Ketika Dilanda Kegelisahan

Dalam kehidupan, tidak ada manusia yang akan aman dari masalah. Kanak-kanak, remaja, orang dewasa, orang tua, apatah lagi jika menjawat jawatan sebagai ibu bapa ditambah dengan beban kerja di pejabat. Begitu juga jika terlibat dengan urusan-urusan dakwah, hidup tidak akan pernah sunyi dari cabaran dan dugaan. Kecil, besar semuanya akan diuji mengikut tahap kemampuan masing-masing.


Ketika merasa resah gelisah, ditimpa pelbagai masalah hingga stress, amalkanlah doa ini dengan penuh penghayatan, kerana hanya dialah yang mampu memberi ketenangan kepada hati-hati manusia.



Doa ini membicarakan tentang sifat-sifat yang ada dalam diri manusia dan punca-punca besar yang menyebabkan manusia ditimpa stress.

Rasa sedih adalah satu perasaan yang kita rasai tatkala musibah melanda. Tidak kira sama ada musibah itu adalah musibah kehilangan jiwa atau kehilangan harta. Rasa gelisah pula adalah kerisauan kita terhadap sesuatu yang belum terjadi, sebagai contoh, gelisah ketika ingin menduduki peperiksaan, gelisah menunggu keputusan peperiksaan, gelisah sebelum temuduga pekerjaan dan mungkin gelisah ketika sebelum akad nikah!

Sifat pengecut adalah sifat yang menghalang kita dari maju ke hadapan akibat ketakutan kita terhadap perkara-perkara tertentu dalam hidup. Contohnya takut untuk memperkatakan kebenaran dan menegur kemunkaran, takut untuk berhijrah demi kebaikan dan mungkin takut hantu juga!

Sifat bakhil pula adalah satu sifat yang menjadikan kita manusia yang meletakkan kepentingan diri melebihi segala-galanya. Bakhil untuk bersedekah kerana takut wang simpanan akan susut, bakhil untuk membantu rakan-rakan yang dalam kesusahan, walaupun hanya dengan menghulurkan tangan dan memberikan senyuman yang manis.

Manusia juga akan berada di dalam stress apabila berada dalam cengkaman hutang yang seolahnya tiada hujung pangkal. Selepas tamat pengajian telah berhutang dengan PTPTN, kemudian ditambah dengan hutang perkahwinan dengan biro angkasa, ditambah dengan hutang kad kredit, kereta dan rumah. Hutang-hutang yang bertimbun ini boleh menyesakkan nafas sesiapa sahaja yang menanggungnya.

Manakala akhir sekali adalah ancaman penindasan dari manusia lain. Samaada ditindas di pejabat atau di tindas oleh pemerintah atau di tindas oleh kuasa-kuasa besar yang mengancam kedaulatan Negara. Manusia tidak akan tenang apabila mengetahui dirinya sentiasa dibawah cengkaman manusia-manusia yang zalim.

Maha suci Allah, hanya dia yang mengetahui segala yang terbuku dihati manusia, zahir dan batin. Ketika harapan seakan telah padam, maka hanya kepada dia kita memohon pergantungan, tatkala tiada manusia yang mahu mendengar rintihan, Allah sentiasa cinta kepada doa hamba-hambanya yang tulus dari hati yang ikhlas dan penuh pengharapan.

Amalkanlah doa ini dalam kehidupan, moga kehidupan kita akan lebih tenang dan bahagia, walau apa jua badai yang melanda.

Kerana daripadanya jua sumber kesejahteraan bagi setiap manusia

No comments:

Post a Comment