Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi? Blogging from 2008 - ?
Kejarlah yang kekal abadi
Berada di dunia ini, tiada apa yang kekal lama, segalanya pasti akan luput akhirnya.
Kita membeli makanan, dari nasi lemak berbungkus daun pisang yang berharga RM 1 hingga kepada ikan Siakap bakar atau sotong goreng celup tepung di Kuala Perlis, setelah dimakan diproses oleh sistem penghadaman, keduanya akan menatijahkan output yang sama. Jika dibiarkan tidak dimakan, lama kelamaan ia akan sejuk sendiri, hingga akhirnya basi dan berkulat sendiri.
Kita membeli gajet-gajet yang canggih, laptop Dell Studio dengan pemproses intel i7. Kamera DSLR dengan kuasa dan lens yang cukup hebat, telefon bimbit nokia E71 atau iPhone. Setelah beberapa tahun, komponen-komponen elektronik di dalamnya mungkin rosak, itupun jika tidak terhempas atau dicuri atau digigit oleh si kecil di rumah.
Kita membeli kereta yang hebat dan canggih, Honda Civic 2.0 atau Nissan Sylphy atau yang kurang canggih, Saga atau Viva mungkin, paling lama ia bertahan, 10 tahun mungkin, itupun selepas 5 tahun akan banyak ragamnya. Setelah 15 atau 20 tahun, secanggih mana sesebuah kereta, tetap akan menjadi besi buruk akhirnya.
Kita membeli rumah bungalow besar, melengkapkan perhiasan dalaman dengan perabot-perabot yang paling mahal, lanskap luar begitu indah dengan taman siap dengan ikan perhiasan. Selepas puluhan tahun, perabot akan mereput, rumah pun akan retak disana dan disini, ikan pun akhirnya akan mati.
Kita mengejar pangkat dan gelaran, bekerja keras untuk mendapatkan gelaran pensyarah kanan, professor madya dan professor, tapi akhirnya setelah berada di alam barzakh, pangkat dan gelaran itu rupanya langsung tidak dihiraukan oleh malaikat. Yang kekal hanyalah amal.
Begitulah hakikatnya dunia, tiada apa yang kekal, semuanya keindahan yang menipu. Semuanya akan rosak dan binasa apabila tiba masanya. Tiada yang kekal.
Kejarlah keindahan dan harta yang kekal abadi, itulah dia bekalan akhirat yang kekal selamanya.
Kejarlah kebahagiaan yang kekal abadi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
sungguh insaf kanns,
ReplyDeletesalamm,