun di waktu subuh yang indah.
“Apa bising-bising ni? Isteriku yang sudah siap memakai telekung bercekak pinggang di depan bilik air.
“Ya Allah, kenapa sampai begitu sekali, kot ye nak suruh anak bangun subuh pun” Isteriku mula bersyarah.
“Nah, ayang lah uruskan dia, abang tak reti dah...” aku menjawab pendek. Terus sahaja aku keluar dari bilik air dan bersiap-siap. Kemudian aku terus ke surau menaiki motorsikal Honda Wave 110. Sayup-sayup ketika aku menghidupkan enjin, kedengan Humaira masih lagi dengan tangisannya di dalam bilik air.
Pulang dari surau aku lihat Humaira masih menangis, kali ini telah dalam keadaan bertelekung, sementara si kecil Khadijah, tersengih-sengih melihat aku terpacul di muka pintu. Memang Khadijah lebih mudah untuk bangun awal dan mandi pagi. Mengikut tabiat ibunya ketika mengandung.
Isteriku memalingkan tubuhnya dan wajahnya kelihatan begitu masam.
“Abang ni, kot ye nak suruh anak sembahyang subuh pun, berlembut lah sikit. Adake dijirusnya dengan air sejuk, manalah anak tu tak menangis...”Motivasi pagi telah bermula.
Aku hanya mendiamkan diri sambil mencari-cari Quran di atas meja. Aku duduk di satu sudut dan terus membaca Al-Quran tanpa menghiraukan tangisan dan bebelan yang masih lagi berterusan. Dalam hati aku mengiyakan apa yang dikatakan oleh isteriku. Memang aku agak terburu-buru pagi itu.
Ketika menghantarnya ke sekolah pagi itu, aku memeluknya dan meminta maaf.
“Ayah minta maaf ye, tapi esok kalau Humaira bangun solat subuh, ayah belikan coklat lollypop” kali ini aku mencuba cara baru untuk memotivasikan dirinya. Wajahnya yang dingin kembali hangat, ibarat berlalunya awan mendung dari langit menampilkan warna-warna langit yang ceria. Motivasi lollypop dan aiskrim setakat ini tidak pernah gagal untuk menaikkan semangatnya bagi melakukan sesuatu.
“Haa, boleh-boleh, tapi Humaira nak 5 tau, sebab nak bagi kawan-kawan” lalu dia membilang seorang demi seorang kawan-kawan yang ingin dikongsikan lollypopnya itu.
Malam itu sebelum tidur, kami membaca surah al mulk bersama-sama, aku mengusap-usap kepalanya sambil mengingatkan janji keesokan harinya.
“Humaira, esok bangun solat subuh tak payah nangis ye” aku mengulang-ulang pesanan itu 2 3 kali supaya tertanam di minda bawah sedarnya.
Keesokan paginya, aku menggerakkannya sekali lagi, kali ini lebih lembut dan aku menyeru namanya sambil mengingatkan akan janji lollypop.
“Humaira, bangun, hari ini kalau Humaira solat subuh, ayah belikan lollypop...”
Terus sahaja dia membuka matanya dan tersenyum, kali ini terus sahaja dia bangun dan terus ke bilik air sendiri. Aku tersenyum melihat gelagatnya, pulang dari surau, dia telah menanti di muka pintu dan mengingatkan aku akan janji lollypop.
“Ayah, pukul berapa nak pegi kedai beli ni...”
“Sabarlah sayang, kedai tak buka lagi, nanti petang ni kita pegi ye...”Aku tersenyum sambil mencium pipinya.
“Wahai tuhanku, jadikanlah aku dan zuriat keturunanku orang yang tetap mendirikan solat” aku berdoa di dalam hati.
Satu perkara yang aku pelajari adalah, kebenaran dan perkara-perkara yang baik, harus dicapai dengan cara yang baik juga dan penuh hikmah. Mengajak dan menyeru manusia ke arah jalan kebenaran, mesti dilakukan dengan penuh sabar dan bijaksana.
Walau sehebat mana idea tentang islah, namun jika dipaksakan ke atas manusia, dan di bawa dengan cara yang terburu-buru, akan hanya mendatangkan kecederaan kepada orang yang menerima dan membawanya.
Sebagai seorang ayah, aku harus lebih berhikmah dan sabar dalam membentuk anak-anakku, moga aku tidak seperti tikus yang membaiki labu.
No comments:
Post a Comment